Thursday, January 14, 2016

HURUF ALLAH

Setiap huruf dalam nama Allah (الله) itu memiliki keunikan dan rahsianya yang tersendiri. Jika masing-masing huruf itu dipisahkan, maka itu tidak akan mengubah makna dasarnya atau mencacatkan keseluruhan maknanya, bahkan makna itu akan tetap unggul dan sama maksudnya bagi Zat Wajibal Wujud. Justeru itu, huruf-hurufnya bersifat komprehensif, lengkap sempurna serta tidak mengurangkan hikmahnya. Pada asalnya adalah Allah (الله). Jika huruf alif diasingkan, ia menjadi ‘Lillahi’ (للهِ). Jika lam pertama diasingkan, ia menjadi ‘Lahu’ (لَهُ). Selanjutnya, jika lam kedua diasingkan, ia menjadi ‘Huwa’ (هُوَ). Jika kedua-dua lam ditanggalkan, ia menjadi ‘Ah’ (اَهْ). Jelasnya, jika huruf-huruf itu dipisahkan, maksudnya tetap tertuju kepada Rabbul Izzati. Manakala nama-nama-Nya yang lain itu tidaklah seperti demikian.

Bagi mereka yang sudah mengenali hakikat Iman dan Islam, tentunya dapat memahami Rabbul Izzati itu tidak selayaknya dikaitkan dengan panggilan ‘Tuhan’, kerana apabila disebut sebagai Tuhan maka ada pula persaingannya dengan tuhan-tuhan yang lain di muka bumi ini. Justeru seeloknya panggillah saja dengan “Ya Rabb” atau “Ya Allah” atau “Ya Rahman” atau nama-nama bagi Sifat-Nya yang tersebut di dalam kitab suci al-Quran kerana DIA Allah adalah Esa dan tiada sesuatu pun yang menyamai-Nya. Sebagaimana kita diajarkan untuk menyebutkan solat itu sebagai solat, maka usahlah diubahkan pula sebutan solat itu sebagai sembahyang, kerana sembahyang itu adalah penyembahan orang-orang kafir, sedangkan solat adalah ibadahnya orang-orang mukmin.

No comments:

Post a Comment