Monday, April 18, 2016

SPONTANNYA CINTA ABU UBAIDAH

Pada waktu Perang Uhud, Abu 'Ubaidah r.hu. melihat Rasulullah SAW terpisah dari pasukannya kerana terkepung oleh tentera musuh. Abu 'Ubaidah r.hu. melibaskan pedangnya habis-habisan ke kiri dan ke kanan agar dapat segera melompat menghampiri Rasulullah SAW. Dia mendapati darah yang suci mengalir di wajah Rasulullah SAW. Selanjutnya, marilah kita ikuti kisah beliau menurut penuturan Abu Bakar as-Siddiq r.hu. berikut:

Pada Perang Uhud, Rasulullah SAW ditembak anak panah sehingga dua buah rantai baju besi masuk ke kedua belah pipi bahagian atasnya. Aku segera berlari mendapatkan Rasulullah SAW. Lalu, seseorang datang melompat dari arah timur. "Ya ALLAH, semoga itu merupakan pertolongan!" Kataku. Tatkala kami sampai kepada Rasulullah SAW, tahulah kami bahawa orang itu adalah Abu 'Ubaidah r.hu. Dia berkata, "Atas nama ALLAH, saya minta kepada anda, wahai Abu Bakar, agar dibolehkan mencabutnya dari pipi Rasulullah SAW."

Aku pun membiarkannya. Dengan gigi depannya, Abu 'Ubaidah r.hu. mencabut salah satu mata rantai baju besi penutup kepala Rasulullah SAW hingga terjatuh ke tanah. Bersamaan dengan itu, jatuh pula sebatang gigi Abu 'Ubaidah r.a Kemudian Abu 'Ubaidah r.hu. menarik mata rantai yang kedua dengan giginya yang lain. Mata rantai itu tercabut, begitu pula giginya. Akibatnya, Abu 'Ubaidah r.hu. kelihatan rongak di hadapan orang banyak. Kekuatan dan ketulusan cinta membuat Abu 'Ubaidah r.hu. tidak memerlukan pertimbangan apa-apa untuk menolong orang yang dia cintai yakni Rasulullah SAW. 

"Ya ALLAH, Ya Rahman Ya Rahim. Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.  Sesungguhnya kami tidak sanggup kehilangan kekasihmu ini. Ya ALLAH, jangan Engkau pisahkan kami sama ada di dunia mahupun di akhirat dengan Baginda SAW. Sesungguhnya kami di sini sangat mencintai kekasihMu, Saidina Rasulullah SAW..." Dengan berkat selawat, setiap doa, hajat dan permintaan dimakbulkan. (Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid).

No comments:

Post a Comment