Tutup mata hatimu dari melihat segala sesuatu selain Allah. Selagi mata hatimu masih melihat semua itu, maka kurnia Allah dan kedekatan kepada-Nya tidak akan terbuka bagimu. Oleh kerana itu, tutuplah semua itu dengan kesedaran bertauhid kepada Allah, mem-fana’-kan diri kamu dan dengan ilmu kamu. Setelah itu, akan terbukalah mata hatimu untuk melihat Allah Yang Maha Besar.
Kamu akan melihat-Nya dengan mata hatimu, apabila Dia datang dengan pancaran cahaya hatimu, dengan keimanan dan kepercayaanmu yang teguh. Ketika itu, tampaklah satu nur dari hatimu lalu memancar keluar, ibarat cahaya lampu dari dalam rumah yang memancar sela-sela dan celah-celah dinding rumah itu lalu menerangi malam yang gelap gulita. Maka, diri dan anggota badan kamu akan merasa senang terhadap janji dan kurnia-Nya, bukan terhadap janji dan hadiah yang datang langsung dari selain Dia.
Oleh kerana itu, sayangilah dirimu dan janganlah engkau zalimi. Janganlah engkau campakkan dirimu ke dalam kegelapan kebodohan dan kejahilanmu, agar engkau tidak melihat segi-segi makhluk dan mengagumi kekuasaan dan kepintarannya, sehingga terpedaya dan bergantung padanya. Jika kamu hanya melihat segi-segi makhluk sahaja, maka semua segi itu akan tertutup bagimu dan segi kurnia Allah tidak akan terbuka untukmu, kemudian kamu akan mendapatkan hukuman, kerana kamu telah bersikap syirik.
Apabila kamu menyedari ke-Esa-an Allah, melihat kurnia-Nya, berharap kepada-Nya, tidak berharap kepada yang lain dan menutup mata hatimu terhadap yang lain selain Dia, maka Allah akan mendekatimu dan melimpahkan rahmat-Nya kepadamu. Kamu akan diberi rezki, makan dan minum, layanan pengubatan, kebahagiaan, kesentosaan dan pertolongan serta menjadikan kamu sebagai pemerintah. Kamu akan dihilangkan dari makhluk dan dari diri kamu sendiri. Setelah itu, kamu tidak akan lagi memandang kaya atau miskin.” (Sheikh Abdul Qadir Al Jilani).
No comments:
Post a Comment