Monday, February 1, 2010

PENGLIBATAN MELAKA DALAM PERANG DI NEGERI LANXANG

Tahukah anda, bahawa Kesultanan Melaka pernah bertelagah dan bertempur dengan Kerajaan Annam atau orang Dai Viet (Orang Kuci)? Ya, kekuatan dan pengaruh Melayu Melaka di Asia Tenggara sebenarnya lebih dari yang kita jangkakan. 

Ramai yang meragui Melaka adalah sebuah kerajaan yang kuat dan berpengaruh malah ada yang menganggap kerajaan Melaka itu langsung tidak wujud. Kalau ia tidak wujud mengapa catatan-catatan asing sibuk-sibuk mahu menulis tentangnya? Tak ke pelik tu? Sekitar tahun 1469 dalam catatan China disebut bahawa serombongan utusan dari Melaka yang dalam pelayaran balik dari China telah dipukul ribut dan terkandas di Vietnam. Kesemua anak kapal ditangkap, ada yang dibunuh malah yang muda dan anak-anak dikasi dan dijadikan sida-sida oleh orang Vietnam.


Melaka telah mengadukan hal tersebut kepada Maharaja China sekitar tahun 1481, pada mulanya Melaka tidak mahu bertindak kerana tahu bahawa Vietnam juga adalah negara yang menghantar ufti ke China. Utusan Melaka Duan Ya Ma La Di Na Cha (Tun Seri Nara Diraja?) juga telah mengadukan rancangan Vietnam untuk menyerang dan menakluk Melaka. Sewaktu utusan Melaka berada di China kebetulan utusan dari Vietnam juga turut ada. Hal ini telah menyebabkan timbul pertengkaran diantara wakil Melaka dengan wakil Vietnam tentang tindakan biadap Vietnam yang telah menculik dan membunuh utusan Melaka sebelum itu.


Mereka berdua ditenangkan oleh salah seorang menteri pertahanan China ketika itu yang menasihati mereka agar melupakan persengketaan kerana perkara tersebut telah lama berlalu. Sebelum kedua-dua utusan tersebut pulang ke negeri masing-masing, Maharaja China telah mengirimkan surat yang menyelar perbuatan Maharaja Vietnam dan menasihatinya agar berbuat baik dengan negara tetangga dan merenung kesalahan sendiri. Manakala Maharaja China telah bertitah kepada utusan Melaka supaya bertindak tegas dan menyiapkan tentera serta kuda perang sekiranya Vietnam tetap mahu menyerang Melaka kelak.


Dalam sejarah, Maharaja Vietnam yang dimaksudkan diatas adalah Le Than Tong. Pada zaman beliau wilayah kekuasaan Vietnam mencapai sehingga sempadan Burma. Le juga dikatakan telah menyerang kerajaan Lanxang dengan 90 ribu askar namun dalam satu serangan mereka telah kalah dan terpaksa berundur kembali. Walaupun dalam catatan sejaran Lanxang dan Vietnam tidak pernah menyebut keterlibatan Melaka dalam perang diantara Lanxang dan Vietnam ini, namun kronik China ada mencatatkannya. Dikatakan bahawa 90 ribu bala tentera Vietnam telah melanggar Lanxang namun mereka berjaya diusir oleh angkatan perang Melaka dan mengakibatkan mereka kehilangan seramai 30 ribu nyawa. Peristiwa ini tercatat didalam kronik China Ming Shilu. Adakah peristiwa ini merupakan tindakbalas Melaka terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Vietnam sebelum itu? Faktor penentu kekalahan Vietnam ini pastinya adalah kerana kehebatan Melaka di medan tempur.


Memandangkan tentera Melaka perlu merentas negara Kemboja atau Siam Ayuthia untuk ke Lanxang maka dapatlah disumpulkan bahawa salah satu atau kedua dua pihak ini telah membenarkan bala tentera Melaka melintasi negara mereka kerana berasa terancam dengan dasar perluasan kuasa Vietnam sepanjang pemerintahan Maharaja Le Than Tong 1460-97. Kegagalan besar ini melenyapkan impian Le Than Tong untuk meluaskan lagi empayarnya sekaligus mengesahkan keunggulan Melaka ke atas semua kuasa lain di Asia tenggara meskipun jumlah tentera dan penduduk Vietnam adalah berkali ganda lebih besar. Saya percaya kemenangan ini juga dibantu oleh jajahan takluk Melaka yang lain termasuk tentera Siam Ayuthia dan Lanxang sendiri.


Dalam Sulalatus Salatin ada satu kisah mengenai utusan Melaka ke Siam. Dalam peristiwa ini Raja Siam telah meminta bantuan rombongan Melaka untuk berperang dengan musuh mereka di wilayah sebelah matahari jatuh atau barat. Namun Tun Telanai membuat helah supaya mereka dapat berperang dengan musuh yang berada di kedudukan matahari naik atau timur. Jika dilihat peta kerajaan-kerajaan lama zaman tersebut didapati kerajaan Lanxang memang berada di sebelah timur Siam iaitu di Laos sekarang. Dalam catatan sejarah Vietnam, Ayuthia atau Siam juga pernah berada dibawah taklukan Vietnam untuk beberapa ketika pada zaman Le Than Tong. Adakah peristiwa ini adalah peristiwa dimana tentera Melaka berjaya mengusir 90 ribu tentera Vietnam yang menyerang Lanxang seperti dalam kronik China tersebut? Wallah hu 'lam. Saya belum mendapat jawapan yang pasti.


Namun apa yang pasti ialah hubungan diantara orang Melayu dengan kerajaan di IndoChina atau Lanxang sebenarnya bukan baru dan bukan kebetulan. Orang Melayu Semenanjung sebenarnya telah lama berada di tanah besar Asia Tenggara dan bukannya berasal dari Sumatera. Sebahagian besarnya berada di IndoChina dan Segenting Kra, dan mereka membina tamadun di Negara kota-negara kota mereka. Orang Melayu yang menubuhkan Langkasuka bukanlah Melayu Sumatera. Langkasuka ada kaitan dengan Funan dan orang Melayu Semenanjung pada zaman purba punyai hubungan dengan Khmer, Pyu, Mon, Burma, Dai-Viet, Lao dan Tai.  Jadi boleh dikatakan bahawa Melayu Semenanjung kebanyakannya berasal dari IndoChina, Segenting Kra hingga ke utara Malaysia. Sebab itu kita lihat orang Kedah-Perlis dan Kelantan-Pattani mempunyai loghat yang sangat ketara dan unik.


Berbalik kepada negeri Lanxang, dalam Hikayat Merong Mahawangsa ada menceritakan mengenai pembukaan sebuah negeri di IndoChina. Apa yang menariknya adalah negeri tersebut bernama Siam Lancang, sebutan Lancang saling tak tumpah seperti sebutan negeri Lanxang yang kita bincangkan tadi. Negeri Siam Lancang dibuka oleh anak Raja Merong Mahapudisat yang paling tua, bersama-sama Pra Chisim dan isterinya Nang Sutaman, pemerintah bangsa gergasi. Bagi saya gelaran gergasi ini adalah pengkelasan orang Melayu zaman itu untuk satu kaum lain yang lebih ‘gasar’ atau berbeza dengan mereka, sepertimana orang China zaman imperial yang menggelar semua bangsa dari Negara luar sebagai barbarian atau hantu.


"Setelah didengarnya oleh Raja Merong Mahapudisat sembah menteri itu, “Jikalau demikian hendaklah saudara kerahkan segala kaum gergasi himpun sekaliannya dan panggil penghulu Pra Chisim dan penghulu Nang Sutaman itu ke mari, kita beri ia pergi bersama-sama anak kita dan orang kita Melayu, setengah kita suroh pergi bersama anak kita yang tua ini kita hantarkan ka hulu di sebelah utara barat laut. Maka tanah bumi itu lanjut jauh jua perjalanannya"


"...Maka di situlah sekalian berbuat istana dengan kota parit serta dihimpunkan segala orang yang duduk bertaboran pechah belah itu. Maka di satukan sekaliannya, maka menjadi besarlah. Maka dinamai negeri itu Siam Lancang, tempat membuat kota istana itu.."


Dalam Hikayat Merong Mahawangsa juga disebut bahawa perjalanan dari utara Semenanjung ke Siam Lancang itu mengambil masa 200 hari perjalanan (berjalan kaki), iaitu kira-kira 6 bulan. Bagi pendapat saya tempoh ini adalah munasabah kerana terpaksa melalui hutan dan bukit bukau di tengah-tengah tanah besar Asia Tenggara bersama pengikut yang ramai. Saya yakin wilayah dimana kerajaan Lanxang yang ditubuhkan sekitar 1354 itu adalah sama dengan negeri purba Siam Lancang dalam Hikayat Merong Mahawangsa.


Dan yang lebih menarik ialah pemerintah pertama Lanxang iaitu Fa Ngum diberi gelaran "Phragna Fah-La-Thorani Sisatanakanahud". Gelaran ini sebenarnya sebutan Lao kepada "Pongna Prah Dharnindra Sri Santan Naga Nahud" di dalam bahasa Sanskrit. Gelaran "Sri Santan Naga" itu juga sebenarnya berasal daripada gelaran raja-raja Melayu Champa! Seorang raja Melayu Champa bernama Simha Jayavarman memakai gelaran 'Sri Siantan'. Malah di Laos ada tempat yang bernama Champasak. Ini menunjukkan bahawa memang wilayah Laos atau Lanxang pernah dikuasai dan diduduki oleh rumpun Melayu sebelum kedatangan Fa Ngum.


Mungkin Fa Ngum telah membina Lanxang selepas mengalahkan raja Melayu terakhir di wilayah Siam Lancang itu kemudian menubuhkan kerajaannya sendiri. Ini kerana ketika itu juga kerajaan Sukhotai juga sedang meluaskan pengaruhnya dan sedang menawan negeri-negeri Mon-Khmer dan Melayu di sekitar benua Siam. Seperti biasa, kebudayaan awal negeri-negeri Tai akan meniru atau mengasimilasikan kebudayaan negeri-negeri yang ditakluknya. Untuk mengetahui kebudayaan bangsa Tai yang sebenar, kita perlu lihat budaya suku kaum Zhuang di China dan Shan di Myanmar. Budaya orang Tai sebenarnya adalah budaya suku kaum bukit yang berasal dari tengah China dan bukan seperti yang kita boleh lihat di Laos dan Thailand sekarang. Jadi jika kita tahu sejarah kuno orang orang Melayu di IndoChina, kita tidak akan pelik jika Melaka mampu untuk mengerahkan tenteranya hingga ke Laos dan mengalahkan tentera Vietnam yang terkenal kuat itu.



No comments:

Post a Comment