Friday, February 20, 2015

KRISIS DALAMAN JEMAAH TABLIGH DUNIA

Satu analisa peribadi oleh pengkaji luar. Tak sangka, Jemaah Tabligh (JT) yang suci itu juga mengalami krisis. Itulah qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah swt yang mempunyai hikmah dan rahsia tersirat serta ujian para pendokong JT. Suka atau tidak, setiap organisasi yang mempunyai struktur organisasi walaupun bersifat longgar seperti JT mempunyai ruang mengalami krisis dan konflik.

Di antara Amir Jemaah dan Syura Alami.

Apa yang sebenarnya berlaku. Sebelum meninggalnya Hadratji Maulana In'amul Hassan, di Makkah, Hadratji telah memilih 10 orang untuk menjadi ahli Syura yang akan bermesyuarat bagaimana usaha yang mulia ini harus dijalankan apabila beliau meninggal dunia. Apabila Hadratji meninggal dunia pada tahun 1995, semua 10 ahli Syura ini telah bermesyuarat dan mereka sebulat suara telah bersetuju bahawa usaha yang mulia akan berjalan melalui mesyuarat ijtimai dengan melantik seorang dari antara mereka menjadi amir mesyuarat. Mereka juga sebulat suara bersetuju bahawa selepas Hazratji In'amul Hassan tidak akan ada Hadratji dan tidak akan ada Bai’ah.

“Mereka juga telah melantik 3 orang diantara mereka untuk menjadi Syura Nizammudin dan akan bergilir-gilir menjadi amir mesyuarat selama 3 hari. Syura Nizammuddin ini dilantik untuk hanya menguruskan amalan yang berjalan di Masjid Banglawali di Nizammuddin dan bukan untuk bergilir gilir menjadi Hadratji. Jika untuk bergilir gilir menjadi Hadratji maka tidak akan dipilih 3 orang untuk bergilir-gilir menjadi amir mesyuarat di Nizammuddin tetapi akan dipilih hanya seorang untuk menjadi amir mesyuarat di Nizammuddin dan apabila mereka berkumpul di Tongi, Raiwind dan di Makkah yang menjadi amir mesyuarat di Nizammuddin tentulah akan menjadi amir mesyuarat ketika mereka bermesyuarat di Tongi Makkah dan di Raiwind.”

“Apa yang berlaku, ketika mereka berkumpul di Tongi, Raiwind dan di Makkah, yang menjadi amir mesyuarat adakala Mufti Zainal Abidin dan adakala Bhai Abdul Wahab dan bukan salah seorang dari mereka yang diputuskan untuk menjadi Syura Nizammuddin. Ini membuktikan Maulana Saad, Maulana Zubir dan Maulana Izhar tidak dilantik oleh eldest kita untuk menjadi Hadratji bergilir gilir tetapi untuk menjadi Syura Nizammuddin.”

“Apabila 8 dari 10 yang dilantik untuk menjadi Syura alami telah meninggal dunia maka Bhai Abdul Wahab mahu meneruskan apa yang telah dibuat oleh Hadratji Maulana In'amul Hassan iaitu dengan menambah jumlah Syura Alami dan Syura Nizammddin. Setelah Bhai Abdul Wahab bermesyuarat dengan semua eldest termasuk Maulana Saad, mereka secara ijtimai bersetuju untuk menambah seramai 13 orang untuk menjadi Syura Alami dan seramai 4 orang untuk menjadi Syura Nizammuddin. Ia menjadi masalah dan krisis apabila Maulana Saad tidak bersetuju dengan keputusan itu.”

“Maulana Saad tidak mahu Syura Alami dan beliau pulang ke Nizammuddin dan beliau melantik Syura Nizammudin yang amir mesyuaratnya hanya beliau dan beliau juga menambah beberapa orang lagi termasuk anak beliau untuk menjadi Syura Nizammuddin. Akibat daripada itu, Maulana Saad berkeras untuk menjadi Hadratji dan tidak mahu taat pada keputusan ijtimai eldest yang lain. Dengan dibantu oleh orang Mewat yang memang mahu Maulana Saad untuk menjadi Hadratji, maka berlakulah pergaduhan besar di Nizammuddin pada bulan puasa yang lepas yang mengakibatkan hampir 14 orang cedera parah dan polis mengawal Masjid dan masjid ditutup untuk beberapa hari. Ijtima Raiwind yang lepas semua elders kecuali Maulana Saad hadir dan pada Tonggi yang lepas semua elders tidak hadir kecuali Maulana Saad.” 

Bayan Maulana Syamim.

Selepas Maulana Ilyas wafat, Maulana Yusuf menjadi Hadratji. Selepas Maulana Yusuf meninggal, dilantik Maulana In'amul Hasan. Pelantikan Maulana Yusuf dan Maulana In'amul Hasan diputuskan oleh Maulana Zakariyya kerana Maulana Zakariyya dianggap sebagai penaung kepada usaha ini. Sewaktu Maulana In'amul Hasan dilantik, ada dalam kalangan buzruq yang tidak setuju kerana mereka merasakan bahawa mereka lebih layak. Jadi, golongan yang tidak setuju ini telah keluar dari markaz dan meninggalkan usaha. Apa yang berlaku, apabila seseorang itu memisahkan diri daripada usaha, maka kemuliaan dan penghormatan yang sebelum ini diterima asbab kerja da'wahnya, hilang daripada dirinya. Jika dulu orang takjub mendengar bayannya, percakapannya ada rohaniat, orang berebut bersalaman dengannya, tapi selepas mereka memisahkan diri daripada jemaah, semua itu tidak ada lagi.

Maulana Yusuf terkenal sebagai orang yang suka bayan dan bayannya memang berkesan. Ada majmak yang pengsan mendengar bayannya. Ada orang yang mengoyak-ngoyak bajunya lalu berlari masuk ke hutan selepas mendengar bayan Maulana Yusuf. Maulana Syamim kata, selain Syaikh Abdul Qadir Jailani, orang yang paling banyak meninggalkan kesan dalam Tauhid ialah Maulana Yusuf. Tapi, Hadraji Maulana In'amul Hasan, beliau bukan seorang yang pandai bayan. Seumur hidup, beliau tidak pernah beri bayan panjang-panjang. Tapi Allah nak tunjuk, walaupun amir tu tak pandai cakap, pada zaman beliau usaha berkembang ke seluruh dunia lebih daripada zaman sebelumnya.

Hadraji Maulana In'amul Hasan meninggal dunia tanpa melantik pengganti. Beliau hanya melantik Meiji Mihrab sebagai amir mesyuarat. Jadi, semasa bermesyuarat di Nizamuddin, ahli mesyuarat telah membuat keputusan: Apabila Maulana In'amul Hasan meninggal, dilantik 10 orang Syura. Daripada 10 orang Syura tu, 5 orang dari Nizamuddin. Daripada 5 orang Syura itu, 3 orang saja jadi faisalat. 7 yang lain sekadar ahli Syura, bukan faisalat. 3 faisalat itu ialah Maulana Izhar, Maulana Zubair dan Maulana Saad. Dalam masa yang tidak lama, Syura-Syura ini dijemput kembali ke rahmatullah. Semasa Maulana Zubir masih hidup, beliau bersama-sama Maulana Saad membuat keputusan dalam mesyuarat. Maulana Syamim kata, sehinggakan kami tidak tahu siapakah sebenarnya yang buat keputusan (kerana mereka mencapai kata sepakat dalam memutuskan sesuatu). Urusan mesyuarat berjalan dengan lancar.

Sekarang, daripada 10 orang Syura, yang tinggal 2 orang saja: Maulana Saad dan Haji Abd Wahab. Manakala dari 3 faisalat: yang tinggal 1 orang saja iaitu Hadraji Maulana Saad db. Sepatutnya tak timbul isu ada Syura dunia selain daripada Maulana Saad dan Haji Abd Wahab. Hanya ada dua nama ini sahaja yang telah dilantik semasa Hadraji masih hidup. Jika mereka berdua bersepakat atas satu keputusan, maka jadilah keputusan.

Di Nizamuddin ada Syura sendiri. Di Raiwind pun ada Syura sendiri. Begitu juga di Kakrail. Setiap kali Nizamuddin bermesyuarat, mereka akan hantar salinan mesyuarat kepada Raiwind dan Kakrail. Tidak pernah mereka hantar apa-apa dalam bentuk Whatsapp atau guna Internet. Segala keputusan dalam usaha ini, adalah perlu rujuk kepada Nizamuddin. Inilah markaz dunia. Di sinilah usaha ini dimulakan.

Syura Alami Malaysia

Antara orang kuat Syura Alami JT Malaysia ialah Haji Arshad Syura Malaysia, Dr Nasoha Saibin, Maulana Ibrahim, Maulana Yakkub dan Syeikh Maidin. Dr. Nasoha merupakan Syura Malaysia yang dipecat ekoran melanggari arahan Syura Nizamuddin dan Sri Petaling menyampaikan da'wah kepada non muslim.

Antara Keputusan Mesyuarat Raiwind ialah:

a) Ketaatan dlm usaha agama adalah kepada Syura 'Alami yakni Haji Abd Wahhab sab, Maulana Ibrahim Db, Maulana Yakkub dan lain-lain yang berpegang kepada manhaj 3 Hadzratji yakni Maulana Ilyas Rah., Maulana Yusuf Rah., dan Maulana In'amul Hassan Rah.

b) Maulana Saad adalah diantara Syura alami juga dan bukan lah ianya telah dilantik sebagai Hadraji. Dan setiap perkara hendaklah diputus dalam mesyuarat bersama Syuro alami yang diputuskan asal oleh Hadraji M.In'amul Hassan dan disempurnakan syuro alami itu oleh Mutaram Abdul Wahab Sab. 13 orang termasuk Maulana Ahmad Lat, M.Ibrahim, M.Saad dan lain-lain iaitu 5 dari Nizamuddin, 5 Pakistan Dan 3 dari Kakril.

c) Semasa keluar jemaah tidak ada 'amalan DTI @ Amalan Memakmurkan Masjid kerana tertib ini tidak ada di zaman 3 Hadzratji.

d) Kitab Muntakhab Ahadith hanya boleh dibaca secara infradi, bukan semasa majlis ta'alim ijtima'e.

e) Tidak ada 5 amal rumah kerana ini tidak ada di zaman 3 Hadraji, yang ada hanya Taklim kitabi dan muzakarah 6 sifat. Syura Alami menjadikan di Surau Taman Indah, Kepong, Kuala Lumpur sebagai Markaz peringkat nasional. Mesyuarat mingguan pada setiap hari Sabtu lepas Maghrib.

Sri Petaling Berdiri Teguh Dibelakang Amir Jemaah Dunia, Maulana Saad.

Usaha da'wah dan tabligh dihidupkan semula oleh Maulana Muhammad Ilyas Rah, pusat usaha dan punca rujukan ialah di Nizamuddin. Begitulah kedudukan yang telah diterima dan diamalkan dalam zaman kepimpinan Maulana Muhammad Yusuf Rah dan Maulana In'aamul Hasan Rah. Sebelum wafatnya Maulana In'aamul Hasan pada tahun 1995, beliau telah melantik satu Jemaah Perlantikan Amir seramai 10 orang.

Selepas wafatnya beliau, Jemaah Perlantikan Amir telah memilih tiga orang bagi memimpin usaha ini, iaitu Maulana Izhar, Maulana Zubair dan Maulana Muhammad Saad. Dengan wafatnya Maulana Izhar pada tahun 1997, kepimpinan usaha ini terletak kepada kedua-dua Maulana Zubair dan Maulana Saad. Selanjutnya dengan wafatnya Maulana Zubair pada tahun 2014 kepimpinan usaha ini terletak kepada Maulana Muhammad Saad.

Pada ijtimak Tongi 2017, kesemua orang tanggungjawab usaha ini dari 110 NEGARA telah mengisytiharkan penerimaan mereka ke atas Nizamuddin sebagai pusat usaha dan punca rujukan. Mereka menyatakan penerimaan, sokongan dan ketaatan mereka kepada Maulana Muhammad Saad sebagai PEMIMPIN atau AMIR usaha da'wah dan tabligh sedunia. Sehubungan itu, kami Syura Malaysia telah mengambil keputusan yang sama iaitu menerima Nizamuddin sebagai pusat usaha dan punca rujukan serta menerima MAULANA MUHAMMAD SAAD sebagai AMIR.

Catatan:-

Penulisan di atas sengaja bersifat 'copy and paste' dan hanya mengambarkan pendirian kedua-dua pihak yang berselisih.

Rumusan, setelah membaca kedua-dua artikel, penulis merumuskan:

1. Setiap organisasi da'wah mempunyai konflik dan krisis dalaman yang tersendiri. Ia adalah ujian ketaatan dan ujian pada diri seseorang.

2. Organisasi bersifat antarabangsa dan alami haruslah bersifat longgar bukannya mengikat organisasi tempatan yang mempunyai kearifan tempatan yang tersendiri. Penulis menolak konsep ‘Alami’ mana-mana jemaah Islam kecuali bersifat penyelarasan, kerjasama longgar atau solidariti dalam suatu isu dan program.

3. Pihak yang keluar jemaah Islam bukanlah pengkhianat perjuangan. Keluar jemaah sebagaimana cerai adalah kaedah penyelesaian walaupun ia pahit dan mengguriskan. Pengkhianat hanya kepada orang yang merampas sesuatu dan tidak mengembalikan suatu yang hak orang lain.

4. Penglibatan anggota IRC (satu jemaah Islami di Malaysia yang masuk dalam jemaah Islami lain untuk meluaskan pengaruhnya) dalam mana-mana organisasi seharusnya ditanggapi dengan sifat waspada. Sifat jemaah dalam jemaah yang menjadi darah daging kepada anggota IRC banyak merosakkan organisasi da'wah yang disertai oleh mereka.

5. Jemaah Tabligh diramalkan berterusan berpecah ekoran kekuatan dan pengaruh kedua-dua pihak yeng berpusat di Nizamuddin (Amir Jemaah-Maulana Saad) dan Raiwind (Syura Alami-Bhai Abdul Wahab). Syura Alami dikatakan berpengaruh di negara-negara seperti benua Afrika, Amerika Selatan, Amerika dan Eropah. Manakala pro-Amir Jemaah di negara-negara Asia.

Penulis:-
Nama: Mohamad Ridhwan Bin Alias.
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (Major: Sejarah, Minor: Antropologi dan Sosiologi) dan Diploma Pendidikan, MPTAA.
Fokus Penulisan : Sejarah dan politik terutamanya di Malaysia, Timur Tengah, Gerakan Islam dan Gerakan Mahasiswa/Anak Muda.
Penafian : Penulis bukan ustaz ataupun pakar, segala pembacaan perlu dikaji lebih lanjut untuk pemurnian fakta dan segala penulisan adalah pendapat peribadi.

No comments:

Post a Comment