Monday, February 1, 2010

ZABAG DAN PERANAN BANGSA ‘NAGA’

Sebelum ini saya pernah menulis berkenaan bangsa Naga dalam blog ini. Kali ini satu lagi artikel saya paparkan untuk anda yang dapat menguatkan lagi hipotesis bahawa Bangsa Naga adalah puak-puak Austronesia yang terdiri daripada Orang Laut atau rumpun Melayu Nusantara. 

Dalam artikel ini juga akan dibincangkan hipotesis berkenaan asal nama Zabag yang terkenal di dunia Timur Tengah dan asal nama Kunlun yang dicatat dalam rekod imperial China. Selain itu saya juga menyelitkan berkenaan bahasa rasmi yang digunakan dalam Empayar Zabag atau dalam Istana Zabag (Sriwijaya). 


Saya pasti ramai sudah maklum bahawa sejarawan menyebut bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca dalam empayar Zabag. Namun setakat ini kebanyakan bukti bahasa yang kita ada adalah dalam bentuk prasasti atau batu bersurat yang dijumpai di beberapa tempat di Sumatera seperti Batu Bersurat Karang Brahi dan Kota Kapur. Tetapi bagaimanakah kita pasti bahawa bahasa yang sama yakni BAHASA Melayu dipertuturkan dalam istana Maharaja Sriwijaya?


YAVADIPA


Catatan terawal yang menyebut tentang Alam Melayu boleh dibaca di dalam epik terkenal India iaitu Ramayana karya Valmiki. Dalam karya tersebut Alam Melayu disebut sebagai Yavadipa yang bermaksud Pulau Barli. Namun demikian sejarawan telah membuktikan bahawa tidak wujud atau tumbuhnya barli di Alam Melayu. Mereka membuat hipotesis bahawa Yava atau barli yang dimaksudkan adalah bijirin secara umumnya dan bukan khas merujuk kepada barli.


Sebenarnya daripada perkataan Yavadipa inilah munculnya perkataan-perkataan China sejak kurun 3 Masihi lagi seperti She Bo (Dzia Bak), Zhu Bo, Chia Bak dan Qi Bo atau Gji Bak dan Yepoti, yang merujuk kepada wilayah Alam Melayu atau lebih tepat merujuk kepada Sumatera, Semenanjung dan Pulau Jawa. Begitu juga dengan perkataan Arab dan Parsi seperti Zabag, Sabeg, Sayabiga, Jaba, Gaba, Gawa dan akhirnya Jawi. Semua ini merujuk kepada Malayan peoples atau Malayan countries menurut Wilkinson.


Menurut Waruno Mahdi, terdapat satu keanehan pada perkataan-perkataan ini. Apa yang dimaksudkan sebagai aneh ialah penggunaan ‘B’ dalam sebutan perkataan-perkataan tersebut seperti Zabag atau perkataan Cina Chia/Jhia Bak. Hal ini kerana perkataan asal seperti yang telah disebutkan iaitu dari bahasa Sanskrit Yavadipa menggunakan ‘V’ bukan ‘B’. Menurut beliau penggunaan ‘B’ ini adalah hasil pinjaman daripada penutur bahasa Austronesian itu sendiri atau dari bahasa rumpun Melayu dan bukan asli dari sebutan mereka (Cina, Arab dan Parsi).


Namun menurut beliau lagi, sebahagian besar catatan China, Arab dan Parsi yang menggunakan sebutan dengan ‘B’ ini muncul dalam zaman dimana belum lagi wujud aktiviti kelautan yang pesat dalam Tamadun China mahupun Tamadun Arab serta Parsi. Catatan China terawal yang mengunakan sebutan dengan ‘B’ ini telah wujud pada kurun 3 Masihi iaitu jauh sebelum zaman aktiviti penerokaan kelautan oleh bangsa Cina. Pada zaman awal ini orang Cina masih bergantung kepada kepakaran kelautan bangsa Kunlun untuk melakukan aktiviti pelayaran ke Nusantara. Manakala tidak mungkin ia dipinjam daripada bahasa Sanskrit mahupun Dravidian kerana Sanskrit dan Prakrit menggunakan ‘V’, Yavadipa dan Javaka manakala Tamil Chavakam.


Begitu juga dengan catatan pengembara Parsi dan Arab sekitar kurun ke 7 Masihi dan kewujudan Bani Sayabiga di Teluk Parsi adalah jauh sebelum zaman kegemilangan penerokaan laut oleh bangsa Arab seperti pada zaman Ibnu Batutah. Oleh kerana itu dipercayai bahawa penggunaan sebutan ‘B’ dalam perkataan tersebut dipercayai diperkenalkan oleh orang orang daripada Alam Melayu itu sendiri melalui hubungan kelautan yang mereka jalankan dengan bangsa Arab, Parsi dan China. Waruno Mahdi mencadangkan puak yang menyebarkan sebutan tersebut adalah Sea-Gipsy atau orang laut yang mendiami sekitar utara Semenanjung berdekatan Burma serta Teluk Siam seperti orang Moken atau Moklen dan Urak Lawoi.


NAGA


Terdapat beberapa petunjuk dari catatan China dan India yang dapat menguatkan hujah ini. Orang Cina dan India sejak awal kurun Masihi lagi sering mencatat tentang pertembungan mereka dengan satu bangsa pelaut yang hebat di kawasan kepulauan Asia Tenggara hingga ke pulau-pulau di Lautan Hindi. Orang India menggelarkan mereka sebagai BANGSA NAGA. Catatan tentang bangsa Naga ini ditulis bukan sahaja dalam teks-teks agama Hindu dan Buddha  di India Selatan malah juga India Utara.


Semua tulisan ini merujuk mereka sebagai satu bangsa yang tinggal di kawasan pinggir pantai dan pulau-pulau serta suka melanun dan pada masa yang sama juga terlibat dalam aktiviti perdagangan. Walaupun pada asasnya terma Naga itu merujuk kepada pelbagai etnik yang menjalankan aktiviti kelautan, namun dapatlah disimpulkan bahawa  sebahagian besar daripada Naga yang dimaksudkan itu adalah orang rumpun Melayu atau Orang Laut yang memang terkenal hebat dalam ilmu kelautan di sekitar Selat Melaka hingga Lautan Hindi. Roger Blench dengan merujuk kepada Waruno Mahdi dipetik sebagai berkata:


The Nāgas referred to in early (Indian) texts ‘typically inhabited islands, the sea coast or banks of rivers. Some of them worshipped megaliths and practiced buffalo sacrifice and head-hunting’ (Mahdi 1999b: 182). Identifying such populations with early Austronesian migrants would not be unreasonable. Given the dates for the texts, Austronesian presence would be identifiable from ca. 500 BC.


Solheim sendiri pernah menbuat kenyataan berdasarkan kajian terhadap data-data Arkeologi  bahawa aktiviti perdagangan dan perhubungan dengan India dan Timur Tengah telah dijalankan oleh suku bangsa rumpun Melayu sejak kurun ke 2 sebelum Masihi lagi. Manakala kajian terbaru yang dijalankan juga didapati bahawa aktiviti perdagangan oleh rumpun Melayu dengan India, Timur Tengah malah kawasan Mediteeranian telah berlaku lebih awal lagi yakni sejak kurun ke 4 sebelum Masihi. Menurut Professor Maguin, kapal-kapal dagang rumpun Melayu yang besar (Jong) memainkan peranan yang sangat penting dalam aktiviti tersebut.


KUNLUN


Dalam rekod China Yiqie Jingyin Yi (Comprehensive pronunciation dictionary) yang bertarikh 817 Masihi ditulis oleh Hui Lin terdapat beberapa rujukan terhadap catatan yang lebih awal iaitu dari kurun 3 Masihi yang menyebut tentang Kunlun BO iaitu sejenis kapal besar yang dipunyai oleh satu bangsa yang dipanggil sebagai Gulun. Catatan Cina juga menyebut mereka sebagai South Sea-Barbarian yang berkulit gelap dan tidak berpakaian. Dipercayai sebutan atau panggilan Gulun atau Kunlun ini juga berasal daripada bahasa Austronesia. Menurut sejarawan, ia mempunyai kaitan dengan perkataan Ulon atau Lon dalam bahasa Aceh, Ulun dalam bahasa Banjar serta Dayak Maayan, dalam bahasa Lampung dan Dayak Iban. Manakala Olona dalam bahasa Malagasy juga berakar daripada perkataan yang sama dan semua ini merujuk kepada kata ganti nama diri pertama.


Dalam bahasa Melayu pula Ulun atau Hulun bermaksud hamba atau pesuruh, contohnya dalam perkataan Melayu kuno Hulun Haji yang bermaksud Hamba Raja. Ia juga terdapat dalam bahasa Jawa iaitu Kulo dan Pwangkulun yang juga bermaksud sahaya atau tuan dan asas kepada perkataan Penghulu. 


Oleh itu dipercayai bahawa perkataan Ulun atau Hulun yang sering disebut atau diperturturkan oleh bangsa pelaut ini ketika mereka singgah di pelabuhan-pelabuhan di China untuk berdagang telah lekat dalam kepala orang Cina dan menyebabkan mereka memanggil orang orang rumpun Melayu sebagai Gulun atau Kunlun. Begitu juga dalam bahasa Orang Laut Moken atau Moklen, terdapat juga perkataan Kolon yang bermaksud hamba, atau saya atau orang secara umumnya yang menguatkan lagi teori ini.


Sudah menjadi adat turun-temurun dalam budaya rumpun Melayu untuk membahasakan diri sebagai seorang Hamba atau Sahaya apabila bertutur dengan orang lain, dan hal ini dilihat aneh oleh bangsa lain. Selain itu menurut Waruno Mahdi, Orang Laut atau suku Moken dan Urak Lawoi ini bukanlah satu-satunya pemain utama dalam aktiviti perdagangan dan perkapalan tersebut. 


Sebaliknya mereka adalah tenaga kerja atau buruh yang menjadi anak kapal bagi para pedagang rumpun Melayu yang lain yang lebih bertamadun seperti suku Melayu, Jawa, Cham/Funan atau mungkin juga Bugis dan Sulu kerana sehingga sekarang mereka masih lagi primitif kehidupannya berbanding dengan suku rumpun Melayu yang lain. Mereka inilah yang menjadi para tentera elit laut dan pengawal lalu-lintas di Selat Melaka sejak turun temurun dari zaman Langkasuka hingga Sriwijaya dan berterusan sehingga ke zaman Melaka dan Empayar Johor-Riau. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi.


BAHASA ZABAG


Persoalan terakhir iaitu berkenaan Bahasa Zabag, yakni bahasa apakah yang dipertuturkan secara rasmi dalam kerajaan Maharaja Zabag? Sebenarnya kalau kelian hendak tahu, jawapannya sudah terang dan jelas disebut oleh pencatan Arab/Parsi yang melawat ke Alam Melayu ini. Dalam catatan Nakhoda Buzurq Ibn Shahriyar pada kurun ke 10 M dalam Kitab ‘Ajaib Al Hind’ ada tertulis satu bukti yang dapat membongkar siapa bangsa Zabag sebenarnya. Dipetik dari kitab tersebut:


It was the customs among the kings of Zabag and the land of Gold that no one was allowed to sit before them, neither indigenous, foreigner, nor Muslim, without having his leg crossed, this position being known as ‘Al barsila’.


Perkataan ‘Barsila’ dalam teks Arab tersebut adalah perkataan yang sama dalam BAHASA Melayu iaitu BERSILA dan dalam tulisan Jawi atau Arab imbuhan ‘ber’ akan menjadi ‘bar’, maka dengan yakinnya dapat disimpulkan bahawa bahasa yang digunakan di Zabag adalah bahasa Melayu. Walaupun perkataan ‘Sila’ itu adalah berasal daripada bahasa Sanskrit, namun penambahan imbuhan ‘ber’ adalah unik untuk Bahasa Melayu dan rumpun terdekatnya sahaja.


Kajian yang lebih lanjut harus dibuat untuk mengukuhkan lagi hujah-hujah yang telah dikemukakan. Namun dapat kita simpulkan bahawa rumpun Melayu telah lama menjalankan hubungan kelautan dengan bangsa-bangsa luar. Walaupun kurangnya catatan daripada sumber tempatan, namun sumber-sumber luar seperti dalam karya Ramayana dan rekod-rekod imperial Dinasti China serta catatan para pengembara Arab dan Parsi sememangnya wujud. Nama-nama seperti Kunlun, Sayabiga, Zabag menjadi sebutan mereka. Ianya membuktikan bahawa bangsa kita bukan calang-calang bangsa, tetapi satu bangsa yang berperanan besar dalam sejarah dunia suatu ketika dahulu. Ia juga menunjukkan betapa besarnya peranan Orang Laut yang sejak turun temurun menjadi Vanguard dalam aktiviti kelautan kerajaan-kerajaan rumpun Melayu di Nusantara.


Sumber:


1). In Search Of An Historical Sea-People Malay Dialect With –aba.  Waruno Mahdi in: Alexander Adelaar, Andrew Pawley (editors), Austronesian historical linguistics and culture history: a festschrift for Robert Blust, Pacific Linguistics 601.


2). The Cambridge History of Southeast Asia edited by Nicholas Tarling.


3). Kelautane Southeast Asia, 300 B.C.to A.D.1528, By Lynda Norene Shaffer.


4). Remapping the Austronesian expansion, By Roger Blench.



No comments:

Post a Comment