Wednesday, February 3, 2010

MANABHARANA PENAKLUK GANGAIKONDACHOLAPURAM

Sebelum saya meneruskan agenda utama dalam penulisan kali ini iaitu mengenai seorang lagi tokoh agung Melayu yang berperanan dalam melumpuhkan Empayar Chola, saya ingin memperkatakan sedikit mengenai kerajaan Pandya. 

Mungkin kita tidak perasan bahawasanya kerajaan Pandya juga sebenarnya adalah sebuah kerajaan Tamil. Berbeza dengan Chola, kerajaan Pandya semasa era kegemilangannya tidak pernah menjalankan dasar perluasan kuasa hingga ke Asia Tenggara setakat yang saya tahu. Paling jauh yang pernah mereka tawan adalah utara Sri Lanka. Kerajaan Pandya juga sering bermusuh dengan kerajaan Chola walau mereka dari bangsa yang sama.


Malah dalam banyak peristiwa sejarah di selatan India dan Sri Lanka, kerajaan Pandya banyak kali mengadakan pakatan dengan Sri Lanka dan Sriwijaya bagi mengalahkan Chola. Ibu kota kerajaan ini adalah terletak di Madhurai yang masih wujud hingga kini. Boleh dikatakan kerajaan Pandya ini kurang aggressive berbanding Tamil Chola. Kerajaan Sriwijaya juga pernah membantu kerajaan Pandya untuk mendapatkan semula ibu kota mereka Madhurai dari cengkaman Chola. Satu persoalan disini ialah mengapa tiada orang orang Tamil di Negara kita yang menyebut tentang raja-raja dari kerajaan Pandya ini? Mereka juga Tamil bukan? Nampak sangat bahawa segolongan Tamil yang heboh mengklaim pelbagai sejarah Melayu ini tidak arif malah mungkin tidak tahu tentang sejarah dinasti-dinasti bangsa mereka sendiri, tetapi ada hati untuk mengubah sejarah orang lain.


Baiklah, kita kembali kepada topik utama kita iaitu satu tokoh Melayu Sriwijaya yang berjaya menundukkan Chola untuk menyembah ke Sriwijaya. Dalam artikel sebelum ini saya ada membincangkan mengenai Kulotungga seorang Raja Chola yang agak misteri asal usulnya dan mengapa semasa pemerintahan beliau pernah ada catatan China Dinasti Song yang mengatakan bahawa Chola takluk dibawah Sriwijaya. Artikel ini adalah sebagai satu hipotesis untuk menentukan apakah sebenarnya bangsa Kulotungga ini dan mengapa namanya mempunyai suffix tungga yang hanya digunakan oleh raja-raja Melayu. Berkemungkinan nama ini hanya satu ambilan sempena nama raja-raja Sriwijaya yang disanjungnya atau satu penganugerahan dari Sriwijaya.


Pengisian dalam artikel ini akan membongkar siapa sebenarnya Kulotungga Chola dan bagaimana sebenarnya beliau menaiki takhta Chola dan sekaligus menjawab persoalan samada Chola pernah takluk atau tidak kepada Sriwijaya. Artikel ini juga akan mendedahkan satu nama yang tidak diketahui oleh kebanyakan sejarawan tempatan kita dan peranannya dalam sejarah Chola iaitu Manabharana anak kepada Samara Vijayatungga. Namun begitu sebagaimana halnya dengan sejarah zaman purba yang lain, untuk mendapatkan kebenaran mutlak dan kepastian yang jitu mengenai sesuatu peristiwa sejarah itu adalah mustahil.


Sebelum ini saya telah menulis mengenai Samara Vijayatungga yang membebaskan seluruh Sriwijaya malah Sri Lanka daripada penguasaan Chola. Chola berjaya dihalau dan Samara Vijayatungga pulang ke Sriwijaya dan berjaya memulihkan kembali kerajaan Melayu tersebut. Namun kerajaan Chola dengan sendirinya menjadi lemah setelah banyak wilayah taklukannya sebelum ini terbebas. Walaupun ada cubaan dari Virarajendra Chola yang menaiki takhta kemudiannya untuk menawan kembali wilayah yang telah bebas namun ianya tidak berjaya kerana terdapatnya penentangan yang kuat daripada pakatan Pandya, Sri Lanka dan Sriwijaya.


Pada hujung pemerintahan Virarajendra telah berlakunya perebutan kuasa di kerajaan Chola. Adhirajendra Chola, salah seorang daripada puteranya, setelah memenangi sebuah peperangan di India dan telah dijadikan bakal raja. Tindakan ini telah menghampakan Kulotungga yang sebelum itu pada zaman datuk sebelah ibunya telah dijanjikan untuk menaiki takhta Chola. Di sini kita akan mendapat tahu siapa sebenarnya Kulotungga ini. Kulotungga sebenarnya adalah cucu Rajendra Chola. Nenek sebelah ibunya merupakan seorang puteri Sriwijaya yang telah membuat perjanjian dengan datuknya Rajendra Chola agar Kulotungga dijadikan raja apabila dewasa.


Semasa Kulotungga masih kecil, dia telah dijadikan sebagai anak angkat oleh neneknya sendiri Si Puteri Sriwijaya, manakala bapa saudaranya Rajendra II diberikan takhta Chola. Oleh itu Kulotungga mempunyai darah peranakan Chalukya bangsa Kannanda, darah Chola bangsa Tamil dan darah Melayu Sriwijaya. Selepas datukya dibunuh, Kulo mungkin dibesarkan neneknya di kerajaan Sriwijaya untuk keselamatannya sehinggalah dia dewasa kemudian pulang ke Chola. Darah Chola hanya mengalir dalam darah belah ibunya. Oleh sebab itu mungkin selepas beliau menaiki takhta maka terputuslah jurai keturunan dinasti Vijayalaya yang hanya ada sedikit kesannya dari darah sebelah ibu, ini kerana ayahnya adalah dari dinasti Chalukya dan ibunya pula ada darah Chola dan Sriwijaya.


Siapa sebenarnya Puteri Sriwijaya yang berkahwin dengan Rajendra Chola satu tersebut? Menurut sejarawan Thai dan Sri Lanka, Mara Vijayatunga Maharaja Sriwijaya Kataha ada tiga orang anak iaitu dua lelaki dan satu perempuan. Dua darinya kita ketahui sebagai Sagrama Vijayatungga dan Samara Vijayatungga manakala yang perempuan belum dipastikan. Semasa Rajendra Chola menyerang Sriwijaya, adik perempuannya berjaya ditawan manakala, Samara Vijayatungga dapat meloloskan diri. Adik perempuan mereka yang ditawan inilah Puteri Sriwijaya yang berkahwin dengan Rajendra Chola dan melahirkan Amangga Dewi yang kemudiannya berkahwin dengan anak Raja Chalukya bernama Rajaraja Chola Pandita. Dari perkahwinan mereka berdua maka melahirkan pula Kulotungga.


Apa yang menarik tentang hipotesis sejarawan ini adalah bagaimana ia mengaitkan peristiwa-peristiwa sejarah Chola, Sri Lanka dan Sriwijaya dengan karya Sulalatus Salatin. Walaupun disebut bahawa Rajendra Chola berkahwin dengan Puteri Melayu, namun tiada langsung bukti yang menunjukkan dari perkahwinan ini lahirnya raja-raja Melayu berketurunan Tamil Chola. Namun ironinya perkahwinan ini pula telah melahirkan Raja-Raja Chola Tamil berperanakan Melayu melalui jurai perempuan.


Sekarang kita sudah tahu siapa Kulotungga yang sebenarnya, kita pergi pula dengan persoalan bagaimana beliau boleh menaiki takhta Chola. Akibat daripada kecewa dengan tindakan bapa-bapa saudaranya yang tidak menunaikan wasiat Rajendra Chola agar beliau dijadikan Raja Chola apabila dewasa, Kulotungga telah meninggalkan Chola dengan para pengikutnya dan menuju ke Kerajaan Padyan untuk cuba merampas kerajaan tersebut. Namun tindakan beliau ini ternyata salah dan membawa padah apabila dengan mudah pasukan Kulotungga dikalahkan oleh Raja Sundra Pandya.


Setelah itu Kulotungga bersama pasukannya menuju ke Sri Lanka pula untuk mengadu dan mendapatkan simpati dari Raja Sri Lanka bagi membantunya mendapatkan takhta Chola. Namun demikian Raja Sri Lanka tidak mahu memberikan sebarang bantuan. Dari situ beliau kemidiannya telah pergi pula ke Kemboja untuk meminta bantuan Raja Kemboja dan akhirnya permintaannya dikabulkan oleh Raja Kemboja yang telah memberikan angkatan tentera yang besar untuk beliau bagi menawan Kerajaan Chola. Namun sekali lagi kegagalan menimpa beliau apabila beliau berjaya dikalahkan dan terpaksa berundur ke Sri Lanka. Di Sri Lanka Raja Mahendra yang simpati dengan beliau telah melantiknya sebagai seorang gabenor untuk satu daerah di negeri itu.


Selama Kulotungga tinggal disitu, cita-citanya untuk mendapatkan takhta Chola tidak pernah padam. Akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk pergi ke tanah asal neneknya, Sriwijaya. Pada masa itu Samara Vijayatungga masih hidup dan mungkin sudah sangat tua. Ini bermakna akhirnya Kulotungga terpaksa meminta bantuan daripada datuk saudaranya sendiri bagi mendapatkan takhta Chola. Mengapa tidak sejak dari awal beliau berbuat demikian itu masih tidak diketahui. Kulotungga telah memohon bantuan ketenteraan dari Samara Vijayatungga untuk menawan Chola dan beliau berjanji untuk tunduk menyembah kepada Sriwijaya apabila beliau berjaya menaiki takhta Chola.


Samara telah bersetuju dan mengarahkan anaknya yang bernama Manabharana bersama satu angkatan tentera Melayu yang kuat untuk pergi menakluk Chola. Persetujuan Samara ini menurut sejarawan berkemungkinan disebabkan Virarajendra Chola pernah masuk campur dalam urusan Kerajaan Sriwijaya sebelum itu dan hal ini tidak disukai oleah Samara Vijayatungga. Oleh kerana Sriwijaya berada sangat jauh dari Chola iaitu lebih dari 1000 batu, Manabharana sebagai seorang jeneral yang berpengalaman sedar betapa susahnya untuk mengangkut tentera dan menyediakan bekalan mereka sekiranya gerakan mereka berpusat di Sriwijaya.


Bagi menyelesaikan masalah ini baginda telah membina markas tenteranya di Sri Lanka kira-kira 260 batu dari Chola. Sri Lanka pada ketika itu diperintah oleh ipar duainya sendiri, jadi tiada masalah untuk Manabharana membina pos tentera disitu. Selain memerlukan bekalan makanan dan lain-lain keperluan peperangan dari Mahendra, Manabharana juga perlukan jasa baiknya untuk memujuk raja Kerajaan Pandya agar menyokongnya dalam usaha menyerang Chola. Manabharana telah pergi ke Madhurai ibu kota Pandya untuk berbincang dan memujuk raja Pandya kerana sebelum itu Kulotungga telah dua kali cuba menyerang Pandya dan sekarang hendak meminta batuan pula bagi mendapatkan takhta Chola. Tetapi kerana mengingati jasa Manabharana dan ayahnya Samara Vijayatungga yang dahulunya telah membantu Pandya mendapatkan semula kerajaan Pandya dari Chola, Sundra Pandya pun bersetuju untuk membenarkan tentera Manabharana dan Kulotungga melalui negerinya semasa hendak menyerang kerajaan Chola.


Kerana diplomasi manabharana berjaya, maka kata sepakat telah dicapai diantara ketiga-tiga pihak untuk melanggar kerajaan Chola secara bersama. Manabharana telah mengepalai tenteranya menyeberangi selat untuk masuk ke negeri Pandya. Seterusnya dengan melalui jalan darat dan jalan laut Manabharana mengepung kerajaan Chola. Dalam masa ini Virarajendhra telah mati dan terdapat penentangan dalaman terhadap pelantikan Adhirajendra sebagai Raja Chola.  Sebelum Adhirajendra dapat menaiki takhta Chola beliau terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan Chalukya dan rajanya Vikramaditya yang sebelum itu merupakan musuh tradisi Chola. Setelah Adirajendara menaiki takhta Chola, sebahagian daripada tentera Chalukya tinggal disitu untuk mempertahankannya. Hal ini menyebabkan orang orang Chola marah dan tidak lagi menyokongnya kerana melibatkan pihak asing berbangsa Kannanda untuk campurtangan dalam hal ehwal negara mereka, nak pula Chalukya adalah musuh kepada Chola.


Setelah mendapat tahu akan keadaan anarki ini, Manabharana sedar akan peluangnya dan terus menyerang Gangaikondacholapuram secara mengejut dan dapat menawan kota tersebut. Tentera Chalukya telah lari balik ke negara mereka dan Manabharana telah memanggil semua pembesar kerajaan Chola dan memberi kata dua sama ada tunduk kepada Sriwijaya atau menghadapi kehancuran. Mereka telah menerima kata dua itu dan Adhirajendra dibunuh dan Kulotungga dijadikan Raja Chola. Orang orang Chola mahu menerima kata dua itu kerana mereka bencikan Raja Vikramaditya dari Chalukya yang sebelum itu selalu berperang dengan mereka.


Manabharana tinggal di Gangaikondacholapuram untuk menyaksikan pertabalan Kulotungga sebagai raja Chola. Setelah itu baginda pergi ke Sri Lanka untuk melaporkan kejayaan besar mereka kepada Raja Sri Lanka dan mengucapkan terima kasih akan bantuannya. Kemudian beliau pulang ke Sriwijaya dan kepulangannya disambut oleh ayahnya Samara Vijayatungga secara besar-besaran sebagai penakluk Chola. Kedua-dua anak beranak ini, Manabharana dan ayahnya Samara Vijayatungga bersikap realistik. Walaupun tentera Sriwijaya telah dapat menakluk negeri Chola, mereka tidak ingin menjajahnya secara terus kerana mereka sedar negeri itu terlalu jauh untuk ditadbir. Mereka juga sedar akan risikonya kerana jika suatu hari nanti orang orang Tamil Chola bergabung untuk menjatuhkan pentadbiran mereka disana.


Tujuan mereka bukanlah untuk menjarah atau menjajah sebaliknya untuk menunjukkan kekuasaan Sriwijaya. Sejak dari hari itu tidak ada lagi serangan dari mana-mana negeri di Selatan India terhadap Sriwijaya kerana Kulotungga Chola telah berjanji untuk tunduk kepada Sriwijaya sebagai sebuah kerajaan yang lebih utama dan kuat. Oleh sebab itu jika kita baca sejarah kerajaan Chola selepas Kulotungga naik takhta, tiada lagi ekspedisi untuk menyerang Sriwijaya. Hal ini mengesahkan catatan China yang menulis bahawa Chu lien atau Chola berada dibawah jajahan Sriwijaya dan Kulotungga pernah pergi ke China dengan menggunakan nama Sriwijaya.


Pada masa Kulotungga pergi ke China, ketika itu terdapat juga utusan dari kerajaan Pagan datang membawa ufti. Pada mulanya penyambut utusan ingin melayan kedua-dua utusan luar tersebut dengan cara dan layanan yang sama kerana mengaggap yang Chola adalah sebuah kerajaan merdeka. Namun menurut catatan Ma Tuan Lin, terdapat seorang pegawai China yang mengetahui bahawa Chola telah berada dibawah kekuasaan Sriwijaya ketika itu dan mengarahkan agar utusan Chola dilayan dengan taraf lebih rendah sedikit daripada utusan Pagan kerana utusan Pagan adalah dari raja yang berdaulat dan merdeka. Oleh itu warkah yang diberikan Raja China untuk utusan Pagan adalah lebih mahal bahannya dan lebih baik berbanding warkah untuk kerajaan Chola yang hanya diperbuat dari kertas dan bersarungkan sutera polos sahaja.


Satu perkara yang menarik yang turut ditemukan oleh para pengkaji sumber-sumber inskripsi kuno di Sri Lanka dan selatan India ialah sistem penggiliran Maharaja. Kita mungkin beranggapan bahawa sistem penggiliran Sultan untuk menjadi Yang Dipertuan Agong pada hari ini adalah atu sistem baru ciptaan penjajah. Namun sebenarnya sistem ini telah diamalkan sejak zaman Sriwijaya lagi. Pada masa peristiwa penyerangan Chola hinggalah kenaikan Kulotungga sebagai Raja Chola, berkemungkinan Sriwijaya telah berpecah kepada tiga wilayah. Satu di Jawa, satu di Sumatera dan satu lagi di Kedah dan sekitar utara Semenanjung. Hubungan Sriwijaya Kataha dengan Sriwijaya Malayupura di Sumatera masih baik, namun hubungan dengan Jawa pada ketika itu sudah menjadi renggang kerana pemberontakan dari kerajaan-kerajaan Jawa seperti Singosari.


Jika kita membaca prasasti dan petitih kuno dari Selatan India dan Sri Lanka kita akan jumpa nama-nama seperti Javaka, Javapura atau Suvarnarana Yava dan sebagainya. Namun demikian semua catatan mereka memandukan nama-nama ini ke Semenanjung Tanah Melayu terutama di sekitar Segenting Kera. Oleh itu kita jangan tersalah faham bahawa yang disebut adalah pulau Jawa kerana kerajaan Sriwijaya Kataha negara juga dipanggil sebagai Javaka. Sejarawan Thai meletakkan Javaka ini di Utara Semenanjung atau Chaiya. Malah dalam petitih kuno Thai turut menyebut akan seorang raja bernama Phya Javaka yang berkuasa di Nagara Sri Dharmaraja.


Mengenai sistem giliran tadi, menurut sejarawan Sri Lanka dan Thai, daripada dokumen kuno yang dijumpai menyatakan bahawa Maharaja Sriwijaya dilantik dengan cara dipilih oleh majlis raja-raja malay city state di seluruh jajahan utama Sriwijaya yang juga dikenali dengan nama Kataharajas. Kataharajas ini bolehlah disamakan dengan majlis raja-raja yang wujud kini. Satu undian sulit akan dilaksanakan untuk memilih Maharaja Sriwijaya. Walaupun secara teorinya pemilihan ini boleh berlaku, namun kebiasaannya maharaja yang dipilih adalah dari jurai yang sama juga. Ini mungkin berlaku kerana ada pengaruh yang kuat dari pihak-pihak tertentu.


Menurut maklumat tersebut biasanya raja dari Suvarnapura atau Malayapura yang menjadi Maharaja. Jika raja Suvarnapura tidak menjadi maharaja, dia akan pergi ke Jawa untuk menjadi raja disitu (sebelum Jawa diambil alih oleh kerajaan-kerajaan orang Jawa totok), manakala raja yang berada di Jawa pula akan pergi ke Semenanjung sama ada di Kedah atau Sri Dharmaraja untuk memerintah disitu. Maharaja pula boleh memerintah dari mana-mana satu kota utama yang ada di seluruh jajahan Sriwijaya. Sebab itu kita dapat lihat sepanjang sejarah Sriwijaya berlaku beberapa kali perpindahan ibu kota.


Namun demikian adalah sukar untuk kita tentukan yang mana sebenarnya Suvarnapura, yang mana Malayapura, yang mana Kataha dan yang mana Javaka yang sebenar. Catatan-catatan dari luar ini kebanyakannya tidak meletakkan dengan jelas dimana tempat tersebut. Namun setakat ini sekurang kurangnya pada zaman yang kita bincangkan diatas tadi, Javaka dipastikan berada di Utara Semenanjung atau Sri Dharmaraja (Tambralingga), Malayapura mungkin Sumatera (Jambi/Dharmasraya) dan Suvarnapura mungkin di utara Semenanjung juga iaitu Chaiya menurut sejarawan Thai, namun saya percaya ianya Grahi. Berkemungkinan juga Suvarnapura sebenarnya merujuk kepada wilayah seluruh Semenanjung termasuk Kedah, Grahi dan Javaka atau Sri Dharmaraja Tambralingga (The Naksat City State).


Sekarang jelas kepada kita bahawa bangsa Melayu terutama pada masa Sriwijaya adalah bangsa agung dan bukan bangsa primitif yang ditamadunkan oleh Rajendra Chola. Bangsa Melayu adalah bangsa penakluk dan bukan bangsa yang tertakluk atau ditakluk. Oleh itu sedarlah wahai anak Melayu. Jika ada golongan-golongan yang jahil dan mengatakan bahawa bangsa ini ditamadunkan oleh bangsa Tamil, campakkan sahaja catatan-catatan sejarah dari luar seperti Culavamsa dan Mahavamsa ke muka mereka. Jika mereka masih degil dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa bangsa Melayu pada zaman dahulu pernah membina bangunan-bangunan agama Hindu dan Buddha yang hebat, hantukkan sahaja kepala mereka ke batu-batu bersurat serta prasasti-prasasti Sri Lanka seperti Bolana dan Madigiri yang banyak menceritakan kehebatan raja-raja Melayu mengusir Tamil-tamil Chola malah menaklukkan ibu kota Chola Gangaikondacholapuram yang sangat dibanggakan mereka itu.


* Setelah berbincang dengan seorang yang lebih arif akan sejarah, saya ingin membuat sedikit penjelasan dan kesimpulan alternatif mengenai artikel ini. Pertama sekali ialah saya menganggap artikel ini sebagai hipotesis awal sahaja yang masih perlu dikaji dan di perkukuhkan dengan bukti-bukti baru terutama mengenai asal usul Kulotungga Chola. Ada beberapa perkara yang menjadi persoalan disini dan yang pertama adalah mengenai perkahwinan Rajendra Chola dengan seorang Puteri Melayu yang melahirkan Amangga Dewi, Ibu Kulotungga. Walaupun sejarawan Thai dan Sri Lanka mengatakan bahawa perkahwinan ini berlaku , namun sumber mereka kurang jelas. Tidak diketahui siapakan puteri ini.


Jika perkahwinan ini berlaku sepertimana yang tertulis iaitu puteri ini dibawa sebagai tawanan di Chola bersama abangnya Sangrama, mengapa abangnya Sangrama dan Samara tidak menghantar tentera untuk mendapatkan dia semula? Ada beberapa hipotesis yang boleh dibuat. Satunya adalah kerana setelah diserang oleh Chola, Sangrama serta adiknya itu ditawan dan terpaksa menyetujui untuk adiknya si puteri dikahwinkan dengan Rajendra. Oleh sebab itu dalam catatan Leiden disebut Sangrama diletakkan semula sebagai pemerintah Kedah. Mungkin ini hasil daripada pertukaran perkahwinan dengan adiknya. Jika ini benar dia telah menjualkan adiknya sendiri.


Satu lagi andaian yang boleh dibuat ialah Sangrama sengaja merelakan dan menyuruh adiknya mengahwini Rajendra untuk memasukkan jarum-jarum Sriwijaya dalam darah diraja Chola supaya suatu hari nanti darah diraja Melayu akan bersemenda dengan Chola dan memudahkan Sriwijaya menundukkan Chola. Hal ini diperkukuhkan dengan kenyataan sejarawan Sri Lanka yang menyatakan bahawa Puteri Sriwijaya tersebut telah memujuk Rajendra Chola agar menaikkan cucunya Kulotungga Chola sebagai Raja Chola bila dewasa kelak. Ini bermakna puteri Sriwijaya tersebut memainkan peranan yang penting dalam memastikan darah Melayu Sriwijaya terserap dalam Istana Chola.


Satu lagi kemungkinan mengapa Samara dan Sangrama tidak menyelamatkan adiknya adalah kerana selepas diserang Chola, mereka memerlukan masa untuk menstabilkan semula kerajaan Sriwijaya. Barisan tentera yang berkurangan atau berserakan perlu distrukturkan semula dan  kekuatan ketenteraan perlu dibina dengan lebih mantap. Oleh itu perkahwinan adik mereka dengan Rajendra dijadikan umpan untuk mengaburi mata Chola buat sementara waktu sebelum mereka membina kekuatan untuk menghalau Chola dan membunuh Rajendra. 


Pembunuhan Rajendra telah dirancang lebih awal dan kedatangan Rajendra untuk melawat Sriwijaya pada tahun 1044 berkemungkinan besar adalah atas cadangan isterinya Puteri Sriwijaya yang bersekongkol dengan abangnya Samara untuk membunuh Rajendra. Jika ini benar, perancangan yang sangat jitu telah dijalankan oleh anak-anak Mara Vijayatungga. Kesanggupan puteri tersebut untuk berkahwin dengan musuh dan menunggu begitu lama sebelum membalas dendam adalah satu tindakan yang mengkagumkan. Inilah yang dimaksudkan dengan semangat Srikandi Melayu.


Ada juga hipotesis yang mengatakan Kulotungga  sebenarnya boleh dikaitkan dengan jurai Kerajaan Sri Lanka. Oleh itu kaitan Kulotungga dengan Sriwijaya bukanlah secara langsung seperti yang saya sebutkan sebelum ini sebaliknya melalui Sri Lanka. Jika pendapat ini diterima maka berkemungkinan dia adalah anak puteri Sriwijaya dengan Raja Sri Lanka. Bagaimana perkaitan ini berlaku atau benarkah hipotesis ini, wallah hu 'a lam kerana saya sendiri belum jumpa rujukannya. Daripada semua perbincangan ini dapat kita simpulkan bahawa sebenarnya asal usul Kulotungga adalah masih kabur dan tidak pasti. Jika adapun sumber yang menyatakan tentangnya ia agak longgar dan boleh dipertikaikan. Dengan kata yang mudah adalah lebih baik diakui bahawa kita kekurangan bahan bukti serta sumber, oleh itu hal ini telah menyekat pengetahuan kita akan asal usul sebenar tokoh ini.



No comments:

Post a Comment