Sunday, January 17, 2010

PERANAN TENTERA PAHANG DI DALAM PERANG KELANG

Dalam bulan mei 1872, Tengku Kudin telah berangkat ke Pahang bertemu Bendahara Wan Ahmad atau Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah bagi meminta pertolongan memerangi Raja Mahadi. Ini kerana Tengku Kudin semakin tertekan dengan kepungan Raja Mahadi.

Pada awal bulan Ogos, pasukan Yap Ah Loy dan Van Hagen yang ada di Kuala Lumpur sudah kekurangan makanan. Mereka juga kekurangan askar yang boleh membantu mempertahankan Kuala Lumpur daripada serangan Raja Mahadi. 

Berikutan permintaan Tengku Kudin kepada Bendahara Wan Ahmad, kira-kira lebih kurang seribu pejuang Pahang berkumpul di Bentong. Mereka kemudian bertolak dari Pahang melalui Genting Sempah dan Genting Bidai dan sampai ke ulu Kelang. Di sana, pasukan pahang berpecah dua iaitu satu pasukan dibawah pimpinan Orang Kaya Chenor dan Haji Muhammad Nur manakala satu lagi dibawah pimpinan Imam Perang Rasu.

Pasukan Orang Kaya Chenor bertolak ke Kepong manakala pasukan Imam Perang Rasu telah menyerang dan mengalahkan kubu Raja Asal di Ulu Kelang. Walaupun pasukan Imam Perang Rasu berjaya menawan kubu Raja Asal tetapi Raja Asal berjaya menyerang dan menyekat bekalan makanan untuk pasukan Imam Perang Rasu. Akibat sekatan ini, pasukan Imam Perang Rasu mengalami keputusan makanan sehingga terpaksa memakan umbut kayu bercampur garam. Akhirnya pasukan Imam Perang Rasu terpaksa berundur semula ke Bentong.

Pasukan Imam Perang Rasu kemudian berkumpul semula di Bentong dengan kelengkapan yang baru dan kemudian bertolak menuju Kepong. Di sana mereka bergabung dengan pasukan Pahang yang berada di Kepong. Pasukan Pahang telah menghantar utusan kepada tentera Tengku Kudin dibawah pimpinan Van Hagen di Kuala Lumpur supaya berundur ke kepong dan bergabung dengan pasukan Pahang. Namun mungkin kerana Van hagen tidak mempercayai pasukan Pahang, dia bersama pembantunya Cavaliero dan tenteranya berundur dari Kuala Lumpur menuju Kelang. Manakala askar askar lain ditinggalkan dibawah jagaan Yap Ah loy.

Dalam pengunduran itu, mungkin kerana sesat ataupun penunjuk jalan sengaja berpakat dengan Raja Mahadi, Van Hagen dan tenteranya tersesat jalan sehingga ke Salak. Dari sana mereka pergi ke Sungai Kuyoh dan telah ditunggu oleh tentera Raja Mahadi. Pertempuran dahsyat berlaku diantara tentera Raja Mahadi dengan tentera Van Hagen. Akhirnya Van Hagen dan tenteranya tewas dan ditawan oleh Raja Mahadi. Cavaliero telah terbunuh bersama sama 20 askar Sepahi. Kira-kira 30 askar yang lain melarikan diri didalam hutan dan berjaya sampai ke Kelang. Van Hagen dan tenteranya yang lain ditawan dan dibawa ke Kuala Lumpur.

Kepala Van Hagen dan Cavaliero telah disembelih dihadapan orang ramai dan kemudian diarak beramai ramai ke serata jalan di Pekan Kuala Lumpur. Kedua kepala berkenaan kemudian dipaku di pintu gerbang dihadapan kubu Raja Mahadi.

Semasa Van Hagen keluar dari Kuala Lumpur, Yap Ah Loy juga memerintahkan askarnya meninggalkan Kuala Lumpur. Mereka keluar melalui Jalan Bukit Arang dan Penchala dan mahu menuju Damansara namun mereka juga dikejar oleh askar Saiyhid Mashhor dan Raja Laut. Mereka bertempur di satu kawasan berhampiran Damansara dan kira kira 1700 askar Yap Ah loy telah terbunuh. Turut terkorban adalah beberapa orang harapannya iaitu Tung Khun dan Teng Sam. Yap Ah Loy berusaha berundur dan berjaya menghilir Sungai Kelang pergi ke Kelang.

Tengku Kudin yang berada di Kelang tergamam mendengar berita kejatuhan Kuala Lumpur dan tenteranya yang hampir habis dimusnahkan oleh Raja Mahadi. Setelah Yap Ah Loy tiba di Kelang, mereka menyusun semula tentera dan perancangan baru. Pasukan Pahang yang berkumpul di Kepong pulang semula ke Bentong dalam bulan September 1872. Kuala Lumpur telah jatuh ke tangan Raja Mahadi, Saiyid Mashhor dan Raja laut pada akhir bulan Ogos tahun 1872. 

Dalam bulan Ogos juga askar Saiyid Mashhor telah menyerang kota kota di Kuala Selangor dan berjaya menawannya. Raja Mahadi berjaya menawan Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Petaling, Kepong dan kubu kubu kecil. Manakala Tengku Kudin hanya mempunyai dua kota dan kubu di tepi Sungai Kelang dan beberapa kubu kecil di Damansara dan Pangkalan Batu.

Tengku Kudin dan Yap Ah Loy berusaha mengumpul semula tentera mereka. Yap Ah loy berjaya mengumpul hampir 1300 orang askar manakala Tengku Kudin berjaya mengumpul orang orang MELAYU lebih kurang seribu orang. Apabila merasakan kelengkapan mereka telah cukup, mereka meninggalkan Kelang mengikut jalan darat menuju Petaling.

Di Petaling, mereka bertempur dengan orang orang Raja Mahadi. Tidak lama bertempur, pihak Raja Mahadi berundur meninggalkan Petaling dan pasukan Tengku Kudin dan Yap Ah loy berjaya menawan Petaling pada 18 haribulan November 1872.

Tidak lama duduk di Petaling, mereka bergerak menuju Kuala Lumpur. Sepanjang jalan menempuh hutan di antara Petaling dan Kuala Lumpur, mereka tidak diserang oleh pihak musuh. Setibanya di Kuala Lumpur, Yap Ah Loy memilih berkubu di tempat tinggi bergelar Bukit Arang. Askar askar mereka dipecah pecahkan dan mengawal dibeberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

Dalam masa itu, berlaku pertempuran kecil beberapa kali diantara pasukan Tengku Kudin dan Raja Mahadi. Pada awal bulan Mac 1873, pasukan Pahang diketuai Imam Perang Rasu dan Orang Kaya Chenor kembali semula ke pinggir Kuala Lumpur. Pasukan Pahang yang diketuai oleh Orang Kaya Lipis pula menawan genting genting jalan yang menghubungkan Pahang dengan Ulu Selangor.

Pasukan Pahang dan pasukan Tengku Kudin kemudian mengepung kubu Raja Asal di Ulu Kelang. Orang orang Mendahiling dari pihak Raja Asal keluar dari kubu dan menyerang pasukan Pahang. Dalam pertempuran itu beberapa panglima Pahang mengalami luka parah namun akhirnya pada 23 haribulan Mac 1873, kubu Raja Asal di Ulu Kelang berjaya ditawan oleh pasukan Pahang. Raja Asal dan orang orangnya lari dan berkumpul dengan orang Saiyid Mashhor di Kuala Lumpur.

Angkatan perang Pahang dan Tengku Kudin kemudian bergerak ke Kuala Lumpur. Mereka berkubu diantara batu satu jalan Ampang sehingga ke Bukit Gombak. Orang Yap Ah Loy pula mara dan berkubu kira kira sebatu dari Pekan Kuala Lumpur.

Setelah Saiyid Mashhor melihat musuh telah mengelilingi Kuala Lumpur, dia mengumpulkan askarnya seramai dua ribu orang dan melancarkan serangan. Pertempuran berlaku dua hari dua malam. Pada malam ketiga, Saiyid Mashhor, Raja Asal dan saki baki askar yang ada berundur meninggalkan Kuala Lumpur mengikut jalan Pudu. Pasukan Pahang, Tengku Kudin dan Yap Ah loy berjaya dalam peperangan itu.

Yap AH Loy dan tenteranya mengejar pihak Saiyid Mashhor dan Raja Asal. Mereka meredah hutan melalui Pudu, Kanching, Rawang, Kuala Kubu sehingga Tanjung Malim. Sepanjang perjalan itu banyak askar Saiyid Mashhor terbunuh namun Saiyid Mashhor dapat melarikan diri. Imam Perang Rasu pulang ke Pahang dan dikurniakan gelaran Orang Kaya Imam Perang Indera Gajah dan Pulau Tawar dikurniakan kepada beliau. 

Sebulan selepas itu, Imam Perang Indera Gajah dan Haji Muhammad Nur kembali ke Selangor. Awal bulan September 1873, angkatan perang laut Pahang berkumpul di Kelang. Kemudian bergerak menyerang Kuala Selangor. Dalam bulan November 1873, angkatan Tengku Kudin dan Pahang dapat menawan Kuala Selangor. 

Kuala Selangor dijadikan pangkalan bagi mereka melancarkan serangan. Angkatan Pahang dibawah pimpinan Panglima Perang Johan Perkasa menyerang kubu pihak Raja Mahadi yang digelar kubu Masjid. Namun pasukan Pahang tidak dapat menawan kubu terbabit dan memohon bantuan Imam Perang Muhammad Akil. Pasukan Imam Perang Muhammad Akil membantu namun Imam Perang Muhammad Akil telah terbunuh. Mayatnya dibawa ke Kelang dan dikebumikan disana.

Sementara itu, pasukan Pahang ditempat lain menyerang kubu Raja Mahadi di Kanching. Dengan pertolongan pasukan Yap Ah Loy, pasukan Pahang dapat menawan tiga kubu Raja Mahadi di Kanching. Selepas Perang Kanching, pasukan Pahang menawan Rawang, Serendah dan bertempur dengan pihak Raja Asal di Ulu Yam. Raja Asal melarikan diri setelah kubunya ditawan pasukan Pahang.

Pasukan Pahang terus bergerak ke Kuala Kubu. Disana mereka diserang oleh orang Mendahiling, Rawa dan Cina yang berpihak kepada Raja Mahadi namun gagal. Pasukan Pahang terus bertempur sehingga di Ulu Bernam. Pasukan Saiyyid Mashhor telah kalah dan lari ke Slim (Negeri Perak). Sejak itu tamatlah tugas pasukan Pahang membantu Tengku Kudin melawan Raja Mahadi.

Pada akhir tahun 1873, orang orang Pahang di negeri Selangor kembali semula ke Pahang. Haji Muhammad Nur serta beberapa orang Pahang lain masih tinggal di Ulu Selangor memungut cukai bagi diberikan kepada Bendahara Wan Ahmad sebagai perbelanjaan perang. Pada tahun 1875 barulah Haji Muhammad Nur pulang ke Pahang.

Tengku Daeng Mawelle

No comments:

Post a Comment