Apabila kita katakan adalah dibenarkan memohon syafa`at daripada Nabi SAW, ini tidak menafikan kepercayaan kita dengan keyakinan yang kuat dan lazim, tanpa syak dan ragu bahawa asal sesuatu pertolongan, permohonan, doa dan permintaan itu hanyalah kepada Allah SWT. Pada hakikatnya, Dialah Maha Penolong, Maha Pembantu dan Mengkabulkan sesuatu permintaan.
Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT, “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah; yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu). Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia.”(Yunus: 106-107)
FirmanNya lagi: “Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak dapat menyahut atau memberikan sebarang pertolongan kepadanya (dari dunia) hinggalah hari Kiamat.”(Al-Ahqaf: 5).
Jadi, segala bentuk ibadah semestinya ditujukan kepada Allah sahaja. Tidak harus sesuatu ibadah itu ditujukan kepada selain Allah SWT, dalam apa jua bentuk sekalipun. Maka tidak ada nazar yang boleh dibuat kecuali kerana Allah; tidak ada doa yang dipanjatkan kecuali kepada Allah; tidak ada sembelihan yang dilakukan kecuali untukNya; tidak boleh memohon pertolongan dan perlindungan kecuali kepadaNya; tidak ada sumpah kecuali atas namaNya; dan tidak boleh bertawakkal atau berserah diri, kecuali kepada Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi daripada apa yang disifatkan oleh orang-orang yang mensyirikkanNya.
Kita mempercayai bahawa Allah adalah Pencipta semua hambaNya dan segala perbuatan mereka. Tidak ada satu makhluk pun selain Allah; baik yang masih hidup, mahupun yang telah mati, yang mempunyai pengaruh dan kesan dalam penciptaan tersebut. Tidak ada seorang makhluk pun yang dapat bersama Allah melakukan sesuatu, atau meninggalkannya, atau memberi rezeki, menghidupkan, atau mematikan. Tidak ada satu makhluk pun yang mempunyai kekuasaan untuk melakukan sesuatu, atau meninggalkannya dengan sendiri dan terasing; tanpa pertolongan dan kekuatan daripada Allah, atau berkongsi kekuatan dengan Allah atau lebih rendah daripada itu.
Maka Pengurus dan Pentadbir sebenar di dalam alam ini hanyalah Allah SWT. Tidak ada satu makhluk pun yang memiliki dan menguasai walau sedikit kecuali jika Allah memberikan milik dan kekuasaan itu kepadanya dan memberikan keizinan kepadanya untuk menguruskannya. Tidak ada seorang manusia pun yang mampu memiliki suatu manfa’at atau mudharat untuk dirinya, apatah lagi untuk orang lain, begitu juga untuk mematikan dan menghidupkan atau membangkitkan, kecuali atas apa yang dikehendaki oleh Allah mengikut keizinanNya.
Justeru, kemampuan memberikan manfaat atau menolak kemudharatan, semuanya itu dibatasi dengan had ini dan diikat dengan ikatan ini (kehendak dan izin daripada Allah). Penisbahan atau penyandarannya kepada makhluk, hanyalah sebagai tasabbub (penyebab) dan takassub (pengusaha). Bukannya sebagai pencipta atau yang mengadakan, atau yang mempunyai kesan, atau sebab, atau kekuatan. Penisbahan atau penyandaran ini pada hakikatnya hanyalah penyandaran atau penisbahan majazi (simbolik), atau kiasan belaka, bukan menurut hakikatnya.
Namun demikian, manusia berbeza-beza cara dalam mengungkapkan hakikat perkara ini. Ada di antara mereka yang keterluan menggunakan dan menggambarkan ungkapan majazi sehingga terjerumus ke dalam kesamaran lafaz. Namun, ia berlepas diri daripada lafaz yang samar-samar dan tidak jelas maksudnya itu dan hatinya juga bersih serta berpegang atas tauhid yang sempurna dan menyucikan Allah daripada segala sifat yang tidak layak bagiNya.
Ada pula di antara mereka yang berpegang teguh dengan hakikat lafaz secara berlebihan dari had sederhana. Maka dengan ini, sampai menyusahkan, membingungkan dan mengusutkan pemikiran orang lain untuk mengikut mereka. Bahkan, mereka membawa orang lain kepada maksud yang tidak sebenarnya dan memaksa mereka melakukan sesuatu yang tidak dingininya. Lebih teruk lagi, mereka menghukum orang lain dengan suatu hukum yang tidak benar, sedangkan mereka membebaskan diri dari perkara tersebut. Sepatutnya, mereka ini mengambil sikap pertengahan, bukan sikap yang ekstrim seperti itu. Maka sikap seperti ini lebih menyelamatkan agama dan lebih berhati-hati dalam menjaga kedudukan tauhid. WAllahu a’lam.
Ibnu Taimiyyah telah menyebutkan suatu ringkasan yang sangat berfaedah dalam menjelaskan tentang hak khusus bagi Allah SWT. Apa yang dikatakannya itulah yang kita percayai kerana aqidah kita mengikut keyakinan ahli salaf terdahulu, dengan kurniaan Allah, dan tariqat kita juga adalah tariqat yang digariskan oleh Nabi Muhammad SAW.
Berikut adalah kata-kata Ibnu Taimiyyah: Allah itu mempunyai hak, yang tidak dikongsi bersama dengan satu makhluk pun. Maka tidak ada ibadah kecuali dipersembahkan kepadaNya; tidak berdoa kecuali dipohonkan kepadaNya; tidak boleh bertawakkal kecuali hanya kepadaNya; tidak boleh berharap kecuali hanya kepadaNya; tidak boleh merasa takut kecuali hanya kepadaNya; tidak ada tempat berlindung dan bersandar daripada (kemurkaan)Nya kecuali kepadaNya; tidak ada yang mendatangkan kebaikan melainkan Dia; tidak ada yang menghapuskan kejahatan kecuali hanya Dia; dan tidak ada daya menghindari maksiat dan kekuatan melakukan ketaatan, kecuali dengan pertolonganNya.
Firman Allah SWT, “Dan tidak berfaedah syafa’at di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan oleh Allah.”(Saba’: 23) Allah SWT juga berfirman: “Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa’at (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.” (Al-Baqarah: 255)
Firman Allah SWT lagi, “Tidak ada sesiapa pun di langit dan di bumi melainkan dia akan datang kepada al-Rahman (Allah) sebagai hamba. Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka (dengan pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu. Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari Kiamat dengan seorang diri.” (Maryam: 93-95)
Firman Allah SWT : “Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.” (Al-Nur: 52). Dalam ayat-ayat di atas disebutkan, bahawa ketaatan semestinya dilakukan kepada Allah dan RasulNya. Manakala gerun dan taqwa pula hanya dijuruskan kepada Allah.
Begitu juga dalam ayat yang lain disebut: “Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata, “Cukuplah Allah bagi kita; Allah akan memberi kepada kita dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; sesungguhnya kita sentiasa berharap kepada Allah.” (Al-Tawbah: 59)
Maka hak memberi adalah kepunyaan Allah dan RasulNya. Adapun bertawakkal dan berharap itu hanya dibolehkan kepada Allah Yang Esa. (Al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, Jld 11 H: 98). Daripada pemerhatian Ibnu Taimiyyah ini, kita dapati bahawa walaupun ada tugas yang hanya khusus bagi Allah SWT tetapi beberapa tugas dan peranan lain turut diwakilkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW walaupuun hakikatnya tetap dilaksanakan oleh Allah SWT sendiri. Pendirian ini akan mengelakkan kita daripada terlalu cepat menyalahkan mereka yang memohon syafa’at daripada Nabi SAW lantas memecah-belahkan kesatuan umat Islam secara tidak berasas.
No comments:
Post a Comment