Jika kita membicangkan mengenai teknologi Melayu pra Islam maka tidak boleh tidak kita akan memperkatakan mengenai teknologi seni bina Melayu purba pada zaman Sriwijaya, Funan dan Champa. Kehebatan teknologi tamadun-tamadun rumpun Melayu ini terserlah menerusi pembinaan rumah-rumah ibadatnya seperti wat dan candi. Seni bina Melayu Funan sebagai contohnya dapat dilihat manifestasinya di Kemboja sekitar sebelum abad ke 7 Masihi malah menjangkau ke beberapa abad selepas itu terutamanya zaman Chenla kerana kerajaan ini adalah warisan Funan juga, malah ada yang mengaggap wat Anghkor yang terkenal tersebut sebagai benda ajaib dunia. Kerajaan Anghkor sebenarnya adalah warisan kerajaan Chenla, kerajaan ini juga ada hubungan politik dan intelektual dengan kerajaan Melayu Champa.
Briggs menegaskan bahawa seni bina yang terdapat dalam tamadun Chenla dan Angkor tiada bezanya dengan senibina Champa dan Funan. Hubungan kerajaan Champa dengan Kambujadesa atau Angkor adalah sangat akrab terutama setelah Kambujadesa atau Angkor mengalahkan Champa pada awal abad ke 13 kerana sebelum itu Champa juga pernah mengalahkan Angkor dan kedua dua kerjaan besar ini merasakan bahawa mereka perlu bersatu menghadapi musuh luar iaitu Siam bagi Angkor dan Viet bagi Champa. Kedua kerajaan ini sebenarnya pernah bersatu mengalahkan Viet. Kedua-duanya juga akhirnya dapat dihancurkan oleh musuh mereka iaitu Angkor oleh Siam pada 1431 dan Champa oleh Viet pada 1471.
Teknologi orang Melayu Champa terkenal dengan senibina wat sejak abad ke 4 masihi lagi dan dianggap sebagai salah satu senbina yang tertua di dunia. Binaan-binaan tua tersebut kita dapat kita lihat di My Son selatan Vietnam sekarang. Kompleks Wat My Son mula dibina pada abad ke 4 masihi dan bertambah bilangannya sehingga mencecah 70 buah pada abad ke 14. tetapi kini yang tinggal hanya 20 buah sahaja setelah di bom oleh AS dalam serangan udaranya semasa perang Vietnam. Ketinggian ilmu teknologi sains Melayu diakui dunia menerusi wat-wat atau candi-candi Buddha zaman kerajaan Funan dan Champa terutamanya Angkor Wat memang dipetikaikan unsur keMelayuannya oleh sesetengah sejarawan barat dan tempatan. Namun demikian tidak bagi sebuah lagi candi Buddha iaitu Borobudur yang dibina pada abad ke 8 pada zaman kegemilangan Sriwijaya dinasti Sailendra. Binaan ini adalah 400 tahun lebih awal daripada binaan Angkor Wat. Tidak hairanlah ada catatan daripada pengembara China sejak abad ke 9 masihi lagi bahawa Maharaja China ada mengundang tukang-tukang, para arkitek dan jurutera Melayu Sriwijaya bagi membangunkan dan membaiki candi dan kuil di negara China.
Seorang lagi tokoh agung dalam tamadun Melayu yang harus disebut adalah Maharaja Sriwijaya pada abad ke 11M yang bernama Cudamanivarman yang pernah menghantar wakilnya ke negara China pada tahun 1003 untuk menghadiahkan sebuah loceng untuk sebuah candi Buddha. Maharaja China sendiri telah menamakan loceng tersebut sebagai kehidupan seribu tahun yang dianugerahi syurga. Pada tahun 1079, seorang tukang rumah atau arkitek yang bernama Chi Lolo telah dihantar khusus oleh Maharaja Sriwijaya bagi membaiki kuil di sana kemudian Maharaja Sriwijaya tersebut iaitu Divakara telah dianugerahi gelaran Jeneral Agung oleh Maharaja China.
Tukang-tukang seni bina wat atau candi Melayu bukan sahaja terkenal di China malahan juga di India dan tentunya negara jiran kita Thailand. Pada prasasti yang bertarikh 1046 M, Raja Chola yang bernama Rajaraja I, dari India telah mencatatkan bahawa tukang-tukang candi Melayu telah diundang ke India bagi membina wat disana. Prasasti dari Thailand turut mencatatkan pembinaan wat atau candi oleh tukang-tukang dari Langkasuka atau Sriwijaya. Jelas disini bahawa kehebatan teknologi senibina Melayu adalah melangkau batas geopolitik Nusantara. Kehebatan mereka dalam ilmu sains kejuruteraan dan arkitektual adalah sesuatu yang patut kita banggakan dan jadikan sebagai motivasi kepada anak bangsa kita pada masa kini agar kegemilangan ketamadunan Melayu pada zaman silam dapat kita bangkitkan semula.
No comments:
Post a Comment