Kerajaan Majapahit atau Nagari Karajan Mojopait adalah sebuah kerajaan yang berpusat di Jawa Timur, Indonesia, yang dibentuk sekitar tahun 1293 hingga 1527 M. Sebelum tertubuhnya Majapahit, Kerajaan ini didahului oleh kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang di pulau Sumatra. Majapahit diasaskan oleh Raden Wijaya dan Kerajaan ini mencapai puncak kejayaan atau kegemilangan pada masa pemerintahan Hayam Wuruk dari tahun 1350 hingga 1389 yang telah berjaya meluaskan kuasanya dan menawan sebahagian Nusantara.
Antara negara hari ini yang pernah menjadi wilayahnya adalah Negara Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Timor Leste dan Filipina.
Pemerintah Majapahit.
• 1293-1309 - Raden Wijaya atau Kertarajasa Jayawardhana
• 1309-1328 - Kalagamet atau Sri Jayanagara
• 1328-1350 - Sri Gitarja atau Tribhuwana Wijayatunggadewi
• 1350-1389 - Hayam Wuruk atau Rajasanagara
• 1389-1429 - Wikramawardhana
• 1429-1447 - Suhita atau Dyah Ayu Kencana Wungu
• 1447-1451 - KertaWijaya atau Brawijaya I
• 1451-1453 - Rajasawardhana atau Brawijaya II
• 1453-1466 - Purwawisesa atau Brawijaya III
• 1466-1468 - Pandanalas atau Suraprabawa atau Brawijaya IV
• 1468-1478 - Kertabumi atau Brawijaya V
° 1478-1498 - Girindrawardhana atau Brawijaya VI
Kerajaan Majapahit adalah kerajaan Hindu-Buddha terakhir yang menguasai Nusantara dan dianggap sebagai kerajaan terbesar dalam sejarah Nusantara. Kerajaan Majapahit diasaskan oleh Raden Wijaya. Baginda menerima pengaruh Hindu Buddha dan melaksanakan sistem pentadbiran berasaskan Undang-undang Manu. Undang-undang Manu merupakan sumber bertulis yang menjelaskan peranan hakim membicarakan kes-kes awam.
Raja Majapahit yang mengamalkan konsep devaraja dibantu oleh Perdana Menteri dan empat orang Menteri. Maksud devaraja ialah wakil dewa untuk memimpin manusia. Kerajaan Majapahit mencapai kegemilangannya pada zaman pemerintahan Hayam Wuruk (Rajasanagara) dan dibantu oleh Mahapatih (Perdana Menteri) yang bernama Patih Gajah Mada.
Pada abad ke-15 Majapahit menjadi pusat perdagangan utama. Pelabuhan utama ialah Kataha (Kedah Tua atau Chiecha dalam catatan Cina) dan Temasik yang sering dikunjungi oleh pedagang dari Asia Tenggara, China, India, dan Timur Tengah.
Pengasas Majapahit, Raden Wijaya, merupakan menantu kepada Kertanegara, Raja Kerajaan Singhasari yang juga berpusat di Jawa. Selepas Singhasari mengusir Srivijaya dari Jawa secara keseluruhannya pada tahun 1290, kekuasaan Singhasari mula menjadi perhatian Kublai Khan di China dan dia mengirim duta untuk mengutip ufti.
Kertanagara, pengasas kerajaan Singhasari, menolak untuk membayar ufti dan menghukum wakil Khan yang dianggap pencuri. Khan menghantar 1000 buah kapal untuk menyerang Jawa tahun 1293. Pada ketika itu, seorang pemberontak dari Kediri, Jayakatwang, telah membunuh Kertanagara dan merampas takhta Singhasari.
Raden Wijaya mengambil kesempatan berpakat dengan tentera Mongol untuk menumpaskan Jayakatwang bagi merampas semula takhta dan menuntut bela kematian Kertanegara. Kemudian, Raden Wijaya menyerang hendap tentera Mongol serta memaksa tentera Mongol untuk berundur keluar dari Pulau Jawa dalam keadaan kelam-kabut. Seterusnya Raden Wijaya mengasaskan Kerajaan Majapahit, sempena nama buah maja yang pahit.
Gajah Mada, seorang patih dan bupati Majapahit dari 1331 ke 1364, memperluas kekuasaan-kekuasaan ke pulau-pulau sekitarnya. Beberapa tahun selepas kematian Gajah Mada, angkatan laut Majapahit menawan Palembang dan menakluk daerah terakhir kerajaan Srivijaya. Walaupun pengasas Majapahit melebarkan kekuasaan mereka ke tanah seberang di seluruh Nusantara dan membinasakan kerajaan-kerajaan jiran, tumpuan mereka adalah untuk menguasai dan memonopoli perdagangan komersil antara pulau.
Ketika Majapahit didirikan, pedagang Muslim dan para mubaligh mula memasuki Nusantara. Selepas mencapai puncaknya pada abad ke-14, tenaga Majapahit beransur-ansur lemah dan perang saudara merebut takhta (dikenali sebagai Perang Paregreg) yang bermula dari tahun 1401 dan berlangsung selama empat tahun melemahkan Majapahit.
Setelah ini Majapahit ternyata tidak dapat menguasai Nusantara lagi. Kehancuran Majapahit terjadi kira-kira pada sekitar tahun 1500-an meskipun di Jawa ada sebuah khronogram atau candrasengkala yang berbunyi: sirna hilang kretaning bumi. Sengkala ini kononnya ialah tahun berakhirnya Majapahit dan harus dibaca sebaga 0041 = 1400 Saka (1478 Masihi). Maksud sengkala ini ialah “sirna hilanglah kemakmuran bumi (Majapahit)”.
Menurut catatan Babad Tanah Jawi, Majapahit ditumpaskan oleh Kesultanan Demak pada tahun 1527. Pengasas Kesultanan Demak, Raden Patah, ialah putera Raja Majapahit terakhir, Brawijaya V dengan gundik Cina. Selepas berakhirnya Majapahit di tangan Kesultanan Demak, para kerabat dan ningrat (bangsawan) Majapahit yang enggan memeluk Islam telah lari ke Pulau Bali.
Tengku Daeng Mawelle
No comments:
Post a Comment