Masih banyak di kalangan bangsa kita yang belum mengetahui tentang sejarah umat Islam di India dan tidak sedikit pula yang hanya mengenali negara India sebagai negara tertua di dunia, negara patung, negara tempoh lahirnya agama Hindu dan Buddha, negara yang penuh dengan cerita roh ajaib dan jin besar yang sering menjelma di bawah pohon besar di dalam hutan belantara.
Gambaran baru yang wujud di akhir-akhir ini, India adalah negara yang dibintangi oleh Mahatma Gandhi, Jawahar Lal Nehru, Indra Gandhi dan Rajiv Gandhi atau dalam peta dunia yang baru, tanah besar India telah terbahagi kepada tiga negara sejak tahun 1947, iaitu Republik India, Pakistan dan Bangladesh. India adalah sebagai wadah bagi orang-orang Hindu. Manakala negara Pakistan dan negara Bangladesh adalah menjadi kawasan yang dikhususkan bagi orang Islam. Begitulah gambaran yang terlukis di fikiran kebanyakan bangsa kita tentang India. Mereka tidak mengetahui perkembangan sejarah Islam di sana dan tidak mengetahui ketinggian tamadun Islam yang tertegak di lembah Sungai Gangga ini, bahkan banyak yang tidak mengetahui bahawa umat Islam di India sekarang ini, setelah terjadinya pemisahan India-Pakistan-Bangladesh, masih berjumlah lebih dari 120 juta (lebih dari separuh umat Islam di Indonesia) dan barangkali ada yang baru mendengar bila kita katakan bahawa kerajaan Islam pernah tertegak di bumi India lebih dari enam abad lamanya.
Bagi sebahagian masyarakat kita, adalah menjadi suatu keganjilan apabila kita katakan bahawa tanah India sekarang ini masih subur dengan alim- ulama’ dan masih banyak mempunyai pusat-pusat pengajian Islam. Mereka beranggapan bahawa tanah India telah kosong dari alim-ulama’ dengan sebab Penghijrahan kaum Muslimin dari negara India ke Pakisatan dan Bangladesh. Padahal kaum Muslimin yang masih tinggal di tanah India sekarang ini adalah lebih kurang sama banyaknya dengan mereka yang berada di Pakistan.
Penulis sendiri sebelum menginjak kaki di tanah India (sebelum Jun 1980) juga beranggapan demikian. Rasanya masih segar dalam ingatan suatu perasaan yang sangat dipaksakan dan langkah yang sangat berat ketika meninggalkan tanahair (Indonesia) menuju ke India untuk menuntut ilmu pengetahuan agama. Berbagai tanda-tanya yang timbul di dalam hati. Kenapa saya dikirim ke India untuk menuntut ilmu agama, bukankah lebih baik kalau dikirim ke Mesir, Saudi Arabia, Syria atau negara Timur Tengah yang lain. Namun terpaksa juga berangkat kerana mematuhi nasihat Tuan Guru.
Pada saat itu penulis belum lagi mengenali India. Maklumat tentang India hanya diperoleh dari sebuah buku tua yang pernah dibaca sewaktu kecil. Apa yang dapat dikhayalkan tentang India pada waktu itu hanyalah rasa terdengar kehalusan alunan irama deraian air terjun di puncak pergunungan Himalaya lalu mengalir ke hilir dan membentuk aliran sungai Gangga. Penulis juga cuba membayangkan di hadapan mata paras Dr. Mohammad Iqbal, Penyair Islam yang pernah dilihat gambarnya di dalam sebuah majalah yang pernah dibaca. Terasa bangga apabila membayangkan alam yang mengelilingi penyair ulung ini, mungkin lebih menyenangkan hati lagi apabila dapat melihat alam yang indah itu dari dekat dan dapat menziarahi pusara pujangga yang telah banyak menghidupkan jiwa-jiwa yang telah terlena dan tertipu dengan kemilau kemilau tamadun Barat. Begitulah kurang lebihnya apa yang terlintas dalam khayalan semasa berada dalam penerbangan Thai Airways ke New Delhi, India.
Ketika penulis sampai di India dan menginjakkan kaki di halaman Institut Pendidikan Islam “Nadwatul Ulama"yang terletak di kota Lucknow (Uttar Pradesh) pada bulan Jun, 1980M (Rejab 1400H), terasalah udara dan suasana baru. Penulis terkejut mendengan suara gemuruh seperti bunyi lebah yang datang dari sudut Masjid, suara anak-anak menghafal Al-Qur’an. Alangkah terkejutnya untuk pertama kali bertemu dengan seorang pelajar yang berumur 10 tahun yang sudah menghafal Al-Qur’an dengan baik. Penulis juga tertegun apabila di setiap masjid dikhatamkan Al-Quran dalam solat Terawih di bulan puasa. Ketika inilah juga, buat pertama kalinya penulis mengetahui tentang kemampuan seorang pelajar berumur 15 tahun yang sudah hafal Al-Qur’an dan 500 buah hadis dari kitab “Shahih Bukhari”.
Dan terdapat banyak lagi perkara-perkara yang menakjubkan yang membenarkan apa yang pernah dikatakan oleh Tuan Guru saya dan mendustakan atau melenyapkan prasangka yang selama ini menyelimuti hati saya dan timbul di hati saya rasa sayang dan terharu terhadap kehebatan Ulama dan masyarakat Islam India. Keistimewaan yang dilihat di Nadwatul Ulama’ telah mendorong penulis untuk membaca buku-buku sejarah umat Islam di India, kerana keadaan yang dilihat pada hari ini adalah hasil dari usaha yang telah ditanam berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Betapa bangga hati penulis apabila mengetahui bahawa kerajaan Islam telah tertegak di bumi India selama enam abad lamanya dan penulis begitu terharu ketika membaca kitab “Nuzhatul Khawathir fi Bahjatil Masami’ wan Nawazhir" dalam lapan jilid besar yang dikarang oleh Sayyid Abdul Hayy Fakhruddin al Hasani an Nadwi (Ayah Sayyid Abul Hasan Ali al Hasani an Nadwi) yang mengandungi riwayat hidup 4500 ulama’ besar India dan tokoh- tokoh agama sepanjang sejarah Islam di India. Saya juga sangat terharu bila membaca kitab “Ast-Staqafatul Islamiah Fil Hindi”, juga karangan Sayyid Abdul Hayy Fakhruddin Abul Hasan Ali al Hasani an Nadwi yang banyak menyebut tentang sejarah tamadun Islam di India dan banyak lagi kitab lain yang sempat dibaca yang dapat memberikan gambaran yang benar terhadap perkembangan Islam di tanah besar India ini.
Penulis sangat menghormati bangsa India yang telah banyak melahirkan ulama’ dan telah banyak pula mengarang kitab yang besar-besar. Justeru itu, timbullah keghairahan untuk memperkenalkan mereka kepada kaum muslimin dan penggemar sejarah Islam di negara kita. Alangkah ruginya kalau tanah India yang kaya dengan ulama’ dan Institusi Pendidikan Islam ini kita biarkan begitu saja, tidak diperkenalkan kepada bangsa kita.
Penulis merasa terpanggil untuk menulis Sejarah Perkembangan Islam di India dalam bahasa Indonesia supaya bangsa kita dapat membaca dan merasakan seuatu kebanggaan terhadap sejarah umat Islam India yang merupakan hak kita bersama sebagai umat yang seagama dan mempunyai satu cara hidup. Kita tidak menafikan wujudnya buku-buku yang telah ditulis mengenai sejarah India secara umumnya dan sejarah umat Islam di India, khasnya. Tetapi kebanyakkan buku-buku tersebut hanya menyebut “Jatuh bangun takhta kerajaan atau percaturan politik yang belum bisa dijadikan gambaran yang tepat kepada sejarah perkembangan Islam baik dari sudut dakwah, pemikiran dan peradaban”.
Kita masih perlu kepada pernyataan yang lebih jelas mengenai corak masyarakat, ketinggian budaya dan perkembangan dakwah Islammiyyah serta pola pemikiran yang tumbuh dan berkembang di tanah India ini, maka buku ini diketengahkan adalah dalam usaha untuk mengisi kekosongan sejarah ini. Pihak orientalis Barat sangat banyak menulis tentang sejarah Islam di India. Namun tidak dapat dinafikan nilai-nilai ilmiah yang dikemukan itu telah banyak dicampur-aduk dengan semangat kebencian terhadap umat Islam dan telah diwarnai oleh kepentingan imperialis terhadap dunia Islam-(sebagai contoh, cuba lihat pujian mereka terhadap Sultan Akhbar yang zalim itu dan celaan mereka terhadap Sultan Aurangzeb yang soleh dan adil) dan yang lebih ganjil lagi, wujudnya sebahagian penulis kita yang hanya banyak mem’photostate’ apa yang telah ditulis oleh orientalis tanpa membuat penilaian dan perbandingan dengan karya-karya yang telah dihasilkan oleh para ulama’ dan sejarahwan Islam India sendiri.
Alhamdulillah, penulis bersyukur kerana berkesempatan tinggal di India lebih kurang enam tahun (1980-1987) dan berkesempatan membaca buku-buku sejarah umat Islam di India yang ditulis oleh ahli sejarah bangsa India sendiri dari para Ulama’ dan Muarrikhin serta menerima buah fikiran dari tokoh-tokoh Islam India di samping itu, saya berkesempatan pula mengunjungi beberapa tempat bersejarah, maka terhasillah buku “Sejarah Perkembangan Islam di India"ini sebagai himpunan dari sejarah yang ditulis dan kenyataan yang dilihat.
InsyaAllah setelah itu akan kita sebutkan sebab-sebab yang menghalang perkembangan Islam di India sebelum abad kesepuluh Hijrah, sehingga babak ini diakhiri dengan satu puncak kemerosotan iaitu di zaman Sultan Akhbar yang memerintah di akhir abad kesepuluh Hijrah. Zaman pemerintahan Akhbar adalah suatu zaman yang sepatutnya disifatkan dengan “Zaman Kegelapan" dalam sejarah perkembangan Islam di India, walaupun bagi orientalis dan pengikut-pengikutnya menganggap zaman Akhbar sebagai zaman keemasan pemerintahan kerajaan Mongol.
Setelah itu akan kita sebutkan peranan seorang ulama’ ahli sufi, iaitu Imam Ahmad As Sirhindi yang dapat merubah haluan pemerintahan kerajaan Mongol yang hampir binasa itu. Beliau telah mampu memulihkan keadaan yang sudah terlalu rosak, sehingga hilanglah zaman kegelapan itu dan berganti dengan zaman pemerintahan yang adil di zaman Sultan Aurangzeb, seorang raja yang soleh lagi adil yang telah dizalimi sejarahnya oleh pihak orientalis dan pengikut-pengikut mereka.
Kita juga menyebutkan bagaimana peranan Imam Waliyullah Ad Dahlawi yang telah sukses merubah haluan pemikiran umat Islam India. Beliau sukses mengorak pemikiran mereka yang “jumud"ke alam pemikiran yang terbuka dan produktif. Beliau telah dapat melahirkan generasi yang meneruskan cita-citanya, sehingga umat Islam India muncul sebagai ulama’-ulama’ yang unggul di bidang ilmu hadis pada tiga abad yang terakhir ini.
No comments:
Post a Comment