Wednesday, February 3, 2010

KEPALA PATUNG DEWA VISHNU BERUSIA 4,000-3,500 DI VIETNAM

Terdapat laporan dari Vietnam bahawa adanya penemuan sebuah ukiran patung Vishnu purba. Mengikut laporan yang dibuat oleh Jawatan Kuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, patung Vishnu tersebut digambarkan sebagai patung kepala Dewa Vishnu dari kebudayaan Oc Eo yang berusia lebih kurang 4000 hingga 3,500 tahun. 

Sejak kebelakangan ini walaupun kerajaan Vietnam adalah sebuah kerajaan yang mengamalkan doktrin Komunis, namun terdapat perkembangan dalam pengkajian serta projek yang melibatkan sejarah zaman purba yang melibatkan agama lain seperti Bramanism atau Hinduisme. Kajian arkeologi yang dibuat adalah secara professional dan sahih serta dapatan akhirnya dikatakan adalah berautoriti.


Penemuan artifak berusia 4,000 hingga 3,500 tahun ini adalah salah satu penemuan sejarah ulung yang dapat memberikan pencerahan dan gambaran awal tentang agama Hindu di Vietnam dan juga dunia amnya. Setakat ini menurut mereka tiada lagi jumpaan rasmi artifak Vedik yang berusia setua itu yang pernah dicatatkan di dunia. Hal ini menjadikan Vietnam satu-satunya negara buat masa ini yang mempunyai artifak Vedik purba yang tertua di dunia. Walaupun terdapat banyak penemuan artifak purba lain yang menggambarkan dewa yang sama, namun ianya bukan berbentuk budaya Indik dan tidak dapat dikelaskan sebagai dewa Vishnu budaya Indik Vaishanava.


Artifak purba tersebut ditemui di wilayah selatan Vietnam yakni berdekatan Delta Mekong. Nama Sungai Mekong sebenarnya dinamakan sempena nama Ma Gangga iaitu sungai Ganges di India. Kawasan tersebut pernah menjadi pusat kemunculan beberapa tamadun Vedik purba dan banyak artifak-artifak berunsur Vedik pernah dujumpai di wilayah tersebut. Artifak kepala Vishnu tersebut telah dipamerkan secara rasmi semasa Festival Warisan Quang Nam kali ke lima yang dibuka pada jun 21, 2013 di Kota Hoi An. Festival ini mempamerkan banyak objek purba dari zaman Dong Son-Sa Huyn serta Oc Eo di Vietnam. Terdapat lebih dari 1000 artifak purba dipamerkan yang diperolehi dari seluruh Vietnam terdiri daripada tembikar, barangan tembaga atau gangsa, barangan perhiasan, alat pertanian dan lain-lain.


Jika rumusan mengenai penemuan ini diterima umum , bermakna sejarah agama Hindu di Asia tenggara mungkin perlu disemak semula. Mengikut sejarah agama Hindu dan kebudayaan vedik aliran perdana, agama vedik atau Hindu tidak wujud sebelum orang orang berketurunan Aryan masuk ke India 1500 tahun sebelum masihi. Malah ajaran Vaishnavism di perkirakan oleh ahli sejarah bermula lebih lewat berbanding jumpaan patung tersebut. Sebelum ini India sering disebut sebagai tempat berkembangnya budaya Vedic atau kebudayaan Hindu.


Setakat ini tiada lagi pengkaji yang cuba untuk membuat sebarang kajian atau hipotesis bahawa tamadun Hindu mungkin berasal dari tanah besar Asia Tenggara. Namun saya percaya jumpaan seperti ini bukanlah yang terakhir dan jika kerajaan Vietnam begitu komited untuk memulihara warisan silam kerajaan Hindu Champa, pasti banyak lagi jumpaan-jumpaan purba seperti ini akan timbul. Namun jumpaan ini sahaja belum cukup untuk membuktikan bahawa tradisi Vedik sebenarnya berasal atau berkembang disini. Apa yang perlu dilaksanakan adalah kajian demi kajian supaya teka-teki patung Vishnu berusia 4000 tahun ini terjawab.


Sumber: Communist Party of Vietnam Online Newspaper



No comments:

Post a Comment