Adat Raja-Raja MELAYU merangkumi undang-undang Syariat dan undang-undang Adat yang berkaitan dengan hal kelayakan, perlantikan dan peranan seorang Raja MELAYU sebagai wakil Allah dalam segala urusan umat Islam berbangsa MELAYU.
Adat Raja-raja MELAYU yang terangkum dalam undang-undang syariat ialah ADATULLAH, sedangkan adat Raja-raja MELAYU yang bersifat adat diadatkan atau ADATUNNAH merupakan penggenap kepada undang-undang syariat yang berkaitan dengan urusan pemerintahan seorang Raja MELAYU.
ADAT MELAYU YANG BERSIFAT ADATULLAH
Dalam memenuhi kelayakan sebagai seorang Raja Islam, seorang Raja MELAYU dituntut untuk memenuhi ciri-ciri seperti baligh, lelaki, tidak gharib dan berakal. Menurut ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, melantik raja hukumnya fardu kifayah seperti melantik kadhi. Begitu pentingnya hal melantik raja, maka adat Raja-raja MELAYU telah menetapkan bahawa perlantikan seorang raja pengganti perlu didahulukan daripada mengkebumikan raja yang baru mangkat.
Adat muafakat dan persetujuan para pembesar dalam urusan perlantikan raja juga tergolong dalam adatullah kerana ia mempunyai asasnya dalam ajaran Islam. Permuafakatan dan persetujuan para pembesar MELAYU merupakan suatu syarat pengesahan perlantikan seorang Raja MELAYU. Persetujuan para pembesar ini lazimnya dizahirkan melalui ungkapan "kami suka". Perlantikan Khulafa Ar-Rashidin disahkan dengan ungkapan "kami reda" oleh para sahabat yang lainya. Semenjak itu ianya menjadi amalan dalam perlantikan khalifah khalifah dan raja-raja Islam.
Adat pertabalan seorang Raja MELAYU juga merupakan adatullah. Dalam majlis pertabalan, lafaz sumpah mengambil tanggungjawab sebagai ulil amri dan disertakan dengan alat kebesaran mempunyai asas yang kukuh dalam ajaran Islam. Pertabalan Raja MELAYU merupakan sesuatu yang sarakal kerana ia merupakan pengiktirafan agama kepada kedudukannya sebagai seorang raja bagi umat Islam yang berdaulat, ia dapat menjamin payung Allah dibuka atas kerajaannya.
Bimbingan Mufti dan Fakih diperlukan apabila terjadi masalah, contohnya Raja yang terkeluar dari kelayakan sebagai ulil Amri seperti gila, menentang perlaksanaan syariat, terlalu zalim dan sebagainya. Institusi ulama juga menjadi pembimbing istana dalam memastikan institusi beraja tetap teguh peranannya sebagai pendiri dan penegak corak pemerintahan Islam dalam kesultanannya.
ADAT MELAYU YANG BERSIFAT ADATUNNAH
Sebagaimana resam adat yang diadatkan yang mempunyai asal-usul serta penjaganya, adat Raja-raja MELAYU di bawah kategori ini berasal dari zaman pemerintahan Demang Lebar Daun dari Bukit Siguntang di Tanah Palembang. Demang Lebar Daun memberi amanat kepada Sang Nila Utama sebagai tunggak dan payung kepada umat MELAYU dan meletakkan dirinya sebagai Bendahara MELAYU pertama yang berfungsi sebagai "tempat perbendaharaan segala rahsia raja".
Demang Lebar Daun juga telah meletakkan beberapa adat yang menzahirkan kemuliaan dan kebesaran Sang Nila Utama sebagai Raja MELAYU yang berdaulat. Dari sinilah juga puncanya kedudukan Bendahara sebagai penjaga adat Raja-raja MELAYU.
Perkahwinan raja dengan puteri bangsawan yang diharapkan dapat melahirkan waris pemerintah merupakan fitrah raja-raja dari zaman awal tamadun manusia. Adat ini dikekalkan dalam adat Raja-raja MELAYU. Kedatangan Islam yang mengutamakan kemuliaan zuriat (tidak gharib) sebagai satu ciri kelayakan menjadikan pemerintah berrtanggungjawab dalam menjamin adat ini terus dikekalkan.
Sang Nila Utama yang berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun mengasaskan adat perkahwinan Raja dengan puteri Bendahara. Maka dalam adat Raja-raja MELAYU, darah raja, Bendahara dan keturunan Rasullulah SAW ditakrifkan sebagai darah gahara. Adat ini dapat dimasukkan dalam kategori adatullah kerana ianya serasi dengan aturan Islam.
Satu lagi adat yang mempunyai asas yang kukuh dalam Islam adalah pantang anak MELAYU derhaka kepada rajanya. Dalam Islam, seorang Ulil Amri wajib dipatuhi selama mana perintahnya tidak melanggar syariat. Begitulah adat MELAYU yang termaktub dalam perbilangan "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah".
Pemilihan waris tertua sebagai pengganti Raja yang mangkat merupakan adat yang diadatkan, dibuat bagi mengelakkan konflik antara kerabat diraja dalam urusan menaiki takhta. Bendahara, jemaah menteri dan kerabat diraja tertua akan memutuskan hal pengganti Raja jika ada masalah yang timbul seperti ketiadaan waris.
Pertabalan seorang Raja MELAYU yang dibuat oleh Dato' Bendahara juga tergolong dalam adat yang diistiadatkan, yang berasal daripada pertabalan Sang Nila Utama sebagai Raja MELAYU oleh Demang Lebar Daun. Begitu juga apabila takhta pemerintahan Bangsa MELAYU perlu "dikembalikan" kepada Bendahara jika ditakdirkan raja mangkat tanpa waris.
Adat ini berasaskan kepada hakikat bahawa Bendahara merupakan tuan asal kepada bangsa MELAYU dari Bukit Siguntang yang menyerahkan amanah pemerintahan kepada Sang Nila Utama.
Penggunaan bahasa yang khusus kepada keluarga diraja seperti "berpatik" dan "bertuanku", protokol dan tertib yang dituntut dengan mereka termasuk dalam perkara adat yang diadatkan.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment