Akhukum fillah, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan (16 Jun 2016 bersamaan 11 Ramadhan 1437H)
*Mahu Qiamullail di rumah. Perlukah meninggalkan imam ketika solat witir?*
Jawapan:
Pertama: Sewajarnya solatlah bersama imam sehingga selesai, jadi tidak perlu balik ketika imam solat witir. Ini kerana Nabi s.a.w bersabda:
إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Sesungguhnya sesiapa yang solat bersama imam hingga selesai, ditulis untuknya (ganjaran) menghidupkan keseluruhan malam. (Imam an-Nasaie dalam as-Sunan al-Kubra, Kitab Qiyamillail Wa Tathowu’ an-Nahar, hadis no : 1281)
Kedua: Perlu diingatkan bahawa witir hanya boleh dilakukan sekali sahaja dalam 1 malam.
عَنْ قَيْسِ بْنِ طَلْقِ بْنِ عَلِيٍّ ، عَنْ أَبِيهِ ، قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : ” لَا وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ “
Thalaq r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada dua witir dalam satu malam.
[Sunan at-Tirmizi, Kitab as-Solat, Abwab al-Witr, hadis no: 432, hasan gharib]
Ketiga: Oleh sebab itu, jika anda mahu mendirikan Qiamullail, ada 2 cara:-
A- Solat witir bersama imam di masjid. Ketika bangun Qiamullail tidak perlu lagi solat witir. Tiada masalah mendirikan solat sunat walau sudah mendirikan solat witir.
‘Aisyah r.ha berkata:
كَانَ يُصَلِّي ثَلَاثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً ، يُصَلِّي ثَمَانَ رَكَعَاتٍ ، ثُمَّ يُوتِرُ ، ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ
Baginda Rasulullah s.a.w solat sebanyak tiga belas rakaat. Baginda melakukan solat sebanyak lapan rakaat, kemudian melakukan witir (sebanyak lima rakaat), kemudian solat dua rakaat dalam keadaan duduk. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafirin Wa Qasriha, Bab Solat al-Lail Wa ‘Adadi Raka’ati, hadis no: 1226)
B - Solat bersama imam, tetapi ketika imam solat witir, kita berniat untuk solat sunat 2 rakaat. Jadi apabila imam memberi salam, kita menambah satu rakaat lagi. Dengan ini, kita dapat melaksanakan witir di hujung malam selepas qiamullail.
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا ” .
‘Abdullah bin ‘Umar r.a meriwayatkan Nabi s.a.w bersabda: Jadikanlah witir sebagai akhir solat kalian di waktu malam. (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jumu’ah, Abwab al-Witr, hadis no: 948)
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment