Friday, January 3, 2014

RASULULLAH MENANGIS DAN PENGSAN MENDENGAR ADA UMATNYA MASUK NERAKA

Suatu hari malaikat Jibril datang menemui Rasulullah s.a.w dalam keadaan yang berubah mukanya dan ketakutan. Maka Rasulullah s.a.w bertanya, "Mengapa aku melihat engkau berubah muka, wahai Jibril?”.

"Wahai Muhammad, aku datang kepadamu pada saat dimana Allah menyuruh supaya dikobarkan api neraka, maka tidak layak bagi orang yang mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, siksa kubur itu benar, siksa Allah terbesar itu, untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman daripadanya". Rasulullah s.a.w terdiam beberapa saat lalu bertanya, "Wahai Jibril jelaskan kepadaku sifat neraka Jahannam itu sesungguhnya”.

Jibril menjawab, "Baiklah, ketika Allah menjadikan Jahannam maka dinyalakan lah selama seribu tahun hingga berwarna merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun hingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yang telah mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka neraka itu sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung diantara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan baranya. 

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut Allah dalam Al-Quran itu diletakkan di atas bukit nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ketujuh. Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung Barat tersiksa nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung Timur kerana sangat panasnya. Neraka Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya adalah besi, minumannya air panas bercampur nanah dan pakaiannya potongan api. Api neraka itu mempunyai tujuh pintu, dimana tiap-tiap pintu ada bahagian yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan”.

Rasulullah s.a.w kembali bertanya, "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah-rumah kami?”.

Jibril menjawab, "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jaraknya adalah perjalanan tujuh puluh ribu tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain tujuh puluh ribu tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain tujuh puluh kali ganda, maka digiring ke sana musuh-musuh Allah s.w.t sehingga bila telah sampai ke pintunya maka disambut oleh malaikat-malaikat Zabaniyah dengan rantai dan belenggu, kemudian rantai itu dimasukkan ke dalam mulut mereka hingga tembus ke punggung dan diikat tangan kirinya ke lehernya, sedang tangan kanannya dimasukkan dalam dada dan tembus ke bahunya, dan tiap-tiap manusia itu digandeng dengan syaitan nya lalu diseret tersungkur mukanya sambil dipukul oleh para malaikat dengan pukulan besi, dan tiap mereka ingin keluar kerana sangat risau, tetapi kemudian ditanamkan ke dalamnya”

Rasulullah s.a.w bertanya lagi, "Siapakah penghuni masing-masing pintu itu?"
Jibril menjawab, "Pintu yang terbawah adalah untuk orang-orang munafiq, orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s serta keluarga Firaun, sedang namanya Al-Hawiyah. Pintu kedua adalah tempat untuk orang-orang musyrikin, bernama Jahim. Pintu ketiga adalah tempat bagi orang-orang Shobi’in bernama Saqar. Pintu keempat merupakan tempat Iblis laknatullah dan pengikutnya dari kaum Majusi bernama Ladha. Pintu kelima diperuntukan bagi umat Yahudi bernama Huthomah. Pintu keenam menjadi tempat umat Nasrani bernama Sa’ie.”

Malaikat Jibril terus menerangkan penghuni masing-masing pintu neraka hingga pintu neraka yang kelima tempatnya umat Yahudi dan keenam untuk umat Nasrani. Kemudian malaikat Jibril terdiam cukup lama sehingga Rasulullah s.a.w bertanya, "Mengapa tidak engkau terangkan penghuni pintu neraka ketujuh?". Malaikat Jibril hanya terdiam. Lalu Rasulullah s.a.w bertanya lagi. Malaikat Jibril pun masih tetap diam. Rasulullah s.a.w mendesak lagi hingga akhirnya Jibril berkata, "Umatmu wahai Muhammad…. Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dari umatmu yang sampai mati belum sempat bertaubat"

Mendengar jawaban Malaikat Jibril, Rasulullah s.a.w langsung jatuh pengsan. Jibril kemudian merangkul Rasulullah s.a.w dan meletakkan tubuh baginda di atas pangkuannya. Tidak berapa lama Rasulullah s.a.w sadar dan langsung menangis bersimbah air mata. Sambil teresak-esak Rasulullah s.a.w bertanya, "Wahai Jibril, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah memang ada diantara umatku yang akan masuk neraka?” "Benar wahai Muhammad, pelaku dosa besar diantara umatmu yang belum bertaubat", jawab Jibril. Kemudian Rasulullah s.a.w semakin menangis, dan Jibril pun ikut menangis.

Setelah itu Rasulullah s.a.w menghadapkan diri ke kiblat dan bersujud menyembah Allah s.w.t dalam esakkan tangis. Sesekali dengan lirih perlahan beliau berdoa membisikkan kata-kata “Ummati ya Rabb… Ummati… Ummati…”. Beliau s.a.w tidak mengangkat kepalanya dalam keadaan seperti itu selama tiga hari tiga malam kecuali setiap Bilal bin Rabah mengumandangkan adzan maka baginda bangkit untuk menjadi imam dan setelahnya kembali bersujud. Pada hari ketiga, sahabat Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a menyadari hal ini. Sayyidina Abu Bakar kemudian mendatangi dan mengetuk pintu rumah baginda dan mengucapkan salam tiga kali, “Assalamu’alaikum ya ahla baiti rahmah. Apakah dapat bertemu dengan Rasulullah s.a.w?”

Namun tidak ada jawaban. Sayyidina Abu Bakar Ash-Shiddiq r.a lalu menangis dan melangkah pulang. Di tengah jalan beliau bertemu Sayyidina Umar bin Khattab r.a dan ditanya, "Mengapa engkau menangis wahai Abu Bakar?”. Abu Bakar kemudian menceritakan keadaan Rasulullah s.a.w. Maka Umar langsung melangkah ke rumah Nabi dan terjadilah hal yang sama. Umar pun pulang dan menangis. Di jalan beliau bertemu dengan Salman Al-Farisi r.a. Sambil teresak-esak Umar Al-Khattab r.a bercerita kepada sahabat Salman Al-Farisi r.a hingga akhirnya Salman Al-Farisi melangkah ke rumah Sayyidatina Fatimah r.a dan menceritakan hal itu.

Maka segeralah Fatimah r.a memakai baju yang panjang dan dengan setengah berlari beliau menuju rumah Rasulullah s.a.w kemudian mengetuk pintu dan mengucapkan salam sambil berkata, "Saya Fatimah, ya Rasulullah”. Mendengar suara lembut puteri tercinta sejuklah dada Rasulullah s.a.w. Baginda pun bangkit dari sujud dan membuka pintu. Ketika melihat keadaan Rasulullah s.a.w menangislah Fatimah r.a karena melihat baginda pucat dan sembam mukanya akibat banyak menangis dan sangat sedih. Lalu Fatimah r.a memeluk baginda seraya menangis, "Wahai Ayahanda, apakah gerangan yang menimpamu? Mengapa engkau begitu sedih seperti ini?".

Baginda s.a.w kembali menangis dan berkata dengan suara lirih, "Wahai Fatimah belahan jiwaku, bagaimana mungkin aku tidak bersedih, Jibril datang kepadaku menerangkan sifat-sifat neraka Jahannam dan menjelaskan bahawa bahagian yang paling atas dari semua tingkatan neraka Jahannam itu adalah untuk umatku yang berbuat dosa-dosa besar, maka itulah yang menyebabkan aku menangis dan bersedih". Keduanya pun menangis bersimbah air mata.

Lihatlah, betapa cinta dan sayangnya Rasulullah s.a.w kepada umatnya. Baginda sedemikian sedihnya begitu mendengar malaikat Jibril menerangkan sifat neraka Jahannam dan mengatakan ada umatnya yang akan masuk ke dalamnya, sampai-sampai baginda jatuh pengsan. Baginda juga menangis tiada hentinya dan sangat berduka cita hingga pucat dan sembam mukanya dikeranakan memikirkan nasib umatnya kelak yang akan dicampakkan ke dalam api neraka. Tidak cukup di situ, Rasulullah s.a.w pun langsung bersujud selama tiga hari tiga malam dan berdoa memohon kepada Allah s.w.t akan keselamatan umatnya.

Namun, di zaman akhir sekarang ini justru terjadi hal yang berkebalikan, muncul golongan atau pun kelompok yang begitu mudahnya menuduh sesat, bidaah dan kafir kepada umat Islam yakni umat Rasulullah s.a.w. Itu sama ertinya dia berbangga diri membenarkan umat Rasulullah s.a.w masuk neraka. Na’udzubillah, baginda s.a.w pastinya sangat bersedih. Allah Ya Karim.

Semoga Allah s.w.t menjadikan kita dan keluarga kita sebagai orang-orang yang mencintai Rasulullah s.a.w, mencintai keluarga baginda, mencintai para sahabat baginda, dan mencintai umat baginda sebagaimana baginda mencintai dan menyayangi umatnya dan mudah-mudahan kelak kita semua dikumpulkan bersama baginda s.a.w di surga yang penuh kenikmatan. Shollu ‘Alan Nabiy…

اَللّٰهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اَصْحَابِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اَنْصَارِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اَزْوَاجِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اَتْبَاعِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى ذُرِّيَّةِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا

(Rujukan Kitab Tanbihul Ghafilin bi Ahaditsi Sayyidil Anbiya’ wal Mursalin buah karya Abul Laits as-Samarqandi/ Imamul Huda).

No comments:

Post a Comment