Proses mengenal Allah yang sebenar melalui dua tahap:
Pertama, peringkat Kasbi iaitu usaha ikhtiar kita dalam mendapatkan ilmu dan kefahaman mengenai Tauhid. Di peringkat kasbi ini kita perlukan kitab Tauhid dan guru selain dari akal fikiran yang baik. Tercapainya ilmu dan kefahaman diperingkat kasbi ini dianggap sebagai tingkat Syari’at danTarekat.
Kedua, peringkat Laduni atau peringkat kurnia terus dari Allah yang biasanya akan dapat dicapai menerusi sentiasa kekal berdhikru-‘lLah dan tafakkur. Apa yang akan dikurniakan terus oleh Allah ke dalam hati/rohani ialah hakikat dan ma’rifah.
Peringkat laduni ini adalah menerusi dhikru-‘lLah dan tafakkur/muraqabah. Bila kita renungkan ayat 191 surah al-‘Imran yang telah disebutkan di atas kita dapati orang ulul albab yang sentiasa dhikru-‘lLah dan tafakkur itu mengucapkan: Maksudnya : “Ya Tuhan kami, Engkau tidak jadikan kejadian-kejadian ini dengan sia-sia (tapi penuh hikmah), Maha Suci Engkau Ya Allah dan peliharalah kami dari api neraka.”
Kata-kata mereka ini membuktikan bahawa mereka telah dikurniakan dan diperlihatkan sebahagian daripada Hakikat dan Ma’rifah-Nya itu hakikat sebahagian dari berbagai sifat dan perbuatan (af’al) Allah yang Maha Sempurna dan Maha Agung. Kurnia Allah mengenai Hakikat dan Ma’rifah ini ada dijanjikan oleh Allah dalam al-Qur’an. Allah berfirman: Maksudnya: “Dan mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah pada jalan agama Kami nescaya Kami hidayatkan jalan-jalan agama Kami itu.” [8]
Kita bermujahadah dengan kesungguhan menerusi Syariat dan Tarekat-Nya dan yang akan dihidayatkan oleh Allah ialah Hakikat dan Ma’rifah-Nya. Menurut Ibn ‘Ata’illah bahawa orang yang terus kekal berdhikru-‘lLah dan tafakkur itu akan dapat rahmat dan kurnia Allah dengan dipindahkan darjat/taraf zikirnya itu sehingga Allah sahaja yang diingat. Katanya:
لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه لان غفلتك مع غير ذكره أشد عليك من غفلتك في ذكره فعسى أن يرفعك من ذكر مع غفلة إلى ذكر مع يقظة ومن ذكر مع يقظة إلى ذكر مع حضور ومن ذكر حضور إلى ذكر مع الغيبة عما سوى المذكور.[9]
Maksudnya: “Janganlah anda tinggalkan zikir disebabkan anda tidak dapat benar-benar ingat Allah dalam zikir anda itu, kerana kelalaian anda semasa tidak berdhikru-‘lLah itu lebih (buruk atau jahat) daripada lalainya anda semasa berdhikru-‘lLah itu. Mudah-mudahan Allah meningkatkan zikir anda dari zikir ghaflah kepada zikir yaqazah, dari zikir yaqazah kepada zikir khudur dari zikir khudur kepada zikir ghaibah”.
No comments:
Post a Comment