Ramai di kalangan kita terkeliru dan salah faham tentang waktu-waktu yang diharamkan, ditegah atau dilarang melaksanakan solat. Sering juga ditanyakan bilakah waktu haram solat? Dan di manakah batasannya antara waktu yang diharamkan dengan yang dibolehkan atau dengan kata lain dari pukul berapa sampai pukul berapakah tempoh masanya waktu yang diharamkan itu?
Setelah sekian lama tertangguh, tiba juga topik bagi menghuraikan tentang waktu-waktu yang dilarang menunaikan solat. Dalam masa 24 jam yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kita, tidak semua waktu boleh digunakan untuk melaksanakan solat-solat sunat.
A. Waktu-Waktu Yang Ditegahkan Solat.
Selain umat muslim diwajibkan untuk menjalankan solat lima waktu, ternyata ada lima waktu juga yang dimakruhkan (walaupun menghampiri haram) untuk melaksanakan solat. Sebenarnya ada dua pendapat mengenai hukum lima waktu yang tidak dibenarkan untuk menjalankan solat ini. Iaitu Makruh-Tahrim (makruh yang mendekati haram) dan Makruh-Tanzih (suatu perbuatan yang apabila dilakukan akan mendatangkan murka Allah / pekerjaan yang sangat dibenci Allah s.w.t)..
Perkara ini ada disebutkan di dalam hadis:
Daripada Abi Hurairah r.a : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang dari mengerjakan solat selepas Asar sehingga terbenam matahari dan solat selepas Subuh sehingga terbit matahari.” (HR Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Dawud, Imam Tirmizi, Imam Nasaie dan Imam Ahmad).
Sebahagian As-Sayafieah mengiktibar sebagai (waktu-waktu yang dimakruhkan untuk solat) iaitu tegahan ‘Karahah Tahrim’ [Karahah tahrim adalah apa yang di sabitkan haramnya itu dengan dalil yang ihtimal dan perlu kepada takwil].
B. Lima Waktu Ditegah Melakukan Solat
Dalam banyak waktu solat yang perlu diwaspada adalah mengenai lima masa yang dilarang melakukan solat sunat. Bilakah lima waktu tersebut?
1) Sesudah menunaikan Solat Fardhu Subuh sehingga terbit matahari.
2) Semasa terbit matahari sehingga ia meninggi kadar setombak.
3) Ketika matahari tegak di atas kepala sehingga ia condong ke barat.
4) Selepas menunaikan Solat Fardhu Asar sehingga terbenam matahari.
5) Semasa matahari hampir terbenam sehingga tenggelam seluruh bulatannya.
Kesemua 5 waktu di atas dikecualikan bagi mereka yang berada di Tanah Haram, Makkah al-Mukarramah.
C. Tiga Berhubung Dengan Waktu Dan Dua Berhubung Dengan Perbuatan
Berpandu daripada hadis-hadis, ulama menjelaskan terdapat lima waktu yang dilarang bersolat, iaitu tiga berkenaan dengan waktu atau masa manakala dua lagi berkaitan dengan perbuatan.
Tiga Waktu Haram Berhubung Dengan Waktu
Tiga waktu yang diharamkan solat yang berhubung dengan masa:
1) Dari ketika terbit matahari di ufuk timur sehingga naik dengan kadar satu tombak atau 7 hasta pada pandangan mata iaitu kira-kira 3 darjah bersamaan 12-15 minit (dalam tempoh 12-15 minit setelah terbit matahari).
2) Ketika matahari tegak di atas kepala iaitu dari ‘Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit) matahari sehingga ‘Zawal’ (gelincir/condong matahari ke barat). Tempohnya terlalu singkat, ditegah solat ketika ini kecuali pada hari Jumaat.
3) Semasa matahari kemerahan di waktu senja dan hampir terbenam matahari di ufuk Barat sehingga tenggelam seluruh bulatannya iaitu masanya berakhir sejurus saja masuknya waktu Maghrib.
Daripada Uqbah bin Amir Al Juhani r.a. katanya:
ثَلَاثُ سَاعَاتٍ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْهَانَا أَنْ نُصَلِّيَ فِيهِنَّ أَوْ أَنْ نَقْبُرَ فِيهِنَّ مَوْتَانَا حِينَ تَطْلُعُ الشَّمْسُ بَازِغَةً حَتَّى تَرْتَفِعَ وَحِينَ يَقُومُ قَائِمُ الظَّهِيرَةِ حَتَّى تَمِيلَ الشَّمْسُ وَحِينَ تَضَيَّفُ الشَّمْسُ لِلْغُرُوبِ حَتَّى تَغْرُبَ
“Ada tiga waktu yang Rasulullah s.a.w melarang kita solat atau menguburkan jenazah pada waktu-waktu tersebut. Pertama, ketika matahari terbit hingga ia agak meninggi. Kedua ketika matahari tepat berada di pertengahan langit (tengah hari tepat) hingga dia telah condong ke barat. Ketiga, ketika matahari hampir terbenam sehingga dia telah tenggelam sama sekali.”
2. Dua Waktu Haram Berhubung Dengan Perbuatan
Dua waktu yang ditegah atau dilarang untuk solat yang berhubung dengan perbuatan:
1) Selepas melaksanakan Solat Fardhu Subuh sehingga terbit matahari.
2) Selepas melaksanakan Solat Fardhu Asar sehingga terbenam matahari.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ وَعَنْ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ
“Bahawasanya Rasulullah s.a.w melarang solat sesudah solat Asar hingga matahari terbenam, dan sesudah solat Subuh hingga matahari terbit.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim r.a.)
Dari Abu Said al-Kudri r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidak ada solat setelah solat Subuh sampai naik matahari dan tidak ada solat setelah Asar sehingga matahari terbenam.”
Dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika hijab matahari telah terlihat, tangguhlah solat sehingga benar-benar nampak. Jika matahari menghilang, tangguhlah solat sampai matahari benar-benar terbenam.” (Muttafaq ‘alaih).
D. Dua Kategori Waktu Ditegah Solat
Pada lima waktu yang ditegah dan dilarang melakukan solat-solat sunat, ianya boleh dibahagikan kepada dua kategori:
1) Solat2 sunat yang tidak bersebab dan tiada waktu yang khusus untuk melaksanakannya, seperti:
a) Solat Sunat Mutlak,
b) Solat Sunat Tasbih dan sebagainya.
2) Solat2 sunat yang bersebab tetapi sebabnya itu datang terkemudian (asbab muta’akkhir), seperti:
a) Solat Sunat Istikharah
b) Solat Sunat Musafir
c) Solat Sunat Ihram
d) Solat Sunat Hajat
Sebab Solat Sunat Musafir itu adalah kerana hendak keluar memulakan safar atau perjalanan, ia hanya berlaku setelah melaksanakan solat Musafir manakala Istikharah itu pula kerana membuat suatu perkara itu dimulakan selepas melaksanakan solat Istikharah.
E. Pengecualian Solat Pada Waktu-Waktu Larangan
Dalam mazhab Syafie larangan solat pada waktu-waktu tersebut dikecualikan dalam keadaan berhubung dengan tempat dan waktu.
1) Tempat: Tanah Haram Makkah: Kesemua lima waktu yang diharamkan solat tersebut ‘Tidak Terpakai’ dan dikecualikan di Masjidil Haram dan kawasan-kawasan tanah haram di persekitaran Makkah, maka solat di semua kawasan ini dibolehkan dan bebas pada bila-bila masa, tanpa ada waktu yang diharamkan.
Dibenar melaksanakan apa saja jenis solat di tanah suci Makkah tanpa mengira sebarang waktu sekalipun pada waktu yang terlarang. Pendapat ini adalah yang shahih di dalam mazhab Syafi‘ie dan disokong dengan hadis Rasulullah s.a.w, sabda Baginda:
“Wahai Bani Abdi Manaf, jangan kamu melarang seseorang Tawaf di rumah ini (Baitullah) dan dan solat pada bila-bila waktu yang dia sukai, malam atau siang” (HR At-Tirmidzi)
2) Waktu: Di waktu Istiwa sehingga Zawal pada hari Jumaat.
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa melaksanakan solat ketika matahari tegak (rembang panas) adalah ‘Makruh Tahrim’. Bagaimanapun ia dikecualikan pada hari Jumaat.
Perkara ini dijelaskan di dalam sebuah hadis daripada Qatadah daripada Nabi s.a.w, katanya:
“Bahawasanya Baginda membenci solat pada tengahari (rembang) kecuali pada hari Jumaat.” dan Baginda s.a.w bersabda: “Sesunguhnya neraka Jahannam dimarakkan (pada ketika itu) melainkan pada hari Jumaat.” (Hadis riwayat Abu Daud)
F. Tambahan Pengecualian
Lima waktu di atas memang tidak dibenarkan untuk mendirikan solat. Tetapi, jika ada suatu sebab yang munasabah, maka DIBENARKAN, contohnya seperti tiga perkara berikut:
1) Sewaktu kesiangan untuk bangun Solat Subuh dan ketika itu matahari sudah terbit, maka tetap diwajibkan untuk Solat Subuh.
2) Begitu juga dengan Solat Asar, sekiranya kita terlambat untuk melakukan solat tersebut dan ketika itu bersamaan dengan masa tenggelamnya matahari, kita tetap diwajibkan untuk melaksanakan solat Asar.
3) Ketika baru tersedar dari pengsan atau baru pulih dari penyakit gila, maka tetap dituntut untuk melaksanakan solat yang tertinggal.
G. Hukum Solat Ketika Khutbah Jumaat
Apabila khatib telah naik ke atas mimbar atau sedang berkhutbah, maka para jemaah dituntut untuk mendengar dan menumpukan perhatian kepada khutbah yang disampaikan. Dilarang melaksanakan solat walaupun solat itu adalah Solat Qadha kecuali boleh melakukan Solat Sunat Tahiyatul Masjid atau yang lebih afdhalnya dengan melakukan Solat Sunat Rawatib (Solat Sunat Qabliyah Jumaat) sebagai gantinya serta diwajibkan utk meringankan (mempercepatkan) Solat Sunat Tahiyatul Masjid tersebut.
H. Kesimpulannya:
Meskipun solat merupakan ibadat yang terunggul di sisi Allah s.w.t, namun ibadat tersebut mesti mengikut cara peraturan yang dikehendaki-Nya. Walau bagaimana indah dan baiknya sesuatu ibadat mengikut pandangan sendiri, akan tertolak ibadah itu sekiranya tidak menepati kehendak Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:
فَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا.
“Maka dirikanlah olehmu akan solat sesungguhnya solat itu difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan.” (Surah An-Nisa’ : Ayat 103)
Kalau diteliti hadis-hadis tersebut, cuma solat sunat sahaja tidak boleh dilaku kan selepas Solat Subuh atau selepas Solat Asar. Ada pun lebih afdal solat di awal waktu, larangan ini bukan untuk solat fardhu yang misalnya dihujung waktu Asar hingga masuknya waktu Maghrib, atau di penghujung Subuh hingga terbit matahari.
Cubalah sedaya upaya untuk melaksanakan solat di awal waktu kerana solat adalah suatu kewajipan yang telah ditentukan waktunya bagi orang-orang yang beriman. Sahnya solat bergantung kepada syarat sah solat dan rukun-rukun solat yang 13. Adapun antara syarat sah solat adalah hendaklah yakin telah masuk waktu solat. bagi mereka yang solat, kemudian ketika sedang solat tiba-tiba masuk waktu solat seterusnya, semoga Allah s.w.t terima solat yang kita lewatkan secara sengaja ataupun tidak itu.
Berkaitan dengan waktu tahrim, mereka yang melanggar larangan solat dalam waktu itu dikira melanggar larangan Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w, jadi maksudnya berdosa atau solat itu tidak sempurna. Sedangkan solat itu adalah perkara pertama yang akan dihitung; sempurna solat kita, maka amalan yang lain pun akan Allah s.w.t terima, kalau solat kita dah sangkut, bagaimana dengan amalan2 kita yang lain? Jadi, marilah kita muhasabah diri kita, adakah solat kita selama ini sudah sempurna untuk layak dikemukakan di Padang Mahsyar untuk dihisab kelak?
Setelah mengetahui akan Waktu-Waktu Yang Dilarang untuk mengerjakan solat, tentu sekali anda ingin mengetahui dan mendapatkan penjelasan akan sebab musabab larangan itu diadakan.
Sebahagian umat Islam kurang memahami aspek waktu yang dilarang solat dan sebab larangannya. Maka ramailah yang melakukan solat2 sunat pada kelima-lima waktu larangan tersebut dan banyaklah kesalahan dilakukan sehingga berleluasa kesilapannya sehingga melanggar syariat Islam.
A. Penjelasan Berhubung Larangan Waktu Solat
Berhubung dengan persoalan sebab-sebab larangan tersebut, telah dijelaskan oleh Amr bin Abasah r.a bahawa dia pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w, “Beritahulah kepadaku mengenai solat?”
Lalu baginda s.a.w menjawab: “Kerjakanlah solat Subuh, kemudian berhentilah dari solat sehingga matahari terbit sehingga ia naik. Sesungguhnya pada ketika matahari terbit, matahari itu terbit di antara dua tanduk syaitan dan pada ketika itu orang-orang kafir sujud kepadanya. Kerjakanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sampai bayang-bayang tombak semakin pendek. Kemudian berhenti dari solat pada ketika itu (sewaktu matahari tegak di atas kepala)kerana Neraka Jahannam sedang dipanaskan. Jika bayangan sudah nampak kembali, dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu disaksi dan dihadiri (Malaikat) sehingga engkau mengerjakan solat Asar. Berhentilah dari solat sehingga matahari terbenam kerana sesungguhnya matahari itu terbenam di antara dua tanduk syaitandan pada ketika itu, orang-orang kafir sujud kepadanya.”
B. Hikmah Larangan Solat Pada Waktu-Waktu Berkenaan
Rahsia larangan mendirikan solat oleh syarak pada waktu-waktu berkenaan mempunyai hikmat yang tersendiri. terutamanya bagi mengelak daripada menyerupai penganut agama lain. Waktu ketika matahari terbit itulah, orang-orang kafir beribadat menyembahnya.
1). Menyerupai Para Penyembah Matahari
Di antara jenis ibadat di kalangan manusia kufur kepada Allah s.w.t adalah ibadat menyembah matahari. Ibadat tersebut dilakukan ketika matahari naik di awal pagi, ketika tengah hari matahari gelincir (zawal) dan ketika matahari jatuh ketika senja. Justeru jika umat Islam mendirikan solat ketika tersebut, ia dianggap menyerupai ibadat para penyembah matahari, kecuali solat qadha dan solat yang bersebab.
2). Menyerupai Orang Kafir Menyembah Syaitan
Kita dikehendaki untuk memelihara waktu ketika beribadah dan syariat Islam melarang kita menyerupai orang kafir dalam beribadah. Oleh itu, ummat Islam dilarang melakukan solat sunat ketika matahari sedang terbit dan sedang terbenam. Ini disebabkan ketika matahari terbit dan tenggelam, ia berada di antara kedua-dua tanduk syaitan. Maksudnya, pada saat itu orang kafir menyembah matahari dan syaitan bersama mereka.
Perkara ini ada dijelaskan di dalam hadis-hadis Nabi s.a.w antaranya hadis daripada Abdullah ash-Shunabiji bahawa Rasullullah s.a.w bersabda: “Ketika matahari terbitakan disertai oleh syaitan. Jika matahari telah naik, maka syaitan akan meninggalkannya. Apabila matahari tepat berada di tengah (waktu Istiwa) maka syaitan akan menyertainya, tetapi jika matahari telah gelincir, maka syaitan akan menjauhinya. Apabila matahari hampir terbenam pula, maka syaitan akan menyertainya dan jika matahari telah terbenam, maka syaitan akan menjauhinya. Di waktu-waktu itulah Rasulullah s.a.w melarang seseorang mengerjakan solat.” (Hadis riwayat An-Nasaie)
3. Neraka Jahannam Sedang Dinyalakan.
Syariat Islam juga melarang kita melakukan solat sunat ketika matahari di tengah-tengah langit kerana waktu itu neraka Jahannam sedang marak dinyalakan. Disebabkan hari Jumaat merupakan penghulu hari dan hari perayaan mingguan ummat Islam, maka neraka Jahanam tidak dinyalakan. Dengan itu, syariat Islam membolehkan kita untuk mengerjakan solat sunat di waktu tersebut.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Maka sesungguhnya neraka Jahannam dinyalakan pada waktu tengah hari (iaitu ketika matahari berada tepat di tengah-tengah langit).” (Hadis riwayat An-Nasaie).
Satu riwayat lagi: “Nabi s.a.w tidak suka mengerjakan solat sunat pada waktu tengah hari kecuali pada hari Jumaat dan
Baginda s.a.w bersabda: “Sesungguhnya neraka Jahanam sedang dinyalakan pada waktu itu, kecuali hari Jumaat.”
Baginda s.a.w bersabda: “Sesungguhnya neraka Jahanam sedang dinyalakan pada waktu itu, kecuali hari Jumaat.”
Abu Daud menyatakan bahawa hadis kedua ini adalah Hadis Mursal, kerana di dalamnya terdapat Laits ibn Abu Sulaim, sedangkan dia seorang yang dhaif. Namun hadis ini dikuatkan oleh perbuatan sahabat Nabi s.a.w di mana mereka pernah mengerjakan solat sunat di waktu tengah hari pada hari Jumaat dan Nabi s.a.wmenganjurkan supaya segera datang menghadiri solat Jumaat dan mendirikan solat sunat hingga imam naik ke atas mimbar tanpa ada pengecualian.
C. Keistimewaan Kota Makkah.
Waktu-waktu larangan solat ini sekaligus mengandungi anjuran supaya kita dapat memelihara waktu yang diberkati untuk melaksanakan solat sunat. Jika diteliti melalui perbahasan tentang waktu larangan solat sunat di atas, larangan itu tertakluk kepada semua tempat di muka bumi ini kecuali di Makkah. kerana keistimewaan Kota Makkah yang tidak dimiliki di tempat lain. Kemurnian Islam amat nyata pada pandangan masyarakat umum, antara cara hidup orang yang berlandaskan iman kerana beramal dengan syari’at Islam, dengan golongan yang mencabar syari’at Allah s.w.t.
Sesungguhnya Islam mengajar umatnya supaya beribadat dengan caranya sendiri, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Tidak meniru atau menyerupai ibadat agama lain termasuk penyembah matahari. Dengan cara demikian jelaslah perbezaan antara peribadi atau cara hidup orang Islam yang beriman, dengan golongan kafir yang lain.
Wallahu A’lam Bish Shawab (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)
No comments:
Post a Comment