NAGA LAUT DISUDU ANGSA, DIPIJAK GAJAH PUTIH DAN DIPATUK ULAR DARI CHANDI.
Perumpamaan diatas sebenarnya menggambarkan nasib sebuah kerajaan tua yang bersusur galur dari keturunan Raja Naga Laut (Merong), iaitu kerajaan Kedah pada masa tercetusnya perang di Ujung Salang (Phuket).
Naga Laut melambangkan Kedah yang diasaskan oleh Raja Bangsa Besar Naga Laut atau Merong Mahawangsa, manakala Angsa melambangkan Burma yang menguasai Hongsawadhi atau Hamsavati yang memakai Angsa sebagai symbol dirajanya.
Gajah putih pula sudah semestinya Siam Thai yang sangat obses dengan simbol Gajah Putih sebagai lambang diraja, manakala ‘Ular Bisa dari Chandi’ yang saya maksudkan adalah sahabat baik Siam ketika itu iaitu Ligor yang memfitnah Kedah dan memburukkan nama Kedah kepada Raja Siam. Simbol bagi Ligor pada zaman ini adalah Chedi atau sebuah Chandi.
Peritiwa peperangan di Junk Ceylon atau Phuket ini sebenarnya dinukilkan dalam sebuah Syair yang bertajuk Syair Sultan Maulana. Syair ini dipercayai oleh pengkaji ditulis oleh orang yang terlibat sendiri dengan peperangan terbabit kerana gambaran yang diberikan adalah agak detail dan tepat dengan peristiwa sebenar. Menurut penyelidikan yang dilakukan setakat ini, paling awal syair ini di karang ialah pada 1812. Kajian ilmiah terhadap syair ini pernah dilakukan oleh Prof. Cyrill Skinner dan Prof. Dato' Muhammad bin Hashim dari Universiti Malaya. Syair ini sangat menarik kerana ia menceritakan taktik, persenjataan dan strategi perang orang Melayu Kedah dalam perang di laut. Dalam rangkap dibawah disebut penggunaan sejenis senjata api atau meriam Melayu yang dipanggil Lotang.
“Jabatan Temenggung panglima perang,
Lotang bernama Harimau Garang,
Tetunggulnya merah cahaya berdarang,
Memberi gentar dipandang orang”
Semuanya bertitik tolak apabila Burma meyerang Pulau Salang atau Phuket beberapa kali sejak 1785 lagi, namun sering kali gagal kerana dihalau Siam. Raja Bodawphaya inginkan Phuket untuk mendapatkan bekalan buruh kasar dari kawasan ini untuk pembangunan Ava dan menguasai lombong-lombong bijih timah di kawasan ini. Phuket juga boleh menyekat bekalan senjata api dari India supaya tidak masuk ke Thailand jika Burma menguasainya. Satu sebab lagi yang lebih penting ialah ia akan melemahkan cengkaman Siam ke atas negeri-negeri Melayu khususnya ke atas Kedah.
Panglima perang Burma, Atwinwun, menduduki Phuket dalam bulan Januari 1810. Awal-awal lagi beliau menulis sepucuk surat kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah supaya melepaskan diri dari Siam dan menghantar "Bunga Emas" dan Bunga Perak Kepada Ava (Burma). Pada masa ini orang orang Burma dikenali oleh orang orang Kedah sebagai orang "Awak" - (orang Ava). Bak kata orang tua-tua "Lari dari mulut harimau masuk ke mulut buaya". Phuket merupakan kubu penting yang mengawal daerah selatan. Siam Thai tidak akan membiarkan pulau itu jatuh ke tangan Burma selama-lamanya.
Kedah dilindungi "suzerainty" tetapi bukanlah langsung dari Bangkok. Buat beberapa ketika Bangkok menyerahkan pentadbiran Kedah dan negeri-negeri Melayu utara lain ke tangan Ligor (Nakhorn Sri Tammarat). Tetapi Songkhla (Singgora) pun telah mendapat kepercayaan Bangkok untuk mengambil alih tugas-tugas Ligor. Sultan Ahmad Tajuddin menjadi Sultan kerana disokong oleh Raja Singgora yang bersahabat baik dengan Sultan Ahmad Tajuddin. Bangkok menganugerahkan darjah "Cau Phaya" kepada Sultan Ahmad Tajuddin sedangkan Raja Ligor dianugerahkan darjah "Phaya" sahaja.
Dalam zaman Sultan Muhammad Jiwa (1710-1718) Pulau Salang menjadi kepunyaan Kedah dan Kedah berkuasa penuh di kawasan laut antara Pulau Phuket dengan Pulau Pinang. Orang Kedah melombong bijih-bijih timah di kawasan ini dan memungut sarang burung dan siput-siput laut dari beratus-ratus pulau yang terdapat di sini.
Walaupun Kedah tidak lagi memerintah Pulau Salang tetapi orang orang Melayu Kedah yang menduduki beratus-ratus pulau di kawasan ini dan di dataran Ranong, Murgi, Takuapa hingga ke Phuket, Terang, Terutau, Langkawi, Langu, Pangnga dan Setol tidak diganggu oleh Siam dari menjalankan kerja mengumpul hasil-hasil ini. Jika Pulau Salang jatuh ke tangan Burma, bijih timah akan diangkut ke Burma dan mungkin hasil-hasil laut juga akan diambil oleh orang orang Awak.
Sultan Ahmad Tajuddin telah menjawab surat Atwinwun menyatakan rasa gembiranya kerana Burma berjaya menduduki Pulau Salang. Tetapi malangnya Kedah tak dapat berbuat apa-apa kerana satu angkatan Siam yang besar berada di sempadan memerhati tindakan Kedah. Terdapat antara lima ribu hingga enam ribu orang tentera Siam bersiap sedia. Jika Kedah dapat mengusirkan angkatan Siam tersebut mungkin Kedah akan dapat menghantar ufti "Bunga Emas dan Bunga Perak" ke Burma pula. Namun ianya agak mustahil.
Angkatan Siam yang dimaksudkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin itu sebenarnya adalah angkatan dari kerajaan Singgora, dari sahabatnya sendiri, yang sedang digunakan untuk menekan pemberontakan Patani dalam tahun 1808. Siam meminta Sultan Ahmad Tajuddin menghantar orang orang Kedah membantu angkatan tersebut menekan Patani tetapi Sultan Ahmad Tajuddin telah memberi pelbagai alasan yang mengecewakan Siam.
Pemimpin pasukan Kedah memperlihatkan kebijaksanaannya dengan melambatkan perjalanan mereka, berhenti di banyak tempat dengan tujuan tidak mahu melibatkan diri menentang orang orang Patani yang sebangsa dan seagama dengan mereka. Akhirnya apabila mereka tiba di Patani, pemberontakan tersebut telah pun dihapuskan oleh Siam. Siam akhirnya mula menaruh syak terhadap kesetiaan Kedah dan menanti masa sahaja untuk menyerang Kedah.
Dalam keadaan ini, Siam menguji kesetiaan Kedah dengan cara meminta bantuan Kedah mengusir Burma dari Pulau Salang. Bagi membuktikan kesetiaannya kepada Siam atau sebenarnya untuk mengelakkan dari diserang Siam Thai, Sultan Ahmad Tajuddin terpaksa menghantar Laksamananya ke sana bersama dengan 100 buah perahu dan seribu orang pendekar. Mereka akhirnya berjaya mengusir Burma dari Pulau Salang. Kisah kehebatan angkatan perang Kedah dalam peperangan ini dirakamkan dengan lengkapnya dalam "Syair Sultan Maulana".
"Perahu Melayu Telibung Kedah,
Lima puluh dibilang sudah,
Lainnya Siam haram zadah,
Perahu tiada memberi faedah"
Atwinwun terkejut kerana belum sampai seminggu beliau menerima surat Sultan Ahmad Tajuddin mengatakan kegembiraan Kedah melihat Burma berjaya menduduki pulau itu, Sultan Ahmad Tajuddin sendiri pula telah menghantar angkatan perang Melayu Kedah untuk mengusir Burma. Atwinwun sedar bahawa tindakan Sultan Ahmad Tajuddin adalah satu paksaan diplomasi yang mesti dibuat oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Sultan Ahmad Tajuddin barangkali tidak berharap untuk mendapat bantuan Burma bagi melepaskan tekanan Siam ke atas Kedah, namun Burma masih berazam membantu Kedah kerana Siam adalah musuh tradisi Burma yang paling ketat.
Burma diusir dari Phuket dalam bulan Mac 1810 tetapi Atwinwun datang kembali dengan angkatan yang lebih besar dalam bulan Jun. Seribu orang ditugaskan mengambil semula Pulau Phuket manakala enam ribu orang tentera lagi diarah berangkat ke Kedah menghalau Siam yang mengancam Sultan Ahmad Tajuddin. Malangnya angkatan Burma dipukul ribut dan hanyut di celah-celah selat dan teluk di kawasan perairan Phuket. Hampir tiga ribu orang terkorban di laut. Hanya sedikit berdaya mendarat di Takuapa, dan saki baki dari angkatan besar ini berjaya juga menyeberangi Selat Pak Phra dan menduduki sebahagian dari Pulau Phuket itu.
Angkatan Siam yang diketuai oleh anak Raja Ligor kemudiannya berjaya mengusir Burma dari Phuket dalam bulan September tahun itu juga. Siam mengambil beberapa tindakan menjamin supaya kawasan Selatan (Teluk Andaman) tidak diganggu gugat oleh Burma dan melemahkan negeri Kedah yang dikhuatiri kesetiaannya. Siam telah meletakkan Setol dan Langu, dua daerah Kedah, yang diperintahkan oleh Tunku Bisnu bagi pihak Sultan Kedah, di bawah tadbir Raja Singgora. Wilayah Terang, sebuah daerah Kedah yang lebih mewah, diserah kepada Ligor sebagai tukaran kerana sebelum ini Terang ditadbir oleh Singgora.
Sultan Ahmad Tajuddin yang berjasa besar menghalau Burma dari Phuket berasa marah kerana diperlakukan oleh Siam sebegitu. Lembu punya susu sapi dapat nama, lalu lembu kena sembelih. Akibatnya Kedah hilang hak ke atas Langu, Setol dan Terang walaupun itu wilayahnya sendiri. Peperangan membantu Siam mengusir Burma dalam bulan Mac 1810 boleh dianggap satu peristiwa sial yang memulakan tekanan demi tekanan ke atas Kedah dari Bangkok melalui Ligor.
Kejayaan Kedah di Phuket sebenarnya menyemarakkan hasad dengki Raja Ligor, Phaya Noi terhadap Cao Phaya Sultan Ahmad Tajuddin. Apabila Sultan Ahmad Tajuddin bersahabat baik dengan Raja Singgora dan membuat hubungan dengan Inggeris setelah memajakkan Pulau Pinang kepada Inggeris. Raja Ligor terpaksa memfitnah dan menjatuhkan imej Kedah di istana Raja Bangkok. Raja Siam di Bangkok amat rapat dengan Raja Ligor kerana adik perempuan Raja Ligor menjadi seorang gundik kepada Raja Bangkok .
Tindakan Ligor seterusnya mengarahkan Kedah menyerang Perak (1818) dan Ligor sendiri menyerang Kedah (1812) dengan anggapan Kedah akan musnah buat selama-lamanya. Sultan Ahmad Tajuddin berkelana diluar negeri lebih dari 20 tahun dan bila Baginda pulang ke Kedah (1842) Setol dan Langu tidak dipulangkan kepada Baginda, malahan Perlis pula disisihkan. Begitulah nasib kedah dipermainkan oleh Ligor dan Bangkok.
Sumber:
1). Persatuan Sejarah Kedah.
2). Microfilm Syair Sultan Maulana.
3). British Library Blog.
No comments:
Post a Comment