Saturday, June 25, 2016

MARTABAT ILAHIYYAH DAN MARTABAT KUNIYAH

Menurut konsep Ahli Sufii, bahawa di sana terdapat dua tingkat yang amat penting untuk disedari oleh setiap ahli ilmu dan ahli hal. Lebih-lebih buat mereka yang ingin memahami atau memperkatakan (berlisan) berkenaan dengan Hakikat Tauhid atau sesuatu berkenaan dengan Makrifat. Dua tingkat yang tersebut ialah;

1. Tingkat Ketuhanan atau Martabat al-Ilahiyyah
2. Tingkat kealaman atau Martabat al-Kuniyah

Dua tingkat ini juga boleh dikatakan sebagai Perbendaharaan yang tersembunyi, dan Tingkat makhluk Tingkat alam dalam Ilmu Allah, dan Tingkat alam Kuniyah. Tingkat A'yan Saabitah dan Tingkat A'yan Khorijah Tingkat batin, dan Tingkat zhohir. Dua tingkat ini dapat pula dinyatakan sebagai Tingkat yang dapat dilihat dengan Qalbu atau mata hati, dan Tingkat yang dapat di lihat dengan mata kasar. Tingkat Ketuhanan adalah tingkat Zat Allah bersama dengan Sifat-Sifat dan Nama-Nama-Nya. Tingkat yang tiada boleh dicapai oleh akal sekelian makhluk. Ia dapat diketahui wujudnya menerusi beberapa bukti yang dapat difikirkan dengan akal, dan diterangkan dalam kitab suci. Dengan kata yang lain, bahawa di sebelah sana Tingkat Kealaman itu tidak ada lagi yang dapat diperkatakan selain daripada mempercayai Wujud-Nya Allah. Inilah batas yang dapat dicapai oleh ahli-ahli falsafah dan mutakallimun.

Tetapi Ahli Sufi yang berasa tidak puas hati dengan Makrifat Allah dalam bentuk-bentuk demikian mempertingkatkan lagi usaha Makrifat Allah dengan jalan yang lain. Bukan dengan jalan akal lagi, tetapi bahkan dengan jalan Qalbu yang memandang ke dalam. Terhadap Qalbu yang suci, Allah melahirkan dari Hadirat Sifat Ilmu-Nya, beberapa gambaran yang dapat disaksikan oleh Qalbu itu. Penglihatan menerusi Qalbu ini dinamakan "Syuhud" atau yang lebih sempurna lagi iaitu "Kasyaf". Menerusi syuhud dan kashaf ini, ahli-ahli sufi dapat mengetahui bahawa Tingkat Ketuhanan yang tiada dapat dicapai oleh akal itu, masih dapat digambarkan dengan kata-kata atau isyarat-isyarat dan dapat diperincikan lagi kepada tiga tingkat yakni Ahdiyah, Wahdah dan Wahdiyah.

Inilah asas dan dasarnya sebagaimana yang seringkali di ungkapkan oleh ahli-ahli Makrifat; Ilmu menurut pandangan ulama ialah perkataan-perkataan dan maknanya. Menurut Arifbillah, Ilmu itu ialah mengetahui Asma dan objek-objek(bentuk) yang ditunjukkan oleh Asma itu. Mengetahui dan mengenali keadaan dan pekerjaan Sifat-Sifat dan Nama-Nama-Nya Yang Qadim di samping memahami hakikat penzhohiran yang ditunjukkan oleh Sifat-Sifat dan Nama-Nama-Nya. Tidak hanya memperhalusi dan mendalami sesuatu kefahaman ilmu itu dengan pembinaan istilah-istilah yang tertentu dan tidak pula sekadar berusaha menghuraikan tasawwur ilmu mengikut definisi, pengertian dan makna-makna yang khusus, tetapi jauh melewati Keadaan dan Pekerjaan Zat Yang Maha Tinggi itu. Mereka adalah golongan yang arif, sentiasa sedar dan sensitif dengan setiap penzhohiran dan Tajalli Allah atau dengan kata lain,

Mengetahui dan Mengenali apa itu A'yan Saabitah di samping memahami apa itu A'yan Khorijah tidak hanya dengan memahami apa erti atau makna A'yan Saabitah itu dari sudut terminologi, kaitannya dengan ta'luq-ta'luq Kudrat, Iradat dan Ilmu yang menjadi bahan bicara Mutakalimun dan kaum falsafah, tetapi jauh memanjat kepada puncak maksudnya, meninjau-ninjau Keadaan dan Pekerjaan Zat Yang Maha Agung itu. Mereka ada golongan ilmu yang kaya dengan sumber-sumber asal sesuatu ilmu atau dengan kata lain. Mengetahui dan Mengenali apa itu Wahdah di samping memahami kesan-kesannya di alam Kuniyah yang hanya boleh dibicarakan dan difahami oleh mereka yang. Mengetahui dan Mengenali apa itu Martabat Tujuh di samping memahami dengan sempurna Ilmu Usuluddin atau mana-mana hamba yang diberikan Ilmu Yang Terus Dari Allah (Ilham atau Ilmu Laduni) hasil daripada pembersihan dan penyempurnaan jiwanya. Hanya dua golongan ini sahaja yang mampu dan bersedia untuk memperkatakan berkenaan A'yan Saabitah kerana mereka mempunyai "alat" untuk memahami isyarat-isyarat alam tinggi mereka yang terjelma melalui pelbagai kata-kata atau perumpamaan.

Mereka dengan penuh sedar menginsafi bahawa kata-kata atau istilah-istilah atau perumpamaan-perumpamaan atau perbandingan itu hanyalah sebagai menghampirkan faham sahaja, bukannya sebagai sesuatu yang mesti dipegangi atau disandari. Tidak lebih hanya sebagai menghampirkan faham sahaja, kerana mereka sedang memperkatakan sesuatu yang Qadim, sesuatu yang belum mencium bau wujud, sesuatu yang mujmal berhimpun, sesuatu yang maha suci daripada ibarat dan perumpamaan. Sesuatu yang berkenaan dengan erti dan makna, bukan menjejaki maksud sebenarnya. Mereka juga faham bahawa tingkat-tingkat alam yang mereka perincikan itu hanyalah pada pihak seorang hamba, bukannya pada pihak Allah, kerana Allah itu Maha Suci daripada segala tingkat atau Martabat. Tingkat-tingkat itu tidak lebih dari hanya ingin mempermudahkan kefahaman berkenaan dengan setiap batasan yang diperihalkan. Allah itu tetap Esa dengan Keesaan-Nya dan tidak sesuatupun yang boleh dijadikan analogi atau perbandingan dengan-Nya. Dia tetap bersalahan dengan sesuatu sama ada yang dikhotirkan dengan akal mahupun yang dilihat dalam kasyaf. Tidak ada Dia melainkan Dia dan tidak ada sesuatu pun yang menyerupai Zat-Nya, atau Sifat-Sifat-Nya atau Asma-Asma-Nya atau Af'aal-Afaal-Nya.

Sebab itulah mereka yang arif hanya mengehadkan perbicaraan mereka berkenaan dengan maksud alam-alam tersebut (Ahdiyah, Wahdah(A'yan Saabitah), Wahidiyah) hanya bersama-sama dengan ahli-ahlinya sahaja demi untuk menyelamatkan kebanyakan manusia daripada tersalah faham, keliru dan kebingungan yang nanti akan membinasakan mereka. Pun demikian mereka yang arif itu boleh membimbing dan menunjukki hamba-hamba yang lain dengan lisan halnya sebagaimana lisan hal sebatang pokok yang kehausan yang tidak perlu mengungkapkan sebarang kata-kata khusus untuk menunjukkan ia haus. Cukuplah dengan lisan halnya yang layu, kering dan merunduk, ramai orang faham bahawa pokok itu sedang berada dalam "keadaan" kehausan mengharapkan siraman air ke atasnya. Demikian jugalah dengan hal pokok yang berbuah dengan buah yang masak ranum, tidak perlu melaungkan apa-apa panggilan kerana orang yang celik dan cerdik pasti sekali akan faham, itulah buah yang sudah boleh dimakan oleh sesiapa sahaja yang berhajat.

Jika mereka ingin berkata, mereka hanya menghidangkan buah yang masak ranum untuk dinikmati dengan orang lain melalui ungkapan atau tulisan yang berbentuk kalam-kalam berhikmah. Ungkapan atau tulisan yang memperihalkan Keadaan dan Perkerjaan dirinya dengan lengok bahasa yang tersulam halus penuh bermakna. Satu pesanan daripada Sheikul Akhbar Ibnu Arabi yang boleh dijadikan panduan, Jika seseorang tak memiliki kepercayaan terhadap apa yang dikatakan oleh sekelompok manusia, hendaklah dia tak masuk ke dalam kelompok manusia itu, kerana kelompok yang tidak difahami adalah racun yang berbahaya. (Mawlana Asy-Sayyid Asy-Syaikh Raden Abu Hurairah Al Shufi Al Husaini)

No comments:

Post a Comment