Sunday, August 7, 2016

MUSYAHADAH (MENYAKSIKAN ALLAH)

Musyahadah adalah menyaksikan dan bertemu dengan Zat Wajibul Wujud iaitu Allah swt. Musyahadah ini adalah awal mengenalNya, kerana mustahil kita mengenal Allah bila tidak pernah menemuiNya. Seperti kata Pepatah: “Tak jumpa maka tak kenal, tak kenal maka tak cinta.” Menyaksikan Allah disini bukan menyaksikan dengan mata, kerana Dia tak dapat dijangkau dengan Panca Indera. 

Menyaksikan Allah di sini pun bukan dengan akal fikiran, maupun perasaan. Kerana Dia di luar jangkauan akal fikiran, dan perasaan. Menyaksikan Allah disini adalah dengan Hati. Kerana hanya Hatilah yang selalu menjadi pusat Ppandangan Allah, sehingga Hati mendapatkan pancaran CahayaNya.Tanpa Cahaya seseorang tidak akan dapat melihat apapun, kerana Mata tidak akan berfungsi apa-apa bila tidak ada Cahaya sedikit pun.

Begitulah juga 'Matahati' tidak akan dapat menyaksikan Allah tanpa Nur (Cahaya), Nur itu adalah dari Allah sendiri, kerana hanya Dia sendirilah yang memperkenalkan diriNya kepada hamba-hambaNya. Semoga kita mendapatkan Nur tersebut, sehingga Matahati kita tidak buta dalam menyaksikan Al HAQ (Allah swt). Allah Ta’ala berfirman: "Maka sesungguhnya bukanlah matanya yang buta, tetapi Matahati yang berada di rongga dadanya." (Qs.22:46). 

”Barangsiapa buta di dunia, maka di Akhirat lebih buta dan lebih tersesat dari jalan yang lurus." (Qs.17:72). Dari ayat-ayat ini, dapat difahami bahwa apabila di dunia ini Matahati buta terhadap diri Allah Ta’ala, maka di Akhirat akan lebih buta lagi terhadap Allah, sehingga kita menjadi lebih tertutup atau terhalang untuk melihat Allah. Sebagaimana Firman-Nya: "Sesungguhnya mereka pada hari itu benar benar tertutup dari Tuhan mereka.” (Qs.83:15). Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment