Thursday, February 11, 2016

PERJALANAN MENUJU KEHAMBAAN SEJATI

Jika Dia melenyapkanmu daripada hawamu dengan hikmah * , dan daripada kehendakmu dengan ilmu ** , maka kamu akan menjadi hamba yang terurus, tiada lagi hawa bagimu dan tiada lagi kehendak. Maka pada ketika itu, akan tersingkap bagimu daripada dirimu maka bersimpuhlah kehambaan dalam ketauhidan atau keEsaan [wahdaniyah]. Maka, akan lenyap hamba dan akan kekal hanyalah Allah azza wa jalla***.

Huraian:

* Kebijaksaan Allah azza wa jalla yang terzahir dalam kejadian makhluk dan tujuan di sebalik penjelasan ketuhanan (syariat). Allah azza wa jalla membantu seorang hamba dalam menghadapi hawa nafsunya dengan menzahirkan kebijaksaan-Nya di sebalik setiap sesuatu dalam hatinya, lalu hamba itu tunduk mengagungkan Allah azza wa jalla dan mengakui kebijaksaan Allah azza wa jalla dalam pentadbiran-Nya.

** Jika Allah azza wa jalla memberi faham kepada seseorang hamba tentang hakikat ketuhanan-Nya, maka hamba tersebut akan meninggalkan kehendaknya lalu hanya berkehendak kepada apa yang dikehendaki oleh Allah. Lalu, terbit sifat redha terhadap setiap ketentuan Allah dan dia sentiasa istikharah untuk melakukan sesuatu, agar diberi petunjuk oleh Allah dalam setiap tindakannya.

*** Iaitu, setelah penyaksian tauhid yang khusus dalam jiwa seorang hamba bersemai, maka dia menyasikan segala makhluk adalah daripada Allah azza wa jalla secara pandangan yang hakiki. Maka, lenyapkan keakuan diri dan hanya yang tinggal adalah penyaksian hakikat ketuhanan Allah azza wa jalla di seluruh makhluk.

(Syeikh Arsalan ad-Dimasyqi r.a., disyarah oleh al-Faqir ila Rabbihi Raja Ahmad Mukhlis al-Azhari).

No comments:

Post a Comment