Sunday, August 7, 2016

HAKIKAT MUHAMMAD/ MUHAMMADIAH

Hakikat yang menyeluruh iaitu Hakikat yang menguasai sekalian hakikat-hakikat. Semua Hakikat-Hakikat yang lain merupakan bahagian-bahagian daripada Hakikat yang satu ini. Hakikat Muhammadiah adalah Hakikat yang penuh dan lengkap dan hakikat yang lain mempamerkan apa yang ada dengan Hakikat Muhammadiah itu. Gabungan semua hakikat-hakikat itu baharu menyamai Hakikat Muhammadiah ini. 

Apa sahaja yang selain Allah s.w.t bermula atau dijanakan oleh Hakikat Muhammadiah. Apabila Hakikat Muhammadiah dilihat sebagai urusan Allah s.w.t dan dalam aspek hubungannya dengan Allah s.w.t ia dikenali sebagai 'Nur Allah'. Apabila ia dilihat dalam aspek penjana kewujudan Nabi Muhammad s.a.w ia dikenali sebagai 'Nur Muhammad'. Apabila ia dilihat dalam segi penjana manusia-manusia yang sempurna ia dikenali sebagai 'Insan Kamil'. Apabila ia dilihat dalam segi penjana kepada sekalian kewujudan makhluk ia dinamakan 'Hakikat Insan' atau 'Hakikat Alam'. 

Pertembungan hati Salik dengan Hakikat Muhammadiah berlaku dalam kefanaan, ketika ingatan dan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk sekaliannya sudah tidak ada lagi. Pandangan mata hati kepada Hakikat Muhammadiah menimbulkan makrifat tentang urusan pentadbiran Tuhan yang meliputi segala sesuatu. Pengalaman kerohanian yang mengenai Hakikat Muhammadiah ini berlaku pada alam kebatinan yang dinamakan 'akhfa', iaitu batin atau kesedaran kerohanian yg paling dalam. Kesan daripada pancaran Nur Hakikat Muhammad atau Nur Muhammad menyebabkan muncul cahaya hijau yang bergemerlapan pada cermin hati Salik.

No comments:

Post a Comment