Wednesday, April 13, 2016

KEMULIAAN PARA ULAMA

Bismillahhirrahmnirrahim

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ , الْحَمْدُ لِلَّهِ وَالصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَن وَالَاهُ

Allah S.w.t berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ

“ Katakan (wahai Nabi s.a.w) apakah sama antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (Az-Zumar: 9)

Penjelasan: Wahai saudara-saudaraku yang beriman, semoga kita semua berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Tanda kita semua berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah ialah kita masih diberi peluang untuk berada di majlis ilmu pimpinan para ulama murabbi. Saranan dan ilu  mereka menyentuh kalbu kita sehingga tunduk jiwa dan nafsu kita kepada perintah Allah. Ketahuilah ketika kita masih diberi peluang mengutip ilmu dan hikmah dari para murabbi sebenarnya kita berada dalam kemuncak kasih sayang Allah. Perkataan ulama’ bermaksud “orang yang mengerti atau orang yang berilmu pengetahuan”  dalam penafsiran islam pula ulama merujuk kepada pengertian-pengertian berikut :

1) Ulama adalah seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian kerana mereka adalah hamba Allah yang amat takut kepada Allah.  Allah S.w.t berfirman:

إِنَّمَا يَخْشَى اللهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمآءُ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah dari hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.” (Fathir: 28)

2) Para ulama dikenali dengan ilmu dan keteguhan pendirian. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama’ dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah kerana mereka adalah pewaris nabi dan rasul. Rasulullah S.a.w bersabda:

الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ

“Ulama adalah pewaris para nabi.” (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda r.a)

3) Ulama’ dikenali dengan ibadah, khusyuk, tawadhuk, dan berakhlak mulia  hasil kefahaman yang mendalam dari al-Quran dan as-Sunnah. Rasulullah S.a.w bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ

“Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah untuk mendapatkan kebaikan, maka Allah akan mengajarkannya ilmu agama.” ( HR al-Bukhari ( 71))

4) Ulama’ dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama’ dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam . Mereka menduduki martabat dan penghormatan yang tinggi dalam agama dan pandangan ummah. Allah S.w.t berfirman:

يَرْفَعِ اللهُ الَّذِيْنَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِيْنَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجاَتٍ

“Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orang yang diberikan ilmu ke beberapa derajat.” (Al-Mujadalah: 11). Ibnu ‘Abbas r.a berkata: “(Kedudukan) ulama berada di atas orang-orang yang beriman sampai 100 derajat, jarak antara satu derajat dengan yang lain seratus tahun.” (Tadzkiratus Sami’, hal. 27). Allah S.w.t berfirman:

قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ

“Katakan (wahai Nabi s.a.w) apakah sama antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (Az-Zumar: 9)

5) Ulama’ dalah pakar rujuk agama yang berkemampuan (dari segi ilmu) dan disiplinnya. Golongan ini juga mampu memahami , mengoalah serta menganalisa tujuan-tujuan syariat. Mereka adalah ahlul zikri yang boleh mengolah dan menganalisis kepentingan-kepentingan agama, nyawa, jiwa, akal dan intelektual, harta, nasab dan keturunan. Mereka juga mempunyai keperibadian yang mulia, dan dispilin yang tinggi dalam kehidupan. Mereka adalah rujukan umat.  Allah S.w.t berfirman:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُوْنَ

“Maka bertanyalah kalian kepada ahli dzikir (ahlinya/ ilmu) jika kalian tidak mengetahui.” (An-Naml: 43). Allah S.w.t berfirman:

وَمَا يَعْقِلُهَا إِلاَّ الْعَالِمُوْنَ

“Dan tidak ada yang mengetahuinya (perumpamaan-perumpamaan yang dibuat oleh Allah) melainkan orang-orang yang berilmu.” (Al-’Ankabut: 43). Asy-Syaikh Abdurrahman As-Sa’di rahimahullah dalam Tafsir-nya mengatakan: “Melainkan orang-orang yang berilmu secara benar di mana ilmunya sampai ke lubuk hatinya.” (Tafsir As-Sa’di, hal 581).

Kesimpulan :

Kehidupan kita hari ini sentiasa memerlukan bantuan dan khidmat orang lain. Seorang pakar bedah jantung tidak akan mampu untuk membaiki enjin kereta yang rosak. Seorang guru tidak mampu untuk mengemudi pesawat sebagai juru terbang. Begitulah halnya dalam kehidupan beragama. Kita diperintahkan untuk merujuk kepada golongan yang pakar memahami syariat dengan disiplin-disiplin ilmu yang benar. Mereka adalah ulama yang menjadi obor ummah dalam kepimpinan ilmu, iman, amal, taqwa dan taat agar umat tidak tersesat jalan ke akhirat. Tidak semua orang boleh bercakap hal-hal hukum, ibadah, muamalah dan syariat kecuali mereka yang pakar mengenainya. Firman Allah:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

“dan janganlah Engkau mengikut apa Yang Engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa Yang dilakukannya.” ( QS al-Israk ; 36 )

Ya Allah kami memohon rahmat dan perhatian-Mu, anugerahkanlah iman yang teguh, hati yang suci, akhlak yang luhur dan kehidupan yang sakinah. Kuatkanlah kami dengan iman dan yaqin, taqwa dan taat ,agar kami tergolong dari kalangan hamba-hamba-Mu yang diredhai dunia dan akhirat…amen.

Doakan Istiqamah.

وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ, والْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ  , والعفو منكم....

محمد حذري البنداني

(Via: Ustaz Mohd. Hazri Al-Bindany)

No comments:

Post a Comment