Wednesday, February 3, 2010

CHOLA DIBAWAH SRIWIJAYA

Beberapa tahun lepas semasa saya sedang mengikuti sebuah forum online mengenai sejarah Asia tenggara saya mendapat satu maklumat. Namun begitu pada masa tersebut saya masih belum tergerak hati untuk menulis atau menganalisa mengenai maklumat tersebut. 

Oleh kerana itu pada kali ini saya merasakan adalah waktu yang terbaik untuk saya menulis mengenainya bagi menangkis sebarang tohmahan yang diberikan oleh segolongan pihak di luar sana yang cuba merendah-rendahkan tamadun bangsa Melayu di Nusantara ini dan dunia amnya. Saya pasti akan ada yang kurang setuju dengan teori dan pendapat ini. Namun ini hanyalah teori yang masih boleh dikaji dan bebas untuk dibahaskan. Tidak ada yang mutlak dalam sejarah kerana tiada siapa yang tahu perkara sebenar yang terjadi beratus tahun dahulu kecuali Allah.

Beberapa peristiwa penting berlaku sebelum, semasa dan selepas tahun 1070 yang membawa kepada suatu fakta yang mungkin telah disorokkan. Apakah fakta tersebut? Ianya adalah mengenai penguasaan empayar Sriwijaya terhadap keajaan Chola dan pelantikan seseorang yang mungkin berbangsa Malayu beragama Buddha dari Sriwijaya sebagai raja baru Chola.


Diantara peristiwa tersebut adalah:


1) Kematian Raja Chola, Virarajendra dan anaknya Athirajendra yang misteri pada tahun 1070. Athirajendra dikatakan dibunuh dalam sebuah rusuhan atau pemberontakan, malah ada sejarawan India sendiri percaya bahawa Kulotungga ada peranan dalam hal ini.


2) Takhta Chola yang kosong ketika itu akhirnya diduduki oleh seorang raja asing yang bernama Kulotungga, satu nama yang asing bagi masyarakat Hindu Tamil di India selatan ketika itu tetapi adalah satu nama yang biasa bagi masyarakat atasan di Asia Tenggara terutama Sriwijaya dan diteruskan oleh Majapahit seperti Sangrama Vijayatungga, Samara Vijayatungga, Srimara Vijayatungga dan tak lupa seorang Srikandi Tribhuwana Vijayatungga Dewi.


3) Dalam sebuah catatan China pada tahun 1077, seorang Maharaja Sriwijaya yang bernama Diwakara disebut dengan jelas sebagai seorang pemerintah asing kerajaan Chola.


4) Nama Kulothunga tercatat didalam catatan China yang sama sebagai Raja Chola sahaja dan bukan Maharaja Chola. Hal ini membuktikan bahawa Raja Chola ketika itu adalah raja bawahan dari Maharaja Sriwijaya. Berkemungkinan dia adalah raja daerah (saya ambil istilah geng nai-nai), Yuvaraja atau juga Obyaraja.


5) Sebuah prasasti  yang terdapat di sebuah kuil  Tao di Guangzhou menyatakan bahawa kuil tersebut telah dibaik pulih sekitar tahun 1064-1067. Tahun 1064-1067 membuktikan bahawa yang membiayai pembaikpulihan tersebut adalah Diwakara Maharaja Sriwijaya. Jika kita melihat kepada catatan China yang menyatakan bahawa Diwakara adalah penguasa luar Chola pada tahun 1077, maka dapat kita simpulkan bahawa penguaaan Sriwijaya terhadap Chola berlaku sekitar 1064-1077.


6) Sepucuk surat yang ditulis oleh seorang pegawai China Dinasti Song pada tahun 1106 dengan jelas menyatakan bahawa Chola berada dibawah penguasaan Sriwijaya.


Sebenarnya memang ada usaha yang dilakukan oleh sejarawan China dan barat untuk menjelaskan mengenai catatan-catatan kontra dari pihak Chola dan China ini. Namun kesemuanya menemui jalan buntu. Ada sejarawan mengaggap bahawa pencatat dan pegawai China tersilap memahami maklumat yang mereka terima dan ada sejarawan barat yang mengatakan bahawa Diwakara hanyalah raja daerah dan telah menipu pegawai China untuk menaikan prestijnya semula. Namun pendapat ini juga tidak dipersetujui oleh sejarawan lain. Ditambah lagi dengan kenaikan Kulotungga sebagai Raja Chola yang dianggap sebagai sesuatu peristiwa yang misteri. Malah ada sejarawan barat yakni George Spencer, cuba mejelaskan hal ini dengan mengatakan bahawa Diwakara adalah raja bagi kedua-dua kerajaan atas hasil perkahwinan Rajendra Chola dengan puteri tempatan dengan merujuk kepada Sulalatus Salatin. Tetapi yang peliknya sejarawan yang sama juga kemudiannya menolak pandangannya sendiri kerana kronologi masa yang tidak logik seperti yang tertulis dalam SS.


Sepanjang 50 tahun pemerintahan Kulottunga, Chola didalam rekod China ditulis sebagai sebuah karajaan yang dikuasai oleh kemaharajaan Sriwijaya. Setelah kematian Kulotungga, penguasaan Sriwijaya terhadap Chola mula lemah dan para elit Tamil serta Raja-raja mereka mula menjalankan kerja-kerja penghapusan dan putar belit sejarah yang memalukan bagi mereka ini. Oleh sebab itu kematian Raja Virarajendra di tulis sebagai mati dalam peperangan. Susur galur palsu yang cuba mencantumkan Kulotungga dengan raja-raja Chola terdahulu telah dibuat untuk menghapuskan bukti-bukti bahawa Kulotungga adalah Raja keturunan Sriwijaya. Oleh sebab itu sehingga sekarang susur galur Kulotungga dianggap sejarawan masih kabur dan memeningkan. Malah sebuah puisi Tamil bagi menggambarkan kempen ketenteraan Kulotungga menawan Kedah turut ditulis bagi menegaskan yang Kulotungga adalah berdarah Tamil Chola.


Darah Melayu yang wujud pada Kulotungga bukan sahaja dapat kita buktikan dengan penggunaan suffix tunga pada namanya yang langsung tidak pernah digunakan oleh mana-mana Raja Chola sejak zaman awal penubuhannya, tetapi juga dengan catatan dari inskripsi Chola sendiri yang menyatakan bahawa beliau adalah berasal dari wilayah luar di timur. Bercakap mengenai  inskripsi-inskripsi atau prasasti yang dijumpai di Chola, adalah penting untuk kita menapis mana-mana yang dirasakan terlalu bias atau terlalu mengagung-agungkan Chola. Oleh itu teknik cross reference atau rujuk silang adalah amat perlu dalam hal ini. Kita tidak boleh mengambil bulat-bulat apa yang ditulis dalam prasasti-prasasti Chola seperti prasasti Tanjore, yang jika kita cari rujukan silang dari bangsa-bangsa lain mengenainya adalah tidak ditemukan buat masa ini.


Mengenai serangan Chola juga ada sejarawan dari Kemboja yang membuat hipotesis bahawa serangan yang dibuat oleh Chola pada zaman Rajendra seperti yang ditulis dalam prasasti ini adalah atas bantuan daripada pendokong dinasti Sailendra yang tidak senang dengan Sangrama Vijatatungga yang dikatakan berasal dari dinasti Sri Dharmaraja dan ingin bebas dari pengaruh Sailendra di Jawa. oleh sebab itulah Rajendra mengambil kesempatan untuk menyerang Sriwijaya terutama Kedah yang dikawal kerabat Sriwijaya mala dari Sri Dharmaraja. Ini bermakna terdapatnya perpecahan dikalangan Raja-raja Melayu sendiri untuk merebut penguasaan Selat Melaka, itu pun jika hipotesis ini benar.


Oleh sebab itu ada sejarawan yang menganggap bahawa apa yang ditulis dalam prasasti tersebut adalah ‘cakap-cakap’ besar semata-mata. Jika penyerangan yang dasyat ini berlaku mengapa tidak dipahat prasasti yang serupa di Sriwijaya? Malah jika benar berlaku penyerangan yang maha hebat dan besar mengapa kerajaan China tidak tahu menahu hal ini, Sedangkan para pedagang dari China sudah tentu banyak yang singgah di pelabuhan-pelabuhan Sriwijaya. Begitu juga jika kita mengkaji Sejarah Melayu seperti Sulalatus Salatin, kita perlu melakukan rujuk silang dan tidak mengambil sebarang maklumat secara membuta tuli.


Seperti yang saya pernah sebutkan dalam artikel sebelum ini, Sriwijaya bukan sahaja pernah berkuasa di Chola tetapi juga di Sri Lanka malah kepulauan Maldives, Nicobar dan Madagaskar. Daripada catatan petitih-petitih kuno di Sri Lanka lah kita dapat tahu hal sebenar yang berlaku semasa atau selepas serangan Chola tersebut jika benarpun ia berlaku. Malah catatan dari pengembara Arab turut menyebut bahawa Sri Lanka di bawah jajahan Sriwijaya. Kehebatan Sriwijaya sebagai penguasa lautan timur tercatat dalam catatan pengembara Arab. Terdapat juga catatan Arab yang menyatakan bahawa Sriwijaya pernah menyerang Sofala. Legasi kehebatan inilah yang dicemburui oleh kerajaan-kerajaan lain seperti kerajaan Tamil Chola dan juga Thai. Tetapi legasi ini tidak diendahkan langsung oleh bangsa kita, malah ada yang menempelak dan mengejek-ejek golongan yang betul-betul ikhlas dan sayangkan sejarah bangsa Melayu. Sedangkan orang orang Arab pada zaman dahulu sangat kagum akan bangsa Melayu seperti yang digambarkan dalam catatan yang dibuat oleh Al Mas’udi berikut mengenai Maharaja Sriwijaya:


"In the sea of Champa (eastern South China Sea) is the empire of Maharaja, the king of the islands, who rules over an empire without limit and has innumerable troops. Even the most rapid vessels could not complete in two years a tour round the isles which are under his possession. The territories of this king produce all sorts of spices and aromatics, and no other sovereign of the world gets as much wealth from the soil.” (Mas'udi, 943)



No comments:

Post a Comment