Merasakan Lamaujud illAllah lebih berkesan daripada mengerjakan seribu rakaat solat sunnat yang mendambakan ganjaran pahala. Rasa itulah pembuka hijab yang menerangkan ajaran sejati yang tak tertulis di dalam kitab. Akhirnya tiada lagi zikir sesudah zikir. Nama Allah pun adalah hijab yang menghijabkan si penzikir kembalikan rasa berzikir itu kepada pemilik sebenar. Selagi belum terlenyap dari zikir sedar dalam kesaksianNya dan hidup dalam penyaksianNya nama Allah itu hanyalah milik Allah sahaja bukan milik si penzikir.
Dialah yang dizikiri, dan Dialah yang berzikir memuji DiriNya sendiri
Subhani! – Maha Suci AKU!
Bagaimanakah Merasakan Lamaujud IllAllah?
Yang dimaksudkan "Lamaujud" ialah tiada wujud dan tiada maujud. Wujud dari aspek hakikat (batin) dan maujud dari aspek zahir (nyata). Ada yang dengan cara beramal dan ada dengan cara bermusyahadah.
Dengan cara beramal, seseorang itu harus tekun melakukan banyak ibadah sunnat sehingga Allah mencintainya. Dan apabila Allah telah mencintainya, maka Allah sendiri akan membukakan kepadanya pintu makrifat untuk Allah memperkenalkan DiriNYA kepada hambaNYA itu.
Tetapi dengan cara ini bukanlah mudah. Banyak orang yang berpuluh-puluh tahun beramal, tetapi masih belum juga dibukakan Allah kepadanya pintu makrifat untuk merasakan Lamaujuda IlAllah. Sebab selagi ia masih memandang dan bergantung kepada amalnya bahwa amal itu datang dari usaha perbuatannya sendiri dan bukan dari Allah dan bergantung kepada Allah semata-mata, selagi itulah masih belum terbukanya baginya pintu makrifat.
Dengan itu bukanlah bermakna ia tidak perlu lagi beramal atau melepaskan segala hukum perintah syari'at, kerana para ulamak telahpun bersepakat bahwa sesiapa yang tidak lagi menuruti syari'at dan mengambil hakikat sahaja adalah terjatuh di dalam golongan kafir zindik.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah tidak ada lagi perasaan wujud dirinya bahwa dirinya itu yang memiliki amal dan melakukan amal. Maka di situlah terbuka pintu kesedaran makrifatnya di peringkat awal bahwa dirinya hanyalah semata-mata alat bagi Allah dan menjadi tukang-NYA yang disandarkan kepadanya untuk melaksanakan amal itu, sedangkan amal itu adalah dari Allah dan milik Allah, hanya Allah yang melakukan amal itu dan ia hanya sebagai gambaran bagi af'al Allah.
Dengan demikian barulah dikurniakan kepadanya untuk merasakan Lamaujud IllAllah sebagaimana firman-NYA di dalam hadis qudsi "AKU menjadi matanya ia memandang, AKU menjadi telinganya ia mendengar, AKU menjadi lisannya ia berkata-kata, AKU menjadi tangannya ia mencapai dan AKU menjadi kakinya ia berjalan." Akan tetapi ini masih lagi di peringkat luaran makrifat, ia harus masuk ke dalam lagi sehingga ke martabat Alam Lahut - Lailaha illa ANA (Tiada yang wujud kecuali AKU).
Dengan cara bermusyahadah, seseorang itu tidak bergantung kepada amal dan hanya menjaga suasana hatinya dengan syuhud kepada Allah sahaja. Hatinya telah bersih dari segala berhala-berhala syirik seperti ujub, riak dan sum'ah dan tidak mempunyai perasaan ada wujud dirinya lagi kecuali Wujud Allah. Inilah cara para arifbillah, yang mengenal Allah dengan Allah dan bukan dengan berbanyak amal.
Musyahadah ini adalah termasuk dalam bahagian ibadah tafakur. Sepertimana dijabarkan dalam hadis, "Tafakur sesaat adalah lebih utama dari beramal 70 tahun (atau 70 ribu tahun)." Dan ada pepatah para ariffin yang mengatakan bahwa tidurnya orang arif itu adalah amal sepanjang malam orang abid. Orang abid berjalan menuju Tuhan, sedangkan orang arif terbang menuju Tuhan. Satu tarikan nafas orang arif itu adalah seribu tahun ibadahnya orang abid.
Orang yang bermusyahadah ternyata martabatnya lebih tinggi dari orang abid, kerana di dalam hati mereka tidak lagi memandang kepada yang lain kecuali Allah, yang lain itu juga bagi mereka tidak lain dari Allah dan merupakan mazhar atau bayang-bayang Allah.
Dengan syuhud mereka masuk ke dalam semua peringkat Lamaujud IllAllah seperti biji yang menyedari hakikatnya berada dalam semua bahagian pohon seperti buahnya, daunnya, batangnya, akarnya dan lain-lain. Ibadah mereka hanya memandang kepada hakikat Yang Satu dalam yang banyak, yang banyak dalam Yang Satu, sehingga Yang Satu itu dalam Yang Satu. Inilah yang dikatakan Solat Daim yaitu Solat yang berkekalan tanpa berwaktu dan bertempat. Mereka sentiasa bersolat dalam semua martabat alam, dari Alam Hahut, Alam Lahut, Alam Bahut, Alam Jabarut, Alam Malakut, Alam Nasut dalam semuanya itu ada di Alam Insan yang sempurna iaitu di dalam diri mereka sendiri yang merasakan Lamaujud IllAllah sehinggalah mereka mengenal yang sebenar-benar DIRI itu adalah ANA AL-HAQQ dan mereka tidak lagi terbendung dalam ikatan kalimah Lailaha illa kerana Lailaha illa itu masih menyebutkan yang tiada kecuali ANA sahaja.
Lamaujud IllAllah bukanlah suatu maqam.
Lumrahnya bagi setiap Sufi yang suluk dalam thareqat, akan melalui dari satu maqam ke satu maqam dan setiap maqam itu tidaklah berkekalan kerana maqam adalah suatu persinggahan, atau dengan kata lain sebagai sebuah 'stesen' (perhentian).
Lamaujud IllAllah bukanlah maqam dan semua maqam berada di bawahnya. Lamaujud IllAllah adalah menyatakan Wujud Allah atau Keberadaan Allah semata-mata pada zahir dan batin yang tampak pada makhluk-NYA sebagai mazhar-NYA.
Maqam yang tertinggi ialah MAQAM AL-MAHMUD, di sinilah perhentiannya para Nabi dan Rasul serta para Wali Allah yang Qutub.
Ada di antara orang-orang arif yang sudah mencapai Lamaujud IllAllah ini dinampakkan oleh Allah S.w.t keajaiban-keajaiban yang tertentu seperti boleh menghidupkan semula benda-benda yang mati sebagaimana Syekh Abdul Qadir al-Jilani menghidupkan semula ayam yang sudah dimasak lauk.
Ada yang boleh menghentikan atau memindahkan hujan ke tempat lain. Ada yang boleh berada di beberapa tempat dengan beberapa langkah atau memindahkan istana dalam sekelip mata seperti Asif bin Barkhiya yang mengangkut istana Balqis di depan Nabi Sulaiman a.s. sebelum pun baginda mengerlipkan sekerlip kelopak matanya, ada yang hanya melihat ke atas langit boleh menjatuhkan sekeping wang dinar dan sebagainya lagi.
Pokoknya, Lamaujud IllAllah itu bukanlah berhasil dari perantaraan dan pertolongan khadam jin atau malaikat, melainkan semua itu adalah kerana Wujud Allah semata-mata. Dan hanya Allah yang menzahirkan segala itu dari Perbendaharaan-NYA Yang Tersembunyi - Kanzun Makhfiyan! Sepertimana firman-NYA,
إِنَّمَا أَمْرُهُ إِذَا أَرَادَ شَيْئًا أَن يَقُولَ لَهُ كُن فَيَكُونُ
"Sesungguhnya keadaan kekuasaanNYA apabila DIA menghendaki adanya sesuatu, hanyalah DIA berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka jadilah ia!" (QS Yasin: 82).
No comments:
Post a Comment