Tuesday, February 2, 2010

MELAYU MALAYSIA ATAU MELAYU INDONESIA?

Hari ini saya ingin memperkatakan mengenai isu lama yang saya rasa masih belum selesai dan masih ramai yang keliru dan tidak faham iaitu isu siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan bangsa Melayu sama ada di Malaysia atau di Indonesia menurut pandangan saya. Ada sesetengah individu yang tidak puas hati dengan saya kerana katanya saya menyudutkan suku-suku Nusantara yang lain sebagai Melayu di dalam penulisan saya, malah ada yang mengatakan saya sengaja memalsukan sejarah suku lain untuk menaikkan nama Melayu!

Sebenarnya Malaysia mahupun Indonesia bukanlah sebuah bangsa, walaupun ada usaha untuk memalaysiakan seluruh bangsa yang wujud di negara ini, namun hakikatnya bangsa itu adalah berbeza dari Negara. Sesiapa sahaja yang bernaung dibawah negara disebut sebagai Nasionality atau warganegara. Tidak tepat rasanya bila disebut sebagai bangsa Indonesia atau bangsa Malaysia bagi pendapat saya. Bangsa atau ras merupakan satu garis keturunan dengan ciri fizikal dan genetik yang sama dan berasal dari satu daerah yang sama dan mempunyai budaya dan bahasa yang sama lalu dikelompokkan lagi menjadi ratusan suku sakat. Negara pula adalah teritorial. Tidak ada satupun negara didunia ini bertahan ribuan tahun. Yang ada dan bertahan beribu tahun adalah bangsa yang sama membuat teritori atau negara baru silih berganti.


Sebuah negara atau kerajaan boleh berpecah beribu kali. Namun sesebuah bangsa tetap sama dan tidak berubah. Anda boleh menukar kewarganegaraan sebanyak seribu kali pun, namun ciri-ciri fizikal dan genetik anda tidak akan berubah menjadi ciri bangsa lain, misalnya kalau anda berpindah menjadi warganegara Amerika, mati hidup semula pun, kulit anda tidak akan bertukar menjadi seperti seperti Tom cruise atau Brad Pitt.  Walaupun anda berkahwin dengan bangsa lain, secara automatik anak anda akan membawa percampuran genetik. Biasanya anak anda akan kelihatan mempunyai unsur percampuran kedua-dua bangsa. Dalam erti kata lain, bangsa adalah ciptaan Tuhan, manakala Negara dan kewarganegaraan adalah ciptaan manusia.


Jadi apakah nama bangsa besar kita di Asia Tenggara ini? Kita sebenarnya  dikelompokkan sebagai The "Malay Race" atau Ras Melayu dengan ciri fizikal yang sama dan berasal dari daerah atau kawasan yang sama. Bangsa Melayu meliputi seluruh kepulauan Indonesia dan Semenanjung kecuali Melanesia di Papua dan Ambon yang merupakan percampuran dengan suku Melanesia. Ras Melayu merupakan penghuni atau peribumi di Semenanjung Malaysia, Singapura, Borneo termasuk Brunei, Sebahagian Vietnam, sebahagian Kemboja dan di selatan Thailand.


Mengapa disebutkan sebagai sebahagian dari Kemboja, Vietnam dan hanya Selatan Thailand? Mengapa tidak disebut Asia Tenggara secara keseluruhan? Kerana wilayah orang Melayu yang pernah wujud di Thailand dari Pattani hingga ke Ayuthia telah ditakluki oleh bangsa Tai. Kerajaan-kerajaan Melayu di Kamboja serta Vietnam telah jatuh ketangan bangsa Khmer dan Viet. Ingat!! sejarah selalunya adalah milik pemenang. Malangnya di tempat-tempat ini orang Melayu telah kalah dengan teruknya dan berhijrah ke selatan ataupun berasimilasi dengan bangsa yang menjajah mereka.


Bangsa ini juga mempunyai ratusan suku, bahasa serta dialek. Bahasa kelompok Ras ini digolongkan kedalam kelompok Astronesian Language. Kemudian dikelompokkan lagi menjadi lebih kecil sesuai dengan kemiripan bahasa serta budaya. Kalau dikembangkan lagi, Orang  Austronesia ini termasuklah orang orang  Hawaii, Madagaskar dan banyak lagi. Perbezaan bahasa serta loghat diantara ras Melayu itu adalah wajar dan perkara biasa. Sesebuah kampung yang berbeza jarak 10 km pun boleh berbeza loghat serta beberapa sebutan.


Jika di Timur Tengah ada Tanah Arab, Asia Tengah ada Tanah Cina, Asia Tenggara pula disebut sebagai "Malay Archipelago”. Mengapa bangsa kita disebut sebagai Malay race? Dan mengapa pula kepulauan Asia Tenggara ini disebut sebagai "Kepulauan Melayu"? Mengapa tidak disebut sebagai bangsa Jawa dan kepulauan Jawa atau kepulauan Minang atau kepulauan Bugis? Tolong jangan salahkan suku-suku  cabang Melayu ye! Kami tak mintak pun nama ras kami diagungkan sebegitu rupa, dah orang memberi kami menerima la. Sebenarnya para Sejarawan, Arkeologis dan, Anthropologis lah yang memberikan nama keramat tersebut. Namun ini bukan bermakna sebelum para sejarawan dan pengkaji ini menamakan wilayah ini sebagai kepulauan Melayu bermakna bangsa yang bernama Melayu itu tidak wujud.  Sebenarnya nama Melayu itu sendiri diambil oleh mereka dari catatan-catatan sejarah yang telah wujud sejak beribu tahun dahulu. Malah kerajaan bernama Malayu pernah wujud di Sumatera semasa Eropah masih di zaman gelap.


Nama “Malay Race” tersebut juga diberikan oleh mereka atas alasan yang kuat. Jauh sebelum wujudnya kerajaan Jawa Majapahit di Pulau Jawa, Raja-raja yang menggelarkan diri mereka sebagai orang Melayu telah wujud sejak abad pertama masihi. Melayu itu dinamik, patah tumbuh hilang berganti, wujud di satu negeri, lalu jatuh dan muncul pula di negeri yang lain. Sebab itu adanya pantun, kalau roboh kota Melaka papan di Jawa didirikan dan pepatah dari Hang Tuah “Takkan Melayu hilang di dunia”. Kalau kita lihat peta, Malay Peninsula meliputi negara-negara seperti Singapura, Semenanjung Malaysia hingga ke perbatasan Burma. Tetapi mengapa disebut Semenanjung Melayu pula? Kerana di sepanjang Semenanjung ini pernah bertaburan kerajaan-kerajaan Melayu baik kecil mahupun besar. Misalnya Temasek, Johor, Melaka, Kedah Tua, Pahang, Langkasuka, Pattani , Champa, Chihtu, Grahi, Gangga Negara dan banyak lagi.


Oleh kerana itu selepas ini saya berharap agar tiada lagi yang mempesoalkan penulisan saya jika saya menulis mengenai  suku-suku Nusantara yang lain seperti Banjar, Jawa, Minang, Bugis ataupun Aceh kerana bagi saya mereka semua itu adalah dari Ras yang sama iaitu Ras Melayu dalam erti kata yang lebih luas dan bukan sekadar satu suku yang wujud di daerah tertentu sahaja. Tujuan saya bukan untuk menyudutkan mana-mana suku samaada dari Indonesia mahupun Malaysia tetapi sekadar mahu berkongsi dan mengembangkan ilmu sekelumit yang saya ada. Malahan saya sendiri mempunyai darah keturunan campuran diantara suku-suku Ras Melayu seperti Banjar, Bugis, Pattani dan Aceh. Oleh itu saya juga berhak untuk menulis mengenai sejarah suku-suku rumpun ini untuk tatapan bersama.



No comments:

Post a Comment