Pada perbahasan wahdaniyat af'al para sufi terbahagi pada tiga aliran antaranya :-
1. Mereka yang tiada melihat pelaku melainkan Allah dan hal tersebut akan tertahkik dengan jalan kasyaf bukan jalan iktikad, mereka berpendapat bahawa perbuatan itu satu jua walau berbilang pelaku. Mereka ini dianggap golongan mubtadi bagi para sufi.
2. Wahdaniyah pada af'al terhasil apabila seorang itu mencapai tauhid pada sifat. Mereka yang mencapai tingkatan ini akan diperlihatkan tiada yang mendengar, melihat, berkata-kata, hidup, berkuasa, berkehendak dan mengetahui melainkan Allah. Mereka mengisbatkan sifat pada sekelian kejadian makhluk berdasarkan penglihatan yang dibukakan pada mereka bukan semata-mata hujah akal. Hal ini kerana jika kita telah terbuka hakikat bahawa tiada yang berbuat melainkan Allah maka tidak mungkin kita dapat mengisbatkan sifat-sifat yang indah itu pada selain-Nya.
3. Mereka yang terbuka hakikat wahdaniyah pada zat, mereka ini terhijab dari selain demikian pada sekelian yang wujud. Yang demikian kerana mereka tersingkap akan keagungan zat lalu mereka tiada mendapati di sana ada satu ruang yang terzahir padanya sekelian makhluk. Mereka mengatakan tiada wujud pada hakikatnya melainkan Allah di mana mereka tiada menjumpai selain wujud-Nya. Mereka itu zatiun, arifbiLLah dan ahli tauhid. Selain dari mereka masih terhijab dan masih lalai serta tiada merasai rasa tauhid dan mencium bau tafrid. Mereka mendengar tentang tauhid kerana kalimah tersebut mengetuk gegendang telinganya sedang mereka menyangka mereka sudah bertauhid.
Tidak sesekali! Mereka itu jauh dan terpisah dari-Nya. Tauhid itu bukan tulisan di atas kertas, bukan perkataan yang diucapkan oleh bibir, tiada meluasinya langit, ufuk, tiada menanggung akannya langit dan lapisannya melainkan asrar para arifin dan hati-hati para perindu ilahi.
Untuk itu salik hendaklah menetapkan waktu-waktu tertentu untuk berzikir seperti yang diajarkan oleh syeikhnya tanpa melebihi atau mengurangi amalan tersebut. Jika sekiranya salik tidak ada kekosongan masa untuk melakukan khalwat pada kali berikutnya, dia hendaklah berwirid dengan wirid harian yang tidak kurang dari bilangan yang diajar dan ditetapkan baginya tetapi jika dia adalah orang yang ada kelapangan (mutajarrid), apa yang dituntut darinya ialah lebih dari itu. Salik janganlah menuruti kemalasan dirinya dengan tidak mengamalkan wirid-wirid yang disuruh oleh syeikhnya kerana zikir atau wirid itu sangat penting bagi salik. Imam Al-Shahrani telah menjelaskan tentang kepentingan wirid atau zikir ini sebagaimana kata-kata beliau yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah menjadikan kurniaan (madad), rahsia (sirr) dan rahsia tarekat seseorang syeikh itu berada pada wirid-wiridnya yang mana dia menyuruh muridnya mengamalkan wirid-wirid tersebut dan sesiapa yang meninggalkan wiridnya bererti dia telah membatalkan perjanjian dengan syeikhnya”.
No comments:
Post a Comment