Friday, March 6, 2015

ULAMA-ULAMA AHLI HADITS (MUHADDITSIN) DI INDIA

Di zaman Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik Al-Umawi, iaitu di akhir abad pertama Hijrah, Muhammad bin Qasim Ast-Staqafi telah dapat membuka wilayah Sind di Barat Laut India. Sejak saat itu wilayah Sind telah rasmi menjadi daerah kekuasaan pemerintahan Islam yang berpusat di Damsyik dan begitu pula ketika pusat pemerintahan Islam berpindah dari Damsyik ke Baghdad di Iraq semasa pemerintahan Bani Abbas dalam masa yang berkurun-kurun ini banyak ulama dan tokoh-tokoh agama yang datang ke tanah India terutama dari keturunan Ali bin Abi Thalib yang lebih dikenali dengan panggilan Alawiyyin, kerana mereka lari dari kekejaman Bani Umaiyyah dan Bani Abbad yang sentiasa dendam terhadap mereka.

Para ulama' ini datang ke tanah India membawa ilmu pengetahuan dan ajaran agama di antara mereka yang terkenal ialah Syeikh Israil bin Musa al-Bashri yang berasal dari Kota Basrah (Iraq) dan Syeikh Mansur bin Hatim An-Nadwi, seorang ahli ilmu nahu (ilmu tata bahasa Arab), Syeikh Ibrahim bin Ahmad Ad-Dibuli, Syeikh Ahmad bin Abdullah Ad-Dibuli, Syeikh Abul Abbad Ahmad bin Muhammad Al-Mashur dan lain-lain lagi.

Ketika Sultan Mahmud Al-Ghaznawi datang memasuki India pada akhir abad keempat Hijrah, banyak pula ulama' yang datang mengiringinya. Kebanyakan dari mereka itu datang dari daerah Khurasan dan Iran Utara Mereka datang ke India untuk menyebarluaskan ilmu pengetahuan dan berdakwah kepada jalan Allah. Tetapi mereka telah membawa pola pemikiran baru dan corak ilmu pengetahuan yang tersendiri. Mereka sangat fanatik dengan Mazhab Hanafi yang mereka anuti. Mereka sibuk dan lebih banyak mementingkan masalah-masalah kilafiyah dan falsafah Yunani yang telah usang itu daripada kembali kepada Al-Qur'an dan Hadis.

Dari itu lahirlah generasi penerus yang mewarisi ilmu mereka. Terlalu sedikit yang mempelajari ilmu hadis dan Tafsir. Sekiranya ada di antara mereka yang telah membaca kitab hadis "Masyraiqul-anwar" karangan Imam Ash-Shaghani atau kitab “Masgabihus Sunnah"karangan Imam Muhyis-Sunnah Husen al Farra, ia sudah merasa ilmu hadisnya sudah mendalam dan sekiranya ada di antara mereka yang sudah membaca kitab "Misykatul-Mashabiih", dia merasa sudah sampai ke martabat ahli hadis.

Pengetahuan hadis masih terasa dangkal di kalangan ulama' India, sehingga ke akhir abad yang kesepuluh Hijrah. Pada akhir abad ini, datanglah beberapa ulama' hadis ke Tanah India seperti Syeikh Abdul Mu'thi Al-Makki (wafat tahun 999H) yang datang dari Tanah Suci Mekkah, Syeikh Syihabuddin Ahmad Al-Mishri (wafat tahun 992H) dari Mesir dan Syeikh Muhammad bin Ahmad Al- Faakihani (wafat tahun 992H). Mereka datang ke Tanah India untuk menyebarluaskan ilmu Hadis dan mengajarkannya kepada ulama'-ulama' India pada ketika itu.

Dari apa yang ditanamkan oleh para ulama' yang kitasebutkan di atas, lahirlah generasi yang bersemangat untuk memperdalami ilmu hadis dari bangsa India sendiri. Mereka sudah mulai menggemari ilmu hadis dan merasakan kelazatannya. Banyak di antara mereka yang pergi ke Tanah Suci Mekkah untuk belajar ilmu hadis dari ulama'-ulama' besar, ahli hadis yang mengajar di sana.

Di antara ulama' India yang terkenal dalam ilmu hadis pada waktu itu ialah Syeikh Abdullah bin Sa’dullah As-Sindi, Syeikh Rahmatullah As-Sindi, Syeikh Yaqub Al-Kasynuru (wafat tahun 1003H),  Syeikh Abdullah Syamsuddin Al- Sultanpuri dan Syeikh Muhammad Tahir Al-Fatani Al-Ghujerati yang mengarang kitab “Majma'ul Biharil Anwar, Fi Gaharaibit Tanzili Wa Lathaifil Akhbar”, sebuah kitab yang sangat penting dalam ilmu hadis kerana ia memuatkan perbahasan yang menerangkan kalimat-kalimat sulit yang sering ditemui dalam kitab-kitab hadis.

Setelah itu lahirlah Syeikh Abdul-Haq Bin Saifuddin Ad-Dahlawi (958-1052H). Beliau sangat gigih berusaha meluaskan penyebaran ilmu hadis di tanah India. Beliau telah menulis dua kitab hadis yang merupakan keterangan kepada kitab Misykatul-Mashabih. Kitab pertama dalam Bahasa Persia dinamakan "Asyi'atul Lama'at"dan yang kedua dalam Bahasa Arab berjudul "Lama'atut Tanqih". Setelah beliau wafat , tugas ini diteruskan oleh anaknya yang bernama Syeikh Nurul Haq Ad-Dahlawi (wafat tahun 1075H), pengarang kitab "Taisirul Qari Syarhil Bukhari" dalam Bahasa Persia, bahasa umat Islam India ketika itu.

Setelah itu datanglah satu babak baru yang dipimpin oleh Imam Ahmad Bin Abdur-Rahim, yang lebih terkenal dengan sebutan Syah Walyullah Ad-Dahlawi (wafat tahun 1176H). Beliau merupakan pangkal keberhasilan ulama' India merebut martabat yang tinggi dalam ilmu hadis dari abad ketiga belas yang lalu sehingga kini.

Pada mulanya, Imam Waliyullah Ad-Dahlawi telah berguru dengan ayahnya sendiri, Syeikh Abdur-Rahim Ad-Dahlawi. Kemudian beliau meneruskan pelajarannya ke Tanah Suci Mekkah dan Madinah di Madinah beliau telah berguru dengan seorang ahli hadis yang berasal dari bangsa Kurdi bernama Syeikh Abu Tahir Al-Kurdi. Ad-Dahlawi begitu terpengaruh dengan gurunya itu dan hatinya terdorong untuk terus duduk di dalam halaqahnya (majlis ta'limnya) selama beliau berada di Madinah. Apabila pulang ke India, beliau terus menyebarkan ilmu hadis yang telah diterima dari gurunya tadi dahlawi juga mempunyai kecerdasan yang luarbiasa sehingga beliau dapat mengembangkan bakatnya yang telah ada. Banyak rahsia ilmu hadis yang dapat dikeluarkannya. Beliau adalah pembuka babak baru dalam lembaran sejarah ilmu hadis di India.

Tiga puluh tahun lamanya Dahlawi mengajar hadis di Madrasah Darul Uluum Delhi. Banyak ulama’ hadis yang dapat dilahirkannya dan banyak pula di antara mereka yang mengarang kitab-kitab hadis yang penting dan menjadi bahan rujukan para pengkaji dalam bab ini. Syah Abdul Aziz Bin Syah Waliyullah Ad-Dahlawi adalah pewaris ilmu dan bakat ayahnya. Beliau bersama tiga orang saudaranya yang lain iaitu Syah Abdul Qadir, Syah Rafi'uddin dan Syah Abdul Ghani telah dapat memenuhi cita-cita ayahnya. Mereka adalah empat orang bersaudara yang tidak dapat dilupakan peranannya dalam sejarah ilmu Hadis di tanah India.

Generasi ini kemudian disambung oleh Jamaah Muhaddissin yang diketuai oleh Syeikh Muhammad Ishaq Ad-Dahlawi, cucu Syah Abdul Aziz Ad-Dahlawi bersama dengan Syeikh Abdul Hayy bin Hibatullah Al-Burhanuwi, Syeikh Abu Said Ad-Dahlawi dan Syeikh Abdul Haq Bin Fadhullah Al-Ustmani

Setelah itu datanglah generasi baru yang dipimpin oleh Syeikh Abdul Ghani bin Syeikh Abu Said Ad-Dahlawi (wafat tahun 1292H), pengarang kitab "Injahul Hajah Fi Syarhi Sunani Ibni Majah”. Syeikh Abdul Ghani merupakan Khalifah dan pewaris ilmu dari Syeikh Muhammad Ishaq Ad-Dahlawi.

Syeikh WIlayat Ali Al-Azhimabadi juga termasuk ulama’ ahli Hadis yang masyhur pada waktu itu di samping sebagai seorang Muhaddith, beliau juga salah seorang pemimpin tentera Mujahiddin yang menyertai perjuangan Imam Ahmad bin Irfan Asy-Syahid. Banyak orang datang berguru dengannya. Mereka sangat kagum dengan peribadi beliau yang dapat menemukan antara kepahlawanan dan keilmuan yang mendalam. Setelah itu datang period baru yang lebih banyak lagi melahirkan ulama’-ulama' ahli ilmu Hadis. Pada period ini, pusat pengajian Ilmu Hadis bukan hanya di kota Delhi sahaja, tetapi sudah tersebar di kota-kota lain.

Di Delhi, ulama' ahli Hadis berguru dengan Syeikh Sayyid Nazir Hussen Ad-Dahlawi (wafat tahun 1320H). Beliau telah mengajar ilmu Hadis selama 50 tahun sehingga dapat berguru dengan beliau seorang datuk dan cucunya. Kita tidak dapat mengira berapakah jumlah murid-muridnya. Pendek kata, di setiap kampung terdapat orang yang pernah berguru dengan beliau.

Di Gangguh, ahli Hadis berguru dengan Syeikh Rasyid Ahmad Al-Ghanghuh (wafat tahun 1323H). Beliau adalah murid terbesar dari Syeikh Abdul Ghani Ad-Dahlawi. Beliau mengajar selama 30 tahun di pondok yang beliau dirikan di kampung Gangguh yang jauh di pedalaman itu. Meskipun demikian, para penuntut tetap datang ke sana untuk mengambil ilmunya. Syeikh Rasyid Ahmad Al-Gangguhi biasanya mengajar semua Kutubus-Sittah (enam buah kitab Hadis yang masyhur itu) dan menamatkannya dalam satu tahun. Kitab karangan beliau yang terkenal ialah  “Al-Kaukabud Durri Ala Jami'it  Tirmizi"dalam dua jilid besar dan kitab "Al-Kawakibud dari Alal Bukhari". Kedua kitab tersebut  adalah kumpulan dari keterangan yang beliau berikan ketika mengajar kitab Hadis Tirmizi dan kitab Shahih Bukhari yang telah dikumpulkan oleh murid beliau yang bernama Syeikh Muhammad Yahya Al-Kandahlawi.

Di Lucknow, ahli Hadis berguru dengan Syeikh Abdul Hayy bin Abdul Halim Al- Laknawi (wafat tahun 1304H). Beliau selain mengajar, juga banyak mengarang kitab. Kitab karangannya lebih dari 110 buah di antaranya ada yang berbahasa Arab dan ada yang berbahasa Urdu dan Persia. Kitab beliau ini telah menjadi bahan rujukan ulama' ahli Hadis, sama ada di India mahupun di luar negeri di antara karangan beliau yang terkenal ialah "As- sia’yah Fi Syarhil Wiqayah, Mishbahud-Duja, At-Ta’liqul Mumajjad 'Ala Muwaththail Imam Muhammad, Ar-Raf’u Wat Takmil Fil JARHI Wat Ta'dil, Imamul-Kalam Fima Yata'allaqu Bil Qiraati Khalfal Imam, Al-Fawaidul bahiyyah Fi Tarajimil Hanafiyyah"dan lain-lainnya.

Di Bhopal, ulama' Hadis berguru dengan Sayyid Shiddiq Hasan Khan (wafat tahun 1317H). Beliau juga merupakan salah seorang ulama’ India yang banyak mengarang. Semua karangannya telah mendapat sambutan baik di kalangan ahli Hadis. Kitab karangan beliau berjumlah 222 buah yang meliputi berbagai ilmu dan perbahasan dan 56 buah di antaranya berbahasa Arab dan yang lainnya dalam bahasa Urdu dan Persia di antara karangannya yang terkenal ialah kitab “Nuzulul Abrar Fi Syarhi Muntaqul Akhbar"(yang merupakan ringkasan dari kitab "Nailul Authar"karangan Imam Asy-Syaukani),

Al-Hiththah Bi zikri Shihahis-Sittah, (kitab yang membahaskan masalah-masalah sulit yang terdapat di dalam Kutubus-Sittah), Miskul Khitam Fi Syarhi Bulughil Maram (dalam bahasa Persia), Fathul Allam Fi Syarhi Bulughil Maram (dalam bahasa Arab), ‘Aunul Bari Fi Halli Adillatil Bukhari, (Syarah Shahih Bukhari dalam empat jilid besar), As-Sirajul Wahhaj Min Kasyfi Mathalibi Shahihi Muslim Ibnil Hajjaj (syarah Shahih Muslim), Fathulbayan Fi Maqashidil Quran (Tafsir Al-Quran dalam sepuluh jilid besar), Nailul Maram Fi Tafsiri Ayatil Ahkam (kitab yang khusus mentafsirkan ayat-ayat hukum), Abjadul-Uluum, At Tajul Mukallal, Al Bughah Fi Ushulil Lughah, Al Alamul Khaffaq Fi Limil Isytiqaq"dan lain-lain.

Di Bihar, para ahli Hadis berguru dengan Syeikh Syamsul-Haq Ad-Diyanawi, murid terbesar Syeikh Sayyid Nazir Husen Ad-Dahlawi. Beliau adalah pengarang kitab "At-Ta'liqul Mughni Fi Syarhid Daraquthni"dalam dua jilid dan kitab “Ghayatul-Maqshud Fi Syarhi Abi Daud"yang kemudiannya disiapkan oleh muridnya Syeikh Asyraf Ad-Diyanawi dan kitab itu diberi nama "Aunul Ma'bud Fi Syarhi Abi Daud", syarah kitab Abu Daud yang tidak asing lagi bagi setiap orang mendalami kitab ini.

Setelah itu datang pula period baru yang berpusat di pesantren Darul Uluum Deoband dan pesantren Mazhahirul Uluum Saharanpur dan di beberapa tempat lain di Kota A'zamgarh.

Di Deoband, ilmu Hadis mulai berkembang pesat sejak Syeikh Rasyid Ahmad Al-Ghanghuhi datang mengajar ke sana, kemudian disambung oleh Maulana Asaraf Ali Al-Tahanwi (wafat tahun 1362H). Beliau adalah murid terbesar Syeikh Rasyid Ahmad Al-Ghanghuhi dan yang mewarisi ilmunya. Kitab beliau yang bernama "I'laus-Sunnan"dalam 18 jilid sudah cukup menjadi saksi atas kedalaman ilmu beliau di bidang ilmu Hadis dan Fiqh. Setelah itu disambung pula oleh Syeikh Mahmudul Hasan Ad-Deobandi (wafat tahun 1330H)  yang lebih terkenal dengan gelaran Syeikhul Hind. Selain dari seorang ulama' ahli Hadis, beliau juga seorang muhajid yang gigih berjuang untuk membebaskan India dari jajahan Inggeris. Beberapa tahun lamanya beliau dibuang ke Pulau Andaman kerana Inggeris mencurigai beliau membuat gerakan bawah tanah yang sangat membahayakan imperialis Inggeris. Setelah itu datanglah giliran murid beliau yang bernama Syeikh Anwar Syah Al-Kashmiri,  pengarang kitab Faidhul Bari Ala Sahahihil Bukhari yang merupakan keterangan singkat dan padat pada kitab Shahih Bukhari.

Di Saharanpur, pengajaran ilmu Hadis mulai giat sejak dari Maulana Khalil Ahmad As-Saharanfuri (wafat tahun 1346H) mulai mengajar di madrasah Mazhahirul-Uluum Saharanpur. Beliau adalah salah seorang di antara khalifah dan pewaris ilmu Syeikh Rashid Ahmad Al-Ghanghuhi dan beliau adalah pengarang kitab "Bazlul Majhud Fi Halli Abi Daud" dalam 20 jilid besar yang merupakan syarah yang terlengkap kepada kitab Hadis Abu Daud dan beliau juga adalah pengarang kitab “At-Ta'liqat", keterangan singkat kepada kitab Shahih Bukhari.

Kemudian kedudukan Maulana Khalil Ahmad As-Saharanfuri dalam mengajar ilmu Hadis digantikan oleh muridnya, Syeikh Yahya Al-Kandahlawi. Syeikh Yahya kemudiannya digantikan oleh anaknya yang bernama Syeikh Muhammad Zakaria Al-Kandahlawi. Selain dari mengajar, Syeikh Zakaria juga banyak mengarang kitab. Kitab beliau yang terpenting ialah "Aujazaul Masalik Ila Muwathhai Malik"syarah yang panjang lebar pada kitab Muwattho' karangan Imam Malik. Kitab ini terdiri dari enam jilid besar. Kitab lain ialah Kitab “Al Lami’ud-Dari Fi Syarhil Bukhari"dalam empat jilid dan kitab "Al- Abwab Wat Tarajim Lil Bukhari"yang menerangkan maksud Imam Bukhari dalam mentabwibkan (membuat bab) dalam kitabnya.

Di kota A’zamgarh juga banyak ulama’ Hadis yang lahir dan mempunyai peranan penting dalam pengembangan ilmu Hadis di tanah India di antara mereka yang terkenal ialah Syeikh Abdul Rahman Al-Mubarakpuri, pengarang kitab “Tuhfatul Ahwazi Fi Syarhit Tirmizi"dalam lima jilid besar dan jilid pertama khusus untuk Muqaddimah yang menerangkan dasar-dasar ilmu hadis yang amat penting diketahui oleh orang yang hendak memperdalami ilmu Hadis, khususnya sunan Tirmizi dan Maulana Ubaidullah Abdur Rahman, pengarang kitab  “Al-Mir'at Fi Syarhil Misykat"dalam empat jilid besar yang merupakan syarah yang terlengkap dan paling merangkumi permasalahan yang berhubungan dengan kitab "Misykatul Mashabih".

Kita tidak dapat melupakan peranan Maulana Habibul Rahman Al-A'zhami sebagai seorang pentashih, pengulas dan penerbit kitab "Al-Mushannaf", karangan Imam Abdur Razzak Ash-Shan'ani seorang ulama' ahli Hadis yang berasal dari Yaman, Kitab ini telah diterbitkan dalam enam belas jilid besar demikian juga "Musnadul  Humaidi" yang juga ditashih dan diterbitkan oleh Syeikh Habibur Rahman Al-A’zhami. Maulana Habibur Rahman masih hidup sehingga kini (1987) dan beliau mengajar ilmu Hadis di Madrasah Miftahul Uluum yang terdapat di daerah A'zamgrah.

Perhatian ulama' India di bidang ilmu Hadis ini tetap berterusan sehingga hari ini dan masih terdapat banyak lagi tokoh-tokoh generasi penerus yang hidup dan memikul tugas ini. Mereka tetap mempertahankan kedudukan mereka dalam mencapai darjat yang tinggi di dalam bidang Hadis sejak dari dua abad yang lalu.

Syeikh Muhammad Rasyid Redha (wafat 1935H) seorang ulama’ besar dari Mesir telah mengakui tentang keunggulan ulama’ India dalam menduduki martabat tertinggi di bidang ilmu Hadis. Beliau menyatakan: “Kalau bukan kerana usaha ulama’ India untuk mendalami ilmu Hadis di akhir-akhir ini, ia tentu telah hilang dan lenyap dari dunia Islam. Ilmu Hadis telah lemah  dan tidak mendapat perhatian dari ulama’ Mesir, Syam (Palestine, Jordan dan  Syria) dan Hijaz (Mekah  dan  Madinah) sejak dari permulaan abad kesepuluh hingga kini.

KARYA-KARYA TAMBAHAN

Selain dari apa yang disebutkan sebelum ini, ulama' ahli Hadis dari India juga mempunyai karangan yang lain-lain, di antaranya ialah:

1). “Masyariqui-Anwar", karangan Syeikh Hasan bin Muhammad Ash-Shaghani At-Lahori. Ia merupakan Kitab Hadis yang mengumpulkan hadis-hadis yang terdapat dalam Kutubus-Sittah.

2). “Kanzul' Ummal fi Sunanil Aqwal Wal Af’al", karangan Syeikh Alauddin Ali bin Hishamuddin Al-Muttaqi (wafat tahun 973H). Kitab ini sangat penting kepada orang yang hendak mendalami ilmu Hadis kerana di dalamnya dihimpunkan hadis-hadis yang bertebaran di sana-sini dalam kitab-kitab hadis yang besar.

3). “Al'Urwatul Wustqa Limuttabi’I Sunnati Sayyidil Wara”, karangan Syeikh Abdullah Ash-Shiddiqi Al-Alahabadi. Kitab ini disusun mengikut susunan kitab-kitab Fiqh.

4). "Khairul Mawa'izh", karangan Syeikh Abur-Raja Muhammad Zaman Asy-Syah Jahanpuri, sebuah kitab Hadis yang disusun mengikut susunan kitab Raiyadhus Shalihin, karangan Imam Nawawi.

5). "Syarhul Muntaqa Libnul Jaruud", karangan Mufti Shibghatullah bin Muhammad Ghaust Asy-Syafi'I Al-Madrasi. “Sati'ul Anwar Min Kalami Sayyidil Abrar”, Nashiruddin Al-Burhanpuri.

6). "HIdayatul-Ghawi fil Manhajis-Sawiyy Fith-Thibbin Nabawi", karangan Syeikh Muhammad Ghaust Al-Madrasi. Sebuah kitab yang mengumpulkan hadis-hadis yang berkenaan dengan perubatan.

7). "Sultanul Azkar", karangan Syeikh Nurul Hasan bin Shiddiq Hassan Khan. Kitab ini merupakan ringkasan dari Kitab "Amalul Yaumi Wal Lailati", karangan Imam Ibnus-Sunni. “Hadistul Arba’iin", karangan Imam Waliyullah Ad-Dahlawi telah menyebutkan 40 buah hadis yang diriwayatkan sampai kepada Rasulullah SAW dengan perantaraan Saidina Ali bin Abi Thalin r.a.

8). "Tarjumanus-Sunnah", karangan Syeikh Badar Alam Al-Mirati dalam empat jilid besar.

9). "Astaarus Sunan", karangan Syeikh Zhahir Ahsan An-Nimawi. Kitab yang menyebut hadis-hadis yang dijadikan hujah dalam mazhab Hanafi dan kitab ini merupakan suatu pendekatan antara mazhab Hanafi dengan Al-Hadis pada beberapa masalah yang dikatakan bahawa mazhab Hanafi bertentangan dengan hadis.

10). "Syarhut-Thahawi", karangan Syeikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi.

11). “At-Ta'liqus Shabih Ala Misykatil-Mashabih”, karangan Syeikh Muhammad Idris Al-Kandahlawi. Satu syarahan kepada kitab "Misykat".

12). "Al-Mushaffa", karangan Syeikh Ya'qub Al-Bayani Al-Lahori.

13). "Al-Muhalla", karangan Syeikh Salamullah Ad-Dahlawi.

14). “Al-Mussawa", karangan Syeikh Waliyullah Ad-Dahlawi.

15). “Al-Mushaffa", karangan Syeikh Waliyullah Ad-Dahlawi (dalam bahasa Persia).

SYARAH-SYARAH KITAB SHAHIH BUKHARI:

1). "Hidayatus Salik", karangan Imam Mufti Shibghatullah Al-Madrasi.

2). "Faidhul Bari", karangan Sayyid Abdul Awwal Al-Hussaini.

3). "Al-Khairul Jari", karangan Syeikh Ya'qub Al-Bayani Al-Lahori.

4). “Anwarul Bari’, karangan Syeikh Sayyed Ahmad Redha Al-Bajnuri (dalam bahasa Urdu).

SYARAH-SYARAH SHAHIH MUSLIM:

1). “Al-Mu'allim", karangan Syeikh Ya'qub Al-Bayani Al-Lahori.

2). “Al-Matharus-Tsajjaj Fi Syarhi Muslim Ibnil Hajjaj", karangan Syeikh Waliyullah Ahmad Al-Muttaqi Al-Farrukhabadi.

3). "Fathul Mulhim", karangan Syeikh Syabbir Ahmad Al-Ustnabu,

SYARAH SUNAN ABU DAUD:

1).  "At-Ta'liqul Mahmud", karangan Syeikh Fakhrul Hasan Al-Ghanghuhi.

SYARAH TIRMIzI:

1).  "Ja-izatusy Sya'wazi", karangan Syeikh Wahiduzzaman Al-Laknawi.

2).  "Ath-Thibusy-Syaziyy", karangan Syeikh Isyfaqur-Rahman Al-Kandahlawi.

SYARAH SUNAN NASAI:

1).  “Ar-Raudhur-Raba Fi Syarhi Sunanil Mujtaba"(Sunan Nasai), karangan Syeikh Wahiduzzaman Al-Laknawi.

SYARAH SUNAN IBNU MAJAH:

1).  "Raf'ul Ujajah", karangan Syeikh Wahiduzzaman Al-Laknawi.

DALAM ILMU USHUL HADIS DAN ASMAUL-RIJAL:

1). “Syarhu Nukhbatil Fakir,"karangan Syeikh Wahiduddin Al-Alawi Al-Ghujarati.

2). “Im’anun Nazhar Fi Syarhi Nukhbatif Fikar”, karangan Syeikh Muhammad Akram As-Sindi.

3). “Bughyatul Gharib Fi Mushthalahi Astaril Habib”, karangan Sayyid Murtadha Al-Husaini Al-Bilkarami.

4). “Al ‘Ujalatun Nafi’ah"(dalam bahasa Persia), karangan Syeikh Syah Abdul Aziz bin Waliyullah Ad-Dahlawi.

5). “Manhajul Wushul ila Ishthilahi Ahadistir-Rasul”, (dalam bahasa Persia), karangan Sayyid Shiddiq Hasan Khan.

6). “Al-Asmaul Musaddad Fi Ruwati Muwaththail Ima Muhammad", karangan Syeikh Muhammad Idris An-Nakarami.

7). “Al-Hawi Ala Rijalit Thahawi,"karangan Maulanan Habibur-Rahman Al-A'zhami.

8). “Al-Yani'ul Jani Fi Asanidis Syeikh Abdul Ghani”, karangan Syeikh Muhsin Yahya At-Turahati.

No comments:

Post a Comment