Perlunya kita memahami bahawa dengan kita mencari ilmu atau menghadiri majlis ilmu adalah untuk kita mencari mahabbah. Ada ikatan yang begitu erat yang tidak dapat dipisahkan antara ilmu dan kasih-sayang (cinta). Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadisnya, “Ajarkan anak-anak kamu 3 perkara (ilmu):
1- cinta kepada Nabi s.a.w
2- cinta kepada ahli keluarga Nabi s.a.w
3- membaca Al-Quranul Kareem
Seseorang yang memempunyai ilmu, tapi ilmunya tidak melahirkan rasa cinta, maka ilmu itu tiada manfaatnya, umpama pokok yang ditanam, disiram tapi tiada buahnya. Maka, ketika mencari ilmu, kita diajarkan agar ilmu itu melahirkan rasa cinta kepada sesiapa sahaja.
PERTAMA, lahirkanlah daripada ilmu yang kita belajar - CINTA kepada Allah s.w.t.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w perintahkan untuk kita cinta kepada Allah s.w.t. Kata pepatah, kalau tak kenal, maka tak cinta. Daripada kita akan kenal Allah s.w.tkalau kita tidak belajar? Sabda Rasulullah s.a.w, “Cintailah Allah s.w.tkerana Allah yang memberi nikmat kepada kamu, cintailah aku kerana cintamu kepada Allah, dan cintailah ahli keluargaku kerana cintamu kepadaku.” Nabi s.a.w mengikat ilmu dengan cinta. Oleh itu, lahirkanlah daripada ilmu kita cinta kepada Allah s.w.tialah dengan mematuhi segala perintah-Nya, dan meninggalkan segala apa yang dilarang. Itulah makna ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Bahkan kecintaan Allah s.w.tdapat dilahirkan dengan mendahulukan apa yang diinginkan Allah s.w.tberbanding apa yang diingini diri sendiri. Yang KEDUA, lahirkanlah daripada ilmu yang kita perolehi, cinta kepada Nabi s.a.w, dengan mengenali dan mengkaji sirahnya, dan akhlaknya serta melakukan apa yang diajarnya. Yang KETIGA: Ilmu perlu melahirkan cinta kepada kaum mukminin secara khas dan secara am. Secara khas ialah mencintai kaum mukminin daripada kalangan orang-orang yang soleh, para asatizah, orang-orang ahli ilmu. Mereka diberikan hak yang lebih kerana ilmu yang ada pada mereka.
Dan belajarlah daripada ilmu untuk mencintai kaum mukminin secara amnya, walaupun kepada yang bermaksiat kepada Allah s.w.t, walaupun kepada yang melakukan kesalahan terhadap Allah s.w.t. Bagaimana kita mencintai orang yang bermaksiat kepada Allah? Bagaimana kita mencintai orang yang derhaka kepada Allah s.w.t? Cintailah mereka dengan mengharapkan mereka mendapat hidayah daripada Allah s.w.t. Cintailah orang yang jahil dengan mengajar kepada mereka. Cintailah orang yang bermaksiat dengan menasihati agar mereka berhenti daripada maksiatnya. Demikian kecintaan disesuaikan dengan kedudukan orang yang dicintai - bukan cinta kerana dia berbuat maksiat, tapi cintai dia dengan mengharapkan dia mendapat hidayah dan kembali kepada Allah s.w.tdan itulah hakikat cinta yang sebenar.
Bukankah di dalam hadis Rasulullah s.a.w - ketika baginda mengimamkan solat, dibelakang baginda ada makmun yang bersin, lalu ada Badwi yang mengucapkan “Ya Harmukallah”. Makmum lain berasa hairan dengan sikap Badwi dan menunjukkan riak tidak suka kepadanya sehingga dia bertanya, “Kamu tengok aku begini sebab apa?” Sahabat lain saling menepuk peha sebagai isyarat, dan barulah Badwi itu faham yang perbuatannya bercakap dalam solat itu salah. Tapi bagaimana Rasulullah s.a.w berhadapan dengan sikap Badwi itu yang tidak tahu perbuatannya salah? Kata Badwi itu, “Demi Allah, Rasulullah s.a.w tidak marah kepada aku, tidak herdik kepada aku, tidak kasar kepada aku.” Inilah sikap orang yang berilmu kepada orang yang bersalah, atau yang jahil, yakni disikapi dengan kasih-sayang untuk diajar dan diberitahu. Kata baginda Rasulullah s.a.w, “Saya diutus untuk mengajar ilmu.”
Seseorang yang ada tempat untuk mendapatkan ilmu, gurunya ada, selesa, tetapi bila nikmat ini tidak dibalas dengan menghadirinya (majlis ilmu), sungguh orang ini telah merugikan dirinya daripada nikmat yang datang daripada Allah s.w.t. Tanda seseorang menghargai tempat seumpama ini yang diadakan majlis ilmu ialah dengan menghadirinya, dan istiqamah. Kata Luqman Al-Hakim kepada puteranya, “Wahai anakku, duduklah dengan ulama, rapatkan lutut kamu dengan lutut mereka (yakni jangan berpisah dengan mereka, jangan berteman dengan selain ulama)”. Kata pepatah, maksudnya - “Siapa yang duduk bersama orang itu, dia akan jadi seperti orang itu.” Jadi, terpulang, jika duduk dengan orang berilmu, maka akan dapat serpihan ilmu tersebut. Kalau duduk dengan orang yang tidak baik, akan dapat kesan perangai orang yang tidak baik itu.
Perintahnya - DUDUK, bukan hanya belajar walaupun duduk itu untuk belajar. Luqman Al-Hakim juga memberikan sebab kenapa perlu duduk dengan ulama, kerana sesungguhnya Allah akan menghidupkan hati dengan ilmu. Dihidupkan hati untuk mahabbah , untuk rahmat, untuk sayang, untuk diberikan hidayah, untuk beradab, untuk berakhlak, kesemuanya bahagian daripada sifat hati. Tanpa ada ilmu, hati takkan hidup. Alangkah rugi orang yang hidup badannya tapi hatinya mati. (Daripada tausiyah Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid).
No comments:
Post a Comment