Mungkin ramai yang belum maklum tentang kerajaan Melayu Buton yang terletak di tenggara Sulawesi ini. Buton adalah sebuah pulau yang terletak di sebelah tenggara Pulau Sulawesi. Pulau Buton pernah tercatat sebagai sebuah kerajaan di dalam naskah Nagarakretagama karya Prapanca pada Tahun 1365 Masehi dengan menyebut Buton atau Butuni sebagai Negeri Keresian atau tempat tinggal para resi dimana terbentang taman dan didirikan lingga serta saluran air. Rajanya dipanggil sebagai Yang Mulia Mahaguru. Patih Gajah Mada dalam Sumpah Palapanya juga ada, menyebut nama Pulau ini.
Dipercayai kerajaan ini diasaskan oleh kelompok kaum bangsawan atau golongan elit dari luar yang digelar Mia Patamiana (si empat orang) yaitu Sipanjonga, Simalui, Sitamanajo, Sijawangkati yang dari sumber lisannya mereka dikatakan berasal dari Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke 13. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa ada dikalangan orang besar tersebut adalah dari kerajaan Majapahit dan juga dari China selain Sriwijaya atau Semenanjung. Pengaruh Melayu yang ketara di Buton dapat dikesan dengan penggunaan bahasa Melayu yang meluas terutama bahasa Melayu yang mempunyai persamaan dengan di Semenanjung iaitu dari Melaka, Johor dan Patani selain daripada bahasa Wolio.
Para pendatang awal Melayu ini dikatakan telah membina perkampungan yang dinamakan Wolio serta membentuk sistem pemerintahan tradisional dengan menetapkan 4 Limbo (Empat Wilayah Kecil) yaitu Gundu-gundu, Barangkatopa, Peropa dan Baluwu yang masing-masing wilayah dipimpin oleh seorang Bonto yang lebih dikenali dengan Patalimbona. Selain empat Limbo yang disebutkan di atas, terdapat juga beberapa kerajaan kecil seperti Tobe-tobe, Kamaru, Wabula, Todanga dan Batauga. Maka atas usaha dan inisiatif Patalimbona, kerajaan-kerajaan tersebut kemudian bergabung dan membentuk kerajaan baru iaitu kerajaan Buton dan menetapkan Wa Kaa Kaa (seorang perempuan yang bersuamikan Si Batara seorang yang berketurunan bangsawan Kerajaan Majapahit) menjadi Ratu I pada tahun 1332 .
Sistem pemerintahan Buton tidak serupa dengan konsep kekuasaan di kerajaan-kerajaan lain di Nusantara. Struktur kekuasaan raja ditopang oleh dua golongan bangsawan: golongan Kaomu dan Walaka. Kuasa pemilihan Sultan berada di tangan golongan Walaka yang terdiri daripada Bonto atau Patalimbon tadi, namun yang menjadi Sultan harus dari golongan Kaomu. Jadi boleh dikatakan bahawa seorang raja dipilih bukan berdasarkan keturunan, tetapi berdasarkan pilihan yang terbaik. Hal ini menunjukkan bahawa bukan sistem kerajaan Minangkabau dan Negeri Sembilan sahaja yang bersifat demokratik, malah kerajaan Melayu Buton juga dilihat sangat demokratik dalam membentuk kerajaan.
Kelompok Walaka atau para Bonto memiliki tugas untuk mengumpulkan waris-waris terbaik untuk dilatih dan dididik sehingga calon-calon raja ini memiliki ilmu yang cukup ketika berkuasa nanti. Selain itu sistem pentadbirannya juga boleh dikatakan terkehadapan dari zamannya. Sistem pentadbiran kerajaan Buton dibahagi kepada tiga. Sara Pangka sebagai lembaga eksekutif, Sara Gau sebagai lembaga legislatif, dan Sara Bhitara sebagai lembaga judikatif. Hal ini menunjukkan bahawa sistem ini sudah muncul seratus tahun sebelum Montesquieu mencetuskan konsep TRIAS POLITICA.
Dalam Sejarah Buton telah tercatat dua fasa penting iaitu masa Pemerintahan Kerajaan sejak tahun 1332 hingga pertengahan abad ke 16 dengan diperintah oleh 6 orang raja diantaranya 2 orang raja perempuan yaitu Wa Kaa Kaa dan Bulawambona. Kedua-dua raja perempuan ini membuktikan bahawa sejak dahulu lagi darjat kaum Hawa sudah mendapat tempat yang istimewa dalam masyarakat Melayu Buton. Fasa kedua pula adalah semasa Pemerintahan Kesultanan sejak masuknya Islam ke Kerajaan Buton pada tahun 948 Hijriah (1542 M) iaitu zaman pemerintahan Laki La Ponto sebagai Sultan Buton I dengan Gelaran Sultan Murhum Kaimuddin Khalifatul Khamis hingga zaman pemerintahan Muhammad Falihi Kaimuddin sebagai Sultan Buton ke 38 yang berakhir pada tahun 1960.
Sejarah umum menyatakan, bahawa Kerajaan Bone di Sulawesi lebih awal menerima Islam yang dibawa oleh Datuk Ri Bandang yang berasal dari Minangkabau sekitar tahun 1605M. Sebenarnya Sayid Jamaluddin al-Kubra lebih dulu sampai di Pulau Buton, iaitu pada tahun 815 H/1412 M. Ulama tersebut diundang oleh Raja Mulae Sangia i-Gola dan baginda terus memeluk Islam. Lebih kurang seratus tahun kemudian, Syeikh Abdul Wahid bin Syarif Sulaiman al-Fathani yang dikatakan datang dari Johor pula telah datang berdakwah. Baginda berhasil mengIslamkan Raja Buton yang ke-6 sekitar tahun 948 H/ 1538 M. Selain pendapat yang menyebut bahawa Islam datang dari Johor, ada juga pendapat yang menyebut bahawa Islam datang ke Buton dari Ternate.
Tambahan lagi, apa yang unik tentang bidang kehakiman masyarakat Melayu Buton ialah, hukuman yang dilaksanakan adalah sangat tegas dan tidak membezakan diantara pemerintah mahupun rakyat. Hal ini dapat dilihat daripada 38 orang Sultan yang memerintah Buton, ada 12 orang Sultan yang menyalahgunakan kekuasaan dan melanggar sumpah kerajaan, akibatnya mereka telah dihukum. Salah seorang daripadanya iaitu Sultan ke VIII yakni Sultan Mardan Ali, yang telah dijatuhkan hukuman mati dengan cara leher dililit dengan tali hingga meninggal yang dalam bahasa wolio dikenali dengan istilah digogoli.
Selain itu kerajaan Buton juga terkenal dengan binaan kubu pertahanannya. Antara yang terkenal ialah Benteng Keraton Buton yang dibina pada abad ke-16 oleh Sultan Buton III bernama La Sangaji Sultan Kaimuddin (1591-1596). Pada masa pemerintahan Sultan Buton IV yang bernama La Elangi atau Sultan Dayanu Ikhsanuddin, benteng berupa longgokan batu tersebut diperkukuh dan diperbesarkan. Benteng ini memiliki 12 pintu gerbang yang disebut Lawa dan 16 lubang meriam yang mereka sebut Baluara. Kerana letaknya di puncak bukit yang cukup tinggi dengan lereng yang cukup curam, membolehkan ianya dijadikan tempat pertahanan terbaik.
Kerajaan ini bertahan sehingga 600 tahun namun setelah kematian Sultannya yang terakhir, Kesultanan ini sudah tidak wujud dan menjadi sebahagian daripada wilayah Republik Indonesia. Daripada penulisan ini jelas bahawa bangsa Melayu Nusantara ini sebenarya adalah sangat bijak dan hebat dalam ilmu pentadbiran. Kita boleh lihat kebijakan ini dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Buton dan tidak lupa juga Kerajaan Negeri Sembilan di Semenanjung yang boleh dikatakan sebagai kerajaan Melayu yang mengamalkan sistem demokrasi dalam pentadbiran negeri dan pemilihan pemerintah.
Sumber:
1). Mengenal Kerajaan-Kerajaan Nusantara, Deni Prasetyo, 2009.
2). Kerajaan tradisional Sulawesi Tenggara: Kesultanan Buton, Susanto Zuhdi, G. A., Departmen Pendidikan dan Kebudayaan RI, 1996.
No comments:
Post a Comment