Dalam sebuah hadis qudsi :
يَا ابْنَ آدَمَ ! تَفَرَّغْ لِعِبَادَتِي أَمْلَأْ قَلْبَكَ غِنًى وَأَمْلَأْ يَدَيْكَ رِزْقًا . يَا ابْنَ آدَمَ ! لَا تُبَاعِدْ عَنِّي أَمْلَأْ قَلْبَكَ فَقْرًا وَأَمْلَأْ يَدَيْكَ شُغْلًا "رواه [ الترمذي 2466 ] و [ الحاكم 7926 ] وَقَالَ : صَحِيحُ الْإِسْنَادِ
Allah s.w.t berfirman: "Wahai anak Adam!, luangkan masa untuk beribadah kepada-Ku, akan Ku penuhkan hatimu dengan kekayaan dan kedua tangan mu dengan rezeki. Wahai anak Adam!, jangan menjauhkan diri dari-Ku, akan Ku penuhkan hatimu dengan kefakiran dan kedua tanganmu dengan kesibukan"
INTISARI HADIS: Hidup ini untuk beribadah kepada Allah kerana itu jangan jadikan ibadah kerja sampingan. Kekayaan hati adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang teguh beribadah. Hamba yang kaya hatinya tidak lagi bergantung harap kepada selain Allah, merasa cukup dengan anugerah Allah dan tidak keluh kesah dengan ujian hidup. Kemurahan rezeki buat ahli ibadah, aptah lagi yang menjadikan setiap gerak lakunya semata-mata kerana Allah sehingga tiap sesuatu yang dilakukan menjadi ibadah.
Meninggalkan ibadah bererti menjauhkan diri dari Allah. Ia akan menyebabkan hati dipenuhi kefakiran dan rasa tidak pernah cukup dengan rezeki yang ada. Suatu musibah yang besar bagi hati yang tidak merasa cukup dengan anugerah Allah kerana ia akan mendorong seseorang melakukan perkara mungkar untuk memenuhi keperluan hatinya. Mengabaikan tanggungjawab ibadah akan menyebabkan seseorang disibukkan dengan urusan hidup yang tidak berkesudahan dan serba kekurangan.
MUHASABAH DIRI: Adakah ibadah kita hari ini hanya sekadar mengisi masa yang terluang? Apakah patut waktu kita segar digunakan sepenuhnya untuk kerja dunia tapi waktu mengantuk, kepenatan dan lesu baru kita peruntukan untuk beribadah kepada Allah? Adakah kesibukan dan serba tidak cukupnya kita hari ini disebabkan mengabaikan hubungan dengan Allah? Jangan sesekali kata tak ada masa untuk ibadah, majlis ilmu dan zikrullah tetapi berilah masa kerana hidup ini untuk menjadi hamb Allah. Jangan merasa malu untuk bertaubat kerana banyaknya dosa tetapi malulah untuk melakukan dosa kerana sudah banyak bertaubat.
Ya Allah kami memohon rahmat dan perhatian-Mu, anugerahkanlah iman yang teguh, hati yang suci, akhlak yang luhur dan kehidupan yang sakinah. Kuatkanlah kami dengan iman dan yaqin, taqwa dan taat, agar kami tergolong dari kalangan hamba-hamba-Mu yang diredhai dunia dan akhirat, anugerahkan kami keberkatan ilmu, amin. (Ustaz Mohd Hazri al-Bindany).
No comments:
Post a Comment