Dunia merupakan transit kita sebelum kita menuju destinasi yang sebenar yakni akhirat samada syurga atau neraka. Mungkin ramai yang terlupa dan lalai mengenai tujuan sebenar kita di dunia ini. Firman Allah s.w.t: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu”. Ramai manusia zaman ini tidak mengambil berat sama ada rezeki yang diperolehinya dari jalan yang haram mahupun haram. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya harta benda itu indah dan manis, sesiapa memperolehinya dengan jalan yang benar diberkati Allah baginya dalam harta benda itu. Tetapi betapa ramai orang yang berkecimpung di dalam harta Allah dan RasulNya dengan mengikut hawa nafsunya, tidak lain baginya pada hari kiamat nanti kecuali neraka." (Riwayat al-Turmudhi, Bab Zuhud, daripada Khaulah binti Qais).
Dunia ini hanya sementara dan merupakan fitnah bagi manusia yang lalai daripada tujuan sebenar dihidupkan di muka bumi ini. Ramai yang tertipu dengan kesenangan yang sementara sehinggakan mereka tidak lagi mementingkan kehidupan yang berlandaskan syariat Islam. Sabda Nabi s.a.w.: ”Aku tidak bimbang kamu ditimpa kefakiran, akan tetapi aku amat bimbang dunia ini terbuka luas bagi kamu sebagaimana ia telah terbuka luas bagi mereka yang sebelum kamu;maka kamu akan berlumba-lumba mengejar dunia sebagaimana mereka telah mengejarnya,dan akhirnya dunia membinasakan kamu sebagaimana dunia telah membinasakan mereka.”
Ramai yang pernah mendengar Sabda Nabi s.a.w: "Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu hidup selama-lamanya dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.” Daripada hadis ini ada dua pandangan untuk difahami.
Pertama, Nabi s.a.w menyuruh kita bekerja bersungguh-sungguh kerana kita hidup selama-lamanya dan kita juga perlu beribadat bersungguh-sungguh sebagai bekalan kerana esok kita akan mati.
Kedua, kita tidak perlu bekerja mengejar dunia sehingga meninggalkan kehidupan akhirat kerana hidup masih panjang tetapi perlu beribadat bersungguh-sungguh kerana akan mati esok hari.
Daripada kedua-dua pendapat ini boleh kita simpulkan bahawa kehidupan akhirat lah yang perlu kita utamakan tetapi kita juga perlu bekerja untuk kehidupan di dunia tanpa mengabaikan kehidupan akhirat kita. Contoh yang mudah difahami adalah seperti seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan pada esok hari maka mereka akan mengulang kaji pelajaran bersungguh-sungguh pada malam tersebut sehingga tidak tidur tetapi sekiranya peperiksaan masih lambat kebanyakkan mereka tidak akan mengulang kaji pelajaran tetapi bermain game dan sebagainya. Begitu jugalah kita yang sebagai manusia yang diandaikan hidup selama-lamanya tidak perlulah kalut untuk mengumpulkan harta dunia sehingga meninggalkan kewajipan sebagai hamba Allah kerana masih banyak masa tetapi perlu beribadat bersungguh-sungguh untuk bekalan selepas mati kerana esok akan mati.
Sabda Nabi s.a.w: "Beradalah engkau di dunia ini seolah-olah engkau itu seorang dagang atau pengembara”. Dan pernah Ibn Umar r.a berkata: "Apabila engkau berada pada waktu pagi, maka janganlah engkau menantikan waktu petang, dan ambillah peluang waktu sihatmu untuk waktu sakitmu dan masa hidupmu untuk masa matimu." (Riwayat Bukhari). Hidup adalah untuk mati. Janganlah kita menghancurkan kehidupan akhirat kita yang kekal abadi dengan urusan dunia yang sementara.
"Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (3:147).
No comments:
Post a Comment