Siapa yang tak tahu dengan tempat bernama Okinawa. Ia adalah sebuah kepulau kecil yang mempunyai hubungan rapat dengan Alam Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Di kepulauan inilah terletaknya kerajaan Ryukyu yang terkenal di kalangan kita sebagai salah satu tempat yang pernah dijejaki oleh pahlawan agung Melayu yakni Hang Tuah.
Menurut pengkaji sejarah, hubungan perdagangan diantara Ryukyu dengan Melaka telah membuka jalan kepada masuknya pengaruh teknologi penghasilan batik chap dari Alam Melayu ke Jepun yang dinamakan sebagai Bingata.
Jika anda ke Okinawa anda mungkin akan terperanjat dengan budaya dan cara hidup orang disana. Hal ini kerana budaya dan cara hidup orang Okinawa adalah sangat berlainan daripada budaya dan cara hidup orang Jepun di kepulauan utama mereka. Malah budaya orang Okinawa menurut sejarawan adalah hibrid daripada budaya Cina, Jepun dan penduduk asli tempatan.
Jika di kepulauan utama Jepun, cara hidup dan budaya mereka dibayangi oleh kod etika moral yang ketat berasaskan dari kod etika Bushido. Cara hidup mereka di kepulauan utama juga lebih rigid dan terjadual. Hal ini langsung berbeza di Okinawa. Penduduk Okinawa lebih santai dan tidak terkongkong dengan kod etika dan moral yang ketat seperti di kepulauan utama atau tanah besar Jepun. Mereka juga lebih mudah menerima pengaruh budaya baru dari luar seperti dari China, Alam Melayu, Amerika malah Eropah.
Kita dapat lihat contoh pengaruh luar ini dari sudut kulinari mereka. Salah satu contoh ialah masakan yang terkenal di Okinawa dengan panggilan Chanpuru atau Chanploo. Chanpuru atau Chanploo adalah istilah yang digunakan untuk apa jua jenis masakan tumisan atau 'stir fry' yang bahan utamanya ialah sayur. Namun demikian tahukah anda bahawa maksud Champuru yang sebenar ialah 'MIX'? Ya, makna perkataan tersebut adalah Campur! Adakah ini kebetulan? Ianya bukan kebetulan tetapi sebaliknya memang ia adalah pengaruh daripada bahasa Melayu atau dalam salah satu web dari Jepun mereka menulis Malay-Indonesian word.
Bila pengaruh masakan atau istilah campur ini masuk ke Okinawa saya pun tidak tahu. Malah orang Okinawa sendiri masih kabur tentang dari mana datangnya istilah ini. Adakah ia satu istilah yang baru masuk semasa zaman perang dunia kedua? Atau istilah ini telah masuk sejak adanya hubungan diantara kerajaan Melaka dengan Ryukyu? Jika kita kata yang pengaruh ini masuk dari China ianya adalah agak pelik kerana orang China tidak menggunakan perkataan ‘Campur’ yang memang jelas perkataan Melayu bagi menyebut jenis masakan seperti itu, tetapi mungkin Chap Jae atau Chap Chai yang memang masih wujud hingga kini di China, Malaysia serta Korea Selatan.
Kemungkinan lain ialah perkataan tersebut mempunyai kaitan dengan pengaruh rumpun Austronesian yang memang diakui sendiri oleh pengkaji Jepun terhadap masyarakat Jepun dan Okinawa pada zaman kuno. Mungkin perkataan Champuru itu memang perkataan asal masyarakat asli Okinawa yang mempunyai kognate dengan bahasa rumpun Melayu.
Satu lagi perkara menarik tentang orang Okinawa ialah berkenaan umur mereka yang panjang. Beberapa tahun dahulu saya sering mendengar dari mulut rakan dan orang orang tertentu di negara kita yang kononnya expert dalam budaya dan sejarah Jepun membuat andaian bahawa orang Jepun panjang umur kerana mereka tidak makan daging terutama daging babi seperti orang China atau Korea dan Eropah.
Namun ternyata pendapat mereka itu jauh meleset. Dalam kajian yang dibuat saintis, purata umur terpanjang orang Jepun adalah bertumpu di Okinawa. Namun demikian orang Okinawa adalah masyarakat yang bukan sahaja kuat makan makanan laut tetapi juga sangat suka makan daging babi. Masakan tradisi mereka juga banyak dipengaruhi oleh masakan China.
Jadi apakah rahsia sebenar umur panjang mereka? Ada yang kata rahsianya ialah dengan memakan Goya atau peria katak yang memang menjadi kegemaran orang Okinawa. Namun demikian peria katak bukan sahaja dimakan oleh orang Okinawa kerana orang Melayu diseluruh Alam Melayu, orang China, malah orang India juga suka makan peria katak dan peria secara umumnya. Adakah sebab mereka banyak makan makanan laut? Mungkin ya mungkin juga tidak.
Atau mungkin ianya kombinasi dari semuanya yakni cara hidup yang sihat, banyak makan sayur seperti peria katak, banyak makan makanan laut, makan daging, makan nasi dan bersenam. Apa yang penting ialah keseimbangan. Kalau makan sayur banyak pon boleh mendatangkan bahaya juga. Contohnya di Korea dan tanah besar Jepun, mereka mempunyai kadar risiko penyakit kanser perut yang paling tinggi sebab terlalu suka makan sejenis pucuk paku.
(Satu pesanan dari saya, jika anda suka makan sayur pucuk ubi, sebelum memasak jangan lupa mencelurnya terlebih dahulu dan buang air celurannya itu dan perah. Hal ini kerana dalam pucuk ubi ada terkandung sejenis racun Cynide yang boleh membahayakan kesihatan kita dan jika terlebih boleh bawa maut. Ibu saya pernah mengalami keracunan Cynide akibat memakan ulam pucuk ubi selama lima hari berturut turut. Itupon sudah dicelur terlebih dahulu tetapi masih ada sisanya. Saya berpesan begini kerana saya pernah melihat seorang Chef muda di TV memasak pucuk ubi tua dengan terus memasuknya kedalam gulai atau membuat seperti salad tanpa mencelurnya terlebih dahulu).
No comments:
Post a Comment