Dalam solatku yang sudah sekian kalinya, aku tetap merenung telunjukku dalam setiap tashahud (tahiyyat) awal dan akhir, mengharapkan kesempurnaan solatku. Berpuluh tahun berbuat demikian, perasaan ingin tahu tetap menerjah hatiku. Mengapa Rasulullah s.a.w. berbuat demikian? Mengapa kita mengangkat sambil melihat ke jari telunjuk sewaktu tashahud? Pasti ada sesuatu sehinggakan kita diajar berbuat demikian. Mengikut kata yang arif, telunjuk itu satu, diangkat ketika mengucapkan kalimah "Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang disembah melainkan Allah" bagi menandakan keEsaan Allah yang Satu, Yang Maha Esa dan Tiada yang sebanding denganNya.
Jawapan yang diberi mententeramkan jiwaku hanya buat seketika.
Memang benar apa yang dikatakan yang arif itu tadi, tapi mengapa gelodak jiwa mengatakan ada sesuatu yang lain? Aku sentiasa terganggu dengan persoalan yang ditimbulkan hati yang mendesak-desak mencari rahsia sebenar sehingga hatiku puas. Kenapa hanya perkara ini begitu mendesak jiwa sedangkan perbuatan itu hanya dilakukan dengan seketika dalam solat. Sehinggalah di suatu senja yang sangat hening, hujan lebat mula turun di luar rumah, menghalang langkah insan yang beriman lemah ini untuk ke tempat azan dilaungkan. Ditunaikan tanggungjawabku kepada Yang Maha Pencipta dalam kamar bacaan di rumah.
Maghrib itu membuka persoalan lama itu kembali. Mula sahaja tashahud awal, telunjukku direnung dan membangkitkan kembali persoalan yang sering bermain dijiwaku. Kekhusyukan dalam ibadatku sedikit teganggu, minda ditumpukan kembali kepada bacaan solat supaya hatiku tetap berpaksikan rasa syukurku kepada Yang Menciptakan diriku dengan segala kesempurnaan. Tapi semua itu terganggu kembali bila saja aku berada dalam tashahud akhir.
Sekali lagi aku mengucapkan kalimah " Ashhadu allaa ilaa ha illAllah (Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang disembah melainkan Allah)" sambil jari telunjukku diangkat menandakan aku mengakui keEsaan Allah s.w.t. Bagaikan hendak tersembur kandungan dadaku tatkala aku merenung jari telunjukku pada kali ini. Serta merta airmataku mencurah-curah keluar tak tertahan, ditahan sebak dadaku supaya tidak terbatal solatku. Allahu Akbar! Allah Maha Besar! Ampunkanlah segala dosa yang telah kulakukan dengan tanganku ini
Ya Allah! Betapa Engkau memuliakan kami manusia dengan kalimah NamaMu pada jasad kami yang kotor ini. Ampunkanlah kami, ampunkanlah aku. Mulai maghrib hari itu, perbuatan mengangkatkan dan merenung telunjuk dalam tashahud tidak lagi mengganggu kekhusyukan solatku, tapi ia membuatkan hatiku sentiasa gentar dan sayu. Sayu mengenangkan dan merindui Allah s.w.t., gentar kerana aku melihat aku ini milik Allah. Ya! Benar.. akhirnya jawapan bagi persoalan itu telah kutemui bila saja terpandang KALIMAH Allah ditelunjuk kananku. SubhanAllah! Maha Suci Allah! Ampunilah aku sekiranya tangan yang membawa kalimah namaMu yang Maha Suci dan Mulia ini telah aku gunakan untuk melakukan dosa dan maksiat melanggar perintahMu. Ampunkanlah HambaMu ini Ya Allah.
No comments:
Post a Comment