Thursday, January 14, 2016

TAUHID

Ketahuilah, Allah itu zatNya esa oleh kerana itu pasti sifat dan af’alNya jua esa kerana sifat dan af’alNya itu terbit dari zatNya. Sifat itu kelakuan bagi zat dan af’al itu perbuatan bagi zat maka disini yang ditilik adalah zat Wajibul Wujud yang bernama Allah. Allah itu adalah semata-mata asma’ bagi zat Wajibul Wujud oleh kerana itu janganlah sembah Allah kerana ianya hanya sekadar nama yang tiada ain wujud dan hanya sebagai khabar bagi memperkenalkan zat Wajibul Wujud. Matlamat penyembahan itu adalah tertuju kepada zat Wajibul Wujud dan bukan kepada asma’ bagi zat Wajibul Wujud. Namun jika setelah difahami bahawa zat Wajibul Wujud itulah tempat tujuan penyembahan dan Ia memperkenalkan diriNya sebagai bernama Allah maka tiadalah salahnya mengatakan “aku sembah Allah” bahkan wajib.

Kemudian, zat Wajibul Wujud inilah yang hendak di-tawhid-kan dan di-u’raf-i yakni diesakan dan dikenali. Makanya yang pertama-tama wajib diketahui ialah bagaimanakah esanya af’al, asma’, sifat dan zat bagi zat Wajibul Wujud dan yang keduanya wajib mengetahui hikmah hakikat kejadian alam ini khususnya kejadian manusia sebagai penyempurnaan tawhid yakni makrifatullah kerana Ihsan tidak akan dapat dimengertikan tanpa tawhid dan makrifatullah. 

Tawhid itu tentang ‘iktiqad’ bahawa zat Wajibul Wujud adalah ESA manakala makrifatullah itu tentang ‘merasai’ ESAnya zat Wajibul Wujud. Amat besar jurangnya antara tawhid dan makrifatullah kerana tawhid itu bangsa ilmu yang akhirnya menjadi pengesah iktiqad bagi kita untuk ditasdiq dalam sesaat manakala makrifatullah itu bangsa rasa yang akhirnya menjadi amalan bagi kita untuk dipakai setiap saat. Kedua-duanya ibarat nyawa dengan roh atau semisal laut dengan ombak atau seumpama matahari dengan sinarnya yang saling tidak dapat dipisahkan.

Beruntunglah pada sesiapa yang telah dibukakan baginya dengan hidayahNya akan ilmu Tawhid dan ilmu Makrifatullah kerana mertabat kedua-dua ilmu ini adalah ilmu yang paling teratas dan paling terutama disisi Allah ta’ala dan disisi agama Islam berbanding ilmu-ilmu lain yang ada diatas muka bumi ini. Inilah ilmu yang dihukumkan sebagai Fardhu Ain untuk mempelajarinya kerana himpunan kedua-dua ilmu ini akan membuahkan Ihsan dan sebagaimana yang telah tersedia maklum, Ihsan itu adalah salah satu daripada rukun agama yang tiga iaitu Islam, Iman dan Ihsan malah menyertakan Ihsan dalam setiap ibadah adalah wajib bahkan jika tiada Ihsan maka sesuatu ibadah itu sesekali tidak akan diterima Allah ta’ala.

Zat Wajibul Wujud itu tiada satu pun makhluk yang tahu bagaimanakah rupaNya, bentukNya dan warnaNya yang hakiki bahkan zat Wajibul wujud itu maha suci daripada digambar dengan berupa, berbentuk dan berwarna. Apa yang wajib kita ketahui ialah zat Wajibul Wujud itu wujudNya bersifat Salbiyah yakni qidam, baqo’, mukholafatuhu lilhawadith, qiamuhu binafsihi dan wahdaniyah.

Zat Wajibul Wujud itu wujudNya tiada permulaan, tiada beribu, tiada berbapa dan tiada yang menjadikanNya bahkan wujudNya sedia ada tunggal tanpa ada wujud sesuatu terdahulu daripadaNya. WujudNya sesekali tidak akan menerima binasa, sesekali tidak akan menerima mati apatah lagi diakhiri dengan tiada selama-lamanya. WujudNya bersalah-salahan dengan sesuatu selainNya yakni tiada berbentuk, tiada berupa, tiada berwarna, tiada berbau, tidak didalam sesuatu, tidak diluar sesuatu, tidak berjisim, bukan jenis jirim malah langsung tidak boleh disamakan dengan makhluk. 

WujudNya bersendirian tanpa sesuatu menemaniNya, tanpa berhajat kepada sesuatu, tanpa berharap pada sesuatu, tanpa bergantungan kepada sesuatu malah wujudNya tidak berdiri atas sesuatu. WujudNya esa lagi tunggal maka dengan itu sifat dan af’alNya juga esa lagi tunggal tanpa ada tandingan dan tanpa ada sekutu. WujudNya meliputi segala sesuatu oleh kerana itu dimana sahaja dihadap disitulah wujud Dia kerana Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin. Demikianlah khabar tentang kewujudan zat Wajibul Wujud yang laitha kamithlihi syai’un itu.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya bersifat qidam, baqo’, mukholafatuhu lilhawadith, qiamuhu binafsihi dan wahdaniyah. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian maka terjadi berbilang-bilanglah zat Wajibul Wujud ketika itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan sifat Salbiyahnya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah yang dinamakan sebagai syirik yakni menduakan zatNya dengan sesuatu.

Kemudian tentang sifat kesempurnaanNya yakni sifat Ma’ni maka zat Wajibul Wujud itu wajib bersifat qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam. Zat Wajibul Wujud itu berkuasa maka zat Wajibul Wujud itu berupaya untuk mengadakan dan meniadakan segala sesuatu secara bersendirian tanpa menjadi lemah. 

Zat Wajibul Wujud itu berkehendak maka Dia mutlak untuk menentukan segala sesuatu secara bersendirian tanpa desakan dan tanpa kelalaian. Zat Wajibul Wujud itu berilmu maka Dia mengetahui segala sesuatu sama ada yang tersembunyi apatah lagi yang nyata dan yang telah ada apatah lagi yang tersembunyi dalam pengetahuanNya tanpa kebodohan yang melazimiNya. 

Zat Wajibul Wujud itu berpenghidupan maka Dia ada pada setiap masa bersendirian tanpa mengantuk, tertidur mahu pun mati. Zat Wajibul Wujud itu berpendengaran, berpenglihatan serta bertuturan maka Dia mendengar dan melihat segala sesuatu tanpa halangan dan tanpa terbatas, Dia menjelaskan segala sesuatu dengan kata-kataNya tanpa kelu dan tanpa bisu.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya bersifat qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian sebagai empunya qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama’, basyar dan kalam maka menjadi berbilang-bilanglah sekelian sifat Ma’ni itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan sifat Ma’ninya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah juga yang dinamakan sebagai syirik yakni menyamakan sifatNya dengan sesuatu.

Seterusnya tentang sifat Ma’nawiyyahNya maka zat Wajibul Wujud itu wajib bersifat qodirun, muridun, ‘alimun, hayyun, sami’un, basyirun dan mutakalimun. Zat Wajibul Wujud itu berkuasa maka Dia kekal didalam keadaan berupaya mengadakan dan meniadakan segala sesuatu tanpa lemah oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan berkuasa sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak lemah. Zat Wajibul Wujud itu berkehendak maka Dia kekal didalam keadaan menentukan segala sesuatu tanpa desakan, tanpa kelalaian dan tanpa kecuaian oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan menentu, merencana dan merancang segala sesuatu sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak terikat dengan aturanNya. Zat Wajibul Wujud itu berilmu maka Dia kekal didalam keadaan memaklumi segala sesuatu tanpa tidak tahu oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan mengetahui sedangkan yang lain selainNya adalah mutlak jahil. 

Zat Wajibul Wujud itu berpenghidupan maka Dia selama-lamanya dalam keadaan hidup tanpa berkesudahan dengan kematian oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan hidup sedang yang lain selainNya mutlak mati. Zat Wajibul Wujud itu berpendengaran maka Dia kekal didalam keadaan tiada batasan mendengar tanpa menjadi pekak oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan mendengar sedang yang lain selainNya mutlak pekak. Zat Wajibul Wujud itu berpenglihatan maka Dia kekal didalam keadaan tiada batasan melihat tanpa menjadi buta oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan melihat sedang yang lain selainNya mutlak buta. Zat Wajibul Wujud itu bertutur maka Dia kekal dalam keadaan menjelaskan dan menerangkan segala sesuatu tanpa membisu oleh kerana itu Dia sahajalah yang berkeadaan bertutur tanpa bisu.

Jelas, zat Wajibul Wujud itu bersifat Salbiyah, Ma’ni dan Ma’nawiyyah maka dengan itu hanya Dia sahajalah yang memperbuat segala sesuatu dengan af’alNya sendiri kerana af’al itu wajib berlangsung dengan qudrat dan iradat. Hanya zat Wajibul Wujud sahajalah yang secara tunggalnya menjadikan sesuatu dan sesuatu itu Dia jugalah yang mengerakdiamkannya. Zat Wajibul Wujud itu menjadikan tujuh petala langit dengan af’alNya, menjadikan tujuh petala bumi dengan af’alNya malah pendek kata dengan af’alNya itu jugalah dijadikan seluruh alam semesta raya ini dan menggerakdiamkannya tanpa ada sekelumit pun pada sesuatu itu usaha dan ikhtiarnya sendiri.

Tiada satu pun zat selain zat Wajibul Wujud yang wujudnya ber-af’al. Jika diiktiqadkan yang demikian itu sebagai ada maka ternafilah zat Wajibul Wujud itu sebagai esa lagi tunggal lagi bersendirian sebagai empunya af’al maka menjadi berbilang-bilanglah sekelian af’al itu. Mengiktiqadkan ada sesuatu zat yang bersamaan af’alnya dengan zat Wajibul Wujud maka inilah juga yang dinamakan sebagai syirik yakni menyengutukan af’alNya dengan sesuatu.

Menduakan zat, menyamakan sifat dan mempersekutukan af’al zat Wajibul wujud dengan sesuatu adalah syirik, bahkan disisiNya syirik itu bersamaan tarafnya dengan taraf najis disisi kita. Begitu hina, keji dan jeleknya najis maka sehina, sekeji dan sejelek itu jugalah manusia-manusia yang musyrik pada pandanganNya. Manusia-manusia yang musyrik itu adalah apabila ia mengiktiqadkan bahawa dirinya wujud setandingan zat Wajibul Wujud, dirinya mempunyai sifat Ma’ni setandingan zat Wajibul Wujud dan mempunyai af’al setandingan zat Wajibul Wujud. Sebenar-benarnya makhluk itu tiada pun wujudnya, tiada pun sifat Ma’ninya dan tiada pun af’alnya. Oleh kerana itulah sekelian makhluk pada tabiatnya dan pada upayanya yang terzahir pada tindak-tanduk dan kelakuan zatnya pada hakikatnya tidak sekali-kali boleh mendatangkan bekas pada menghasilkan manfaat dan mudarat.

No comments:

Post a Comment