"Ada pun mengenal Allah taala, sifat dan af'alnya serta sekalian yang telah kami isyaratkan dalam ilmu mukasyafah, maka tidaklah diperolehi dari ilmu kalam/usuluddin,ilmu-ilmu lain. Malah hampir adalah ilmu kalam/usuluddin itu menjadi hijab dan penghalang. Dan sesungguhnya, sampai kepadanya ialah dengan mujahadah".(Ihya Ulumuddin).
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”. [surah alKahfi : 109].
Satu ketika, seorang ulamak sufi yang bernama Al Imam Abul Hassan Al-Nuri dijemput untuk menghadiri satu majlis ijtimak ulama' yang sedang membahaskan ilmu menurut Al-Qur'an dan hadith. Ketika para ulama' sedang sibuk membahaskannya, ulama' sufi ini hanya duduk diam sambil menundukkan kepalanya. Melihat kelakuan Al-Imam Abul Hassan Al-Nuri, ulama' yang lain pun berkata, "Kamu dijemput untuk berdebat di sini, tetapi kenapa kamu tidak ikut sama berhujah?"
Lalu, dijawab oleh Al-Imam, "Saya hairan mengapa kalian membaca Al-Qur'an dan hadith tetapi kalian bergaduh sesama kalian."
Lalu, beliau mengungkapkan sebuah sya’ir, "Burung itu berkata-kata dan aku tidak memahaminya... Aku berkata-kata sedang burung itu pun tidak memahami kata-kataku… Tetapi apabila burung itu bersedih, aku dapat merasakannya(melalui kicauannya)… Dan jika aku bersedih, burung itu juga dapat merasakannya..."
Mendengar sya'ir yang dilantunkan oleh Al-Imam, lalu semua ulama' itu pun menangis…. Ilmu... adakalanya menjadi hijab kepada hati... apabila kita merasakan ilmu itu 'milik kita', apabila kita merasa 'kepandaian itu kepandaian kita'... maka ia boleh menjadi hijab kepada hati kita sedangkan hati yang indah ialah hati yang tidak bergantung pada dirinya. Hati yang hanya bergantung pada Tuhannya… Maka kembalikan semuanya kepada Allah, semuanya daripada Allah... kerana sesuatu itu hanya bermanfaat jika dilakukan kerana Allah… Menuntut ilmu kerana Allah, membaca ilmu kerana Allah dan apa saja perkara mulia dilakukan kerana Allah.
No comments:
Post a Comment