Mufti Wilayah Persekutuan IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN #75: HUKUM PENGGUNAAN GINCU BIBIR KETIKA BERPUASA
Soalan: Adakah batal puasa saya apabila saya mengenakan gincu bibir pada siang hari Ramadan?
Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda s.a.w, sahabat baginda s.a.w serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda s.a.w.
Berdasarkan persoalan yang diajukan, hukum penggunaan gincu bibir pada siang hari Ramadan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana ia tidak menelan masuk ke dalam rongga. Sekadar terdapat ‘rasa’ di bibir maka ianya tidak membatalkan puasa.
Ini berdasarkan fatwa Ibn Abbas r.a mengenai merasa makanan yang mana menyebutkan:
لَا بَأْسَ أَنْ يَذُوقَ الْخَلَّ أَوِ الشَّيْءَ، مَا لَمْ يَدْخُلْ حَلْقَهُ وَهُوَ صَائِمٌ
Maksudnya: “Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya, selagi tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa”. Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (9277)
Tatkala seseorang merasa makanan, sudah pasti ianya akan memberikan kesan rasa kepada yang merasanya (pada lidah) dan selagi mana dia tidak menelannya maka tidak batal puasanya. Begitu juga keadaannya bagi lipstick. Sekadar terdapat rasa sahaja, ianya belum membatalkan puasa melainkan dia menelannya, maka batallah puasanya.
Kebanyakan kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’e juga menyebutkan mengenai isu merasa makanan ini, dan kebanyakannya mengatakan perbuatan itu makruh tidak membatalkan puasa kerana dibimbangi boleh tertelan dan membatalkan puasa. Ini boleh di lihat di dalam kitab Mughni al-Muhtaj (2/168) oleh al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah, kitab Nihayah al-Muhtaj (3/183) oleh al-Imam al-Ramli Rahimahullah dan ianya juga terdapat di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji.
Begitu juga telah berkata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah: “Merasa makanan adalah makruh sekiranya tiada hajat tetapi ianya tidak membatalkan puasa. Sekiranya terdapat hajat (untuk merasanya) maka ianya seperti al-Madhmadhoh (berkumur)”. [Lihat Majmu’ al-Fatawa, 25/266]
Adapun berkumur, jika diperhatikan masih terdapat baki-baki air yang sedikit di dalam mulut dan jika tertelan bersamanya air liur maka ianya tidak membatalkan puasa kerana ianya amat payah untuk dielakkan. [Lihat Rad al-Muhtar, 2/98]
Seperti juga bersugi, bersiwak dan memberus gigi ketika berpuasa, telah sepakat para fuqaha’ akan keharusannya. Begitu juga penggunaan ubat gigi. Jika kita perhatikan, semasa memberus gigi, bersiwak dan sebagainya pasti akan terdapat ‘rasa’ pada lidah namun jika tidak ditelan, ianya tidak membatalkan puasa
Kesimpulan: Penggunaan gincu di siang hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa namun sekiranya ditelan (memasuki rongga) rasa yang terdapat pada gincu tersebut maka ianya membatalkan puasa.
Adapun semata-mata terdapat ‘rasa’ daripada bibir yang digincu itu maka ianya tidaklah membatalkan puasa kecuali dia menelannya selepas itu. Di dalam kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Rahimahullah ada menyebutkan: “Tiada batal puasa sebab merasai makanan dengan lidah dan jika sampai rasa makanan itu kepada rukungan (kerongkong) sekalipun dari kerana rasa makanan itu athar’ jua bukan ‘ain.”
Jika seseorang merasa makanan ketika berpuasa, kemudian dia meludahkannya tetapi masih berbaki rasanya pada lidah sekalipun sampai kepada tekak dan ditelannya, maka ianya tidak membatalkan puasa seseorang itu kerana ‘ain makanan tersebut telah diludahkan dan yang tinggal hanya athar (kesan) sahaja yang berbaki.
Kami juga ingin tegaskan di sini bahawa memakai gincu untuk memperlihatkan pada yang lain dalam keadaan berlebih-lebihan (tabarruj) adalah amat tidak digalakkan di dalam Islam. Tetapi untuk suami, ianya dibenarkan sebagai berhias diri. Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment