Dalam satu hadis Rasulullah saw yang bermaksud: "Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi sesaorang hambaNya, maka Dia akan memberi hambaNya itu kefahaman dalam agama dan memperlihatkan kepadanya cacat cela dirinya.” Kefahaman dalam agama merupakan satu jalan atau sarana untuk mencapai jiwa yang bermakrifah pada Allah SWT. Apabila hati insan mengenali Tuhannya, maka dia akan dapat mengenali segala sesuatu. Bahkan dengan pengenalan makrifah kepada Allah SWT ini, maka sohehlah ibadahnya dan dia dapat membebaskan diri dari perhambaan pada yang selain dari Allah SWT. Apabila kita mengutamakan yang lain selain ini, maka tiada kesejahteraan dan kebahagiaan sebenar dalam hidup ini.
Jiwa yang tidak ada makrifah dengan Allah, akan lebih senang mengutamakan nafsu dari agamanya, mengutamakan makhluk dari Khaliq dan mengutamakan dunia dari akhirat! Apabila jiwa terhalang dari Allah, maka tidak akan diperkenankan permintaan kita kepadaNya. Suatu permintaan padaNya akan di makbulkan setelah kita beramal dengan segala suruhanNya dan menjauhi laranganNya.
Jadikanlah dunia ini sebagai ladang akhirat untuk kita bercucuk tanam...iaitu tanamilah ladangmu dengan hati dan jasadmu dengan benih iman padaNya. Kemudian siramilah dan jagai dengan baik melalui amal kebaikan. Jika hati itu lembut, lunak, punyai perasaan belas ihsan dan kasih sayang, maka pokok keimanan akan tumbuh subur didalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kasar dan kejam, hati itu umpama tanah gersang yang tandus, masakan boleh tumbuh pohon iman didalamnya!
Janganlah terlalu sibukkan diri memburu dunia, kerana orang yang memburu dunia tidak akan memperoleh kejayaan bersama akhirat. Sebaliknya burulah akhirat dan tinggalkan kecintaan pada dunia kerana apabila perkara ini benar-benar dilaksanakan, akan datang kepadamu dunia, akhirat, semua keuntungan dan manusia dimana semuanya akan tunduk padamu. Ikutilah fawa ulama yang mengatakan: "Turutilah kehendak Allah di dalam hak makhlukNya dan janganlah kamu mengikuti kemahuan makhluk dalam hak Allah.”
Renungilah hadis Qudsi ini yang bermaksud: "Apabila kamu taat pada Ku, maka Aku redha. Jika Aku redha, Aku akan memberkatimu. Sedangkan berkatKu itu tidak akan pernah habis. Sebaliknya jika kamu derhaka kepadaKu, maka Aku akan murka. Jika Aku murka, maka Aku akan mengutukmu, sedangkan kutukanKu itu sampai kepada keturunanmu yang ketujuh." Perlunya kita beramal dengan ikhlas dan sibukkan dirimu dengan Allah dan tinggalkan kesibukan yang tidak bermanfaat bagimu. KawAllah hawa nafsu sehingga mampu menundukkannnya, memaksakannya dan menjadikan ia patuh padamu sehingga mampu mengharungi dunia yang tandus, gersang banyak dugaan menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi.
Janganlah kamu berharap dan takut pada makhluk Allah kerana ini menunjukkan betapa lemahnya imanmu. Perlunya istiqamah dalam cita-cita sehingga memperoleh hasilnya yang diiringi dengan kesungguhan dan keikhlasan. Kesungguhan dalam berusaha mengejar cita-cita sangat perlu kerana sesuatu itu tidak akan datang begitu sahaja tanpa usaha. Memperbaiki hati itu hanya dapat dilakukan dengan takwa, tawakkal, mengesakanNya dan berlaku ikhlas padaNya dalam setiap amal. Jika kamu mengharapkan agar Allah SWT memandangmu, maka sibukkan diri dengan melakukan ketaatan padaNya, bersabar bersamaNya dan redha dengan semua ketentuanNya.
Nasihatilah dirimu sendiri sebelum menasihati orang lain. Adalah sangat penting kamu melawan kehendak nafsumu dan janganlah berlebih-lebihan dalam menasihati orang lain sedangkan dalam dirimu masih bersemayam sesuatu yang perlu diperbaiki. Maka celakalah sebenarnya jika kita hanya tahu membersihkan diri orang lain sedangkan kita buta dengan keburukan kita. (Rujukan: Wasiat dan Nasihat Kerohanian, Syeikh Abdul Kadir Al Jilani).
No comments:
Post a Comment