YA SYEIKH, sudah kau pecahkan gelasku, sarbatku tumpah
membasahi khirqah, yang pernah kau kurniakan
di hari pertama aku menjadi muridmu, telapak tanganku
yang penuh debu ini, segera menakung titis-titis sarbat
bagaikan hujan tiba-tiba turun , menerokai wadi Sahara
sedang aku ingin terus meminumnya , tanpa akhir
ah, ke manakah lagi akan kauhela si murid pemabuk ini
bila di atas langit sana, bukan lagi cakerawala yang berputar
tatkala kau meniup seruling itu dan mengeluarkan irama yang merdu
tapi yang asyik dilihatnya, ungkapan yang keluar menari-nari
kini menjadi sajak-sajak cinta, kepada dunia yang fana
“cukuplah Dia bagiku! cukuplah Dia bagiku!”
Ya Syeikh… Dia telah memberikan kita minum
dengan sarbat ini menyebabkan dunia tertunduk
bagaikan perawan malu lari menyembunyikan diri
apa yang kubimbangkan telah pun berlalu
jalan pancaindera ini tak lagi jadi penghalang
Yang Ghaib telah tersingkap, sungguh tak ada yang menyertaiNya
walau Dia adalah hakikat segala yang lain
Ya Syeikh… Dia telah menjamu kita
dengan hidangan sarbat yang beragam
yang menguasai ribuan anak sungai pemikiran
semua rasa mabuk itu tidak sama
berbanding mabuk keranaNya
siapa yang mencari Dia
Dia telah membuat mereka mabuk seperti majnun
namun yang dipilihNya tanpa usaha mencariNya
Dia memberikan minuman sarbat terbaik
dalam bentuk-bentuk cawan yang memancarkan
cahaya keunggulan matahari mengungkap diri
Dia telah memberikan kita nama yang berbeda-beda
tapi kita adalah dari Yang Satu
yang tak memerlukan siapa pun jua
Ya Syeikh… tak ada hijab, tak ada tirai
hanya tajalliNya, hanya kita yang terus mabuk oleh rasa sarbatNya
karya H.B. Johar, Kumpulan Puisi PASAR DIRI, PENERIMA HADIAH SASTERA MASTERA (MAJLIS SASTERA ASIA TENGGARA) 2016
No comments:
Post a Comment