Wednesday, January 8, 2014

10 PEMBATAL KEISLAMAN

Terdapat 10 perkara yang jika dilakukan oleh seseorang maka dia dianggap kafir dan murtad:

PERTAMA

Di antara sepuluh pembatal-pembatal keislaman adalah Syirik Akbar di dalam ibadah. Firman Allah Ta’ala, surah an-Nisa' , ayat 48:

إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan Syari`atNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar".

إِنَّ اللّهَ لاَ يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَن يَشَاء وَمَن يُشْرِكْ بِاللّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَلاً بَعِيدًا

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya”. (Surah an-Nisa' : 116)

Firman Allah Ta’ala lagi, didalam surah al-Maaidah ayat 72:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ.....

“...Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.”

Sebagai contohnya, perbuatan syirik di dalam ibadah itu adalah berdoa kepada orang-orang yang telah mati dan ber-istighatsah (memohon pertolongan) kepada mereka, bernazar serta menyembelih untuk mereka.

KEDUA

Sesiapa yang menjadikan di antara dirinya dengan Allah itu ada pentaraan (tawassul) yang mana mereka berdoa dan memohon syafa’at kepada sesuatu serta bertawakkal kepadanya (yakni kepada perkara yang dijadikan sebagai perantara tersebut ), maka dia menjadi kafir secara ijma' (kesepakatan ulama'). Dalam ertikata yang lain, Menjadikan perantaraan antara dia dengan Allah seperti berdoa kepada wali-wali untuk memohon hajat serta harapan kepada mereka. Firman Allah Azza Wa Jalla, surah Az-Zumar ayat 3:

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ

"Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya", - sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)".

KETIGA

Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang-orang musyrikin atau ragu-ragu akan kekafiran mereka atau membenarkan ajaran atau mazhab mereka maka dia telah kafir. Dalam ertikata yang lain, Tidak mengkafirkan orang yang telah dikafirkan Allah S.W.T dan Rasul-Nya seperti Yahudi, Krsitian, Hindu dan semua agama selain Islam atau syak pada kekufuran mereka atau mensahihkan aqidah mereka yang batil seperti berkata:“Semua agama sama”. Firman Allah Ta’ala, surah ali-'Imran ayat 19:

إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡيَۢا
(بَيۡنَهُمۡۗ وَمَن يَكۡفُرۡ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلۡحِسَابِ (١٩

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya".

Bahkan lebih jelas lagi Allah Ta'ala berfirman didalam surah al-Kafirun,ayat 1-6:

قُلۡ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلۡڪَـٰفِرُونَ (١) لَآ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ (٢) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٣) وَلَآ أَنَا۟ عَابِدٌ۬ مَّا عَبَدتُّمۡ ( ٤) وَلَآ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَآ أَعۡبُدُ (٥) لَكُمۡ دِينُكُمۡ وَلِىَ دِينِ (٦

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! (1) Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.(2) Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.(3) Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.(4) Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.(5) Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku".(6)

KEEMPAT

Sesiapa yang percaya atau yakin bahawa petunjuk selain petunjuk Nabi s.a.w (al-Quran dan as-Sunnah) lebih sempurna petunjuknya atau hukumnya itu lebih baik dari hukum syariat didalam Islam, seperti orang-orang yang mengutamakan hukum jahiliyah (Toghut), maka dia telah jatuh ke lembah kekafiran.

Dalam ertikata yang lain, kekafiran itu telah jatuh kepada sesiapa yang berkeyakinan bahawa sistem dan undang-undang yang dijalankan oleh manusia lebih utama dari syariat Islam atau sama kedudukannya atau bahawasanya dia meyakini tidak mengapa berhukum dengan undang-undang dicipta oleh manusia, atau sistem Islam tidak dapat memperbaiki cara hidup manusia di kurun kedua puluh ini, atau dia meyakini bahawa syariat Islam menyebabkan kaum muslimin berpecah-belah, mundur dan sebagainya. Firman Allah Azza Wa Jalla didalam surah al-Maidah, ayat ke 50:

(أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَـٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمً۬ا لِّقَوۡمٍ۬ يُوقِنُونَ (٥٠

“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?”.

KELIMA

Sesiapa yang membenci sesuatu dari apa yang datang kepada Rasul s.a.w (berupa syariat) walaupun dia mengamalkannya maka dia telah kafir (namun ada sebahagian pendapat yang mengatakan, jika dia menzahirkan hukum-hukum Islam tetapi membencinya maka dia adalah munafiq, tidak disolatkan jenazahnya dan tidak ditanam di kuburan muslimin). Dalam ertikata yang lain, membenci apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W walaupun dia beramal dengannya. Sebagaimana didalam surah Muhammad, ayat 9. Firman-Nya:

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ

“Berlakunya yang demikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah(mengenai ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-Quran), lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka" .

KEENAM

Sesiapa yang mempermainkan, mengolok-olok atau mengejek-ejek sesuatu dari agama yang dibawa oleh Rasul Shallallahu ‘alaihi wasallam, maka dia telah kafir. Dalam ertikata yang lain, seperti mengejek atau memperolokkan ajaran Islam contohnya menggelarkan wanita muslimah yang menjaga dan menutup auratnya itu seperti wanita kampungan, membuat lawak jenaka yang melampau berkaitan agama, mengatakan sunnah menyimpan janggut itu kotor atau kolot dan sebagainya. Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala:

وَلَٮِٕن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا ڪُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَہۡزِءُون
(٦٥) لَا تَعۡتَذِرُواْ قَدۡ كَفَرۡتُم بَعۡدَ إِيمَـٰنِكُمۡۚ إِن نَّعۡفُ عَن طَآٮِٕفَةٍ۬ مِّنكُمۡ نُعَذِّبۡ طَآٮِٕفَةَۢ بِأَنَّہُمۡ ڪَانُواْ مُجۡرِمِينَ ( ٦٦

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.” 

Katakanlah: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. jika kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka bertaubat), nescaya kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa ”. (Surah at-Taubah : 65-66)

KETUJUH

Sihir yang berupa As-Sharf dan Al-‘Athaf (As-Sharf ialah bentuk sihir yang bertujuan mengubah hasrat dan keinginan manusia, seperti memalingkan kecintaan seorang suami kepada isterinya, dan sebaliknya. Al-‘Atahf ialah bentuk sihir yang dapat membuat orang menjadi cenderung mencintai sesuatu dengan cara-cara syaitan.) Barangsiapa yang melakukannya atau redha terhadapnya maka dia telah kafir. Dalam ertikata yang lain, sesiapa yang mengamalkan sihir maka dia kufur terhadap Allah dan Rasul-Nya. 

Dalilnya adalah firman Allah Ta’ala didalam surah al-Baqarah, ayat 102 (maksudnya): ”Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). 

Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui ".

KELAPAN

Menolong atau membantu kaum musyrikin dalam memerangi kaum muslimin. Dalam ertikata yang lain, membantu orang-orang kafir menguasai kaum muslimin dan memerangi kaum muslim sendiri. Diantara dalilnya adalah firman Allah Ta’ala didalam surah al-Maaidah, ayat 51:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَہُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُہُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُ ۥ مِنۡہُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٥١

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka Sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang zalim” .

KESEMBILAN

Sesiapa yang meyakini bahawa sebahagian manusia diberi keluasan untuk keluar dari syariat Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam maka dia telah kafir. Dalam ertikata yang lain, beriktiqad adanya sebahagian manusia yang boleh keluar dari sempadan syariat seperti percaya jika sampai kepada maqam zikir tertentu kewajipan solat gugur daripadanya dan seumpamanya. Firman Allah Ta’ala, ali-'Imran, 85:

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi".

KESEPULUH

Berpaling dari agama Allah Azza wa Jalla, tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengannya. Dalam ertikata yang lain, mengabaikan ajaran Islam sehingga tidak mengamalkan satu pun ajarannya dan tidak langsung mahu belajar berkenaan ajaran Islam. Dalilnya adalah firman Allah Azza Wa Jalla, surah as-Sajadah ayat 22:

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ

“Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya) sesungguhnya Kami tetap membalas.”

PERHATIAN.

Seorang Muslim yang melakukan salah satu dari sepuluh perkara diatas ini akan menjadi kufur apabila:

- Dia melakukannya dalam keadaan waras atau mengetahuinya,bukannya seorang itu gila atau jahil

- Sengaja, bukan tersalah atau terpaksa.

- Dia telah diterangkan serta ditegakkan atasnya hujjah dari al-Quran dan as-Sunnah yang shahih berkaitan syariat Islam, namun tetap dengan i'tiqadnya yang menyanggahi ajaran Islam.

Oleh itu, hendaklah kita bersungguh-sungguh menghindarinya dan dijauhi melakukan kekufuran itu. Semoga Allah Subhana wa Ta'ala sentiasa melindungi kita, ahli keluarga kita dan seluruh kaum muslimin dari kekufuran tersebut melalui hati, lisan mahupun perbuatan.

Rujukan:

1- Syeikhul Islam Muhammad Bin Abdil Wahab, Nawaqidh al-Islam.
2- Al-Allamah Abdul Aziz ar-Rajihi, Asilah al-Iman wal Kufr.
3- Dr.Abdul Basit Abdul Rahman.
4- Dato' Dr.Mohd Asri Zainul Abidin, 10 perkara batal Islam dan tanda-tanda syirik
5- Majalah Al-Buhuts Al-Islamiyah, Bil ke-7, pada bulan Rajab, Sya’ban, Ramadhan dan Syawal, tahun 1403; Sila lihat Majmu’ Fatawa Ibnu Baz yang dihimpunkan oleh Muhammad bin Sa’ad Asy-Syuai’ar dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/130-133

No comments:

Post a Comment