Tuesday, February 10, 2015

COLONEL SYED AMIRUDDIN KHAN SAHAB

Ketika di satu Perhimpunan Amerika Utara (North AmericaIjtima) pada tahun 1997 di Toronto, Kanada aku berkesempatan untuk melihat dengan sendiri seorang yang cukup hebat dan selalu menjadi topik perbualan ketika berada di Amerika dan Kanada.

Beliau adalah seorang yang tidak berapa terkenal dikalangan Dunia Islam kerana tidak mahu diagungkan di media massa tetapi namanya begitu sinonim dikalangan Jamaah Tabligh dan juga di dalam umat Islam di Amerika Utara. Orang yang aku maksudkan adalah Kolonel Syed Amiruddin Khan Sahab yang merupakan seorang yang penting didalam dunia dakwah. Beliau adalah seorang pendakwah yang telah mengabadikan hidupnya untuk membantu agama Allah tanpa mengira penat lelah dan wang ringgit.

Dilahirkan oleh seorang ibu berketurunan Scotland yang telah memeluki Islam. Ibunya memeluk Islam setelah melihat Kaabah. Bapanya berketurunan India dan mempunyai salasilah dari Rasulullah SAW dan 7 keturunan dari Hafiz Al-Quran.

Beliau telah menyertai bidang ketenteraan sehingga mendapat pangkat seorang Kolonel. Telah menyertai Jamaah Tabligh ketika usaha ini baru bermula di United Kingdom dan telah berbaiat kepada Maulana Yusuf Al-Kandahlawi, Amir ke-2 Jamaah Tabligh selepas pengasasnya iaitu Maulana Ilyas Rahmatullaahi Alaihi.

Kolonel Amiruddin tidaklah sepopular Ahmad Deedat tetapi dia tidaklah kurang hebatnya. Dikatakan sebanyak 6000 atau lebih telah memeluk Islam ditangannya. Segalanya yang dilakukan hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan dari Allah. Pengorbanannya untuk agama adalah diluar jangkauan akal kita diketika manusia begitu sibuk dengan mengejar keduniaan.

Kolonel Amiruddin telah menjelajah ke 72 negara dan membelanjakan apa sahaja yang dimilikinya dijalan Allah untuk mengembangkan agama Allah SWT. Setiap tahun beliau akan keluar dijalan Allah selama 8 bulan dan 4 bulan sahaja beliau akan bersama keluarganya.

Beliau telah melalui hutan di Afrika dimana jamaahnya pernah ditangkap dan dimasukkan didalam penjara. Beliau juga pernah mengharungi padang pasir ditanah Arab dan ketika musim salji di Eropah selama berdakwah dijalan Allah.
Ketika aku bertemu dengannya dia sedang memberi ceramahnya dengan penuh semangat dan bertenaga. Ketika itu beliau sudahpun mencecah 85 tahun. Ketika didalam tahun 2007, aku pernah mendapat maklumat yang beliau sedang keluar selama 8 bulan ketika usianya adalah 95 tahun.

Ini adalah satu kisah yang disampaikan oleh beliau didalam satu Bayan:-

Ketika itu berlaku isu perkauman yang hebat diantara kulit hitam dan kulit putih di Afrika Selatan. Jamaah dari India tidak dibenarkan memasuki Afrika Selatan kerana mereka berkulit hitam. Maulana Yusuf (Rah. Alaihi) berkata kepada Kolonel “ Awak adalah seorang Kolonel sebab itu awak harus mencari jalan bagaimana hendak memasuki Afrika Selatan untuk berdakwah”.

Suatu perancangan telah dibuat menggunakan peta untuk memasuki Afrika Selatan. Mengikut peta itu mereka harus berjalan sejauh 4000km melalui hutan yang tebal. Mereka telah berjalan kaki dijalan Allah selama 7 bulan sebelum memasuki Afrika Selatan.

Ketika baru sahaja 2 hari berada di Afrika Selatan mereka telah ditangkap oleh pihak polis. Mereka telah dimasukkan kedalam penjara. Oleh kerana Kolonel Syed Amiruddin adalah berkulit putih maka pihak polis telah membebaskan beliau seorang dan ahli jamaah yang lain masih didalam penjara. Kolonel berkeras tidak mahu meninggalkan jamaah beliau.

Jamaah beliau telah dibawa bertemu dengan pegawai atasan dan Kolonel telah menulis sepucuk surat tentang maksud kedatangan mereka ke Afrika Selatan. Kolonel telah menulis 6 Prinsip Tabligh ataupun 6 Sifat Sahabah dan memberitahu bahawa tujuan kedatangan jamaah adalah untuk belajar 6 sifat tersebut. Surat tersebut telah dihalusi oleh pihak perisik dan mereka langsung tidak memahaminya. Namun mereka dapat memahami bahawa jamaah Tabligh tiada agenda politik dan mereka kemudian meminta maaf kerana telah memasukkan ahli jamaah kedalam penjara.

Kerajaan Afrika Selatan telah menghantar surat rasmi memohon maaf diatas salahfaham tersebut kepada Kolonel dan memberitahu sekiranya ada jamaah yang akan datang kembali pasti akan mendapat visa selama setahun. Dalam masa itu ramai orang Islam yang mengetahui khabar berita tentang kedatang jamaah dari India dan mereka telah membawa banyak makanan untuk diberikan kepada jamaah tersebut. Makanan yang dibawa terlalu banyak sehingga semua banduan didalam penjara telah diberi makanan yang sama. Ramai juga banduan yang telah memeluk Islam akibat terkesan dengan suasana yang dibawa oleh jamaah tersebut dan juga dakwah mereka kepada Islam.

Ini pula kisah bagaimana beliau melawat seorang sahabatnya di sebuah hospital di Kanada. Katanya beliau:- “Saya telah melawat seorang sahabat di sebuah hospital yang menderita sakit kanser. Ketika berada disana seorang doktor telah datang bertemu dengan sahabatnya dan memberi khabar buruk bahawa sahabat beliau hanya mempunyai seminggu untuk hidup. Kemudian doktor itu keluar untuk mengambil ubat. Ketika menuruni tangga doktor tersebut telah terjatuh dan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia dihari yang sama.”

“Didalam masa yang sama sahabat Kolonel yang sepatutnya meninggal selepas seminggu telah hidup selama 3 tahun selepas kejadian itu. Kejadian ini menunjukkan bahawa mati adalah diluar jangkaan manusia. Hari ini kita mendengar banyak kisah orang yang mati dan Syaitan memberitahu kita bahawa biarlah orang lain yang mati, kita akan hidup lama lagi.”

No comments:

Post a Comment