Sunday, January 31, 2010

JAWAKA

Kali ini kita cuba untuk membincangkan sedikit sebanyak penjelasan tentang sebuah empayar yang dinamakan oleh orang orang Arab sebagai Zabag atau Zabaj. Tidak diketahui secara tepat sejak bila orang orang Arab mula mengenali sebuah kerajaan yang bernama Zabag ini. Namun demikian antara catatan terawal yang dijumpai menyebut nama Zabag adalah catatan daripada Ibnu Khordazbeh sekitar tahun 844-848 M. 

Menurut beliau pemerintah Zabag disebut sebagai Maharaja dan kekuasaanya meliputi pulau-pulau di seluruh lautan timur. Hasil negerinya adalah berupa kapur barus dan gajah banyak terdapat disana. Tambah beliau lagi, daripada catatan pengembara dikatakan bahawa di Zabag ada seekor ular besar yang tinggal di kawasan gunung yang boleh menelan kerbau mahupun manusia malahan ada diantaranya boleh menelan seekor gajah. Beliau juga ada menyatakan tentang proses pemerolehan kapur barus daripada pokoknya dari mula sampai akhir.


Pada tahun 851 Masihi pula seorang saudagar yang bernama Sulaiman telah menyebutkan tentang pelayaran beliau ke kawasan timur. Beliau menyatakan bahawa kapalnya telah berlabuh di sebuah negeri bernama Kalah Bar yang diperintah oleh seorang raja seperti halnya Zabag. Dikatakan juga di Zabag terdapat sebuah gunung berapi yang sentiasa bergelodak. Pada tahun 902 M berita tadi diulangi oleh Ibnu Al Fakeh yang menyatakan bahawa Zabag dan Kalah Bar dikuasai oleh seorang raja. Barang dagangannya terdiri daripada cengkih, buah pala, kayu cendana dan kapur barus. Rajanya disebut sebagai Maharaja dan baginda sangat kaya. Pelabuhannya yang besar salah satunya adalah Fansur atau panchur.


Daripada Ibnu Rosteh tahun 903 M pula dinyatakan bahawa Maharaja Zabag adalah Maharaja yang paling kaya malahan lebih kaya daripada mana-mana raja di seluruh India sedangkan Abu Zyad menyatakan bahawa setiap hari Maharaja melemparkan segumpal emas kedalam kolam dekat istananya. Kolam ini dikatakan berhubung dengan laut yang menyebabkan airnya menjadi payau. Menurut beliau lagi, Raja Zabag menguasai banyak pulau-pulau, antaranya Sribuza dan Rami. Kalah juga milik baginda. Al Masudi pada tahun 955M menyatakan bahawa, Maharaja Zabag menguasai banyak pulau-pulau, diantaranya ialah Kalah dan Sribuza. 


Rakyatnya banyak sedangkan tenteranya tidak terhitung dengan perahu tercepat sekalipun, orang tidak akan dapat mengelilingi pulau-pulau ini dalam masa dua tahun. Maharaja Zabag dikatakan juga mempunyai lebih banyak minyak wangi dan bahan-bahan berbau harum daripada yang dimiliki oleh raja-raja lain. Hasil daerahnya berupa kapur barus, cengkih, kayu gaharu, kayu cendana, pinang, pala, pelaga,dan lada hitam. Pelayaran dari Siraf dan Oman dikuasai laluannya oleh raja ini. Fansur menghasilkan kapur barus sedangkan Kalah dan Sribuza ada lombong emas dan timah.


Catatan Ibnu Said menyatakan bahawa kepulauan Zabag sangat mashur dikalangan para pedagang dan pulau yg terbesar sekali dalam Zabag adalah pulau Sribuza yakni Sumatera. Hal ini bermakna Zabag bukanlah berada di Sumatera. Namun yang menjadi persoalan adalah Zabag sering disebut oleh para pengembara Arab dab georafis sebagai sebuah pulau. Dan ini amat membingungkan sesetengah sarjana yang mahu meletakkan Zabag di Semenanjung atau tanah besar. Namun sebenarnya kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang diperolehi daripada catatan Arab ini. Hal ini kerana kebanyakan daripada maklumat ini adalah maklumat sekunder yang diperolehi daripada khabar berita para pedagang yang kemudian dibukukan.


Sebahagian besar sejarawan berpendapat bahawa Zabag adalah sama dengan Sriwijaya dan bukan nama sebuah kerajaan yang berbeza, sebaliknya hanyalah variasi panggilan nama kerajaan Sriwijaya dikalangan para pedagang Arab. Namun ini tidak dapat menjelaskan asal kata Zabag yang sebenar kerana ia terlalu jauh untuk disamakan dengan Sriwijaya. Malahan Sriwijaya sudah ada panggilan Arabnya sekitar kurun ke 10 iaitu Sribuza atau Syarbazah namun pada masa yang sama Zabag masih disebut oleh para pengembara Arab dan timur tengah yang lain sebagai sebuah kerajaan. Sebenarnya istilah Zabag berasal daripada kata Javaka atau Jawaka. 


Para pedagang Arab telah mendengar nama ini daripada para pedagang India yang menyebut kerajaan ini sebagai Savaka atau Savak yang sedikit berbeza dengan sebutan bahasa Sanskrit iaitu Javaka. Dijangkakan bahawa Savaka adalah sebutan dalam bahasa Prakrit. Daripada Savak ini maka terjadilah perubahan sebutan dengan lidah Arab menjadi Zabag. Javaka adalah nama sebuah empayar kuno Melayu yang wujud di Nusantara sebelum kewujudan Sriwijaya lagi. Namun terus terang saya katakan bahawa saya masih belum menjumpai sebarang sumber yang solid untuk meletakkan dimanakah sebenarnya Zabag. Namun saya yakin bahawa kerajaan ini memang wujud suatu ketika dahulu.


Sebelum ini telah dinyatakan tentang serangan orang Melayu terhadap Sri Lanka bahawa Chandrabanu adalah salah seorang raja Javaka yang telah berjaya membina sebuah dinasti disana. Raja ini adalah dari kerajaan Tambralingga, Sridhammaraja yang selama ini memang digelar sebagai Javaka. Hal ini kerana kerajaan Tambralingga dikatakan sebagai pewaris empayar Javaka yang pernah wujud sebelum itu. Raja Javaka juga disebut dalam catatan pengembara Arab bernama Sulaiman yakni yang telah memenggal kepala Raja Kemboja yang dikatakan adalah raja dari dinasti Sailendra, kerana memang ada catatan daripada prasasti di Champa dan Kemboja yang menunjukkan bahawa pernah ada tentera Chaeva yang menyerang dan memusnahkan kuil mereka. 


Adakah raja-raja Sailendra berasal dari Javaka? Atau sebenarnya mereka adalah pemerintah sebenar kerajaan Javaka? Sesetangah sejarawan percaya bahawa dinasti Sailendra berasal daripada IndoChina yang kemudiannya terpaksa berpindah ke Tanah Jawa apabila IndoChina mula dikuasai orang Khmer yang menubuhkan kerajaan Chenla. Ada pula yang berpendapat mereka berasal dari India. Namun saya lebih bersetuju dengan pendapat yang pertama, cuma saya tidak bersetuju mereka terus ke Jawa dari IndoChina, sebaliknya mereka ke Semenanjung dahulu dan kemudian ke Sumatera dan setelah itu barulah mereka bertapak di Kerajaan Medang di Jawa.


Hal ini kerana ada ciri-ciri Melayu yang amat kuat dalam dinasti ini berbanding ciri India atau Jawa. Antaranya ialah gelaran Dapunta. Sebahagian besar sejarawan bersepakat mengatakan bahawa gelaran dapunta ini adalah gelaran asli Melayu. Ini bermakna dinasti Sailendra bukanlah dinasti Khmer mahupun Jawa, sebaliknya adalah Melayu kerana salah seorang rajanya di dapati bergelar Dapunta Sailendra. Malahan sebenarnya dinasti Sanjaya yang dibangga-banggakan oleh masyarakat Jawa juga sebenarnya adalah berasal daripada dinasti Melayu. 


Mengapa saya berkata demikian? Kerana kita dapat lihat daripada gelaran yang digunakan oleh raja-raja Sanjaya seperti Sri Maharaja Rakai Panangkaran, Sri Maharaja Rakai Panunggalan, Sri Maharaja Rakai Warak dan Sri Maharaja Rakai Garung. Gelaran Sri Maharaja adalah gelaran yang juga berasal daripada gelaran lumrah bagi dinasti-dinasti Melayu dan bukan dinasti Jawa yang dapat kita lihat dalam kerajaan-kerajaan Jawa pada abad-abad selepas itu. Nama Dapunta Sailendra sendiri jelas merupakan ejaan Melayu dari bahasa Sanskrit kerana di dalam prasasti digunakan bahasa Melayu Kuno. Jika demikian, kalau keluarga Sailendra berasal dari India Selatan atau Jawa tentunya mereka memakai bahasa Sanskrit di dalam prasasti-prasastinya atau bahasa Jawa dan bukan bahasa Melayu.


Dengan ditemukannya prasasti Sojomerto maka telah diketahui asal keluarga Sailendra dan siapa sebenarnya Dapunta Selendra yang disebut dalam prasasti itu. Berdasarkan paleografinya, prasasti Sojomerto berasal dari sekitar pertengahan abad ke-7 Masehi ini bertepatan dengan tarikh permulaan kegemilangan empayar Sriwijaya. Namun persoalannya masih sama. Dimanakah bermulanya sebuah kerajaan yang bernama Zabag atau Jawaka? Adakah semasa dinasti Sailendra ini berkuasa di IndoChina seperti di kerajaan Funan atau sebenarya ia lebih tua dari kerajaan Funan? Saya beranggapan bahawa ia memang bermula di Funan, sama ada Funan dan Zabag adalah kerajaan yang sama atau Funan sebenarnya berada di bawah kekuasaan Zabag.


Ada teori yang mengatakan bahawa dari IndoChina mereka bermukim di sekitar Kelantan dan membuka kerajaan di situ sebelum ke Sumatera, ini bermakna kita dapat camtumkan puzzle dan teka-teki mengapa terlalu banyaknya persamaan di antara budaya penduduk Kelantan dengan Jawa. Dari kain batik, bahasa, wayang kulit, keris, adat istiadat, baju kebaya, kain kemban, alat-alat muzik dan nama-nama tempat yang saling tak tumpah seperti di Jawa. Ini bermakna dinasti Sailendra dengan para menteri atau budayawan dari Medang kawulan Kelantan telah membawa segala jenis bentuk budaya yang mereka bina sejak berkurun-kurun turun ke Sumatera dan kemudian ke Tanah Jawa. Namun yang pasti dalam lagenda Aji saka, memang dinyatakan dengan jelas bahawa beliau berasal dari luar tanah Jawa.


Jadi sebenarnya dimanakah Zabag yang dikenali oleh orang orang Arab sekitar kurun ke 8 hingga 10 Masihi tersebut? Naluri sejarah mengatakan ia terletak sekitar Semenanjung atau lebih tepat di Utara Semenanjung dari Kelantan hingga ke Segenting Kra. Inilah kedudukan kuasa Zabag semasa kegemilangan kerajaan Sriwijaya. Zabag adalah Sriwijaya di tanah besar manakala Sriwijaya di Palembang menguasai pulau. Jadi Sriwijaya adalah ‘anak’ kepada Zabag dan bukan sebaliknya. Sebab itu pengembara Arab sering menyebut bahawa Maharaja Zabag adalah raja Kalah dan Sribuza. Kerana Maharaja Zabag adalah Yang dipertuan Agong. Raja-raja bawahan seperti di Kedah, Palembang, Malayu, Langkasuka dan Jawa memerintah di bawah naungan Maharaja Zabag atau Jawaka. Apabila berlakunya krisis dalam dinasti Sailendra maka empayar Jawaka berpecah menjadi dua. Satu di Semenanjung dan satu lagi di Sumatera. Lama-kelamaan dinasti di Sumatera menjadi semakin kuat dan menguasai kawasan yang sebelum ini dikuasai Jawaka.


Sayogia anda akan jumpa sebuah tempat yang bernama Jawakotti di Kelantan. Untuk pengetahuan anda juga sebenarnya wujud sebuah nama tempat yang sama di Sri Lanka iaitu Javakotte. Malahan banyak nama tempat di utara Sri Lanka di daerah Jaffna yang bermula dengan Jawa atau Java. Sejarawan Sri Lanka berpendapat nama tempat ini wujud disebabkan oleh penguasaan dinasti Jawaka di bawah Chandrabanu dari Tambralingga. Saya beranggapan Chandrabanu sebenarnya adalah titisan daripada kerajaan Jawaka yang telah dikuasai Sriwijaya. 


Beliau cuba menaikkan semula prestij kerajaan Jawaka yang telah tenggelam di bawah Sriwijaya dengan membina dinasti baru di Sri Lanka. Sebab itu dia berani cuba membebaskan diri daripada Sriwijaya dan meminta pertolongan kaum kerabatnya di IndoChina atau di Angkor. Ini bukan pertama kali Jawaka cuba untuk bangun semula setelah dikuasai Sriwijaya laut. Sebelum itu Suryavarman pernah meminta bantuan Chola untuk membebaskan Kra daripada pengaruh Sriwijaya. Jika kita perhatikan sejak dari awal lagi bahawa negeri negeri Melayu di sekitar utara Semenanjung adalah negeri-negei yang sentiasa ingin bebas. Mengapa? Kerana mereka adalah Jawaka yang asal.


Apa yang dapat saya simpulkan ialah Zabag atau Jawaka yang disebut oleh Ibnu Said, Al-Masudi dan Ibnu Khurdabieh itu sebenarnya bukanlah Jawaka yang sama seperti mana yang asal. Apa yang saya maksudkan adalah Jawaka yang asal pada zaman tersebut telah pun digantikan dengan kerajaan Sriwijaya. Mengapa ini berlaku? Sebenarnya para pencatat Arab ini mendapat sebahagian maklumat tentang kerajan Jawaka atau Zabag ini daripada cakap-cakap dan khabar berita daripada para pengembara dan pedagang yang berdagang dengan Jawaka atau Nusantara. 


Para pedangang dan peniaga ini datang dengan hanya satu tujuan iaitu untuk mengaut keuntungan hasil perdagangan mereka dan memastikan agar kargo mereka penuh. Mereka bukanlah seorang duta khas yg duduk di istana pada setiap pertemuan balai diraja untuk mengetahui percaturan dan pasang surut politik dan krisis dinasti yang berlaku dalam empayar Jawaka yang mereka singgahi.


Pada zaman kegemilangan Jawaka atau Zabag, nama kerajaan itu sudah pasti sangat terkenal dan masyhur sehingga menjadi sebutan para pedangang dan ibu kotanya juga pasti adalah salah satu daripadat pelabuhannya. Namun apabila Zabag telah diganti dengan Sriwijaya, kemasyhuran nama Zabag atau Jawaka tersebut masih kekal kerana masyarakat pedagang seluruh dunia purba selama ini menggelar semua penduduk yang berada di bawah empayar tersebut sebagai orang Zabag, Jawaka, Javaka, Savaka, Sabeth, Zapech, Sabak, Jabak, dan sebagainya. Oleh sebab itu walaupun empayar Jawaka telah terpecah menjadi kerajaan-kerajaan yang berlainan, namun orang luar tetap kenal dengan nama Zabag dan menggelar orang Melayu sebagai orang Zabag yang kemudian berevolusi menjadi Al Jawwah atau orang Jawi.


Saya juga ingin menyentuh tentang dakwaan yang sering dibuat oleh sebahagian daripada rakyat Indonesia yang pernah saya jumpa. Mereka sering menyatakan bahawa Bani Jawi adalah istilah khas orang Arab kepada mereka. Kenyataan ini ternyata salah sama sekali! Buktinya sangat jelas. Jika kita pergi ke Makkah atau Madinah kita boleh jumpai ramai orang Nusantara baik Melayu, Minang, Jawa, Banjar atau Aceh. Mereka juga membina perkampungan masing-masing. 


Namun orang orang Arab tetap menggelar mereka dalam kelompok Bani Jawi walaupun ada diantara mereka tahu bahawa Nusanatara ini terdiri daripada pelbagai suku dan bahasa yang berbeza-beza. Ini disebabkan keagungan kerajaan Zabag. Selama lebih dari 2000 tahun keagungan kerajaan Zabag atau Jawaka tidak pernah luntur sehinggalah Melaka mengambil alih. Walaupun Sriwijaya telah menguasai jajahan Jawaka sebelum ini tetapi tidak pula penduduknya dinamakan orang Sriwijaya atau Bani Sribuza? Namun sehingga sekarang istilah Bani Jawi itu masih lekat di bibir dan minda mereka. Betapa hebatnya prestij empayar Melayu tersebut.


Adakah anda pernah mendengar sebuah kerajaan yang bernama Kerajaan Jawa wujud di Pulau Jawa. Setakat yang saya tahu tidak ada lagi sebuah kerajaan purba yang dinamakan kerajaan Jawa wujud ditanah Jawa. Walhal kita dapat jumpa beberapa nama tempat dan kerajaan yang bermula dengan Jawa di Sumatera malahan Semenanjung. Di Sumatera dalam catatan Eropah dan cerita lisan penduduk tempatan pernah wujud sebuah kerajaan kecil bernama Tanah Jawa. Di Kelantan ada Jawakotti di Sri Lanka ada Javakotte dan Javakacherri. Semuanya merujuk kepada Jawa yang mana? Sudah tentulah Jawaka. Sebab itu saya menolak andaian sebahagian orang Indon yang menyatakan bahawa bani Jawi adalah merujuk kepada mereka.


Penguasaan Sriwijaya Ke Atas Mandala Jawaka


Sekarang kita sudah tahu bahawa sebelum ini istilah Zabag diberikan oleh orang Arab yang merujuk kepada kekuasaan Empayar Jawaka di seluruh Nusantara. Pada kurun ke 10 Masihi barulah kita dapat menjumpai catatan pengembara dan georgrafis Arab menyebut sebuah kerajaan yang bernama Sribuza yakni Sriwijaya. Namun catatan ini masih menyebut bahawa Zabag masih wujud dan Sribuza atau Sriwijaya adalah dibawah pengaruh Zabag. 


Saya berpendapat pada zaman ini sememangnya Sriwijaya telah menguasai seluruh bekas jajahan Zabag cuma para pengembara Arab terkeliru dengan perubahan dinasti yang berlaku seperti yang telah saya terangkan sebelum ini. Pada masa ini Zabag sebagai sebuah tempat atau Kota memang masih wujud, namun Zabag sebagai sebuah Empayar telah digantikan oleh Sriwijaya. Orang Arab mungkin keliru yang mana satu nama kerajaan dan yang mana satu nama pusat pemerintahan. 


Maka disangkakan bahawa pada kurun ke 10 Empayar Zabag masih wujud padahal Sriwijaya telah menggantikannya. Ini terjadi kerana Empayar Sriwijaya menguasai kawasan yang sama dengan kawasan empayar Zabag. Kota Zabag sebelumnya mungkin pada zaman Sriwijaya telah dikekalkan sebagai salah satu pelabuhan penting, yang memberi gambaran bahawa kerajaan Zabag atau Jawaka masih berkuasa.


Pada tahun 303 sebelum masihi lagi telah ada disebut mengenai sebuah negeri bernama Suvarnadbhumi dan Yawadwipa, namun lokasinya kurang jelas dan kadang kala bertukar diantara satu sama lain. Ada pihak yang berpendapat bahawa inskripsi Kota Kapur yang terpahat mengenai Sriwijaya yang ingin menakluk Bhumi Jawa yang tidak menyembahnya adalah Pulau Jawa atau Kerajaan Taruma. 


Namun ada juga sejarawan yang berpendapat bahawa Jawa yang dimaksudkan adalah Semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi di Kra dimana memang wujud banyak kerajaan-kerajaan penting yang hampir sama kuat dengan Sriwijaya suatu ketika dahulu seperti Kalaha, Langkasuka dan Tambralingga yang memang sentiasa ingin memberontak. Jika benar bermakna prasasti tersebut menunjukkan bahawa Sriwijaya ketika itu telah cukup kuat untuk menawan semula bekas big bossnya iaitu Jawaka. Namun ini hanya pendapat saya.


Sebenarnya daripada catatan Arab juga ada di dapati longitude dan magnitude kerajaan Zabag yang membolehkan kita menjangka dimana letaknya. Menurut sarjana yang mengkaji catatan tersebut, setelah diteliti dan dianalisa kedudukannya, ia adalah hampir kepada kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu atau lebih tepat lagi disekitar Segenting Kra. Jika ini benar bermakna Zabag yang sebelum ini sangat gah di bibir mereka berpusat di Semenanjung seperti telahan saya sebelum ini. 


Kenyataan ini disokong oleh Prof Majumdar yang menyatakan bahawa pusat awal Kerajaan Jawaka atau menurutnya Sriwijaya awal bukan bermula di Sumatera tetapi di Semenanjung atau lebih tepat lagi di sekitar utara Semenanjung. Ini bertepatan dengan dakwaan orang Sri Lanka yang menyebut bahawa Chandrabanu iaitu Raja kerajaan Tambralingga yang berada di Segenting Kra atau lebih tepat lagi di wilayah Ligor atau Nakorn Sithammarath sekarang adalah serorang Raja Javaka.


Lebih menggemparkan lagi, seorang sarjana lain iaitu Moens memberikan pandangan bahawa pusat awal Sriwijaya pada kurun ke 7 adalah di Semenanjung atau lebih tepat di Kelantan malahan menurut beliau negeri yang di kunjungi oleh I-Ching untuk mempelajari kitab Sanskrit tersebut adalah di Kelantan dan bukan di Sumatera atau Palembang. Menurutnya ketika itu Palembang masih belum menjadi sebahagian daripada mandala Sriwijaya. 


Hal ini ada asasnya kerana 12 tahun setelah I-Ching melawat Sriwijaya barulah seorang raja daripada sebuah kerajaan misteri telah menawan Minanga Tamwan dengan 20 ribu orang tentera. Namun demikian pendapat Prof Majumdar dan Moens ini kurang popular dan tidak mendapat liputan meluas oleh para akademis baik di Indonesia mahupun di Malaysia kerana dikatakan bahawa teori mereka banyak kecacatan dan lompang yang harus di tutup. 


Saya akui bahawa memang teori mereka memang masih banyak lompangnya, namun kenyataan mereka tentang permulaan Sriwijaya yang bermula di Semenanjung sekurang-kurangnya memberikan harapan dan sedikit rujukan untuk kita melakar kembali sejarah Jawaka yang sebenar.


Ibnu khurdazbeh juga ada mencatat di dalam kitabnya tentang nama-nama Raja Al Hind. Pada zaman dahulu Al Hind bukan bermaksud India sahaja tetapi termasuk Nusantara yang kemudiannya digelar orang barat sebagai Greater India atau East Indies. Dalam salah satu nama raja tersebut ada raja yang bernama Raja Jaba yang digelar Kings Of The Island atau Raja Kepulauan. 


Namun dalam senarai yang sama ada disebut Raja Zabaj dan seorang lagi bergelar Maharaja iaitu Raja Laut Timur. Jadi di sini terdapat 3 orang pemerintah daripada Nusantara yang masih tidak di ketahui samaada orang yang sama atau memang berlainan. Namun yang jelas bahawa Maharaja Laut Timur adalah gelaran khas kepada Raja-Raja Melayu yang pernah memerintah Nusantara tak kira dari dinasti apa pun. Mungkin yang berbeza disini adalah gelaran sahaja tetapi orangnya adalah sama.


Seperti kebiasaan raja-raja Melayu yang memang mempunyai gelaran yang panjang dan berbeza. Dalam catatanya juga Ibnu Kuraidazbeh ada menyatakan tentang keadaan Zabag dimana wujud orang yang gelap dan kecil yang tinggal di pedalaman manakala puak yang kulitnya lebih cerah hidup di pantai dan menjalankan perdagangan dengan pedagang luar. Al-Idrisi dalam catatannya ada menyatakan mengenai sebuah pulau yang pelabuhannya bernama Qamar. Sejarawan pada awalnya menyamakan Qamar ini dengan Khmer. Namun ianya adalah kurang logik sebab Al-Idrisi dengan jelas menyatakan bahawa negeri Qamar ini terletak di sebuah pulau selepas pulau Sri Lanka, dan Kemboja pula bukan sebuah pulau dan bukan juga terletak selepas Lanka.


Dikatakan bahawa rajanya pada suatu masa adalah seorang perempuan yang dihiasi dengan pelbagai perhiasan emas. Catatan Al-Idrisi ini adalah semasa mandala Sriwijaya sedang melemah dan kerajaan Malayu menguasai Sriwijaya dan mengambil alih pemerintahan ke Kota Malayu di Jambi. Sarjana berpendapat bahawa Qamar dan masyarakat matrilinielnya adalah masyarakat Kampar atau Minang dan Kerinci yang memang di kawasan tersebut sangat banyak dengan emas. Boleh jadi pelabuhan itu adalah Kampar. 


Catatan Al-Idrisi seterusnya dapat memperjelaskan lagi dakwaan ini apabila beliau menyatakan Raja Qamar tinggal di ibu kota yang bernama Malayu. Masyarakat Qamar dikatakan memakai pakaian terbaik dari China dan Iraq dan ada dikalangan penduduknya yang mengaku berketurunan Turki. Berbanding dengan catatan Arab awal yang lain Al-Idrisi ada memberikan diskripsi yang sedikit mendalam mengenai Raja Jaba atau Zabag. Menurutnya Raja Jaba Al Hind memakai mahkota menjulang yang diperbuat daripada emas dan seorang penganut Buddha yang taat. Dalam kerajaannya banyak kuil-kuil dan patung daripada emas.


Selain daripada sumber Arab kita juga boleh merujuk sumber dari bangsa lain untuk merangka kedudukan kerajaan Jawaka. Dalam tulisan Ptolemy ada disebut beberapa buah negeri atau pulau berdekatan Golden Chersonese, antaranya adalah Labadieu, Sabadibae dan Zabag. Catatan Yunani ini adalah catatan yang tertua sekali malah lebih tua daripada catatan Arab yang telah saya sebut sebelum ini. Ini memberikan gambaran bahawa sebuah negeri yang bernama Zabag atau Jawaka sememangnya telah wujud lebih lama dariapda Sriwijaya. 


Waruno Mahdi seorang sarjana, ada menyatakan tentang teori kerajaan Jawaka ini. Walaupun beliau mengakui bahawa kita tidak sepatutnya menyamakan Yawadipa yang dimaksudkan dalam Ramayana atau Zabag catatan Arab itu dengan Pulau Jawa namun beliau tidak meletakkan Jawaka di Semenanjung, sebaliknya di Sumatera iaitu di lembangan sungai Batanghari. Namun hal ini masih diperdebatkan kerana masih tidak dapat ditemukan sebarang bukti kukuh mahupun nama tempat yang boleh dikaitkan dengannya.


Dalam Catatan Cina pula ada menyebut tentang sebuah kerajaan atau empayar beratus tahun sebelum wujudnya Sriwijaya. Menurut catatan itu pada tahun 132 Masihi, duta daripada negeri Ye Tiao yang ditafsirkan sejarawan sebagai sebutan orang Cina bagi Yavadwipa yang bermakna Sumatera dan bukan Pulau Jawa datang ke istana China. Catatan pada tahun 240-252M ada menyatakan tentang sebuah negeri yang bernama Cu-Po atau Cu-Bak yang berasal dari sebutan Shu Bak yang bermakna Zabag atau Jawaka. Sarjana menyangkakan bahawa sekitar pada zaman inilah berlakunya penjelajahan oleh orang orang dari Jawaka ke Malagasi. In kerana terdapatnya kesan-kesan bahasa Melayu Kuno dalam bahasa Malagasy.


Pada tahun 410M di Iraq semasa empayar Selucied catatan mengenai Majlis Synod Of Isaac yang membincangkan mengenai Agama Kristian ada menyebut tentang sebuah metropolitan yang bernama Dabag, Cin dan Macin. Empat tahun kemudian Fa Sien seorang Sami dari Cina ada singgah di sebuah negara yang dipanggil Ye Po Ti. Daripada diskripsi yang diberikan beliau, Ye Po Ti bukanlah Pulau Jawa sebaliknya berada di Sumatera atau Semenanjung. Ye Po Ti bermaksud Yavadipa. 


Dalam syair Tamil Manimenggalai ada menyebut tentang sebuah kota yang bernama Naga Puram iaitu Kota Naga di sebuah negara yang bernama Savakanadu yang bermaksud tanah orang Jawaka. Al-Idrisi menyatakan bahawa sejak dahulu lagi orang dari Zabag dan Kerajaan Maharaja berlayar dan berdagang dengan orang Madagaskar dan memahami bahasa masing-masing, penduduk Zabag juga berdagang di Sofala iaitu di Afrika Timur dekat Mozambiq malahan sebuah negeri bernama Wak Wak berdekatan Zabag pernah menyerang Sofala.


Tambahan lagi inskripsi yang ditemui di Champa dan catatan sejarah Daiviet tidak pernah membezakan diantara serangan dari Sumatera atau Semenanjung dengan dari Pulau Jawa dan mereka semua dipanggil dengan gelaran Cheva. Dalam catatan Parsi pula ada dinyatakan bahawa di negara Zabag terdapat sebuah gunung berapi yang sentiasa berasap dan mengeluarkan lanar dan dibawahnya ada air tawar yang sentiasa diambil oleh para pelayar. Seperti yang kita tahu memang Nusantara mempunyai banyak gunung berapi. Di Sumatera, di Jawa juga ada begitu juga Pinatubo di Luzon. Namun yang mana satu berada didalam jajahan Zabag. Sesetengah sarjana berpendapat gunung yang dimaksudkan adalah Pinatubo. Namun ianya jauh daripada lautan dan mustahil untuk mendekatinya.


Teori ini dikemukankan oleh sarjana Filipina bagi meletakkan Zabag di sana, namun pendapat yang saya lebih cenderung adalah yang mengatakan bahawa gunung itu adalah Karakatoa yangg terletak di Selat Sunda dan gunung ini adalah antara yang teraktif di Nusantara malahan pernah meletuskan letupan yang maha besar suatu ketika dahulu. Gunung ini juga mudah untuk di lihat melalui kapal dan didekati kerana ia berada di tengah laut berbanding Pinatubo atau Merapi yang berada di pedalaman, jadi ia adalah lebih munasabah. Mungkin ada yang akan mempersoalkan bahawa gunung itu terlalu jauh dari Semenanjung, sedangkan catatan tersebut menyatakan ia berada di Zabag. Sebenarnya penerangannya sama sahaja seperti sebelum ini. Orang Arab menggunakan istilah Zabag bagi melambangkan perimeter kekuasaan mandala Jawaka. Oleh kerana Selat Sunda berada di dalam mandalanya maka ia disebut berada dekat Zabag.


Daripada perbincangan yang panjang lebar diatas hasil daripada telaah saya terhadap kajian-kajian para sarjana terdahulu, maka dapat saya simpulkan bahawa, sememangnya wujud sebuah kuasa atau empayar besar yang bernama Jawaka atau Zabag suatu masa dahulu yang di warisi kegemilangannya oleh kerajaan Sriwijaya. Tentang dimana dan bila bermulanya empayar ini masih lagi menjadi persoalan yang tergantung dan didebatkan oleh para ilmuan dalam bidang berkenaan. 


Dapat saya tegaskan juga mengenai pendapat saya bahawa Zabag bukanlah merujuk khusus kepada Pulau Jawa sahaja. Namun ianya adalah merujuk kepada seluruh Nusantara barat iaitu Sumatera, Semenanjung dan Jawa. Mungkin pusat kerajaan Jawaka kuno sebelum Sriwijaya terletak di IndoChina, Utara Semenanjung, atau pun Sumatera. Kajian lanjut haruslah dilakukan untuk memastikan kebuntuan ini terlerai dan dapat menyelesaikan teka-teki mengenai kerajaan Melayu purba yang amat misteri ini.



No comments:

Post a Comment