Thursday, January 28, 2010

LELA RENTAKA - SENJATA MELAYU BERTARAF ANTARABANGSA

Ramai sekali daripada kita yang tidak pernah mendengar atau lengetahui langsung tentang Lela dan Rentaka atau disebut Lantakas dalam bahasa Inggerisnya. Namun demikian senjata Melayu yang satu ini mempunyai sejarah yang panjang dalam perjuangan melawan penjajah bangsa. Boleh dikatakan selain keris, Lela dan Rentaka adalah salah satu jenis senjata bangsa kita yang paling terkenal di kalangan orang barat sejak awal kedatangan mereka lagi.

Kebiasaannya Lela atau Rentaka dibuat menggunakan tembaga atau besi dan berukuran diantara 50 cm hinggalah 2 meter. Bagi yang berukuran lebih daripada 1 meter kebiasaannya ia di panggil Lela dan ada yang dipanggil sebagai ekor Lotong kerana mempunyai pelaras yang panjang dan lentik seperti ekor Lotong. 


Bangsa penjajah pertama yang merasa penangan rentaka ialah Sepanyol. Mereka menggelarnya sebagai arquebuses, portable cannons or swivel gun yakni meriam mudah alih. Berbanding dengan meriam biasa, rentaka kebiasaanya mempunyai hiasan yang lebih terperinci dan cantik seperti ukiran awan larat, naga, buaya, cicak, ikan lelumba malahan turut diukirkan corak pucuk rebung.


Apa yang unik mengenai senjata ini ialah ianya adalah sebuah meriam mudah alih yang pertama di dunia. Lela dan Rentaka mempunyai mekanisme yang membolehkan ianya dipusing-pusingkan ke atas dan ke bawah serta boleh dipikul dan dipacakkan di kota, tanah atau belebas kapal dan perahu. Hal ini amat berbeza dengan meriam barat yang sedia di ketahui adalah amat berat dan tidak mudah dialihkan. Ciri mudah alih senjata ini juga menyebabkan bidikannya lebih mudah untuk kena pada sasaran dan ia boleh dibawa kemana sahaja tanpa mengira bentuk muka bumi.


Lela dan Rentaka juga sering diletakkan di bucu-bucu kubu dan juga dilengkapkan dalam kenaikan perahu atau kapal semasa bertempur. Dalam Hikayat Aceh yang menyatakan tentang sebuah peristiwa pada tahun 1570, ada menyebut mengenai kelengkapan armada laut kerajaan Aceh, Pedir dan Daya. Dinyatakan bahawa Geliung Diraja atau Ghurab Istana kerajaan-kerajaan ini dilengkapi dengan 10 pucuk meriam, 50 pucuk Lela, 120 cecorong dan beratus-ratus Istinggar. 


Pahlawan Moro dan Sulu adalah diantara pahlawan rumpun Melayu yang dikatakan sebagai pembuat Lela dan Rentaka yang terbaik. Orang Moro telah menggunakan Lela Rentaka sebagai senjata api utama ketika diserang oleh Sepanyol dan ketika mereka menyerang kapal-kapal Sepanyol. Tentera Sepanyol dikatakan amat takut dengan senjata tersebut kerana diantara banyak-banyak senjata, Lela dan Rentaka adalah salah satu senjata yang menyebabkan kematian dan kerugian terbesar bagi pihak mereka. 


Selain daripada orang Moro, Kerajaan Brunei juga dikenali umum di kalangan para pedagang dan penjajah sebagai pengeluar Lela dan Rentaka terbanyak dan terbaik di Alam Melayu. Kebanyakan daripada rentaka yang ada di muzium di seluruh dunia sekarang ini adalah berasal dari Brunei kalau tidak dari Filipina. Di Semenanjung, Jawa dan Sumatera, penggunaan Lela dan Rentaka juga banyak namun tidak sebanyak di Kepulauan Sulu dan Borneo.


Selain itu, satu lagi senjata api dalam keluarga meriam dikenali sebagai Ekor Lotong yang mempunyai saiz kecil dan hampir serupa dengan Lela. Tetapi yang membezakannya hanyalah dari segi bentuk dekorasi yang terdapat padanya. Ekor Lotong ini mempunyai pemegang atau pelaras yang ditiru daripada Ekor Lotong (sejenis monyet) yang sebenar. Hiasan pada badan Ekor Lotong ini adalah sama seperti yang terdapat pada Lela dan dekorasinya agak unik dan menarik. Ia juga dihiasi dengan bentuk-bentuk geometri dan termasuklah hiasan pucuk rebung.


Kehebatan senjata api buatan bangsa Melayu ini menjadi buah mulut dan kekaguman para penjajah barat seperti Portugis, Sepanyol dan Belanda sehinggakan mereka telah meniru teknologi pembuatan rentaka bagi melengkapkan persenjataan mereka. 


Sehingga abad ke 18 dikatakan penghasilan rentaka di Alam Melayu semakin berkurangan malahan negara yang mengeluarkan rentaka terbaik dan terbanyak adalah negara Belanda pada kurun tersebut. Pada hari ini di Malaysia dan Indonesia pembuatan Lela dan Rentaka sudah pupus, namun demikian di Filipina dan wilayah orang Sulu serta di Negara Brunei Darussalam masih ada orang-orang yang boleh membuat Lela dan Rentaka warisan nenek moyang mereka terdahulu. 



No comments:

Post a Comment