Sebelum saya memberikan penerangan mengenai penguasaan Raja-Raja Melayu di Sri Lanka secara menyeluruh, adalah amat molek sekiranya saya memaparkan dahulu satu kisah mengenai seorang tokoh Melayu Agong dalam sejarah yang bernama Samara Vijayatungga. Kalau kita cari nama ini dalam buku-buku sejarah tempatan mengenai Sriwijaya adalah sukar untuk kita temui.
Namun demikian nama raja Melayu yang hebat ini pernah tercatat dalam petitih-petitih kuno Sri Lanka seperti Culavamsa, Mahavamsa malah salasilah keturunan raja-raja Sri Lanka seperti yang tercatat pada prasasti Bolana. Siapakah baginda dan apakah peranan baginda dalam sejarah bangsa Melayu dan sejarah Sri Lanka? Sebelum itu perlu saya nyatakan pengkajian atau teori ini sebenarnya mengukuhkan lagi teori bahawa penyerangan atau penjajahan Chola di Sriwijaya sebenarnya kurang berhasil dan tidak meninggalkan kesan besar terhadap masyarakat Melayu di Tanah Melayu.
Walaupun dalam penulisan ini Chola memang menyerang Sriwijaya dan Kedah, namun mereka hanya dapat berkuasa lebih kurang 20 tahun sahaja atau mungkin kurang dari itu dan dalam tempoh 20 tahun ini adalah mustahil untuk sesebuah masyarakat itu di Tamilkan atau diubah budayanya . Sedangkan penjajahan Portugis yang bertahan lebih kurang seratus tahun pun tidak mampu mengubah budaya masyarakat Melayu yang Islam menjadi Kristian. Adalah tidak logik juga jika dikatakan Raja-Raja Melayu Melaka berketurunan Raja Chola sedangkan dalam kajian yang saya paparkan ini kita akan lihat bahawa masyarakat Melayu tidak pernah senang dengan kedatangan orang orang Tamil untuk memerintah di Bumi Melayu ini, dan terdapatnya penentangan besar-besaran dari orang Melayu yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu sendiri.
Adakah anda fikir orang Melayu hanya duduk diam membisu sahaja dan menerima dengan redha bahawa kerajaan mereka dijarah dan dijajah bangsa lain? Dalam keadaan pemberontakan dan anarki ini mana ada masa untuk pendatang-pendatang Chola ini mencorakkan masyarakat tempatan mengikut corak kebudayaan Tamil. Jikalau betul Raja Chola adalah Raja Suran yang menurunkan anak yang kemudiannya berkahwin dengan anak Demang Lebar Daun, mengapa dia tidak meneruskan budaya bapaknya yang berbangsa Tamil itu. Sebaliknya melupakan terus bahasa dan cara hidup Tamil. Malah jika kita cari catatan Tamil di India mengenai perkahwinan Raja Chola dengan seorang puteri Melayu kita tidak akan jumpa, sebab ia memang tidak berlaku.
Malah cuba kita cari prasasti-prasasti yang ditulis dalam tulisan atau bahasa Tamil di seluruh Semenanjung yang menyatakan bahawa Raja Chola penakluk disini, setakat ini masih lagi tiada. Yang ada hanyalah prasasti bertulisan Pallava dan Sanskrit, sedangkan Kerajaan Chola pada zaman Rajendra Chola adalah pendokong bahasa dan penulisan Tamil. Malahan kalau benar bangsa Tamil Chola yang mentamadunkan masyarakat Kedah mengapa tidak wujud senibina kuil ala Chola di kawasan tersebut seperti di India selatan sedangkan masa 20 tahun itu rasanya cukup untuk bina paling kurang satu atau dua kuil ala-ala Cholapuram yang gah itu. Kalau benar pun Raja Suran adalah Raja Chola yang menurunkan Raja-raja Melayu mengapa tidak ada kesinambungan bahasa Tamil dalam kesusasteraan Istana-istana Melayu kemudiannya, malah sisa-sisa tulisan Tamil pun tiada dalam catatan Istana seperti Hikayat-Hikayat, manuskrip Melayu lama serta prasasti.
Apa yang ada adalah tulisan Kawi, Sanskrit, Pali, Pallava dan kemudian Jawi. Kalau adapun bahasa Tamil adalah dalam bahasa rendah atau bahasa pasar contohnya perkataan Kedai yang berasal dari kata Kaddai. Dikatakan juga budaya bersanding dan berinai adalah budaya Tamil, namun pada saya banyak lagi masyarakat bangsa lain di dunia selain Tamil yang mengamalkan adat yang sama contohnya budaya Arab dan Parsi juga ada amalan memakai inai dan bersanding.
Jika kita lihat pada kerajaan Chalukyas pula yakni musuh kerajaan Chola, kerajaan ini langsung bukan berbangsa Tamil tetapi menggunakan bahasa dan tulisan Kanannda dan pada peringkat akhir, kerajaan ini pula mengutamakan dan menggunakan bahasa Telugu yang berbeza dari bahasa Tamil. Kalau prasasti berbahasa Tamil pun susah untuk kita jumpa di sini apatah lagi yang berbahasa Telugu dan Kanannda. Inilah realiti yang perlu diterima oleh masyarakat India di Negara ini. Mereka sering menggembar-gemburkan bahawa penaklukan Chola terhadap Kedah dan kota-kota dibawah Sriwijaya sebagai sebuah penaklukan yang maha agung dan mentamadunkan masyarakat Melayu mengikut tamadun India Tamil, padahal ianya cuma satu cubaan untuk menjajah yang gagal. Ini belum lagi jika kita mengambil kira akan hipotesis yang menyatakan bahawa sebenarnya Chola pernah takluk dibawah kekuasaan Sriwijaya.
Seperti yang tertulis dalam buku-buku teks hari ini, Rajendra Chola telah menyerang Sriwijaya pada tahun 1025 M. Ada pihak yang mengatakan bahawa Sriwijaya tidak bangun lagi setelah serangan ini kerana dasyatnya serangan yang dibuat oleh Rajendra Chola, kononnya. Namun catatan daripada Hikayat-hikayat lama Sri Lanka memberikan fakta yang berbeza berbanding dengan fakta yang dibohong oleh sejarawan-sejarawan Tamil. Setelah diserang, orang orang Melayu tidak tinggal diam dan telah mengumpul kekuatan untuk bangkit semula dibawah pimpinan seorang putera Sriwijaya yang ketika itu berpusat di sekitar Segenting Kra yakni Samara Vijayatungga adik kepada Sangrama Vijayatungga ing Kataha yang ditawan oleh Rajendra Chola sebelum itu di Kedah. Mereka berdua ini pula adalah anak kepada Maharaja Sriwijaya yakni Sri Mara Vijayottungga atau dalam catatan China disebut Se-li-ma-la-pi. Ibu mereka berdua adalah seorang Puteri dari anak Raja Sri Lanka yang bernama Mahendra.
Peristiwa pemberontakan besar-besaran oleh orang Melayu ini memuncak pada tahun 1044 M apabila Rajendra Chola sendiri datang melawat Sriwijaya. Semasa lawatan inilah beliau dibunuh oleh seorang Putera Sriwijaya bernama Purandara atas arahan Samara Vijayatungga. Jika kita baca didalam Wikipedia atau buku-buku sejarah tidak ditulis apakah punca sebenar kematian Rajendra Chola malah sukar untuk dijumpai catatan mengenai kematiannya. Kalau adapun ditulis dia mati kerana sakit semulajadi atau sakit tua atau mati di medan perang. Setelah pembunuhan tersebut Samara Vijayatungga melancarkan penghapusan besar-besaran saki baki orang Chola dan penyokong Chola yang terdapat di Sriwijaya. Setelah berjaya menghalau Chola maka baginda naik takhta Sriwijaya kira-kira pada tahun 1045.
Segala saki baki orang orang Chola di jajahan-jajahan lain turut dihalau dan dibunuh dan Samara Vijayatungga berusaha mendapatkan kembali kesemua jajahan Sriwijaya. Setelah selesai tugasnya di sini baginda telah berlayar ke Sri Lanka bagi menghapuskan orang orang Chola di tanah Ibunya pula. Dengan para tentera Melayu serta tentera orang Sri Lanka yang diketuai bersama oleh seorang Raja Sri Lanka bernama Kasyapa baginda telah menyerang dan menawan kembali bandar Anuradhapura yang pada ketika itu menjadi pusat pentadbiran Chola di Sri Lanka. Kasyapa kemudiannya telah dinobatkan menjadi Raja bagi orang orang Sri Lanka dan kemudian beliau mati dan digantikan oleh adiknya Sena. Bersama dengan anak Sena yang bernama Mahendra, Samara Vijayatungga telah membina semula rumah-rumah berhala termasuk yang bernama RuvanValisaya yang telah dimusnahkan oleh tentera-tentera Chola dahulu. Baginda tinggal di Sri Lanka untuk beberapa lama dan setelah Anuradhapura pulih barulah baginda pulang semula ke Sriwijaya.
Tujuan mengapa Samara begitu mengambil berat akan Sri Lanka atau Sri Lanka adalah kerana pulau tersebut adalah barisan terhadapan pertahanan Sriwijaya dan mahu melepaskan tanah ibunya dari cengkaman Chola. Setelah pulang ke Sriwijaya baginda kemudiannya mengetuai satu lagi serangan ke pulau Jawa bagi menyingkirkan saki baki orang Chola di pulau tersebut. Kemudian beliau telah melantik Purandara yang juga merupakan seorang Putera keturunan Sriwijaya untuk memerintah di Pulau Jawa. Setelah pulang ke Sriwijaya sekali lagi beliau menyusun angkatan perangnya untuk berlayar ke Sri Lanka. Kali ini Baginda ingin menolong seorang raja bernama Sundra Pandya bagi merebut kembali kerajaan Madhura di India selatan dari penjajahan tentera Chola. Ekspedisi ini diketuai oleh Mahendra putera raja Sri Lanka dengan bantuan ketenteraan dari Samara Vijayatungga dan akhirnya berjaya. Sundra Pandya mendapat kembali ibu kotanya Madhura. Dengan kejayaan ini maka perikatan tiga serangkai diantara Sriwijaya, Sri Lanka dan Pandya telah ditubuhkan atas inisiatif Samara Vijayatungga dengan tujuan menguatkan barisan menentang serangan dari kerajaan Chola.
Perikatan politik ini seperti lazimnya pada zaman tersebut diperkuatkan dengan hubungan perkahwinan diantara keluarga diraja negeri-negeri berkenaan. Putera Raja Pandya berkahwin dengan Puteri Raja Sri Lanka manakala Mahendra Putera Raja Sri Lanka mengahwini puteri Samara Vijayatungga. Kekuatan perikatan ini kemudiannya terbukti apabila ia dapat menangkis serangan-serangan tentera Chola dibawah Raja Virarajendra yang kemudiannya cuba melanggar Sri Lanka dan Sriwijaya lagi.
Kisah ini tidak berakhir disini para pembaca sekalian. Dalam artikel bahagian kedua saya akan memaparkan kajian yang dibuat oleh ahli arkeologi dan sejarawan Sri Lanka sendiri mengenai keterlibatan kerajaan Sriwijaya serta Bangsa Melayu dalam politik istana Sri Lanka. Kita juga akan menelusuri salasilah raja-raja Sri Lanka untuk melihat dengan lebih jelas akan keberadaan darah Melayu Sriwijaya didalamnya. Dari situ kita akan tahu samaada Samara Vijayatungga ini benar-benar wujud atau hanya mitos semata-mata. Daripada penulisan ini juga kita dapat lihat betapa hebatnya pengaruh Sriwijaya yang melangkaui sempadan antarabangsa. Adakah ini menunjukkan bahawa Tamadun Melayu itu tamadun picisan dan tamadun bangsa pemalas serta tidak berkembang? Jika bangsa Sri Lanka berasa sangat bangga dan takjub dengan Bangsa Melayu, hinggakan mereka mengakui sebahagian daripada raja-raja mereka berketurunan Melayu, mengapa anak Malayu sendiri mencemuh dan memperlekeh bangsa ini?
No comments:
Post a Comment