Monday, February 1, 2010

MISTERI PAUH JANGGI

Saya pasti ramai yang tidak pernah melihat pokok Pauh Janggi atau lebih dikenali dengan nama kelapa laut yang nama saintifiknya ialah Lodoicea Maldivica. Pokok kelapa laut atau Pauh Janggi ini sering dikaitkan dengan Lagenda Pelayaran Melayu sejak turun temurun. Seperti yang kita ketahui, nenek moyang kita zaman dulu terkenal sebagai ahli pelayaran yang hebat dalam ilmu kelautan dan sering belayar ke merata tempat di lautan luas dari Australia hinggalah ke Afrika.

Ahli pelayaran Melayu pada zaman dahulu dan mungkin juga sekarang dikatakan kerap menemui buah Pauh Janggi atau kelapa laut terapung-apung di permukaan Lautan Hindi. Buah Pauh Janggi ini akan dipungut dan dijual dengan harga yang mahal dan ramai yang mencarinya kerana dikatakan boleh dibuat ubat dan dapat menyembuhkan pelbagai penyakit serta penawar segala racun, sehingga dikatakan air yang disimpan dalam tempurung, jika diminum dapat mengelakkan diri daripada jangkitan penyakit. Buah ini juga sering dicari oleh bomoh, pawang dan para pengamal Silat serta ilmu batin


Ahli pelayaran Melayu juga dikatakan selalu merahsiakan kewujudan pokok Pauh Janggi dan asal usulnya, namun mengikut catatan, Pigafetta yang turut serta dalam pelayaran Magellan pada 1519, beliau diberitahu seorang ahli pelayaran Melayu bahawa buah yang terapung yang sering dilihat mereka di lautan ialah Pauh Janggi daripada pokok besar yang hidup di “Pusat Sebuah Tasik”. Mereka percaya di Pusat Tasik itu ada burung Garuda yang memakan lembu dan gajah dan tempat itu tidak boleh dihampiri kerana selalu ribut dan taufan.


Pokok ini mempunyai buah seakan-akan buah mangga atau mempelam yang kembar. Buahnya seberat 15 hingga 20 kilogram (kg) dan menjadi buah yang terbesar di dunia. Pakar Botani kagum dengan pokok Palma ini yang dapat hidup di lereng-lereng bukit sedangkan buahnya seberat 15 kg boleh berada di lereng bukit. Pokok Pauh Janggi tersebar luas dan ditanam di sekitar taman botani sebagai tanaman antikuiti, ini termasuk ditanam di Taman Botani Singapura.


Maklumat yang menarik bagi saya mengenai pokok dan buah ini ialah ianya dikatakan hanya boleh didapati di Kepulauan Seychelles. Kepulauan Seychelles adalah gugusan pulau-pulau kecil yang terdapat di bahagian barat lautan Hindi dan lokasinya dekat dengan benua Afrika dan pulau Madagaskar. Mengapakah agakya sepohon pokok yang hanya boleh didapati di sebuah pulau yang sangat jauh dari Nusantara menjadi begitu lagenda dalam masyarakat Melayu sehinggakan ia disebut dalam sejarah Kesultanan Perak, dalam Wayang Kulit malah dalam Mak Yong?


Andaian saya ialah ia mempunyai kaitan dengan benua Afrika itu sendiri. Pada zaman dahulu para pengembara Arab menggelarkan pantai timur Afrika dan Madagaskar sebagai Zanj atau Zanji. Sebahagian pengkaji mempercayai bangsa Zanj yang berhubung dengan bangsa-bangsa Arab dalam perdagangan di Madagaskar dan Afrika Timur berasal dari rumpun Melayu yang telah berkahwin dengan suku-suku Afrika timur lalu melahirkan orang Zanj seperti suku Merina yang masih wujud di Madagaskar hingga sekarang. Catatan dari pengembara Arab juga pernah menyebut akan perdagangan besi diantara Afrika Timur dengan Kedah Tua atau Sriwijaya. Hal ini membuktikan bahawa orang Melayu telah lama menjejakkan kaki ke Benua Afrika dan membuka koloni di sana terutama di Madagaskar.


Berkenaan Pohon Pauh Janggi, hipotesis saya ialah perkataan Janggi itu mempunyai perkaitan atau mungkin berasal daripada perkataan Arab Zanj atau Zanji. Oleh kerana Pulau Seychelles tempat dimana buah dan pohon ini boleh dijumpai adalah dalam laluan yang sama untuk ke Afrika Timur dan Madagaskar, sudah pasti ada pelayar Melayu yang pernah singgah dan melihat pohon yang unik tersebut. Oleh kerana bentuknya yang menyerupai buah Pauh/Mangga/Mempelam yang berkembar dua dan tempat ia ditemui berdekatan dengan Zanji iaitu Afrika, maka ia dinamakan buah Pauh Zanji/Janggi. Hal ini boleh jadi benar kerana orang Jawa pada zaman langka juga memanggil Afrika dan orang kulit hitam sebagai Jenggi.


Inskripsi di Gedangan dekat Surabaya (860AD) Jawa:


“…. rahashya, tuha-dagang, (overseer of people) tuhanambi, (overseer of socially inferior or foreign people) pakarapa (a gatherer of wild roots and herbs?), kdi (unfertile), walyan (doctor), sambal, sumbul (police officers), hulun haji (kings slaves-out of misdeeds?-mostly farmers), singgah (slave walking in front of his owner), pabrsi (carries the cushions), pajut (negrito slave), jenggi (black slave) watek I jro (slaves -to show off the wealth of the owner-) ityewamadi (and so forth)”


Namun demikian saya akui saya masih tidak dapat menyelesaikan puzzle mengapa buah dan pohon ini menjadi begitu mistik dan lagenda dalam masyarakat Melayu dan saya juga tidak dapat mengaitkannya dengan lagenda “Tasik Pauh Janggi”. Mungkin mitos dan legenda mengenai Tasik Pauh Janggi tersebut terbentuk kemudian setelah pertama kalinya pelayar Melayu menjumpai pohon dan buah unik tersebut di Seychelles. Maka kemudiannya sebuah tasik terbesar di Asia Tenggara yang suatu ketika dahulu pernah menjadi tempat wujudnya city-state Melayu kuno telah dinamakan Tasik Pauh Janggi kerana bentuknya yang menyerupai buah dari pohon tersebut.


“Kembalilah diri ke dunia panggung dan dunia kelir. Merenung masa lalu dan melihat masa depan. Dari ‘pusat tasik pauh janggi’ tempat berpusar lagi jauh ke tengah segara. Tasiknya bukan di daratan bandar, tetapi pusar yang paling tengah dan paling dalam. Siapa terjatuh atau tergelincir, tersuruplah ia ke dalam pusar. Tempat menanti segala mara bahaya. Tempat duduk menantinya Nenek Sepit Pentala Naga di Laut Buih Gelombang Tujuh. Kalau si lemah yang sampai, maka hilang ghaiblah ia di mulut Raja Naga yang maha bisa. Tetapi kalau si kebal malim megah malim perkasa, dia berdiri di atas singa juang siap siaga. Tiada seurat bulu roma celakanya hangus terbakar, tiada seurat rambut hitam lebatnya gugur bertabur”.


Sumber:


1). Medieval Authors about East Africa, By Pieter Derideaux.


2). Majapahit Peradaban Kelautan: Ketika Nusantara Menjadi Pengendali Pelabuhan Dunia.


3). http://teratakMelayu.blogspot.com/…/misteri-tasik-pauh-jang….


4). Berita Harian oleh Ismail Saidin.



No comments:

Post a Comment