Tuesday, January 5, 2016

TOKKU PULAU MANIS: PENSYARAH HIKAM PERTAMA ALAM MELAYU

Nama Tokku Pulau Manis sememangnya telah begitu masyhur di kalangan penduduk Terengganu sebagai seorang ulama dan juga pejuang tanah air pada waktu penjajahan British dahulu. Namun begitu, tidak ramai yang mengenali susur galur dan juga sejarah hidup ulama Melayu ini.Nama beliau yang sebenar ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah. Syeikh Abdul Malik adalah berasal dari keturunan Syarif Muhammad al-Baghdadi yang merupakan seorang raja di Baghdad. Kemudian beliau telah merantau ke Terengganu dan menjadi pemerintah di Terengganu yang dikenali dengan Kerajaan Temir. Pada tahun 1650, Shaikh Abdul Malik telah dilahirkan di Kampung Pauh, Kuala Berang. Beliau merupakan putera kepada Tuanku Syarif Abdullah iaitu seorang pemerintah dan ulama kerajaan Temir pada masa itu. Beliau diberi nama Syarif Abdul Malik bin Tuanku Syarif Abdullah bin Tuanku Syarif Abdul Qahar bin Tuanku Syarif Muhammad Al-Baghdadi, pengasas kerajaan Islam pertama di Terengganu. Beliau adalah berketurunan dari nasab Rasulullah S.A.W.

Syeikh Abdul Malik kemudiannya belajar di Aceh yang digelar "Serambi Mekah". Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050/1620-1693), seorang mursyid Thariqat Syattariyah yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun.

Kehidupan Syeikh Abdul Malik di istana adalah juga merupakan tempat umat Islam menerima ilmu, tarbiyyah dan menjadi pusat pertadbiran kerajaan. Dalam meniti usianya di istana, beliau banyak memerhati dengan penuh teliti setiap butir perkataan dan gerak-geri ayahandanya yang merupakan sebagai gurunya yang pertama. Dari sehari ke sehari, beliau membesar di dalam suasana yang penuh seimbang antara agama dan politik yang memungkinkan beliau menjadi matang melebihi usianya. Malahan begitu, beliau juga tidak begitu berminat untuk bermain sebagaimana kanak-kanak yang seusia dengannya. Akan tetapi, beliau lebih berminat untuk mentelaah kitab, mendampingi ayahandanya dan melakukan ibadat. Hasil dari sifat-sifatnya yang mulia dan daya intelektualnya yang bijak itu telah memperlihatkan yang beliau akan menjadi seorang pemimpin yang hebat pada suatu masa nanti. Ia bukan sahaja terlihat dalam bidang agama dan kerohanian tetapi juga dalam soal pentadbiran dan kepimpinan.

Atas didikan dan pengawasan yang penuh kasih sayang dari kedua-dua ibu bapanya, tambahan pula dengan perihal dirinya yang amat menarik, dengan tubuhnya yang sederhana dan wajahnya yang menarik membuatkannya menjadi sanjungan dan perbualan sesiapa sahaja yang melihatnya. Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang halus budi pekerti, amat kuat ingatan, cintakan ibadah dan suka bersendirian yang menjadikannya lebih dipandang tinggi oleh penduduk setempat. Apabila beliau semakin menginjak dewasa, beliau disuruh pula oleh ayahandanya mengikuti bapa saudaranya yang bernama Ismail untuk sama-sama pergi berniaga. Ia bertujuan agar beliau dapat meluaskan pandangannya melalui pemerhatian dan pengalaman yang dilaluinya.

Setelah sekelian lama menuntut ilmu dengan ayahandanya dan juga ulama tempatan, Syeikh Abdul Malik disuruh pula oleh ayahandanya belayar ke Aceh untuk menuntut ilmu di sana yang juga lebih dikenali sebagai Serambi Mekah, merupakan sebuah pusat penyebaran ilmu di Nusantara bahkan juga tempat pengajian pertama sebelum seseorang itu melanjutkan pelajaran ke Mekah. Dalam usianya seawal 20-an, beliau telah meninggalkan tanah airnya dan belayar ke Aceh bersama dengan sahabat-sahabatnya. Di sana, Syeikh Abdul Malik telah berguru dengan Syeikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri yang juga dikenali sebagai Tok Syeikh Kuala yang merupakan ulama besar di Nusantara pada waktu itu.

Apabila Syeikh Abdul Rauf melihat keadaan beliau yang telah dapat menguasai beberapa ilmu seperti hadith, tafsir, nahu, saraf, fiqh dan tasawuf dengan baik, beliau pun dibaiah oleh Syeikh Abdul Malik dengan thariqat Syattariyah dan diperintahkan untuk melakukan suluk bersama dengan tiga muridnya yang lain iaitu Syeikh Yusuf Khalwati al-Mankatsi dari Bugis Mekasar, Syeikh Abdul Muhyi Pamijihan dari Cerebon Tegal dan Syeikh Burhanuddin Ulakkan dari Sumatera Barat. Ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga tercapai beberapa maqam padanya. Akhirnya, Syeikh Abdul Malik telah dilantik sebagai khalifah thariqat Syattariyah dan diperintahkan untuk mengembangkannya di Terengganu apabila pulang ke negerinya.

Setelah sekian lama menuntut ilmu dengan Syeikh Abdul Rauf dan telah selesai dalam pengajiannya di bawah bimbingan gurunya itu, Syeikh Abdul Malik diperintahkan oleh gurunya itu untuk menyambung pengajiannya di Mekah dan Madinah. Pada usia sekitar 30-an, beliau dan beberapa orang sahabatnya telah belayar ke Mekah setelah mendapat keizinan dari gurunya. Di Mekah, Syeikh Abdul Malik telah berguru dengan ulama-ulama yang besar dan salah seorang darinya ialah Syeikh Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan pengganti kepada Syeikh Ahmad Qusyasyi.

Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011/1616-1690), juga mursyid Thariqat Syattariyah yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato’ Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian. Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Syeikh Abdul Malik telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Feqah, Usuluddin dan Tasawuf di samping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya.

Beliau mendalami Fikah al-Syafi'e dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Syeikh Ahmad Qushashi (merupakan guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel dan mursyid Thariqat Syattariyah di Madinah) yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Syafi'e di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.

Syeikh Abdul Malik memilih Thariqat Syadzuliyah yang diasaskan oleh Saidi Syeikh Abu al-Hasan Asy-Syadzuli R.A. (H. 656 /M. 1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau turut mengamalkan hizib Hizbul Bahr yang terkenal itu. Beliau berkenalan dengan thariqat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga thariqat ini iaitu Syeikh Ibnu ‘Athaillah as-Sakandari (H. 709/M. 1309) pengarang kitab Al-Hikam yang masyhur itu. Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam di samping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus. Pengajaran Asy-Syadzuli dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan dari pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi al-Imam Abu al-Hassan Asy-Syadzuli dan pendokong-pendokongnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat di samping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.

Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, di antara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Syeikh Ibn ‘Athaillah dan Syeikh Abu al-Hasan Asy-Syadzuli sendiri, Syeikh Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Syeikh Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Syeikh Abu Turab al-Khashabi, Syeikh Abu Yazid al-Bistami, Syeikh Abu Talib al-Makki, Imam Abu Hamid al-Ghazali, Syeikh Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Syeikh Abu Bakar al-Syibli, Syeikh Abu Nasar al-Sarraj, Syeikh Ahmad al-Rifa’i, Imam Ahmad Ibn Hanbal, Syeikh Ibnu Ibbad, Imam Hassan al-Basri, Imam Junaid al-Baghdadi, Syeikh Ahmad Zarruq, Syeikh Sahl bin Abdullah, Syeikh Sirri al-Saqti, Imam Asy-Sya’rani, Syeikh Abd al-Salam bin Masyish dan Syeikh Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, al-Ri’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh Syeikh al-Harith al Mushasibi, Syarah terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Syeikh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Hakikat Ma’a Allah oleh Syeikh Ahmad al-Rifa’i.

Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Muhammad Khatib bin Abdul Latif al-Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. 

Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu ‘Athaillah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya: ”(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikian itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah aku memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan syarahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia…"

Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.

Pada tahun 1690 M, gurunya iaitu Syeikh Ibrahim al-Kurani telah kembali ke Rahmatullah. Pemergian gurunya yang dikasihi itu amat dirasai tambahan pula gurunya itu juga amat kasih kepada dirinya selama beliau menuntut bersamanya. Pada usianya menjangkau 40 tahun, Syarif Abdul Malik kembali ke tanah airnya. Setibanya beliau di pelabuhan di Kuala Berang, Syeikh Abdul Malik telah disambut oleh ahli keluarganya dan rakyat jelata. Apabila melihat keadaan diri ayahandanya yang telah uzur, beliau menyedari bahawa tanggungjawab berat yang bakal dipikulnya makin hampir.

Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1690an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Sultan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.

Setelah beberapa bulan pulang dari Mekah, ayahandanya telah menjodohkan Syeikh Abdul Malik dengan Puteri Mahpuri, anak kepada seorang pembesar yang berasal dari kerabat Diraja Johor yang kemudiannya telah menetap di Terengganu, iaitu di Kampung Batu Hampar. Mertuanya bergelar Tok Raja Lila. Selepas berkahwin, beliau telah membawa isterinya ke istananya di Kota Tamir. Perkahwinan mereka adalah berdasarkan iman dan kasih sayang. Mereka dikurniakan beberapa orang putera dan puteri. Dari perkahwinan yang dalam suasana iman, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu tiga lelaki iaitu Badaruddin, Imam Yusuf, dan Haji Yaakob (Tok Bongkok) serta seorang anak perempuan yang bernama Siti Zubaidah. Ada juga yang meriwayatkan bahawa Tok Pulau Manis tiada anak perempuan. Walhal, yang berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin 1 itu adalah anak angkat Tok Pulau Manis yang dipelihara selepas kematian ayahnya, Wan Ismail Datu.

Syeikh Abdul Malik menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Syeikh Abdul Malik berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Feqah.

Setelah ayahandanya mangkat, Syeikh Abdul Malik telah dilantik menjadi pemerintah kerajaan Islam Temir ketika itu. Beliau menerima tanggungjawab itu dengan perasaan yang amat berat. Bebanan tanggungjawab yang diterimanya itu membuatkannya menjadi semakin sibuk. Banyak urusan yang terpaksa dilakukannya telah memungkinkan beliau merasa tidak senang duduk. Jiwanya yang lebih cenderung kepada mengajar, berdakwah, mengarang dan beruzlah telah meresahkan lagi hatinya. Setelah beliau bermunajat kepada Allah dan memohon petunjuk daripadaNya, akhirnya beliau telah membuat keputusan untuk mencari pengganti dirinya.

Setelah itu, Syeikh Abdul Malik pun bermesyuarat dengan para pembesarnya dan menyatakan hasratnya yang ingin turun dari jawatan dan menggantikannya dengan Tun Jenal yang merupakan anak seorang pembesar Johor pada ketika itu dan juga muridnya sendiri. Para pembesar menerima permintaan Syeikh Abdul Malik. Namun, mereka telah meletakkan dua syarat kepada beliau. Pertama, Syeikh Abdul Malik mesti tetap menjadi penasihat dan guru kepada istana. Kedua, Tun Jenal dikehendaki mengahwini puterinya Siti Zubaidah untuk memastikan keturunannya terus memerintah di Terengganu.

Dalam usia sekitar 80-an, Tok Pulau Manis banyak menumpukan kepada mengajar, mengarang kitab dan menyebarkan Thariqat Syattariyah. Anaknya yang bernama Badaruddin telah diangkat menjadi Syeikh Thariqat Syattariyah dan telah diizinkan untuk membai'ah dan membimbing suluk para muridnya.
Dari sehari ke sehari, kesihatannya mula terjejas dan menjadi semakin tenat dan uzur. Beliau banyak menghabiskan usianya yang ada dengan berkhalwat dengan Allah Taala. Setelah dirasakan kesihatannya semakin bertambah buruk, beliau pun telah menghimpunkan ahli keluarganya, murid-muridnya serta penduduk tempatan, beliau telah berpesan agar mereka kuat berpegang dengan ajaran agama dan hendaklah menyebarkan segala ilmu yang ada serta dipesan agar menjaga negeri Terengganu dengan cara memberi ilmu kepada rakyat dan jangan dijauhi orang-orang yang jahil.

Pada pagi Jumaat di tahun 1736 M/ 1149 H, Tok Pulau Manis telah pulang ke Rahmatullah dalam usia 86 tahun. Berita kematian Tok Pulau Manis itu telah tersebar ke pengetahuan istana raja, maka bergegaslah Sultan Zainal Abidin 1 dan para pembesarnya ke kampung Pulau Manis untuk menziarahi jenazah ulama dan wali Allah itu buat kali terakhir. Selepas jenazahnya disolatkan, jasadnya disemadikan kemudian jenazahnya dibawa ke makam dengan diiringi sultan, para pembesar dan rakyat jelata. Setelah itu, Sultan Zainal Abidin 1 telah memerintahkan agar pembinaan makam Tok Pulau Manis dengan diletakkan batu ’bereluk’ di sekelilingnya. Makamnya juga hendaklah ditutupi dengan kain kelambu berwarna kuning. (Al-Fatihah untuk Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (Tokku Pulau Manis). 

No comments:

Post a Comment