Friday, January 8, 2016

NABI ALLAH KHIDIR

Nama sebenar Nabi Khidir ialah Balya bin Malkan bin Faligh bin Abir bin Syalikh bin Arfakhsyaz bin Sam bin Nuh a.s (Nabi) dan gelarannya pula ialah Abu Al Abbas. Beliau juga dikenali dengan panggilan Khidir kerana dua sebab: pertama - Rasululllah s.a.w bersabda, “Dia dinamakan Khidir kerana ketika dia duduk di atas rumput, tiba-tiba memancar cahaya hijau dari arah belakangnya (HR Bukhari daripada Abu Hurairah). Sebab kedua ialah Al-Khattabi berkata, “Dia dinamakan Khidir kerana wajahnya cantik dan berseri-seri (Rujuk Al-Bidayah Wan Hinayah - Ibnu Katsir 1/327).

Malkan iaitu ayah kepada Nabi Khidir adalah seorang raha yang amat berpengaruh dan terkenal dengan kekejamannya. Ketika Nabi Khidir masih kecil, dia dihantar belajar dengan seorang guru yang berakhlak mulia. Di antara rumah guru dan istana Malkan, ada seorang ahli ibadah yang mana Nabi Khidir amat tertarik dengannya. Maka dia belajar dan tinggal bersama orang yang ahli ibadah tersebut. Gurunya beranggapan bahawa Nabi Khidir berada di istana Raja Malkan manakala Raja Malkan pula beranggapan bahawa Nabi Khidir berada di rumah gurunya. Tetapi sebenarnya Nabi Khidir tinggal dan belajar secara tidak rasmi dengan ahli ibadah itu. 

Setelah beliau meningkat dewasa, pembesar-pembesar istana mencadangkan supaya dia segera dikahwinkan untuk mendapatkan keturunan atau penerus kerajaan Raja Malkan. Kemudian Raja Malkan menawarkan dan menyuruh Nabi Khidir mendirikan rumahtangga. Bagaimana pun Nabi Khidir enggan menerima tawaran tersebut. Setelah berulangkali disuruh oleh ayahnya, akhirnya Nabi Khidir bersetuju dan berkahwin dengan seorang puteri raja. 

Setelah agak lama menjadi pasangan suami isteri, maka Nabi Khidir memberitahu isterinya: “Aku beritahu kepadamu tentang suatu rahsia ku, jika kamu rahsiakan kamu akan selamat di dunia dan akhirat tetapi jika kamu bocorkan rahsia ku ini, kamu akan disiksa di dunia dan di akhirat”. Isterinya bertanya, “Apakah rahsia itu?”  Nabi Kahidir menjawab: “Sesungguhnya aku ini seorang lelaki yang beragam Islam, bukan seperti ayahku dan aku tidak memerlukan seorang perempuan dalam hidupku. Oleh itu jika kamu bersetuju hidup bersamaku dan mengikut agamaku, maka kita boleh terus hidup bersama dan sekiranya kamu tidak bersetuju denganku maka aku membenarkan kamu pulang ke rumah keluargamu”. ISterinya Nabi Khidir membalas, “Aku akan terus setia bersama mu”.

Setelah lama berumahtangga dan tidak mempunyai anak maka penbesar negara dan orang ramai bertanya kepada Raja Malkan, “Bahawa anak kamu itu sebenarnya mandul dan tidak dapat memperolehi anak”. Lantas Raja Malkan bertanya kepada Nabi Khidir, “Telah lama kamu berkahwin tetapi sehingga hati ini kamu masih belum mempunyai anak?” Balas Nabi Khidir “Hal ini bukanlah di bawak kekuasaanku tetapi di bawah kekuasaan Tuhanku Allah s.w.t. Dia mengurniakan anak kepada sesiapa yang dikehendakkinya”. Soalan yang sama ditanya oleh Raja Malkan kepada isteri Nabi Khidir dan jawapan yang diperolehi daripada isteri Nabi Khidir adalah sama sebagaimana yang diperolehi daripada suaminya. 

Setelah sekian lama telah berkahwin tetapi masih belum dikurniakan anak, Raja Malkan menyuruh Nabi Khidir menceraikan isterinya. Nabi Khidir enggan berbuat demikian pada mulanya tetapi Raja Malkan terus memaksa dan akhirnya Raja Malkan memisahkan antara suami isteri tersebut. Kemudian secara paksa, Raja Malkan mengahwinkan Nabi Khidir dengan seorang janda muda yang telah mempunyai anak dengan harapan mudah-mudahan perkahwinan ini nanti akan membuahkan hasil iaitu mempunyai anak untuk meneruskan keturunan dan kerajaan Raja Malkan. Malangnya keadaan yang sama berlaku. Setelah lama berkahwin, mereka masih belum dikurniakan anak. Apabila Nabi Khidir ditanya tentang hal ini, jawapannya sama seperti dahulu. Kemudian Raja Malkan bertanya kepada isteri keduanya, “Kamu ini adalah janda muda yang sudah mempunyai anak sebelum kahwin dengan anakku, kenapa pula kamu tidak memperolehi anak setelah berkahwin dengannya?”

Isteri kedua Nabi Khidir menjawab, “Semenjak kami berkahwin sehingga sekarang, saya tidak pernah disentuh sama sekali oleh beliau”. Kemudian bekas isteri pertama Nabi Khidir dipanggil dan ditanya, jawapannya tetap sama seperti mula-mula dahulu. Nabi Khidir dipanggil oleh Raja Malkan dan dimarahi dengan bahasa yang kesat serta kasar sehingga hati baginda terasa. Justeru itu, Nabi Khidir berasa tidak bahagia dan tidak selesa serta tidak tenteram untuk tinggal di istana Raja Malkan. Akhirnya Nabi Khidir meninggalkan istana Raja Malkan dan pergi merantau. 

Raja Malkan, ayahanda kepada Nabi Khidir amat sedih dan menyesal dengan kejadian itu. Justeru Raja Malkan mengerahkan 100 orang mencari Nabi Khidir ditempat yang berlainan, sebelah utara, selatan, timur dan barat. Mereka berpecah mengikut kumpulan. Akhirnya, sekumpulan 10 orang berjaya menemui Nabi Khidir di sebuah pulau yang kecil dan terpencil. Nabi Khidir berkata kepada kumpulan 10 orang ini. ”Aku akan katakan sesuatu yang bila kamu rahsiakan, kamu akan selamat di dunia dan akhirat. Tetapi jika kamu bocorkan rahsia ini, kamu akan disiksa di dunia dan di akhirat.” Mereka kumpulan 10 bertanya “Apakah rahsia itu?” Namun Nabi Khidir bertanya lagi kepada mereka “Adakah orang lain yang mencari aku selain daripada kamu sekelian yang bersepuluh.” “Ya, ada” Balas mereka. Nabi Khaidir terus berkata “Jika kamu merahsiakan pertemuan kita ini daripada ayahanda ku tentang pertemuan kita di pulau kecil ini. Sebabnya, jika kamu beritahu ayahanda ku tentang pertemuan kita ini, nanti aku akan dibunuh dan kamu juga akhirnya akan dibunuh selepas itu,”

Namun setelah kumpulan 10 pekerja istana ini pulang ke istana Malkan dan bertemu Raja Malkan, 9 daripada mereka jujur kepada Raja Malkan dengan memberitahu bahawa mereka telah bertemu Nabi Khidir. Manakala, hanya seorang yang merahsiakan pertemuan tersebut daripada Raja Malkan. Sembilan yang mengaku bertemu Nabi Khidir dikerah untuk mencari dan membawa pulang Nabi Khidir Ke istana. Malangnya, Nabi Khidir tiada di pulau kecil tersebut kerana beliau telah merantau ke tempat yang lain. Semua 9 orang pekerja istana ini pulang dengan tangan kosong dan mati dihukum pancung oleh Raja Malkan. Yang seorang lagi selamat kerana beliau menjaga rahsia dan telah melarikan diri dari istana Raja Malkan.

Isteri kedua Nabi Khidir si janda muda itu juga turut di hukum bunuh kerana menjadi pencetus kepada kekacauan yang berlaku dalam istana Raja Malkan. Kerana takut dibunuh oleh Raja Malkan, bekas isteri pertama Nabi Khidir, si Puteri Raja lari menginggalkan istana Raja Malkan bersama-sama pekerja istana yang menjaga rahsia. Akhirnya mereka berdua bertemu di perantauan dan mereka berjanji untuk menutup rahsia masing-masing. Mereka akhirnya bertemu jodoh dan berkahwin. Mereka merantau ke Mesir Dan bekerja dengan Raja Firaun di sana. Si isteri bekerja sebagai pengasuh anak perempuan Firaun. Dalam sejarah dia dikenali dengan Nama MASHITAH (Tukang Sikat Rambut). Sementara, suaminya pula bekerja sebagai tukang kayu, namanya ialah HIZQIL (Pembuat kotak yang menghanyutkan Nabi Musa a.s ketika bayi di dalam Sungai Nil).

Rumusan. Salah satu pernyataan Khidir yang sering dikemukakan oleh tokoh sufi adalah perkataan Wahab bin Munabeh, Khidir berkata: "Wahai Musa, manusia akan diseksa di dunia sesuai dengan kadar kecintaan mereka atau kecenderungan fahaman mereka terhadapnya (dunia).” Sedangkan Ulama.. Bisyir bin Harits al-Hafi berkata: "Musa berkata kepada Khidir: "Berilah aku nasihat." Khidir menjawab: "Mudah-mudahan Allah s.w.t memudahkan kamu untuk taat kepada-Nya.” Para ulama dan para ahli zuhud berselisih pendapat tentang Khidir dan setiap mereka mengakui kebenaran pendapat masing-masing. Perbezaan pendapat ini berhujung pangkal kepada anggapan para ulama bahawa mereka adalah sebagai pewaris para nabi, sedangkan kaum sufi menganggap diri mereka sebagai ahli hakikat yang mana salah satu tokoh terkemuka dari ahli hakikat itu adalah Khidir.

Kami sendiri cenderung untuk menganggap Khidir sebagai seorang Nabi kerana beliau menerima ilmu laduni. Yang jelas, kita tidak mendapati nas yang jelas dalam konteks Al-Quran yang menunjukkan kenabiannya dan salasilah nya, kita juga tidak menemukan nas jelas yang dapat kita jadikan sandaran untuk menganggapnya sebagai seorang wali yang diberi oleh Allah s.w.t sebahagian ilmu laduni.

Barangkali kesamaran mengenai peribadi yang mulia ini memang disengaja agar kita yang mengikuti kisah ini mendapatkan tujuan utama dari inti cerita. Hendaklah kita berada di batas yang benar dan tidak terlalu jauh mempersoalkan kenabiannya atau kewaliannya atau salasilahnya. Yang jelas, ketika saya memasukkannya dalam jajaran para nabi kerana ia adalah seorang guru dari Musa dan beliau diperintahkan Allah. (Sumber : Al Syeikh Hamdan Bin Muhtar, Kitab Baidai’iz karangan Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Iyas).

No comments:

Post a Comment