Terdapat banyak versi hadith yang menerangkan tentang kelebihan surah al-Kahfi. Antaranya sabda Nabi:
مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ
الدَّجَّالِ
"Barangsiapa yang memelihara (beramal) dengan 10 ayat dari awal surah al-Kahfi, dia terlindung dari Dajjal" - hr Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Ahmad.
Berikut secara ringkas mesej yang terkandung dalam 10 ayat awal surah al-Kahfi, yang perlu difahami seterusnya dijadikan pedoman hidup ketika berada di zaman fitnah.
1). Istiqamah Dengan Nas.
Ayat pertama, Allah menjelaskan sifat al-Quran yang konsisten, tidak ada bengkang-bengkok.
"Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan buat hambanya (Muhammad) al-Kitab yang tiada bengkang bengkok" - al-Kahfi 1.
Itulah jalan istiqamah. Hidup dengan panduan al-Quran. Ajaran al-Quran semestinya diterjemahkan oleh hadith dan keseluruhan gaya hidup Nabi. Maka kesemua permasalahan hidup, mestilah diulas dan diselesaikan berdasarkan nas.
2). Jelas Membezakan Kebenaran & Kebatilan.
Ayat kedua, Allah mengingatkan fungsi al-Quran sebagai penyata jurang antara benar dan batil. Pengancam golongan yang ingkar, pendorong golongan yang beriman agar giat beramal. “(Al-Quran) sebagai pembimbing yang lurus. Untuk mengancam seksaan yang dahsyat dari Allah, dan pembawa khabar gembira kepada golongan beriman yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka dikurnia balasan yang baik" - al-Kahfi 2.
3). Jangan Jadi Sekular.
Ayat ketiga, Allah menyedarkan bahawa selepas kematian, ada perhitungan. Jangan membataskan wawasan hidup hanya di dunia. Bahkan di sana ada akhirat sebagai alam pembalasan segala kerja buat di dunia. Ia kekal abadi. "Mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya" - al-Kahfi 3.
4). Kenali & Berwaspada Dengan Musuh.
Ayat keempat, Allah mendedahkan musuh Islam yang perlu diawasi. Al-Quran mengancam golongan yang menuduh kononnya Allah mempunyai anak. "Dan untuk mengancam golongan yang berkata Allah mengambil anak" - al-Kahfi 4. Di kalangan ulama' tafsir menjelaskan, ayat ini ditujukan kepada golongan Yahudi & Kristian. Dikuatkan lagi oleh ayat surah al-Baqarah ayat 120 yang turut mengingatkan ancaman Yahudi dan Kristian. Mereka gigih dan licik memesongkan umat Islam secara berperingkat-peringkat. Di zaman moden, kita maklum wujudnya kesepakatan antara Zionis Yahudi dan Zionis Kristian.
5). Proksi Zionis & Wabak Kejahilan.
Ayat kelima, sebagai respon dari cabaran Musyrikin Quraisy yang menjadi penyambung lidah puak Yahudi, bertanyakan soalan yang kononnya boleh memerangkap Nabi. Mereka dicadangkan oleh Yahudi untuk mencabar Nabi supaya menjawab soalan tentang kisah Ashabul Kahfi. Secara tidak sedar, Musyrikin Quraisy menjadi proksi Yahudi untuk menyerang ajaran Islam.
"Mereka sama sekali tiada ilmu, begitu juga nenek moyang mereka. Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka, sedangkan apa yang diperkatakan itu semuanya dusta" - al-Kahfi 5.
Nabi terus membalas bahawa soalan tentang Ashabul Kahfi akan dijawab pada hari esok, tanpa menyebut insyaAllah. Lantas Allah menangguhkan penurunan wahyu selama 15 hari. Dalam tempoh itu, Musyrikin Quraisy galak melancarkan serangan propaganda. Kononnya Nabi seorang penipu, soalan perangkap mereka sudah mengena dan Allah telah meninggalkan Nabi keseorangan. Propaganda tersebut tersebar luas.
Mereka menyerang Islam dengan penuh kejahilan. Maka di ambang kiamat, sememangnya ramai yang jahil. Bahkan muncul golongan 'ruwaibidah' yang diingatkan oleh Nabi. Iaitu golongan jahil yang sewenang-wenangnya mengeluarkan pandangan. Sementara golongan berilmu khianat dan menyeleweng.
6). Fitnah Propaganda.
Kesan dari serangan propaganda, Nabi menanggung tekanan. Seorang al-Amin dituduh penipu.
"Maka apakah barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman dengan keterangan ini" - al-Kahfi 6. Ternyata propaganda boleh menguasai minda dan mencipta persepsi yang songsang. Ia cukup menguji ketahanan jiwa golongan yang mempertahankan iman. Apatah lagi hari ini, instrumen media propaganda jauh lebih efektif menyebarkan penipuan berbanding dahulu.
7). Sesatnya Ajaran Materialisme.
Ayat ketujuh, Allah mengingatkan godaan dunia. Ia sebagai ujian yang mengukur siapa yang benar-benar cekal beramal untuk akhirat. "Sesungguhnya kami jadikan atas dunia ini perhiasan. Untuk menguji siapakah di antara mereka yang terbaik amalannya" - al-Kahfi 7. Ajaran materialisme mengukur benar dan salah berdasarkan pulangan kebendaan. Membataskan wawasan hidup hanya di dunia. Melahirkan manusia yang memperajakan perut, memufliskan jiwa. Duit dan segala laba dunia dijadikan berhala yang ditaati penuh setia.
8). Fatamorgana.
Ayat kelapan, Allah menyedarkan kita bahawa apa yang dikejar di dunia, akan lenyap. Hamba dunia pasti tidak akan puas mengejar angan-angan dunia, ibarat fatamorgana. "Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menjadikan pula apa yang di atasnya menjadi tanah rata lagi tandus" - al-Kahfi 8. Dunia akan datang dengan mudah jika kita utamakan akhirat. Namun jika dikejar, dunia akan semakin jauh sambil mengejek keringat kita.
9). Jangan Mudah Terpengaruh.
Ayat kesembilan, Allah memulakan penceritaan Ashabul Kahfi. "Apakah kamu mengira bahawa orang-orang yang mendiami gua dan raqim (catatan ilmu mereka) itu, mereka termasuk sebagai tanda kekuasaan kami yang menakjubkan" - al-Kahfi 9. Ashabul Kahfi adalah golongan remaja yang tidak sempat mencapai apa-apa kejayaan di mata manusia. Melainkan mereka berjaya memelihara iman. Itulah kejayaan besar di sisi Allah. Kisah mereka membawa mesej, agar cekal menjaga jatidiri. Jangan mudah terpengaruh dengan persekitaran yang merosakkan, arus yang menyesatkan dan masyarakat yang serba jahil.
10). Doa Menghadapi Fitnah Islamphobia.
Ayat kesepuluh, Allah merakamkan doa yang diucap oleh Ashabul Kahfi. Sekaligus mengajar kita agar berdoa dengan doa yang sama tatkala berdepan dengan zaman serba keliru dan songsang.
"Ingatlah tatkala kelompok remaja itu mencari tempat berlindung ke dalam gua. Lalu mereka berdoa "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu, dan sempurnakanlah untuk kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami ini" - al-Kahfi 10. Bersedia dengan senario golongan yang jahat mendominasi golongan yang benar. Islam didefinisikan oleh masyarakat yang rosak. Sementara ajaran Islam yang sebenar menjadi bahan cemuhan dan pengikutnya dibenci bahkan menjadi buruan. Maka Allah mengajar kita doa ini, supaya diberi kekuatan untuk terus istiqamah dengan Islam.
Wahai Allah, Lindungi Kami Dari Dajjal. Ayat al-Quran tidak cukup dijadikan bahan bacaan dan hafalan semata-mata. Bahkan ia perlu serius dijadikan panduan, sebagai manual kehidupan seharian. Allah telah mendedahkan kepada kita ruang-ruang strategik dalam kehidupan seharian kita, yang diintai oleh Dajjal. Ia dirumuskan secara ringkas dan padat melalui 10 ayat awal surah al-Kahfi. Jika kita tidak beringat pesanan Allah itu, maka kita sangat berpotensi menjadi mangsa tipu daya Dajjal.
(Abdul Mu'izz Muhammad - 27 Oktober 2017).
No comments:
Post a Comment