Friday, January 15, 2016

KELIRU, ADAKAH INI YANG DINAMAKAN MAKRIFATULLAH

Di atas IzinNya dan RahmatNya. Alhamdulillah syukur kita dengan segala nikmat. Sedikit perkongsian buat renungan bersama secara umum. Sempurna makrifah pada kaedah usuluddin ialah apabila seseorang itu dapat membezakan antara Qadim dan Muhaddas (Allah dan hamba). Selagi seseorang tidak dapat membezakan dirinya dengan Allah dikhuatiri dia akan mensyirikkan Allah pada sifat yang tidak layak bagi Allah. Sempurna makrifah pada kaedah fiqih ialah apabila seseorang itu mampu menetapkan hukum-hukum dalam Islam dan dengan pengetahuan itu dapat dia beramal dengan khusyuk dan tawadduk, tertib sesuai dengan syarat dan rukun dalam peribadatan. Sempurna makrifah pada perjalanan keruhanian (tasawwuf) ialah apabila seseorang mengenal Allah dengan ilmu, mata hatinya sehingga tidak terhijab baginya pandangan zahir kepada yang batin dan pandangan batin kepada yang zahir.

Mari kita merenung akan FirmanNya " Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah pada jalanNya supaya kamu mendapatkan keberuntungan. " (Al Maidah:35). Jelaslah bahawa, makrifatullah ialah matlamat utama di sebalik ubudiyah (pengabdian) kita kepada Allah s.w.t., dan ianya juga merupakan matlamat kehidupan kita seluruhnya. Tanpa makrifatullah (mengenal Allah s.w.t.), manusia sememangnya kehilangan suatu sumber kebahagiaan tertinggi dalam kehidupannya, iaitu cinta Allah s.w.t. Di dalam Agama Islam telah menggariskan beberapa laluan untuk mencapai makrifatullah, yang mana ianya terkandung dalam metodologi tarbiah Para Sufi itu sendiri. Para mursyid yang sudah mencapai darjat Arif Billah akan menjadi pembimbing-pembimbing para murid yang ikhlas, jujur, yakin, berserah diri untuk mengenal Allah s.w.t. dan seterusnya beradab di Hadrah-Nya.

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani menegaskan bahawa, jalan menuju makrifatullah ada banyak, sebanyak makhluk di alam ini. Allah s.w.t. mampu memberi Makrifatullah kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa sebarang usaha dari si hamba tersebut...Siapa yang Maha memberi petunjuk..Allah, dan " Allah mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk." (Al-Qhashash:56). Namun, Allah s.w.t. meletakkan konsep sebab-musabbab serta perumpamaan sebagai sunnatullah dalam alam ini, dan menjadikan Makrifatullah merupakan suatu harta yang paling bernilai bagi para hamba-Nya. Maka, setiap yang bernilai, perlulah bersusah-payah untuk mendapatkannya, supaya kita menghargainya..seperti firmanNya " Hai manusia, sesungguhnya kamu telah bekerja dengan sungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka pasti kamu akan menemuiNya " ( QS Al Insyiqaaq :6)

Namun, dapat diringkaskan bahawa, di antara jalan yang paling utama ialah, dengan MUJAHADAH AN-NAFS (melawan hawa nafsu) dan semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam usaha tersebut. Makrifatullah, kesedaran secara umum... fikiran dan perasaan tidak akan mampu menggambarkan ( memberikan persepsi ) atas keadaan haqikat kecuali kita mampu " memfanakan " diri dan alam semesta maka wajah Dzat yang ada. Kerana rasa dan fikiran bukanlah sebuah ukuran untuk memberikan perbandingan yang amat luas dan tak terhingga, kasih sayang Allah tidak dapat di uraikan oleh keutuhan rasa manusia.

Selama ini kita hanya mengira atau menyangka (zhan) bahwa kasih sayang dan kehebatan Allah itu mampu kita rasakan gengan IzinNya dan RahmatNya Itu hanyalah anggapan bukan keadaan yang sebenarnya. Kerana rasa manusia itu terlalu kecil untuk menggambarkan kenyataan kasih sayang Allah. Mungkin ada yang tahu dan keberangkalian juga masih ada yang belum mengerti..namun makrifat pada sifat-sifatnya sahaja bukan tujuan akhir perjalanannya, malah ia baru mencapai gerbang pertama dalam mengerti perlaksanaan Addiin yang hakiki. Pintu utama untuk mengemis pertolongan Allah s.w.t., dalam membantu diri kita dlm melawan hawa nafsu ialah, penyerahan, merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t., serta jujur dalam menginginkan cinta Allah s.w.t.

Sheikh Al-Habib Ali mengatakan bahawa, jalan pintas untuk mendapat Futuhat (pembukaan hati untuk menghirup Makrifatullah  ialah kejujuran kita di hadapan Allah s.w.t. Ingatlah wahai saudara dan sahabatku, bahawa kejujuran dan merasa rendah diri (hati) kita di hadapan Allah s.w.t. merupakan muqaddimah terbaik dalam mencapai redha Allah s.w.t., di samping membuktikan kejujuran kita dengan melawan hawa nafsu dengan berpegang teguh kepada syariat yang sedia ada. Orang yang bermujahadah pada jalan Allah s.w.t dengan cara menuntut ilmu, mengamalkan ilmu yang dituntut, memperbanyakkan ibadat, berzikir, menyucikan hati, maka di atas IzinNya dan RahmatNya memberi petunjuk dan menunjukkan jalan dengan memberikan taufik dan hidayat sehingga terbuka kepadanya suasana berserah diri kepada Allah s.w.t tanpa ragu-ragu dan reda dengan segala keputusan Allah s.w.t.

Dia dibawa hampir dengan pintu gerbang makrifat dan hanya Allah s.w.t sahaja yang menentukan apakah orang tadi akan dibawa ke Hadrat-Nya ataupun tidak, dikurniakan makrifat ataupun tidak. “Dia lah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah lah tentera langit dan bumi (malaikat-malaikat, binatang-binatang, angin taufan dan sebagainya) dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.“ (Surah Al-Fath: Ayat 4). Kita di sini sebenarnya mahu berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu pengetahuan yang ada mudahan mendapat keredhaanNya. Dalam perjalanan ini, pastinya kita menemui dgn tingkatan-tingkatan ilmiah dalam beberapa kategori seperti:

1) Mubtadi (masih baru dan segar dalam berusaha mempelajarinya),

2) Mutawassit (golongan pertengahan dalam berilmu dan beramal), dan

3) Muntahi (peningkatan dari golongan pertengahan)... begitu juga dengan ribuan rujukan kitab-kitab, buku, risalah sama seperti kategori yang tiga itu.

Supaya tidak menjadi keliru lagi, InsyaAllah hari ini, hari depan dan sampai akhir hayat mengerti makrifatullah itu sebenarnya termaktub di dalam" Aqidah Tauhid " yang mana wajib datangnya dari Wahyu Ilahi ( Al-Quran ) dan Sunnahnya. Kebanyakkan kita terlupa, tertinggal dgn sejarah penerimaan pengajaran para-para Nabi, perintis dahulu daripada kita, para-para Imam, orang orang alim, guru dan sebagainyanya, mereka ini menerima kefahaman terlebih dahulu baru mengerti, kesedaran... lantas membicarakan sesebuah ilmu itu khususnya dalam pengertian dan bukan sekadar istilahnya (makrifat).

Kefahaman, pengertian dan kesedaran ini adalah sebuah fenomena yang kukuh, unik dan sederhana. Selama ini konsep kebanyakkan kita sudah menjadi terbalik !! Hari ini kita belajar sebuah " pengertian dan kesedaran " hanya dari definasi, uraian, penjelasan tanpa melalui pengalaman..jauh perjalanan luas pengetahuan dan pengalaman. Akhirnya kita tetap juga tidak mengerti..mahu meneroka dan berjalan di alam diri..?? atau alam dunia ini?

Harapan buat diri ini dan kalian semua..agar menjadi kita manusia yang sentiasa bersyukur seterusnya dan tidak berhenti di pertengahan mahupun persimpangan jalan dalam usaha yang bersungguh-sungguh dan yakin dengan kesempurnaan yakin bagi mencari dan mendekati serta makrifatullah. Inilah yg di maksudkan naluri beragamanya kita..Sebaik-baik kejadianNya, kelebihan dan kelemahan diciptaNya, tetap dalam keadilanNya. FirmanNya " Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman sangat besar cintanya kepada Allah."( Al Baqarah : 165 )

Makrifatullah..di atas IzinNya dan RahmatNya, jadilah insan dalam apa jua keadaan dan masa... sentiasa mentaqdiskan dan memuliakan Penciptanya. Sekiranya kita perhatikan dalam sebuah aliran Agama (teologi), sebenarnya mereka mengajarkan sesuatu yang benar, namun kebenarannya tersebut di lihat dari satu sisi. Aliran Orang fiqih berada dlm kebenaran hukum positif yang berpandukan pada Al Quran dan Hadith, Aliran orang Tasawuf juga berada di dalam kebenaran ruhani yang berdalilkan Al Quran dan juga Hadith, bahasa-bahasa yang di ungkapkan bahasa rasa (zauqi) yang mungkin tidak di fahami dan mengerti oleh kaum Fiqh. Namun kita tidak mampu berbicara sekaligus dalam satu dimensi, akan tetapi harus kita melihat dan mengamati dalam satu sisi dengan sempurna, bukan malah diadu ataupun berbalah untuk menentukan pihak mana yang paling benar.

Kesimpulannya atas pemerhatian apabila berbeza pada wilayahnya tidak perlu di pertentangkan kerana ia mempunyai tugas yang saling mendukung dan saling membenarkan. Akan tetapi perlu diingatkan, ia juga menjadi pemicu terbentuknya sebuah aliran rasionalis dan spiritualis, membias menjadi pertentangan yang tidak pernah kunjung ketemu hujungnya. Firman Allah SWT " Katakanlah " Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-ngadakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui". (QS Al A'raaf: 33). Bersyukur dengan apa yang ada walaupun sebenarnya tak ada punya apa apa. WAllahu’alam.

No comments:

Post a Comment